Jenin: Peningkatan mengejutkan serangan Israel terhadap orang awam dan penjagaan kesihatan
Pada 28 November 2023, Presiden Antarabangsa Doctors Without Borders, Dr Christos Christou melawat kem pelarian Jenin dan Hospital Khalil Suleiman yang disokong Doctors Without Borders. Wilayah Palestin, November 2023. © MSF/Tetiana Gaviuk
Dalam samar-samar cahaya bilik hospital, Amin, 17, terbaring di atas katil selepas ditembak pada kedua-dua kaki oleh Tentera Israel pada 19 November 2023, semasa serangan darat dan udara ke atas kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.
Sebelum 7 Oktober 2023, Tentera Israel membunuh 205 rakyat Palestin di Tebing Barat, manakala peneroka bertanggungjawab untuk sembilan lagi kematian. Daripada jumlah ini, 52 kematian berlaku hanya di Jenin.
Pada 19 Jun, tentera Israel mula melakukan serangan udara di Tebing Barat, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak intifada kedua pada awal 2000-an. Bukan lagi insiden terpencil, ia sebaliknya lebih kerap berlaku. Pada 3 Julai, semasa operasi ketenteraan selama 48 jam di kem pelarian Jenin yang padat dengan penduduk, bom digugurkan dari jet pejuang dan serangan dilakukan menggunakan dron.
Melalui darat, peningkatan keganasan mengikuti trend sama. Di bilik kecemasan hospital Khalil Suleiman, disokong oleh Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), Pasukan Israel melancarkan bom gas pemedih mata dalam bilik kecemasan, meningkatkan lagi keparahan situasi ketika kemasukan pesakit sudah sedia kritikal. Sepanjang pencerobohan tentera, Doctors Without Borders menyaksikan ambulans dihalang dan kemudahan penjagaan kesihatan menjadi sasaran, elemen yang mula bertukar biasa pada bulan-bulan berikutnya.
Jenin, Tebing Barat, Wilayah Palestin, November 2023. © MSF/Tetiana Gaviuk
Ketika serbuan bermula pada 19 November, Amin sedang berjalan pulang apabila seorang askar Israel menembaknya pada kedua-dua belah kaki. Walaupun ada hospital di sebelah kem, ambulans tidak dapat sampai ke lokasi Amin berada selama lebih dua jam kerana tentera Israel menyekat pergerakan ambulans, mengepung hospital, dan memutuskan akses ke kemudahan itu dengan menghalang jalan utama menggunakan kenderaan berperisai.
Dalam keadaan pendarahan yang banyak, Amin yang berada di jalanan diselamatkan seorang sukarelawan perubatan sebelum dibawa ke salah satu daripada beberapa titik penstabilan trauma di kem - sebuah bilik ringkas dengan sedikit kelengkapan rangka katil atau beberapa bekalan perubatan. Matlamatnya sekadar untuk menghentikan pendarahan.
Di dalam kem, titik penstabilan trauma ini, disediakan, dan diuruskan sendiri sukarelawan perubatan tempatan, satu-satunya tempat di mana penghuni kem boleh menerima bantuan perubatan yang menyelamatkan nyawa. Namun semua lokasi titik ini berulang kali disasarkan oleh serangan dron atau dimusnahkan dan dirosakkan tentera darat. Pasukan Israel kini menghalang sukarelawan daripada membina semula titik trauma atau menubuhkan yang baharu menurut sukarelawan kem.
“Situasi di sini amat mengerikan”, kata salah seorang jururawat yang bekerja di hospital Khalil Suleiman yang disokong Doctors Without Borders yang terletak bersebelahan kem pelarian di bandar Jenin.
“Kami pernah mempunyai pasukan bola sepak di kem. Daripada 20 pemain dalam pasukan, hanya tujuh masih hidup, ramai daripada mereka terbunuh sejak Julai 2023. Mereka masih muda, antara 17 dan 22 tahun”, tambah jururawat itu.
Keadaan hari ini di Tebing Barat khususnya di Jenin sangat ekstrem. Kami melihat keganasan terhadap orang awam sangat ketara, dan ia meningkat dengan pesat sejak 7 Oktober. Serangan terhadap penjagaan kesihatan meningkat mendadak dan menjadi sistematik. Kemusnahan jalan raya dan infrastruktur seperti paip air dan sistem kumbahan juga membimbangkan.Luz Saavedra, koordinator di Jenin
Bulatan tembikai, simbol kebanggaan Palestin di Jenin, musnah semasa pencerobohan tentera di bandar itu. Pencerobohan ganas Israel di Jenin menjadi perkara biasa sejak 7 Oktober. Jenin, Tebing Barat, Palestine, November 2023. © Fariz Al-Jawad/MSF
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Israel mengepung beberapa hospital di Jenin, secara langsung mewujudkan halangan secara terus ke atas penjagaan kesihatan, malah menembak dan membunuh seorang remaja lelaki di perkarangan hospital Khalil Suleiman. Halangan penjagaan kesihatan malangnya menjadi amalan biasa. Dalam setiap pencerobohan, pelbagai hospital, termasuk hospital awam, dikepung tentera Israel.
“Kehilangan rasa hormat terhadap hospital amat mengejutkan – sejak Oktober, kami menyaksikan kejadian tembakan dan pembunuhan seorang budak lelaki berusia 14 tahun di perkarangan hospital, askar melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke hospital beberapa kali, paramedik dipaksa menanggalkan pakaian dan berlutut di jalan.
Selain daripada keganasan secara langsung, sekatan konsisten terhadap akses penjagaan kesihatan juga meletakkan nyawa penghuni kem dalam risiko dan kelihatannya ia menjadi prosedur operasi standard untuk pasukan tentera semasa dan selepas serbuan di Jenin. Sudah terang lagi bersuluh, kami tidak dapat menyediakan rawatan untuk pesakit yang tidak sampai ke hospital. Mereka yang memerlukan bantuan mestilah berupaya untuk mengakses perkhidmatan perubatan dengan selamat dan kemudahan kesihatan perlu dilindungi.”
2023 menjadi tahun paling dahsyat bagi rakyat Palestin di Tebing Barat. Amir mungkin terselamat daripada serangan ini, tetapi masa depannya tidak menentu. “Sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran pada bila-bila masa di sini. Kami tidak pernah tahu siapa yang akan datang”, kata Amir sewaktu hendak keluar dari hospital dan pulang ke rumahnya di kem, mungkin kini di jalanan yang musnah