Gaza: Pekerja penjagaan kesihatan bergelut dengan kesan kesihatan mental akibat perang yang tidak pernah berhenti
Doktor Palestin Doctors Without Borders berbincang sebelum melakukan pembedahan ke atas mereka yang tercedera akibat perang di hospital Nasser. Wilayah Palestin, 29 November 2023. © MSF
- Kakitangan kesihatan mental Doctors Without Borders di Gaza berkata mereka melihat simptom dalam kakitangan perubatan yang dikaitkan dengan tahap tekanan dan keletihan psikologi yang berterusan ini.
- Intensiti dan pendedahan lama kepada kejadian traumatik ini menghancurkan keadaan psikologi sebahagian rakyat Palestin di Gaza. Ini turut meliputi pekerja penjagaan kesihatan, yang memaklumkan mereka datang bekerja supaya tidak memikirkan tentang perang.
- Serangan Israel di Rafah akan membawa malapetaka dan menyebabkan lebih banyak kematian serta kemusnahan kepada penduduk di Gaza, termasuk pekerja perubatan.
Selepas enam bulan perang yang tidak berkesudahan, pekerja penjagaan kesihatan Gaza terpaksa menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk memberikan bantuan perubatan kepada ribuan orang, sambil cuba untuk terus hidup dan menguruskan kesan dicetuskan akibat perang yang menimpa mereka secara peribadi. Menurut kakitangan kesihatan mental Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), kesan akibat bekerja dalam keadaan melampau akan meninggalkan parut untuk beberapa tahun akan datang.
Beberapa pekerja penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza, Wilayah Palestin yang Diduduki, berkata mereka hidup dalam ketakutan, tekanan dan kebimbangan berterusan ketika mana mereka terus merawat pesakit. Mereka menjelaskan kerap menerima korban dalam jumlah yang besar dengan anggota badan yang hancur serta melecur akibat letupan, selain terpaksa melakukan amputasi tanpa ubat sakit atau bius yang mencukupi. Mereka mengecam kekurangan bekalan perubatan yang mereka perlukan untuk menyelamatkan nyawa, yang disebabkan oleh pengepungan menyeluruh Israel terhadap Gaza pada bulan-bulan pertama perang. Mereka telah meninggalkan hospital yang diarah dikosongkan atau diserang secara paksa oleh tentera Israel, dan membuat keputusan yang tidak dapat difikirkan untuk meninggalkan pesakit demi menyelamatkan nyawa mereka sendiri.
Kakitangan perubatan menanggung beban semasa peperangan
Pakar psikiatri Doctors Without Borders, Dr Audrey McMahon, yang baru pulang dari Wilayah Palestin yang Diduduki, berkata kakitangan perubatan di Gaza sedang bekerja di bawah tekanan psikologi yang mendalam.
“Banyak kali, disebabkan pengeboman atau kerana rasa tidak selamat, kakitangan perubatan terpaksa meninggalkan pesakit. Ramai daripada mereka berkongsi rasa bersalah kerana tidak mampu untuk terus menyediakan rawatan," kata McMahon. "Pada masa lain, rasa bersalah disebabkan membuat pilihan untuk melindungi keluarga mereka terlebih dahulu dan tidak pergi ke hospital untuk merawat pesakit."
Kira-kira 300 kakitangan Palestin Doctors Without Borders berada di Gaza termasuk doktor Ruba Suliman yang bekerja di Hospital Lapangan Indonesian Rafah. Dia terpaksa meninggalkan rumahnya dan tinggal di tempat perlindungan di Rafah, selatan Gaza, bersama suami dan dua anaknya.
Bunyi dron berterusan kedengaran, dan ia tidak pernah jauh dari kami. Kadang-kadang sangat sukar untuk tidur. Saya mempunyai kewajipan moral untuk membantu orang di sekeliling saya dan saya juga mempunyai kewajipan lain untuk menyelamatkan anak-anak saya. Kami masih hidup, tetapi keadaan kami tak okay. Kami penat. Semua orang di sini dalam kehancuran.Dr Ruba Suliman
Pekerja penjagaan kesihatan di Gaza melalui perjuangan sama seperti 2.2 juta orang lain yang tinggal di kawasan terkepung itu. Doktor, jururawat dan responden kecemasan juga kehilangan tempat tinggal mereka; ada yang tinggal di khemah, dan ramai rakan serta ahli keluarga mereka dibunuh.
“Ia bukan sekadar tentang rumah itu sendiri [dimusnahkan di Bandar Gaza, ia adalah tentang kehilangan semua perkara kecil yang menjadikan siapa anda sekarang,” kata seorang doktor warga Palestin di Doctors Without Borders. "Cawan kopi kegemaran saya, gambar ibu saya, kasut yang saya sangat suka."
