Skip to main content

Memberikan sokongan perubatan dan sanitasi selepas banjir besar di Bangladesh

BDG flooding

Akibat banjir kilat di Noakhali, rumah, tanaman, dan jalan raya telah rosak teruk. Kawasan halaman sebuah kampung di Noakhali ditenggelami air banjir. September 2024.  ©Farah Tanjee/MSF

“Walaupun rumah kami terselamat daripada banjir, kawasan sekelilingnya ditenggelami air, menyebabkan sumber air kami tercemar,” kata Javed, bapa Salman.

Seperti orang lain, keluarga ini terpaksa menggunakan air tercemar untuk minum, yang akhirnya menyebabkan wabak cirit-birit yang meluas. Percubaan awal untuk merawat Salman di rumah dengan ubat dari doktor kampung tidak berhasil, sehingga mereka terpaksa mendapatkan rawatan segera di hospital yang disokong oleh Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF).

Salman

Salman, bayi berusia 14 bulan, mengalami cirit-birit berair akut selepas banjir di daerah Noakhali. Ibu bapanya membawanya ke Hospital Umum Noakhali untuk mendapatkan rawatan. September 2024.  ©Farah Tanjee/MSF

Banjir terburuk dalam dua dekad di Noakhali

Sejak akhir Ogos, Noakhali dan Feni telah dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan, dan banjir kali ini adalah antara yang paling teruk dalam tempoh dua dekad.

"Apabila air banjir mula naik, saya tahu saya perlu pulang ke rumah, walauapa pun berdepan risiko," kata Humayun Ahmed Rifat dari Kampung Kabilpur, Noakhali. “Saya tidak sanggup membayangkan keluarga saya melalui kesusahan dan kehilangan harta benda. Ia adalah perlumbaan dengan masa untuk menyelamatkan apa yang boleh.”

Rifat segera pulang dari Chittagong untuk membantu keluarganya. Ibu dan adik perempuannya terpaksa menguruskan diri sendiri ketika air banjir melimpah ke dalam rumah mereka.

Air banjir merosakkan rumah, ladang, dan infrastruktur. Jalan raya ditenggelami, menyebabkan seluruh komuniti terputus hubungan dan menyukarkan usaha-usaha bantuan. Kerosakan yang berlaku sangat meluas, menyebabkan ribuan orang hilang tempat tinggal dan bergelut untuk meneruskan hidup.

“Banjir bukan sahaja menghanyutkan punca pendapatan  saya tetapi juga menghancurkan harapan saya,” kata Javed. “Saya telah melabur banyak dalam kolam ikan dan sawah padi, tetapi semuanya lenyap dibawa arus banjir. Saya telah kehilangan segala-galanya. Kehilangan kewangan ini sangat menghancurkan, tetapi saya bukan satu-satunya yang mengalami nasib ini.”

flooding

Akibat banjir kilat di Noakhali, jalan raya telah rosak dan ditenggelami air banjir. Penduduk terpaksa menggunakan bot untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. September 2024.  ©Farah Tanjee/MSF.

Isu kesihatan selepas banjir dan sistem air serta kebersihan yang rapuh

Banjir yang melanda telah mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi penyebaran penyakit bawaan air, seperti cirit-birit dan jangkitan kulit. Kekurangan akses kepada air minuman bersih serta kemudahan sanitasi telah memburukkan lagi krisis kesihatan awam. Kanak-kanak, warga emas, dan wanita menjadi golongan paling terdedah semasa kecemasan ini.

Sebagai respons terhadap banjir ini, pasukan Doctors Without Borders telah melancarkan tindak balas kecemasan di Noakhali dari awal September hingga awal Oktober. Mereka memberi tumpuan kepada hasil penilaian yang menekankan keperluan mendesak bagi perkhidmatan perubatan dan sanitasi air.

Jasmine, seorang wanita hamil dari Laxminarayanpur, Maijdee, terpaksa melarikan diri dari rumahnya yang dinaiki air dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas paras banjir meningkat.

“Saya terpaksa bergegas ke pusat perlindungan bersama anak lelaki saya yang berusia tiga tahun,” katanya. “Air naik begitu pantas; kami tidak sempat membawa apa-apa.”

“Apabila pulang ke rumah, saya berdepan dengan cabaran besar untuk tinggal di rumah yang digenangi air. Sebagai wanita hamil, saya cuba berhati-hati, tetapi air tercemar itu telah menjejaskan kesihatan saya,” kata Jasmine. “Saya mengalami cirit-birit dan terpaksa menggunakan tandas yang turut digenangi air beberapa kali.”

Abang Jasmine membawanya ke Hospital Besar Noakhali, di mana dia dimasukkan ke wad kerana keadaannya semakin teruk.

Jabatan pesakit dalam dengan 250 katil di hospital itu sesak dengan lonjakan pesakit yang mengalami cirit-birit akut. Kakitangan hospital, termasuk pasukan perubatan Doctors Without Borders yang menyokong wad kanak-kanak dan dewasa, bertungkus-lumus menangani peningkatan permintaan. Pesakit terpaksa berbaring di lantai dan katil kerana jumlah yang terlalu ramai.

