Skip to main content

Gaza: Sesetengah luka tidak pernah sembuh

Destruction in Gaza city where Israeli airstrikes killed hundreds in May 2021.

Kemusnahan di bandar Gaza di mana serangan udara Israel menyebabkan ratusan terkorban pada Mei 2021. Palestin, 2021. © MSF

Gaza sudah pun mengalami trauma peperangan, terutamanya pada 2014 dan semasa Perarakan Kepulangan Besar-Besar pada 2018. Trauma ini – disebabkan perasaan takut akibat nyawa anda, melihat rumah anda dalam runtuhan, dan kesukaran ekonomi harian – diburukkan lagi dengan peristiwa pada Mei 2021. Krisis kesihatan mental di Gaza kini lebih meruncing.

Daripada dua juta rakyat Palestin yang tinggal di Gaza, lebih 40 peratus adalah kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah. Kanak-kanak ini telah menjalani seluruh hidup mereka di bawah sekatan Israel, terselamat daripada tiga serangan besar oleh Israel dan mengalami trauma yang berulang dan berterusan. Setahun sejak pusingan terbaharu pengeboman, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza berasa lebih tidak selamat berbanding sebelum ini.

Tiga testimoni ini, dua daripada pesakit Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) dan satu lagi daripada kakitangan Doctors Without Borders, menunjukkan impak sepanjang hayat akibat permusuhan tahun lalu, sama ada melalui kecederaan fizikal atau trauma mental.

Ahmad*, 41 tahun. Berkahwin dan memiliki empat anak berusia 18, 17, 7 dan 3 tahun. 

"Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri mengapa saya terselamat. Kadang-kadang saya berharap saya mati bersama yang lain, supaya saya akhirnya dapat meninggalkan Gaza. Kematian adalah satu-satunya jalan keluar." 

Baca kisah Ahmad

Saya tercedera pada hari pertama pengeboman. Saya berada di rumah apabila ia dibom. Kami tidak tahu sama ada ia bom atau sesuatu dalam rumah yang meletup. Kami hanya mendengar bunyi yang kuat dan rumah bergegar. Ketika itulah saya melihat tangan saya tergantung dari lengan saya. Seluruh keluarga ada bersama, ketika itu Ramadan. Sebahagian rumah musnah, dua sepupu saya meninggal dunia, dan seorang lagi saudara hilang upaya.

Letupan itu sangat kuat sehingga jiran turut cedera. Anak jiran sedang berjalan di luar dan kehilangan kedua-dua belah mata. Dia baru berusia 9 tahun, dan dia tidak akan dapat melihat lagi. Dia hanya bermain di luar.

Orang ramai cuba memasukkan mangsa ke dalam kereta. Ambulans tidak dapat sampai kepada kami, kerana bom jatuh di mana-mana. Saya berada dalam kereta bersama 4 mangsa lain. Salah seorang daripada mereka adalah anak jiran yang lain. Dia meninggal dunia di pangkuan bapanya, betul-betul di sebelah saya, dalam perjalanan ke hospital. Kami yang lain tidak tahu sama ada kami dapat ke hospital hidup-hidup, semuanya dibom di sekeliling kami.

Saya akhirnya sampai ke hospital Al Shifa dan selepas seminggu saya dirujuk ke Doctors Without Borders di hospital Al Awda. Di kedua-dua hospital, mereka takut bom akan mengenai kami. Malah kali ini hospital juga tidak selamat.

Saya menjalani 8 pembedahan berbeza dan tangan saya dipotong. Semasa di hospital, saya risaukan keluarga saya. Kesihatan mental mereka sangat terjejas, dan bunyi yang kuat masih membuatkan dua anak saya menangis. Ibu saya paling menderita. Dia mengalami gangguan saraf, dan kini dirawat pakar kesihatan mental. Dia masih tidak boleh bercakap mengenainya tanpa mengalami serangan panik.

Paling menyakitkan ialah apa yang saya tidak dapat berikan kepada keluarga saya. Saya seorang pemandu, dan saya tidak boleh memandu tanpa tangan saya. Saya bertanggungjawab bukan sahaja untuk isteri dan anak-anak tetapi juga untuk ibu bapa saya yang sudah tua.