Kesan psikologi dan korban manusia
Intensiti serta pendedahan yang lama kepada peristiwa traumatik menghancurkan keadaan psikologi sebahagian rakyat Palestin di Gaza. Ini termasuk pekerja penjagaan kesihatan, yang mengatakan mereka datang bekerja semata-mata supaya tidak memikirkan tentang perang. Namun mereka tetap takut apa yang dilihat berlaku kepada pesakit mereka akan turut menimpa diri sendiri atau orang mereka sayangi.
“Pekerja perubatan terus bekerja walaupun di sebalik keadaan emosi mereka, walaupun sentiasa bimbang tentang keselamatan keluarga mereka,” kata Gisela Silva Gonzàlez, Pengurus Aktiviti Kesihatan Mental Doctors Without Borders di Gaza. “Ini meningkatkan tahap tekanan di tempat kerja, yang sudah sangat tinggi dalam konteks ini. Kes setiap pesakit boleh menjadi pencetus emosi bagi pekerja penjagaan kesihatan.”
Pesakit dan orang ramai berlindung hospital Al Aqsa di Kawasan Tengah, Gaza. Wilayah Palestin, 29 November 2023. © MSF
Kakitangan kesihatan mental Doctors Without Borders di Gaza berkata mereka melihat simptom dalam kakitangan perubatan yang dikaitkan dengan tahap tekanan psikologi yang berterusan dan keletihan. Kakitangan mengalami kebimbangan, insomnia, kemurungan, gangguan pemikiran, penghindaran emosi dan mimpi ngeri, yang mana semuanya boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan mental.
Doctors Without Borders sedang cuba menyediakan penjagaan kesihatan mental dengan segera kepada kakitangan perubatan, walaupun masih banyak perlu dilaksanakan untuk meningkatkan sokongan ini. Davide Musardo, Pengurus Aktiviti Kesihatan Mental Doctors Without Borders di Gaza, berkata pendekatan sokongan kesihatan mental untuk profesional perubatan sangat berbeza berbanding pesakit, kerana mereka mempunyai lebih kesedaran tentang kesan kerja mereka.
"Untuk kakitangan kami, kami menyediakan jenis aktiviti berbeza, lebih berdasarkan pengalaman mereka sendiri," kata Musardo. "Ia lebih kepada intervensi psikologi dengan kemungkinan untuk menyatakan kepada profesional lain apa yang mereka alami. Kami cuba memberi mereka perkhidmatan lebih khusus melalui banyak psikopendidikan.”
Peningkatan serangan ke atas Rafah menambah tekanan
Elemen penting diperlukan untuk sokongan dan rawatan psikologi adalah keselamatan – dan dalam persekitaran di mana penjaga sekalipun tidak selamat, adalah mustahil untuk membina daya tahan dan mekanisme mengatasi. Tiada sesiapapun dan tiada tempat yang selamat di Gaza. Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, sejak 7 Oktober, lebih 34,000 orang terbunuh, termasuk 499 pekerja penjagaan kesihatan. Antara mereka termasuklah lima rakan sekerja kami di Doctors Without Borders.
“Apabila kami mengatakan bahawa tidak ada tempat selamat di Gaza hari ini, kami bukan hanya bercakap tentang tembakan,” kata Amparo Villasmil, pakar psikologi Doctors Without Borders yang bekerja di Gaza pada Februari dan Mac.
Tidak ada walay satu pun tempat yang selamat dalam fikiran orang ramai. Mereka hidup dalam keadaan berjaga-jaga yang berterusan. Mereka tidak boleh tidur, mereka berfikir bahawa pada bila-bila masa mereka akan mati; bahawa jika mereka tertidur, mereka tidak akan dapat bertindak balas dengan cepat dan melarikan diri, atau melindungi keluarga mereka.Amparo Villasmil, Pakar psikologi
Villasmil memaklumkan juga bahawa pekerja penjagaan kesihatan dan orang awam sama-sama dihantui dan tertekan dengan prospek serangan Israel yang akan berlaku di Rafah, di mana dianggarkan 1.5 juta orang bersesak dan hidup dalam keadaan yang teruk.
“Pernah sekali, saya menemui rakan sekerja - seorang ahli psikologi - di kawasan tangga. Dia biasanya seorang yang sangat bertenaga dan ceria namun dia menyandarkan kepalanya pada lututnya. Dia hampir menangis dan memberitahu saya betapa letihnya dia,” kata Villasmil, mengenai rakan sekerjanya yang baru mendengar tentang pengesahan serangan ke atas Rafah. “Dia bertanya kepada saya apa yang dia patut lakukan, ke mana dia harus pergi dan bila perang ini akan berhenti. Saya tidak mempunyai jawapan untuk diberikan kepadanya.”
Doctors Without Borders mengulangi gesaannya ke arah gencatan senjata segera dan berterusan untuk mengelakkan lebih banyak kematian dan kemusnahan kepada kehidupan penduduk di Gaza.
Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.