Lubnan: Bertahan di tengah perang dengan usaha komuniti
Di tengah-tengah Beirut, sebuah inisiatif sedemikian menjadi penyelamat bagi lebih 2,500 orang yang berlindung di bangunan Al Azarieh—dahulunya sebuah pusat komersial yang sibuk, kini berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi mangsa-mangsa yang terpaksa berpindah akibat pengeboman dan serangan Israel.
Doktors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyokong pelaksanaan projek dapur komuniti yang menyediakan makanan percuma untuk penghuni di sini, hasil usaha NGO tempatan Ahla Fawda dan restoran Barzakh.
“Kami bermula tanpa apa-apa,” jelas Khodor Al Akhdar, pengurus operasi Barzakh. “Sejak awal perang dan kemasukan mangsa yang berpindah ke kawasan ini, kami bekerjasama erat dengan Ahla Fawda untuk menyediakan makanan. Projek ini bukan sahaja bertujuan menyediakan hidangan tetapi juga membekalkan bahan masakan sambil melatih penghuni Al Azarieh untuk menyediakan dan memasak sendiri makanan mereka, dengan penekanan terhadap keselamatan dan kebersihan makanan.”
Bagi merealisasikan projek dapur ini, pasukan logistik Doctors Without Borders telah mengubah sebuah ruang kosong di bangunan Al Azarieh menjadi dapur berfungsi sepenuhnya. Ahla Fawda dan Barzakh pula melengkapkan kemudahan ini agar memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan, serta melatih penduduk tempatan untuk menyediakan makanan menggunakan bahan percuma yang disediakan. Kini, dapur ini menghasilkan kira-kira 2,500 hidangan setiap hari.
Sejak permulaan perang, inisiatif yang digerakkan oleh komuniti di Lubnan sangat mengagumkan. Menggalakkan usaha ini memperkukuh hubungan dan suasana kerjasama yang amat diperlukan serta memastikan respons yang mampan [terhadap perang ini].Elena Fernandez Tajadura,Koord. Logistik
Lubnan telah menghadapi pelbagai krisis dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk letupan pelabuhan Beirut yang dahsyat pada Ogos 2020 serta kejatuhan ekonomi yang dianggap antara yang terburuk di dunia. Eskalasi serangan Israel baru-baru ini telah memaksa lebih sejuta orang berpindah sejak Oktober 2023, meninggalkan ramai dalam keadaan hidup yang amat terdesak. Krisis berterusan ini telah mendorong keseluruhan penduduk ke ambang ketidaktentuan.
“Saya bangga menjadi sebahagian daripada dapur ini,” kongsi Aziza, seorang penghuni tempat perlindungan Al Azarieh yang telah berpindah dari Beirut Selatan. “Ramai di sini telah kehilangan pekerjaan akibat perang atau telah menghabiskan wang simpanan mereka untuk memenuhi keperluan asas sejak beberapa bulan lalu. Mereka tiada wang lagi untuk terus hidup. Apabila saya tahu dapur ini memerlukan tenaga tambahan, saya menawarkan diri untuk membantu. Bersama-sama, kami lakukan apa yang termampu untuk mengharungi situasi ini. Semoga, dengan izin Tuhan, keadaan ini akan berakhir dan hidup akan kembali seperti biasa.”
Doctors Without Borders turut menyokong pelbagai inisiatif komuniti lain di seluruh Lubnan, khususnya dalam menyediakan makanan, termasuk di Saida dan Tyre di selatan negara itu. Sejak eskalasi pengeboman Israel pada 23 September 2024, Doctors Without Borders telah menyediakan sejumlah 7,432 hidangan, 7,342 selimut, 6,050 tilam, 79,504 liter air minuman, 8,013 kit kebersihan, dan 6,678,000 liter air yang dibekalkan ke tempat perlindungan di seluruh Lubnan.
Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.