Skip to main content

Doctors Without Borders desak para kerajan ambil tindakan untuk capai gencatan senjata di Gaza

Destruction in Gaza. Palestine, October 2023.

 

Kemusnahan total di Gaza. Wilayah Palestin, 10 Oktober 2023. © Mohammed Baba

Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) memohon kerajaan untuk melakukan segala yang terdaya bagi memastikan gencatan senjata segera dan berterusan di Semenanjung Gaza. Kami memuji kerajaan Malaysia dan Indonesia yang bersama-sama memainkan peranan sebagai teraju bersama Brunei dalam menyeru supaya permusuhan di Gaza dihentikan secara berkekalan dan penyediaan segera bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan kepada orang awam yang terperangkap dalam konflik.

Walaupun gencatan senjata baru-baru petanda awal ke arah kemanusiaan selepas berminggu-minggu berlarutan keganasan tanpa henti, hakikatnya ia bukanlah penyelesaian dalam apa jua bentuk sekalipun. Sebarang usaha menghentikan seketika keganasan buat penduduk Gaza dialu-alukan, terutamanya jika ia dapat memastikan akses mereka kepada bekalan perubatan, makanan dan air. Namun, memandangkan keperluan yang tidak terkira, gencatan senjata sementara ini tidak cukup untuk mengatur penghantaran bantuan mencukupi bagi memenuhi keperluan yang besar.

Doctors Without Borders terkilan dan terkejut dengan serangan Hamas ke atas orang awam Israel. Sekarang, selepas tujuh minggu, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kengerian dicetuskan Israeal ke atas orang awam Palestin, hasil peperangan dicetuskan tanpa henti dan tidak memilih bulu di Gaza yang dapat disaksikan seluruh dunia.

Israel terang-terangan menunjukkan sikap mereka yang tidak menghiraukan perlindungan kemudahan perubatan Gaza. Kami menjadi saksi ketika hospital bertukar menjadi bilik mayat, dan malah menjadi runtuhan. Mereka dibadai serangan demi serangan, kereta kebal dan senjata api, dikepung serta diserbu, menyebabkan pesakit dan kakitangan perubatan terbunuh. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah merekodkan 178 serangan ke atas penjagaan kesihatan, termasuk menyebabkan 22 kematian dan 48 kecederaan ke atas pekerja kesihatan bertugas. Kakitangan perubatan, termasuk kalangan kami sendiri, benar-benar kepenatan dan kehilangan punca. Mereka terpaksa memotong anggota badan kanak-kanak yang melecur teruk – tanpa bius atau alat pembedahan yang disterilkan. Orang ramai mati akibat kesakitan. Disebabkan pemindahan secara paksa oleh askar Israel, beberapa doktor terpaksa meninggalkan pesakit dan menghadapi pilihan yang tidak dapat dibayangkan: nyawa sendiri atau pesakit mereka. Tiada justifikasi yang boleh difahami untuk tindakan kejam itu.

Doctors Without Borders baru-baru ini menghantar pasukan kecemasan antarabangsa ke Gaza untuk menyokong rakan sekerja Palestin kami dalam memastikan kapasiti perubatan dan pembedahan tersedia di kemudahan kesihatan. Malangnya, aktiviti mereka sangat terhad disebabkan skala korban, kemusnahan infrastruktur, kekurangan bekalan penting seperti bahan api, dan keadaan tidak aman yang berterusan. Kami mahu dan sepatutnya boleh melakukan lebih banyak lagi. Hari ini, ini mustahil, disebabkan pengepungan dan serangan yang tidak putus-putus dilancarkan Israel.

Tiga daripada kakitangan Doctors Without Borders kami terbunuh, dan ramai lagi kehilangan anggota keluarga. Ramai lagi rakan sekerja yang tercedera. Pertubuhan kemanusiaan lain melaporkan puluhan kakitangan mereka terbunuh.

Gaza, di bawah sekatan yang dikenakan Israel sejak 2007, sememangnya ibarat penjara terbuka terbesar di dunia. Sejak permulaan kempen ketenteraannya, kerajaan Israel menguatkuasakan 'pengepungan total' ke atas Gaza, melarang kemasukan air, makanan, bahan api dan bekalan ubat untuk 2.3 juta orang awam yang terperangkap di kawasan itu. Selain itu, sekatan dikenakan ke atas akses kemanusiaan dan turut menghalang bantuan yang sangat diperlukan daripada sampai kepada sesiapa yang memerlukannya. Menyasarkan seluruh populasi kepada hukuman secara kolektif adalah jenayah perang mengikut Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL).

