Skip to main content

Lubnan: Membantu kanak-kanak dan orang dewasa mengatasi trauma perang

A Lebanese mother and daughter displaced by the war in Lebanon. Lebanon, October 2024. © Antoni Lallican/Hans Lucas

Ezdihar dan anak perempuannya adalah antara 1.2 juta orang yang terpaksa berpindah akibat perang. Lubnan, Oktober 2024. © Antoni Lallican/Hans Lucas

"Anak perempuan saya baru berusia 14 tahun, tetapi dengan segala cabaran yang kami lalui, dia memberikan reaksi seperti orang dewasa ketika mendengar bunyi letupan," kata Ezdihar, seorang ibu yang terpaksa berpindah di Lubnan. "Dia terpaksa cepat matang."

Pada malam 28 September, Ezdihar dan keluarganya sedang menikmati makan malam di rumah mereka di pinggir selatan Beirut apabila mereka menerima amaran tentang serangan yang akan berlaku oleh tentera Israel. Ketika suaminya pergi menjaga ibunya, Ezdihar mengambil anak-anaknya dan bersama jiran-jiran lain mencari perlindungan di pusat Beirut. Selepas bermalam di jalanan, mereka berpindah ke tempat perlindungan Azarieh, sebuah bangunan komersial yang kini menempatkan sekitar 3,500 orang yang terpaksa meninggalkan rumah mereka. Hari ini, mereka adalah antara 1.2 juta orang yang terpaksa berpindah akibat perang antara Hezbollah dan Israel, menurut pihak berkuasa Lubnan.

Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) sedang memberikan bantuan kesihatan fizikal dan mental kepada orang ramai di tempat perlindungan kolektif seperti Azarieh, termasuk kanak-kanak seperti anak perempuan Ezdihar. Dia adalah salah seorang dari generasi yang terpaksa hidup dalam ketakutan dan ketidakpastian, di mana kanak-kanak terjejas paling teruk.

A Doctors Without Borders staff member organizes activities for the children of the Azarieh shelter, Beirut. Lebanon, October 2024. © Antoni Lallican/Hans Lucas

Seorang kakitangan Doctors Without Borders mengatur aktiviti untuk kanak-kanak di tempat perlindungan Azarieh, Beirut. Lubnan, Oktober. 2024. © Antoni Lallican/Hans Lucas

Kesan Kesihatan Mental dari Perang dan Penghijrahan

Dalam masa kurang dari sebulan, sejak peperangan semakin memuncak, lebih daripada 2,300 orang telah terbunuh di Lubnan, dengan sebahagian besar kematian berlaku dalam tempoh tiga minggu terakhir, dan lebih 11,100 orang cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan. Keganasan dan kemusnahan yang disaksikan boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan psikologi dan emosi, terutamanya kepada kanak-kanak. Seperti anak perempuan Ezdihar, ramai kanak-kanak di seluruh Lubnan terpaksa "matang" dengan cepat akibat realiti pahit peperangan, termasuk kehilangan rumah, persekolahan mereka terganggu, terpisah dari rakan-rakan, dan kehilangan akses kepada keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal.

"Ramai ibu bapa memerhatikan perubahan tingkah laku di kalangan anak-anak mereka—kemarahan, sifat agresif, dan tingkah laku yang merisaukan — meningkatkan kebimbangan terhadap kesejahteraan mereka," kata Amani Al Mashaqba, Pengurus Aktiviti Kesihatan Mental Doctors Without Borders di gabenor Bekaa.

Bukan kanak-kanak sahaja yang memerlukan sokongan kesihatan mental. Ramai pesakit Doctors Without Borders melaporkan rasa tertekan dan trauma akibat ancaman keganasan yang berterusan, dengan kebimbangan mendalam tentang masa depan mereka dalam persekitaran yang tidak stabil. Kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga dan kesakitan akibat perpisahan juga memburukkan lagi penderitaan mereka. Ada juga yang bimbang tentang cara menguruskan penyakit kronik atau kemungkinan kehilangan setahun persekolahan. Pengalaman-pengalaman ini telah memberikan kesan mendalam terhadap kesihatan mental mereka.

Ramai orang menyatakan keperluan mendesak untuk perkhidmatan kesihatan mental, terutamanya untuk trauma. Ini menjejaskan kehidupan seharian mereka, dari gangguan tidur hingga hilang selera makan
Amani Al Mashaqba, Pengurus Aktiviti KM

Pasukan Doctors Without Borders sedang bertindak dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan asas dan mental kepada orang yang terpaksa berpindah, termasuk bantuan psikologi awal dan pendidikan psikologi melalui unit perubatan bergerak kami di seluruh negara. Namun, adalah sukar untuk orang mengakui masalah mereka dan meluahkan kerentanan mereka. Ramai yang merasa mereka perlu terus bertahan menghadapi kesukaran, seperti yang diperhatikan oleh pasukan kesihatan mental kami. Cubaan meyakinkan mereka bahawa ia adalah normal untuk mengalami emosi kadang kala menjadi cabaran, terutamanya bagi kanak-kanak lelaki yang sering diajar untuk menahan perasaan mereka.

Bagi memperluaskan lagi sokongan ini, Doctors Without Borders juga telah melancarkan talian bantuan di mana orang ramai boleh mendapatkan bantuan jauh,  daripada ahli psikologi klinikal untuk menguruskan simptom trauma seperti kebimbangan dan kesedihan.