Saya sepatutnya menerima tangan palsu, tetapi disebabkan sekatan, saya tidak tahu bila ia akan berlaku.

Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri mengapa saya selamat. Kadang-kadang saya berharap saya mati bersama yang lain, supaya saya akhirnya boleh meninggalkan Gaza. Kematian adalah satu-satunya jalan keluar.

Palestinian walks amidst the rubble in the Gaza city.

Rakyat Palestin berjalan di tengah runtuhan di bandar Gaza. Palestin, 2021. © MSF

Mohammad*, 36 tahun. Berkahwin dan memiliki dua anak perempuan serta seorang lelaki. Dia kehilangan anak lelakinya yang berusia 8 tahun. Pesakit akibat perang pada Mei 2021.

"Sudah setahun sekarang dan saya masih terperangkap di atas katil hospital. Begitu banyak pembedahan dan intervensi sudah saya jalani hinggakan saya sendiri tidak dapat mengira jumlahnya. Saya fikir saya mungkin memecahkan rekod bilangan pembedahan - (katanya sambil tersenyum ). Saya tersenyum kerana tiada apa lagi boleh saya lakukan, saya perlu tersenyum."  

Baca kisah Mohammad

Ia hari pertama pengeboman. Saya berada di luar rumah bersama anak, apabila peluru berpandu mengenai kereta, kurang satu meter dari kami. Saya tidak ingat dengan tepat susunan perkara, namun saya kemudian melihat kaki saya cedera sepenuhnya. Apabila melihat ke tepi, anak saya tidak sedarkan diri. Perutnya terbuka, dan kedua-dua tangannya hilang. Saya mula menjerit. Isteri dan dua anak perempuan saya berada dalam rumah dan berlari. Mereka juga menjerit. Begitu ramai orang yang cedera di sekeliling kami dan tiada ambulans kelihatan.

Jiran-jiran membawa mereka yang terkorban dan cedera menggunakan kereta mereka, bergegas ke hospital. Anak saya pergi dahulu dengan kereta, tetapi saya rasa dia sudah mati ketika itu. Tiada ruang untuk saya dalam kereta itu. Saya dibawa menaiki satu lagi kereta, bersama tiga lagi yang cedera parah. Saya terpaksa masuk ke dalam bonet dengan kaki saya terjuntai keluar. Jalan ke hospital seperti melihat neraka di bumi. Semua tempat yang kami lihat musnah, kebakaran di serata tempat, bom terus jatuh dari langit. Separuh daripada Gaza dibom.

Ia tidak seperti peperangan lain yang pernah saya lihat sebelum ini. Mereka menyasarkan orang awam, tidak ada tempat untuk lari. Api di mana-mana. Selepas kejadian itu, keluarga saya musnah sama sekali. Isteri meninggalkan saya; dia mengalami gangguan mental yang mana dia tidak pernah pulih. Dia menyalahkan saya atas kematian anak lelaki tunggal kami. Hanya seorang daripada anak perempuan saya tinggal bersama saya dan kini dia sentiasa berdiri bersama saya, di sebelah katil hospital saya.

"Sudah setahun sekarang dan saya masih terperangkap di atas katil hospital. Begitu banyak pembedahan dan intervensi sudah saya jalani hinggakan saya sendiri tidak dapat mengira jumlahnya. Saya fikir saya mungkin memecahkan rekod bilangan pembedahan - (katanya sambil tersenyum ). Saya tersenyum kerana tiada apa lagi boleh saya lakukan, saya perlu tersenyum."

MSF clinic in Gaza city where we provide trauma and burn treatment was damaged by Israeli aerial bombardment, leaving a sterilization room unusable and a waiting area damaged.

Klinik Doctors Without Borders di bandar Gaza di mana kami menyediakan rawatan trauma dan melecur rosak disebabkan pengeboman udara oleh Israel, menyebabkan bilik pensterilan tidak dapat digunakan dan kawasan menunggu rosak. Tiada siapa yang cedera di klinik kami, tetapi ramai yang terbunuh disebabkan pengeboman. Palestin, 2021. © MSF

Ashraf*, 30 tahun. Berkahiwn dan memiliki 2 anak. Kakitangan perubatan Doctors Without Borders.