“Hospital itu terlalu penuh sehingga hampir tiada ruang untuk berjalan,” kata Pankaj Paul, timbalan penyelaras perubatan Doctors Without Borders di Bangladesh. “Kebersihan dan tahap sanitasi menjadi isu utama dengan jumlah pesakit dan penjaga yang melampau. Kemudahan ini telah melebihi kapasiti sebenarnya.”

“Apabila kami memulakan tindak balas, fokus utama adalah rawatan. Namun, kami mendapati bahawa ramai pesakit boleh di discaj selepas pemerhatian singkat,” kata Paul. “Untuk mengoptimumkan aliran pesakit dan memastikan kualiti penjagaan, kami melaksanakan sistem triage, membolehkan kami menggunakan sumber yang sediada.

flash flood

Bagi memastikan akses kepada air minuman yang selamat, pasukan air dan sanitasi Doctors Without Borders telah menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman dan membaik pulih telaga tiub yang rosak, serta membersihkan tangki air di hospital bagi menghalang penyebaran penyakit. Pasukan ini turut memberikan latihan kepada penduduk tempatan mengenai cara membasmi kuman pada sumber air dan membaik pulih telaga tiub yang rosak, selain mengedarkan peralatan penting untuk tugas-tugas tersebut. September 2024.  ©Farah Tanjee/MSF.

flashflood

Bagi memastikan akses kepada air minuman yang selamat, pasukan air dan sanitasi Doctors Without Borders telah menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman dan membaik pulih telaga tiub yang rosak, serta membersihkan tangki air di hospital bagi menghalang penyebaran penyakit. Pasukan ini turut memberikan latihan kepada penduduk tempatan mengenai cara membasmi kuman pada sumber air dan membaik pulih telaga tiub yang rosak, selain mengedarkan peralatan penting untuk tugas-tugas tersebut. September 2024.  ©Farah Tanjee/MSF.

hosp

Pasukan perubatan Doctors Without Borders di Hospital Sadar, Noakhali yang mempunyai 250 katil, merawat pesakit yang mengalami cirit-birit berair akut. Untuk mengoptimumkan aliran pesakit dan memastikan kualiti penjagaan, Doctors Without Borders telah melaksanakan sistem triage di kawasan kemasukan hospital. September 2024.  ©Farah Tanjee/MSF.

nurse medication

Seorang jururawat Doctors Without Borders sedang memberikan ubat dan menyediakan seorang pesakit yang menghidap cirit-birit berair akut untuk suntikan salin. Wad cirit-birit untuk orang dewasa di Hospital Besar Noakhali sesak selepas banjir melanda kawasan tersebut. September 2024.  ©Farah Tanjee/MSF.

Antara 5 September dan 4 Oktober, pasukan Doctors Without Borders telah merawat 1,946 pesakit yang mengalami cirit-birit berair akut. Selain itu, 154 sesi promosi kesihatan telah dijalankan di hospital, serta sebuah wad kecemasan untuk pesakit cirit-birit telah didirikan. Kami juga merekrut 24 orang pembersih bagi melaksanakan langkah-langkah kebersihan dan sanitasi yang betul.

Bagi memastikan akses kepada air minuman yang selamat, pasukan Doctors Without Borders telah membasmi kuman dan membaik pulih telaga tiub yang rosak di daerah Noakhali dan Feni, serta membasmi kuman pada tangki air di hospital untuk menghalang penyebaran penyakit.

Dengan sokongan sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan, Doctors Without Borders mengagihkan 1,000 kit bantuan yang mengandungi barangan seperti kelambu, lampu suluh, sabun, serbuk pencuci, lampin pakai buang, berus gigi, ubat gigi, dan tuala wanita di lima lokasi di upazila Kabirhat (bahagian pentadbiran). Di Feni, Doctors Without Borders memberi tumpuan kepada air dan sanitasi dengan membasmi kuman dan membaik pulih telaga tiub. Pasukan air dan sanitasi juga melatih 45 pasukan sukarelawan dalam kerja-kerja pembasmian kuman dan pembaikkan di 45 buah kampung di Noakhali dan Feni.

“Pada permulaan tindak balas kecemasan kami, terdapat lebih 500 pesakit setiap minggu di Hospital Besar Noakhali, tetapi menjelang akhir projek kami, jumlah itu berkurang kepada 300,” kata Niladri Chakma, penyelaras projek kecemasan Doctors Without Borders di Bangladesh. “Apabila kami menyerahkan projek ini kepada Kementerian Kesihatan, kami yakin usaha yang telah kami lakukan di hospital, seperti sistem triage, akan membawa kepada akses kesihatan yang lebih cekap.”

Doctors Without Borders menamatkan intervensi kecemasan ini pada 4 Oktober, namun kami kekal komited untuk menyokong pihak berkuasa negara dan tempatan di Bangladesh ketika bencana alam berlaku, di samping meneruskan kerja-kerja kami di Cox’s Bazar dan Dhaka.

Categories