MSF medical team treated a patient in the Azarieh shelter in central Beirut. Lebanon, October 2024. © Antoni Lallican/Hans Lucas

Mengalami kesakitan di bahagian perut, Maryam dirawat oleh pasukan perubatan Doctors Without Borders di tempat perlindungan Azarieh di pusat bandar Beirut, Lubnan. October 2024. © Antoni Lallican/Hans Lucas

Talian Bantuan untuk Penyembuhan

Talian bantuan Doctors Without Borders membolehkan kami berhubung dengan orang yang tidak dapat mengakses perkhidmatan kami secara bersemuka, terutamanya di selatan Lubnan, di mana serangan bom yang besar-besaran dan sekatan pergerakan menyukarkan perjalanan. Akses ini sangat penting dalam tempoh yang tidak menentu ini, memandangkan ramai individu-individu yang sentiasa bergerak dan menghadapi halangan untuk mendapatkan rawatan termasuk kos pengangkutan yang tinggi dan stigma budaya mengenai kesihatan mental.

Ramai pemanggil talian bantuan adalah ibu bapa yang menghadapi kesukaran untuk membantu anak-anak mereka menghadapi perang, sambil menyedari perubahan dalam tingkah laku anak-anak mereka. Ibu bapa bergelut untuk menjelaskan bunyi yang menakutkan seperti bom dan tembakan kepada anak-anak mereka, kadang kala terpaksa memberikan penjelasan yang tidak benar untuk menenangkan mereka. Contohnya, bunyi tembakan mungkin digambarkan sebagai "tembakan gembira," seperti tembakan yang dilepaskan semasa majlis perkahwinan. Ahli psikologi talian bantuan kami membekalkan ibu bapa dengan strategi untuk berkomunikasi secara jujur dan mewujudkan ruang selamat bagi anak-anak mereka untuk meluahkan perasaan mereka.

"Walaupun kita perlu bersikap realistik tentang keadaan, kita juga perlu menormalisasikan perasaan mereka," jelas Al Mashaqba. Adalah penting bagi ibu bapa untuk mendengar luahan anak-anak mereka dan memahami bagaimana bunyi-bunyi ini mempengaruhi mereka. Mereka boleh menggalakkan anak-anak mereka untuk meluahkan perasaan mereka melalui lukisan atau bercakap."

Menghadapi permintaan yang semakin meningkat, talian bantuan kami telah menyaksikan lonjakan panggilan yang dramatik, daripada hanya lima panggilan sehari pada awalnya kepada sebanyak 80 panggilan dalam satu petang. Secara keseluruhan, talian bantuan ini telah menerima hampir 300 panggilan berkaitan kesihatan mental, dengan majoriti panggilan diterima hanya dalam dua minggu yang lepas.

Di samping itu, pasukan bergerak kami telah menjalankan sesi bantuan psikologi kecemasan secara berkumpulan kepada hampir 5,000 individu setakat 21 Oktober 2024, manakala lebih 450 orang telah mendapat manfaat daripada sesi kesihatan mental secara individu. Pasukan kami juga menyediakan bantuan psikologi kecemasan yang merangkumi teknik mendengar aktif dan cara-cara melegakan tekanan, membolehkan pesakit meluahkan perasaan dan kebimbangan mereka. Selain menyediakan rawatan perubatan dan kesihatan mental yang kritikal, pasukan kami turut mengedarkan barangan keperluan bukan makanan seperti tilam dan kit kebersihan kepada golongan yang kehilangan tempat tinggal.

Negara dalam krisis

Perang semasa ini berlaku dalam keadaan krisis ekonomi yang berpanjangan, di mana lebih 80 peratus daripada penduduk Lubnan kini hidup di bawah garis kemiskinan dan amat memerlukan bantuan segera. Sektor kesihatan pula menghadapi cabaran yang serius, dengan perkhidmatan awam yang semakin merosot dan kos penjagaan kesihatan swasta yang kian melambung.

“Salah seorang ahli psikologi saya berkongsi bahawa apabila seorang wanita mengetahui bahawa perkhidmatan kami adalah percuma, dia menangis,” kata Al Mashaqba. “Ramai yang tidak biasa dengan akses kepada perkhidmatan seperti ini tanpa beban kewangan.”

Displaced families from the Azarieh shelter crowd around a water tank during a water distribution. Lebanon, October 2024. © Antoni Lallican/Hans Lucas

Keluarga yang dipindahkan dari tempat perlindungan Azarieh berkumpul di sekitar tangki air semasa pengagihan air. Lubnan, Oktober. © Antoni Lallican/Hans Lucas

Lebih-lebih lagi, Lubnan menempatkan sejumlah besar pelarian, termasuk 1.5 juta rakyat Syria dan lebih 200,000 rakyat Palestin, yang kebanyakan mereka telah beberapa kali dipindahkan. Bagi mereka, ketakutan akan pengusiran dan perjuangan untuk mencari keselamatan amat memeritkan. “Ada yang memberitahu saya bahawa mereka lebih rela mati daripada mengalami trauma menjadi pelarian sekali lagi,” kata Al Mashaqba.

Doctors Without Borders sedang menjalankan penilaian keperluan secara berterusan bagi golongan yang dipindahkan di dalam negara, dan ketika situasi semakin berkembang, pasukan kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi serta rangkaian hospital untuk menyediakan sokongan menyeluruh di mana sahaja yang mungkin.


Adakah anda akan menyokong kerja respons kecemasan kami?

Bantulah kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa semasa kecemasan dengan membuat sumbangan hari ini.