Di hospital Al-Shifa, situasi menjadi semakin teruk
Pesakit di Hospital Al-Shifa. Foto dari 31 October 2023 © Mohammad Masri
Pasukan kami dapat berhubung dengan kakitangan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) yang masih berada di dalam hospital Al-Shifa di bandar Gaza.
Malangnya, keadaan di hospital semakin teruk. Berikut adalah mesej daripada pakar bedah Doctors Without Borders di Al Shifa, yang dirakam pada jam 8:10 pagi pada 13 November 2023.
"Kami tidak ada bekalan elektrik. Tiada air di hospital. Tiada makanan. Orang ramai akan mati dalam beberapa jam tanpa ventilator yang berfungsi.
“Di hadapan pintu pagar utama, ada banyak mayat, ada juga pesakit yang cedera, kami tidak boleh membawa mereka masuk.
"Apabila kami menghantar ambulans untuk mengambil pesakit, hanya beberapa meter jaraknya, mereka menyerang ambulans berkenaan. Ramai orang yang cedera di sekitar hospital, mereka memerlukan rawatan perubatan, kami tidak boleh membawa mereka masuk.
"Keadaan sangat teruk, tidak berperikemanusiaan. Kawasan itu tertutup, tiada siapa tahu tentang kami. Kami tidak mempunyai sambungan internet, anda dapat hubungi saya sekarang, mungkin anda akan mencuba 10 kali sebelum anda dapat hubungi saya lagi."
"Pasukan perubatan bersetuju untuk meninggalkan hospital hanya jika pesakit terlebih dahulu dipindahkan: kami tidak mahu meninggalkan pesakit kami. Terdapat 600 orang yang menerima rawatan pesakit dalam, 37 bayi, mereka yang memerlukan ICU, kami tidak boleh meninggalkan mereka.
“Kami memerlukan jaminan bahawa adanya koridor yang selamat kerana kami melihat beberapa orang cuba meninggalkan Al-Shifa, mereka membunuhnya, mereka dibom, penembak tepat membunuh mereka.
"Di dalam hospital Al-Shifa, terdapat pesakit yang cedera, pasukan perubatan. Jika mereka memberi kami jaminan dan memindahkan pesakit terlebih dahulu, kami akan berpindah."