Doctors Without Borders Tarik Perhatian Terhadap Krisis Rohingya Yang Berterusan
@Richard Swarbrick/PRESENCE
Hari ini, Médecins Sans Frontières (MSF)/Doctors Without Borders melancarkan sebuah filem animasi pendek, "Lost at Sea", yang menggambarkan realiti perit dilalui Rohingya ketika mereka cuba mencari tempat selamat - serta cara mereka bertahan.
Filem “Lost at Sea” berdasarkan pengalaman Muhib, seorang lelaki Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar dan melalui perjalanan berbahaya merentasi laut untuk mencari perlindungan keselamatan di Malaysia. Dia terkandas selama lebih dua minggu di atas bot nelayan di Laut Andaman, penuh sesak dengan lelaki, wanita serta kanak-kanak yang turut melarikan diri demi menyelamatkan nyawa mereka. Dia menjadi saksi 27 orang mati di atas kapal. Penumpang tidak ada pilihan kecuali mencampakkan mayat ke laut kerana tiada bantuan tiba. Dalam filem itu, imbasan kembali ibarat mimpi menceritakan kisah Muhib. Dia dihantui lagu dinyanyikan ibunya di Myanmar. Dia cuba mengingati sebab-sebab yang memaksa dirinya melarikan diri di peringkat awal.
“Saya risaukan nyawa saya di Myanmar dan terpaksa mencari perlindungan di negara lain,” kata Muhib. “Ketidakpastian dan ada kalanya dibenci di tempat baharu lebih baik berbanding terkorban di tempat di mana saya tidak pernah dilayan sebagai manusia sejak lahir. Rohingya terdesak untuk mencari keselamatan. Kami tiada tempat untuk pergi. Menaiki bot ibarat terjun ke laut tanpa tahu akibatnya. Anda boleh kehilangan nyawa dengan mudah dalam bot yang tidak dijamin selamat untuk melakukan perjalanan ini.”
“Rohingya yang kekal berada di Myanmar, dan mereka yang melarikan diri ke Bangladesh berjuang untuk terus hidup,” kata Paul Brockmann, pengarah wilayah MSF. “Majoriti besar tinggal di kem berpagar dengan sekatan pergerakan yang teruk, peluang terhad untuk pekerjaan atau pendidikan, dan tanpa harapan untuk masa depan lebih baik. Dengan tahap keganasan ketara di kem Bangladesh dan konflik berterusan di Myanmar, situasi itu memaksa ramai Rohingya membuat pilihan yang semakin terdesak seperti perjalanan laut yang berisiko.”
@Richard Swarbrick/PRESENCE
"Sejak 2017, MSF telah menyediakan konsultasi kesihatan mental kepada lebih 140,000 pesakit Rohingya di Bangladesh," tambah Brockmann. “Kekurangan mata pencarian, kebimbangan tentang masa depan, keadaan hidup yang teruk, halangan untuk mengakses perkhidmatan asas seperti pendidikan formal, serta peningkatan rasa tidak selamat di kem menambah kepada kenangan traumatik tentang keganasan yang mereka alami di Myanmar. Sejak 2021, bilangan yang dirawat di hospital kami di Bangladesh yang cuba membunuh diri meningkat dua kali ganda.”
Sejak pertengahan 2022, keganasan di kem meningkat dengan ketara. Berlaku peningkatan dalam pertempuran bersenjata, pembunuhan serta penculikan dan kami menyaksikan insiden ini menyebabkan kehilangan nyawa yang teruk kepada orang ramai. Pada 2023 jumlah kecederaan berkaitan keganasan yang dirawat MSF meningkat. "Penculikan menjadi biasa sejak dua belas bulan lalu," kata Brockmann. “Ramai individu, terutama kanak-kanak, diculik secara paksa oleh pengedar dan keluarga mereka diperas ugut sama ada untuk membayar supaya mereka boleh pulang ke Bangladesh atau dipindahkan ke Malaysia.”
@Richard Swarbrick/PRESENCE
Beban nasib Rohingya ditambah dengan penafian kewarganegaraan di Myanmar, meletakkan mereka dalam situasi tanpa kerakyatan sah. Salah satu daripada banyak implikasi ketidakwarganegaraan ialah ketidakupayaan untuk mendapatkan dokumen pengenalan dan pasport. Ini bermakna Rohingya tidak mempunyai kaedah dari segi undang-undang untuk menyeberangi sempadan antarabangsa. Lebih memburukkan keadaan, tiada laluan undang-undang yang selamat untuk mereka mendapatkan suaka di rantau ini. Ini menyebabkan mereka tiada pilihan selain melakukan perjalanan berisiko ini dan bergantung kepada rangkaian pemerdagangan manusia yang meletakkan mereka dalam risiko kematian lebih tinggi, keganasan, pemerasan atau serangan seksual.
Selepas diculik dari Bangladesh dan ditahan di Rakhine, ramai Rohingya sebenarnya memilih untuk pulang ke Bangladesh, berbanding meneruskan perjalanan ke Malaysia. Seorang remaja berusia 18 tahun yang diculik secara paksa dan ditahan di Myanmar awal tahun ini menggambarkan perasaannya selepas keluarganya membayar wang tebusan untuk mengembalikannya ke Bangladesh:
Disebabkan keadaan ekonomi dan situasi keselamatan yang lemah di kem Bangladesh, banyak keluarga memaklumkan MSF bahawa mereka merasakan satu-satunya pilihan adalah mengahwinkan anak perempuan dengan lelaki Rohingya di Malaysia. Bagi kebanyakan orang, ini bermakna menyerahkan sepenuhnya keselamatan anak perempuan mereka kepada rangkaian pemerdagangan manusia dan besar kemungkinan tidak akan dapat melihat mereka lagi.
Seorang remaja berusia 19 tahun yang tiba di Malaysia pada 2022 mengimbas kembali: “Kehidupan di kem pelarian sangat mengerikan dan tidak dapat dibayangkan. Ia tidak selamat sama sekali terutamanya untuk wanita. Banyak jenayah berlaku dan ramai telah dibunuh setiap hari. Saya memutuskan untuk meninggalkan kem pelarian Bangladesh untuk mencari pasangan kerana berasa tidak selamat di kem yang sesak itu,” katanya.
Seorang lagi, remaja berusia 17 tahun yang tiba di Malaysia pada Mei 2022 berkata:
Menurut seorang wanita Rohingya berusia 30 tahun yang tiba di Malaysia pada Oktober 2022, “perjalanan dari Bangladesh ke Malaysia begitu sukar, ada yang maut di atas bot, ada yang dibelasah penyeludup manusia. Di Malaysia pula, terdapat risiko ditangkap pihak berkuasa kerana sebahagian kami tidak mempunyai dokumen UNHCR.”
"Rohingya tidak mempunyai tempat untuk pergi," kata Brockmann. "Mereka tidak selamat atau diberikan hak asasi di mana-mana di rantau ini. Penting untuk Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf keterukan krisis pelarian Rohingya dan berusaha ke arah penyelesaian jangka pertengahan yang menghormati hak dan maruah mereka di tempat mereka sekarang sehingga akhirnya boleh kembali ke Myanmar. Rohingya berhak untuk hidup selamat, dengan akses kepada perkhidmatan dan peluang penting. Kami merawat orang yang sakit, namun tanpa perubahan dalam keadaan hidup mereka dan pembendungan yang berterusan, tiada penawar yang boleh merawat apa yang dilalui mereka."