Kehidupan di penjara terbuka tidak berdinding: hidup ketakutan diancam bom di Idlib
© Hélène Aldeguer
Abu Fadel, Hassan dan Iman, ketiga-tiganya mendiami kawasan pentadbiran Idlib, terletak di barat laut Syria. Seperti 2.7 juta penduduk Syria, mereka sudah beberapa kali dipaksa berpindah-randah sekitar negara itu, sehinggalah akhirnya mereka tiba di Idlib. Benteng pemberontak terakhir, diletupkan dalam satu serangan udara besar-besaran oleh tentera Syria dan pihak bersekutu. Idlib kini dihuni penduduk yang masih trauma dengan peperangan selama sembilan tahun, terbiar dalam keruntuhan bangunan, daif dan tiada masa depan. Terletak membelakangi sempadan Turki, Abu Fadel, Hassan dan Iman mengulangi kisah-kisah kehidupan mereka- penantian, ketakutan dan pengalaman peperangan mengerikan tiada berpenghujung di penjara terbuka tidak berdinding.
Pertengahan Jun lalu, serangan udara diteruskan di wilayah pentadbiran Idlib, sasarannya di zon barat Maarat-al-Numan. Kebanyakan penduduk yang mendiami kawasan ditadbir kerajaan hidup dalam kemiskinan dan kebanyakannya berpindah dari bandar ke kem penempatan sekitar Dana, Sarmada dan Atmeh yang mana terdapatnya bantuan disediakan pasukan Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF). Antara perbualan meniti dibibir pelarian adalah keadaan hidup bergelumang rasuah, jenayah, keganasan social, dan tempat-tempat perlindungan pelarian kini semakin lama semakin terhad serta serangan tanpa henti askar Syria.
"Tiada lagi tempat selamat "
Pada 2013, askar kerajaan Syria mengepung Timur Ghouta, kubu kuat pemberontak di Damascus. Musim panas tahun itu menyaksikan kawasan terbabit diserang teruk, disyaki menggunakan senjata kimia. Selepas empat tahun dikepung, pada 2017 Timur Ghouta menjadi satu daripada kawasan dalam zon de-eskalasi yang sepatutnya menyaksikan genjatan senjata di lokasi terbabit. Namun serangan udara terus-terusan menjadi pengalaman ngeri kehidupan harian di sana. Iman Oum Ziad dan lapan orang anaknya pernah menetap di sana. Seperti mana kebanyakan rakyat Syria di Timur Ghouta, beliau rela dipindahkan ke wilayah pentadbiran Idlib, berbanding tinggal di kawasan bawah kawalan kerajaan. "Kakak ipar saya maut dalam serangan kimia pada 2013," katanya. “Kami terpaksa hidup dalam keadaan mengerikan, serangan udara tidak kira siang dan malam, pengepungan tentera dan kebuluran." Pengepungan tentera itu dilakukan dengan penutupan sepenuhnya. Beliau masih terkenang saat dikepung tanpa makanan dan ibunya meninggal dunia akibat putus bekalan perubatan.
Wanita berusia 43 tahun itu juga masih teringat saat diarahkan pindah sekitar Ghouta beberapa kali untuk mengelakkannya menjadi mangsa serangan bom. "Dari hari ke hari, kami melarikan diri dengan berpindah-randah untuk terus hidup. Sudah enam hingga tujuh kali kami berpindah rumah, namun serangan udara tetap semakin hampir." Pada Februari 2018, askar Syria melancarkan serangan udara berskala besar dan menyebabkan ramai penduduk maut. Apabila Timur Ghouta jatuh kepada kerajaan, Iman enggan tinggal di situ dan pada April 2018, beliau dan keluarga dipindahkan ke Idlib. “Itulah detik yang paling kami ingat. Kami terpaksa meninggalkan tempat yang paling kami cintai. Terlalu banyak penderitaan di sini, dan kami sudah menyaksikan terlalu banyak pengalaman mengerikan."
Beliau, suaminya dan anak-anaknya menaiki bas ke Idlib. Mereka turun di Harem, dan menuju ke Saraqeb di mana mereka tinggal di sebuah rumah untuk seketika, namun sewaan yang dikenakan terlalu tinggi. Mereka kemudiannya berpindah sekali lagi ke salah satu kem dalam wilayah pentadbiran, yang kini menjadi tempat tinggalnya sekeluarga sehingga kini. “Kami tidak tahu ke mana lagi boleh kami pergi. Pada bila-bila masa serangan udara mungkin akan terjadi lagi.”
Sebelum peperangan meletus, beliau seperti suri rumah yang lain menjaga kediaman ketika suami mengambil upah bekerja di lapangan dibantu seorang anak mereka. Bagaimanapun anak mereka itu tidak dapat meninggalkan Ghouta hidup-hidup, apabila anaknya ditembak mati oleh penembak tepat ketika pulang membawa roti ke rumah. Sekarang tiada seorang pun ahli keluarganya yang bekerja dan situasi ekonomi kini semakin teruk setiap hari. Nilai mata wang pound Syria menyusut nilai hampir separuh sejak Mei 2020, menyebabkan inflasi melonjak tinggi. Penurunan nilai berpunca daripada krisis di Lebanon, lokasi simpanan wang kebanyakan rakyat Syria, selain sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Syria dan kesan kelumpuhan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.