"Di hospital, orang ramai tiba dengan pelbagai kecederaan yang berbeza. Sekali lagi, kami dibebani dengan bilangan mangsa yang ramai akibat serangan Israel ke atas Gaza. Bekalan darah untuk pemindahan tidak cukup, kami juga tidak mempunyai kapasiti ICU yang mencukupi."

Baca kisah Ashraf

Mei 2021 adalah kali pertama saya saksikan pencerobohan dan ia berlaku sewaktu keluarga saya sendiri ada bersama: isteri dan dua anak. Bom tidak pernah sedekat ini dengan kami. Anak-anak saya takut dan menjerit. Tiada apa yang kami katakan dapat menenangkan mereka. Saya cuba berbohong kepada mereka, mengatakan ia adalah bunga api, tetapi anak perempuan saya boleh mengagak bahawa saya tidak bercakap benar; dia berkata bunga api tidak pernah sekuat itu dan ia mempunyai lampu yang cantik; yang ini terlalu kuat dan yang dia nampak hanyalah api di sekeliling bangunan kami.

Saya rasa ketakutan terbesar saya ialah kehilangan keluarga saya. Saya dan isteri kedua-duanya pekerja kesihatan dan kami perlu bergilir-gilir ke hospital dan tinggal bersama anak-anak. Semasa di hospital, saya sentiasa bimbang telefon akan berdering, dan seseorang akan memberitahu bahawa keluarga saya meninggal dunia.

Ambulans Doctors Without Borders tidak dapat bergerak. Kami terpaksa menaiki kereta dengan rakan sekerja tanpa jaminan bahawa kami akan selamat sampai ke hospital. Mereka menyasarkan segala-galanya. Hospital pun tidak selamat. Semasa di dewan bedah, bom jatuh di sekeliling kami. Satu daripadanya menyasarkan sebuah bangunan di utara hospital, kurang 300 meter jaraknya. Satu lagi 100 meter ke selatan hospital. Bilik bedah sentiasa bergegar, seolah-olah ada gempa bumi. Kami takut kami mungkin menjadi sasaran seterusnya.

Intensiti bom itu juga sesuatu yang tidak pernah saya lihat dalam pencerobohan sebelum ini. Ia hujan peluru berpandu, hujan lebat. Bom setiap saat, di mana-mana. Gaza seolah-olah terbakar sepenuhnya. Dalam perjalanan ke hospital, kami dapat melihat bangunan di tengah bandar musnah sepenuhnya dan mayat di jalanan. Ramai keluarga yang tinggal dalam kebanyakan bangunan ini.

Di hospital, orang ramai tiba dengan pelbagai kecederaan yang berbeza. Sekali lagi, kami dibebani dengan bilangan mangsa yang ramai akibat serangan Israel ke atas Gaza. Bekalan darah untuk pemindahan tidak cukup, kami juga tidak mempunyai kapasiti ICU yang mencukupi. Kami tidak mampu merawat semua pesakit itu pada masa yang sama. Kami hanya menyasarkan untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa di tempat kejadian. Sepsis ada di mana-mana, kemungkinan penularan COVID dan penyakit berjangkit lain.

Pencerobohan kali lebih pendek berbanding sebelumnya, namun jauh lebih sengit. Tiada apa yang kami pelajari daripada peningkatan sebelumnya yang membantu kami kali ini. Kami semua hanya menunggu giliran untuk mati. Sebelum ini, kami ada waktu senggang pengeboman, koridor kemanusiaan. Kali ini, tiada apa-apa, tiada tempat lari, tiada tempat selamat.

Anak perempuan saya dahulunya suka ke pantai. Sebelum Mei 2021, dia meminta untuk pergi setiap hari. Namun, pada Mei 2021, kami dapat melihat pantai dibom dari tingkap kami. Dia mengambil masa berbulan-bulan untuk meminta saya sekali lagi membawanya ke pantai. Dia baru berusia 3 tahun, dan sudah boleh membezakan bunyi letupan, bunga api dan peluru berpandu. Itulah zaman kanak-kanak mereka; ia bukan zaman kanak-kanak yang sihat. Hanya Tuhan yang tahu apa jenis trauma yang akan mereka lalui sepanjang hidup mereka