Kami menyaksikan prinsip asas manusia dipermainkan secara terbuka.

Di sebalik dakwaan Israel, serangan habis-habisan yang dilakukan tidak hanya menyasarkan Hamas. Sebaliknya, ia dilancarkan ke atas seluruh Gaza dan penduduknya walau dengan apa jua cara sekalipun. Peperangan sekalipun ada peraturannya, namun Israel jelas sekali menukarnya demi doktrin ketenteraan sendiri berdasarkan ketidakseimbangan. Pada hari-hari awal serangan yang tidak tertanggung ini, jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan bahawa "penekanan" tindak balas yang terang-terangan berlebihan ini adalah terhadap "kerosakan dan bukan ketepatan". Adalah selamat untuk menyatakan bahawa tindakan dilakukan Israel adalah cerminan yang sebenar berbanding kata-kata mereka.

Utara Gaza sedang dipadamkan daripada peta. Sistem kesihatan runtuh. Lebih 14,000 orang terbunuh, separuh daripadanya adalah kanak-kanak, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. Ia satu daripada setiap 200 orang di Gaza. Puluhan ribu cedera. Keluarga sedang menggali keluar individu yang mereka sayang yang sudah mati dari bawah runtuhan. Sekurang-kurangnya 1.7 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Orang awam telah diarah secara paksa untuk bergerak ke selatan, namun Israel juga mengebom kawasan itu. Tiada tempat yang selamat.

Pasukan kecemasan kami di Khan Younis, di selatan Gaza, melaporkan kemasukan besar-besaran mereka yang cedera selepas pengeboman dan serangan udara kuat, termasuk di kem pelarian yang sesak di mana orang ramai hampir tidak dapat bertahan dengan bantuan kemanusiaan yang jarang ada. Jika tidak dibunuh oleh bom, mereka mungkin mati akibat penyakit berjangkit dan kebuluran.

Pasukan perubatan kami di Tebing Barat juga melaporkan serangan terhadap penjagaan kesihatan dengan lonjakan keganasan, penganiayaan dan gangguan, di mana lebih 200 rakyat Palestin dibunuh sejak 7 Oktober, sama ada oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) atau peneroka, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Gencatan senjata berterusan satu-satunya cara untuk menghentikan pembunuhan ribuan lagi orang awam dan untuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan. Doctors Without Borders juga menggesa penubuhan mekanisme bebas untuk mengawasi aliran bekalan kemanusiaan yang mencukupi ke Gaza.

 

Serangan tidak memihak dan berterusan tanpa henti ini perlu berhenti sekarang. Pemindahan secara paksa perlu berhenti sekarang. Serangan ke atas hospital dan kakitangan perubatan perlu berhenti sekarang. Pengepungan dan sekatan bantuan perlu berhenti sekarang. Ia semua PERLU BERHENTI SEKARANG.

Kami menyeru anda untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, dan menggunakan segala cara dalam kuasa anda untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai.

Sekarang masanya untuk (kerajaan) Malaysia memperkukuh seruan untuk menghormati perlindungan terhadap masyarakat awam dan menggunakan pengaruh diplomatik anda untuk meyakinkan Israel bahawa hukuman mati yang dijatuhkan ke atas penduduk Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak dapat dipertahankan.

Kami gesa anda ambil tindakan. Tegakkan kemanusiaan yang kita kongsi bersama.

“Kami telah melakukan apa yang kami mampu. Ingat kami.” Ini kata-kata doktor kecemasan Doctors Without Borders kami pada papan putih hospital Gaza yang biasanya digunakan untuk merancang pembedahan. Apabila senjata menjadi senyap dan skala sebenar kemusnahan didedahkan, adakah anda dan kerajaan anda akan dapat memperkatakan perkara yang sama?

Photo from the Limb Reconstructive Surgery unit of Al-Awda hospital, in northern Gaza, following the strike on 21 November 2023 that killed three doctors, two of them are Doctors Without Borders staff, and injured many others. Palestine, 21 September 2023. © MSF

Gambar dari unit Pembedahan Rekonstruktif Anggota Hospital Al-Awda, di utara Gaza, berikutan mogok pada 21 November 2023 yang mengorbankan tiga doktor, dua daripadanya adalah kakitangan Doctors Without Borders, dan mencederakan ramai yang lain. Palestin, 21 September 2023. © MSF

Will you support our emergency response work?

Help us provide lifesaving medical care during emergencies by making a donation today.