Iman nekad enggan kembali. “Selagi rejim memerintah, kami tidak boleh kembali ke Ghouta. Mereka sudah mengumumkannya, sama ada kami di penjara atau di bunuh jika kembali ke sana. Tiada lagi tempat yang selamat, termasuk di Idlib.”
Kem tempat mereka berlindung hanya memiliki tandas bersama, hampir tiada air bersih, tiada elektrik dan disebabkan penularan Covid-19, sekolah turut ditutup sejak dua bulan lalu. Beliau berkata, “Kadang-kala, pertempuran dan serangan udara tidak kerap berlaku. Maka saya cuba mengajar mereka apa yang saya tahu kerana anak-anak saya sudah ketinggalan pelajaran hampir dua tahun apabila kami tinggal di Ghouta.”
Dua anak perempuan Iman masih menetap di Timur Ghouta. Mereka masih berhubung menerusi telefon tetapi amat jarang sekali dapat menghantar mesej suara. Semua orang terlalu takut untuk menghubungi menerusi talian telekomunikasi kerana bimbang ditahan askar kerajaan. "Seluruh keluarga saya berpecah belah, sebahagian kami berada di Idlib, manakala yang lain masih berada di Timur Ghouta. Semuanya berjauhan."
Beliau mengimbau anak perempuannya berusia 10 tahun, Jana, yang sentiasa panik setiap kali mendengar bunyi kapal terbang di langit. "Sebelum ini saya terpaksa menyembunyikan mereka di dalam bilik air atau di bawah tangga. Jana sentiasa menangis tanpa sebarang sebab, dan sentiasa bersedih. Dia cuba meyakinkan saya, namun sebagai ibunya saya tahu dia masih trauma." Jana selalu melukis kengerian peperangan dan pesawat tempur. "Selepas pengepungan di Timur Ghouta, kini kami dalam satu lagi pengepungan, kali ini di sini, Idlib."
"Kami terus berharap, namun itulah yang membunuh kami "
Hassan Abou Noah, pelajar yang menetap di Talbiseh, wilayah pentadbiran Homs. Beliau seorang wartawan yang turut menyertai perhimpunan tunjuk perasaan. “Sudah menjadi tugas saya untuk menentang,” katanya yang berusia 33 tahun. Ketika rundingan antara kerajaan dengan pembangkang, beliau dipindahkan ke rantau Khan al-Assal di wilayah Aleppo. Beliau menetap di sana selama setahun, namun akhir Januari 2019, serangan udara semakin meningkat menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri.
“Rakyat ketakutan. Bagaikan masa diperlahankan, saya dapat melihat semua orang di sekeliling saya berlari menyelamatkan diri, namun saya kaku secara tiba-tiba. Kami kemudiannya melompat masuk ke dalam kereta dan bergerak keluar daripada kawasan itu. Kami terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang bergerak berjujukan seperti semut kembali ke sarang.” Pesawat tempur askar terus menggugurkan bom, menghujani zon dengan letupan ketika orang ramai menyelamatkan diri ke Idlib, satu daripada peluru berpandu melintasi 50 meter di atas kepala Hassan dan anaknya.
Hassan kini menetap di bandar Idlib sejak 2019. Beliau tinggal bersama rakannya yang memiliki kediaman sendiri, kerana tidak mampu membayar kos sewaan rumah. Manakala isteri dan anak-anaknya tinggal bersama saudara maranya di kampung berhampiran. Bandar itu tidak mempunyai tempat tinggal yang mencukupi untuk semua orang, tidak kira jika mereka memiliki wang atau tidak.
“Melihat Idlib, saya nampak bandar yang penuh kekecewaan tanpa masa depan.” Harga barang sangat tinggi, kerana dagangan ke luar kawasan adalah mustahil sama sekali. Wilayah pentadbiran gabenor itu kini terasing sepenuhnya dari dunia luar. “Situasi lumpuh dan penuh kesedihan itu dirasai sama ada di kem atau di bandar.” Idlib tidak memiliki air yang mengalir, maka ia terpaksa dibeli dan seperti barang-barang lain, harganya sangat mahal.
“Saya sudah merasai semua pengalaman yang wujud dalam pemikiran manusia. Saya rasa ketakutan, mungkin ini semua adalah normal, saya juga merasai kekosongan dan sesekali dalam situasi yang pelik, saya berasa gembira. Mungkin sekarang saya rasa tidak berpijak di dunia yang nyata. Sebelum ini kami trauma mendengar bunyi peluru, di sini apabila terdengar bunyi pesawat atau serangan udara, ia bagaikan sudah lali dan kami akan berbual tentang perkara lain.”
