Gaza: “Malam dan siang, apa yang kami lalui adalah menakutkan”
Menara Al-Shorouq tower di Gaza runtuh selepas serangan udara Israeli © Fady Hanona
Pertempuran antara tentera Israel dan kumpulan bersenjata Palestin, terutamanya Hamas, sekali gus tercetus selepas ketegangan berminggu-minggu di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, yang dikuasai secara haram oleh Israel.
Aymen al Djaroucha adalah warga Palestin yang menetap di Gaza selama 20 tahun. Beliau kini Koordinator Projek untuk Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF), dan di sini beliau menceritakan keganasan melampau yang berlaku di kawasan yang terkepung itu.
Saya merasai sendiri serangan Israel yang berlaku sejak itu, pada 2008 dan 2014, namun operasi ketenteraan yang kita lalui hari ini jauh lebih sukar dan lebih menakutkan berbanding apa yang kita lihat sebelum ini.
Serangan berterusan, siang dan malam, mereka tidak pernah berhenti. Semuanya bersasar, jalan raya, rumah, blok pangsapuri, semuanya.
Gaza hanya 40 kilometer panjang, jadi tidak kira di mana bom jatuh, kita boleh dengar letupan sepanjang masa.
Hebatnya pengeboman dan tahap keganasan sama sekali tidak pernah berlaku sebelum ini. Bom datang dari mana sahaja: dari pesawat di langit, kereta kebal di tanah, bot di Laut Mediterranean. Siang dan malam, apa yang kami lalui adalah menakutkan.Aymen al Djaroucha
Blok pangsapuri di Kota Gaza tempat saya tinggal bersama isteri, ibu dan anak-anak saya rosak akibat serangan udara pada Jumaat. Penjaga bangunan menerima panggilan daripada pihak Israel memaklumkan bahawa semua penduduk di bangunan itu perlu berpindah kerana ia akan dibom. Selalunya, kami tahu panggilan ini hanyalah beberapa minit hingga satu jam sebelum bom tiba. Kami berlari menuruni tangga di bangunan lapan tingkat bersama orang lain dalam masa kurang seminit. Saya cuba membawa semua orang ke tempat selamat sejauh mungkin.
Saya masih ingat isteri berkata bahawa dia tidak mahu melihat tempat di mana dia dibesarkan musnah, di mana semua kenangannya tersimpan. Selepas mendengar letupan dan melihat asap, semuanya sudah terbakar. Bangunan itu rosak, banyak pangsapuri musnah dan saya tidak tahu apa lagi yang tinggal di rumah kami. Saya juga tidak tahu sama ada kami akan dapat kembali tinggal di sana lagi.
Aymen Al-Djaroucha, koordinator projek untuk Médecins Sans Frontières (MSF), berdiri di hadapan klinik MSF di Gaza selepas ia musnah akibat pengeboman udara Israel, menyebabkan bilik pensterilan tidak dapat digunakan dan kawasan menunggu rosak. Tiada siapa cedera di klinik kami, tetapi ada yang terbunuh disebabkan pengeboman.
Sejak itu keluarga saya tinggal bersama ibu mertua dan saya pula tidur di pejabat. Saya bekerja pada kebanyakan masa. Saya masih menganggap bahawa saya berada dalam mimpi ngeri.
Banyak keluarga yang tinggal di timur Gaza melarikan diri ke arah barat kerana mereka takut dengan serangan darat Israel. Mereka cuba mencari perlindungan berhampiran al-Shifa, hospital terbesar di Gaza, dan di sekolah-sekolah dikendalikan oleh UNRWA [Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu].
Saya benar-benar terkejut dengan serangan Israel yang berlaku pada malam 15 hingga 16 Mei hanya beberapa meter dari pejabat MSF.
Ia menyebabkan berdozen kematian. Jeritan baik lelaki atau wanita di tengah malam, sungguh menakutkan. Klinik kami juga rosak pada malam sama semasa pengeboman Israel. Mereka yang cedera mengalami keretakan dan luka akibat serpihan bom serta peluru.
Keperluan sangat banyak sekarang, terutamanya dalam pembedahan dan rawatan rapi. Pesakit termasuklah wanita, lelaki, kanak-kanak: tiada sesiapa pun yang terlepas.Aymen al Djaroucha
Rancangan pengusiran keluarga Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur dan kemudian konfrontasi di dalam dan sekitar al-Aqsa mencetuskan letupan ini. Saya melalui Intifada Kedua pada awal tahun 2000-an, dan hari ini keganasan sama sekali tidak berkaitan dengan apa yang berlaku ketika itu, terdapat penggunaan senjata yang meluas. Kini ratusan roket dilepaskan ke Israel, dan Gaza telah diratakan.
Itulah nasib rakyat Gaza. Hanya dalam beberapa tahun kita sudah melalui begitu banyak peperangan dan tidak tahu bila ia akan berhenti, bila akhirnya kita akan dapat menjalani kehidupan normal.
Antara 10 dan 18 Mei 2021, serangan udara dan tembakan Israel membunuh 213 orang, termasuk 61 kanak-kanak, serta mencederakan lebih 1400 yang lain. Seramai 12 orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh di Israel oleh roket dan peluru berpandu dilancarkan kumpulan bersenjata Palestin.