Berdasarkan makluman saudara mara dan rakan Hassan yang menetap di Talbiseh, kebanyakan lelaki yang dalam lingkungan usia cukup matang untuk bertempur kini takut untuk keluar rumah kerana bimbang akan ditahan dan dipaksa menyertai askar Syria.
Setiap kali anak bongsunya, Adam mendengar dentuman serangan udara, beliau akan bertanya kepada ayahnya adakah itu bunyi guruh, dan Hassan akan mengakuinya bagi menenangkan anaknya.
“Saya tidak mahu meninggalkan Syria. Apa yang saya mahukan adalah keluarga saya tinggal bersama di bawah satu bumbung. Tiada siapa yang tahu apa akan terjadi. Tidak jelas sama sekali apakah masa depan politik di negara ini atau kehidupan kami. Kami terus berharap, namun harapan itulah yang sebenarnya membunuh kita.”
Jika Hassan mahu meninggalkan Syria, beliau perlu mengupah sindiket untuk meloloskan diri ke Turki sekitar 12,000 dolar untuk semua ahli keluarganya. “Mungkin boleh, jika saya menjual buah pinggang,” katanya, ketawa.
“Kami terperangkap di sini, hanya ada satu sahaja jalan keluar”
Abou Fadel lahir dan membesar di Idlib, perkampungan Talmenes yang terletak lima kilometer dari Maarat Al Numan. Sudah enam bulan beliau hidup dalam khemah seluas 20 meter persegi di kem sementara Bandar Idlib bersama isteri dan lima anaknya, berusia antara 4 hingga 15 tahun.
“Daripada bertanyakan bagaimana saya boleh bertahan sampai sekarang, adalah lebih baik jika ditanya adakah saya mampu untuk terus hidup pada masa depan,” katanya yang kini berusia 40 tahun. Jawapannya “Tidak!”. Saya meminjam wang daripada kawan-kawan dan saudara mara tanpa saya tahu bilakah saya mampu memulangkannya kembali, atau sempatkah saya lunaskan sebelum menghembus nafas terakhir. Kadang-kadang, kami ada menerima beberapa sumbangan derma daripada organisasi bantuan.”
Sesekali beliau memejamkan mata dan membayangkan beliau kembali ke kampung tempat kelahiran beliau di Talmenes. Beliau bermain bersama anak-anaknya berhampiran kediaman dua tingkat ibu bapanya. Semua impian dan aspirasi beliau kini hancur berkecai, apa yang diinginkan adalah untuk kembali ke masa sebelum 2020. “Saya hampir melupakan semua tentang hidup saya sebelum peperangan. Saya hanya mahu kembali ke waktu tahun lalu, apabila rejim menggugurkan bom ke atas kami dari masa ke masa. Sekurang-kurangnya di sana tiada askar di jalanan yang mengancam kami,” katanya. “Saya terjaga dari tidur dalam keadaan cemas, bimbang kepada anak saya. Mereka sudah lama tidak ke sekolah sejak kami meninggalkan rumah. Mereka sangat sukakan sekolah. Semalam saya buat keputusan untuk mengahwinkan anak perempuan bongsu saya Safa untuk menjamin masa depannya. Dia akan bersama suami tidak lama lagi, itu adalah yang terbaik untuknya.”
Awal tahun ini, Abou Fadel dan keluarganya terpaksa melarikan diri apabila serangan udara yang mensasarkan Talmenes. “Serangan udara itu berlanjutan selama lima hari, sebelum askar merempuh masuk ke kawasan itu. Ketika itulah kami nekad untuk meninggalkan Talmenes, ia satu-satunya peluang yang ada. Kami melepaskan diri menggunakan trak bersama-sama berdozen lagi keluarga lain ke bandar Idlib. Kami tinggal selama seminggu di masjid dan kemudian membangunkan khemah di sini.”
Pada Jun 2020, disebabkan tercetusnya pergolakan di situ, lebih ramai penduduk dipindahkan ke selatan wilayah pentadbiran gabenor Idlib dan utara wilayah pentadbiran gabenor Hama. “Rejim Syria mengangap semua orang yang tinggal di Idlib sebagai pengganas. Sepupu saya ditahan di Hama ketika mengeluarkan wang. Dia tidak pernah kembali sejak itu. Dengan angkatan tentera kini semakin hampir, saya rasa senario terbaik mungkin akan dipaksa menyertai tentera, atau paling teruk saya akan dicampak ke dalam penjara!”.
Lebih mengharukan, khemah tempat tinggal keluarga itu tidak mampu memberikan perlindungan daripada kesejukan musim sejuk, apatah lagi menghalang bahang cuaca musim panas. Abou Fadel menghabiskan masanya berjalan sekitar kem dan menghirup teh bersama jiran-jirannya. Sekiranya situasi menjadi semakin mendesak, mereka akan mencari perlindungan sedekat mungkin dengan sempadan Turki, yang mana beliau rasakan di sana lebih selamat. “Kami terperangkap di sini, dan hanya ada satu sahaja jalan keluarnya.”