Di dalam Gaza: "Kekal hidup hanyalah bergantung pada nasib"
Kemusnahan menyeluruh di beberapa kawasan kejiranan Gaza. Wilayah Palestin, Oktober 2023. © Mohammed Baba
November lalu, Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menghantar sepasukan kakitangan antarabangsa untuk menyokong penjagaan pembedahan dan rawatan melecur. Antaranya termasuk Ricardo Martinez, seorang penyelaras logistik yang baru pulang selepas empat minggu berada di Gaza. Beliau berkongsi apa yang disaksikannya di sana.
Kita tahu situasi kemanusiaan di Gaza amat mengerikan. Apa yang anda saksikan secara peribadi?
Pertama sekali, gencatan senjata segera dan berterusan diperlukan di Gaza. Namun saya perlu juga tekankan mengenai masalah kekurangan air dan sanitasi di Gaza. Hingga saat ini, saya pasti bahawa dalam tempoh jangka panjang ia boleh menjadi, berbahaya sepertimana pengeboman, dan membunuh seramai yang mungkin.
Sistem air tidak lagi berfungsi - ia telah pun hancur sepenuhnya. Orang ramai benar-benar terdesak, terpaksa berjuang demi kelangsungan hidup mereka. Paling banyak pun, orang ramai ada satu liter air sehari – itulah bekalan untuk minum, membasuh dan memasak. Hanya ada satu pancuran air mandi untuk 500 orang. Bagi yang dapat mandi dikira bertuah. Di selatan Gaza, pasukan kami mengagihkan 50 hingga 60 meter padu air sehari, namun ini ibarat setitik di lautan.
Penduduk Gaza mengumpul bahan api, yang mana bekalannya sangat rendah di seluruh Semenanjung. Wilayah Palestin, November 2023. © Mohammed ABED
Di selatan Gaza, semua tempat terlalu sesak hinggakan anda berasa seolah-olah berada dalam stadium bola sepak yang sesak. Dengan begitu ramai orang menggunakan beberapa tandas yang sama, serta tanpa bahan api untuk mengepam air, saya melihat sendiri sisa kumbahan mengalir ke jalan-jalan di mana penjual berada, di mana kanak-kanak bermain dan terpercik air hitam yang kotor. Apa boleh anda bayangkan hanyalah kesannya kepada kesihatan orang ramai.
Apa sahaja yang ingin dilakukan, orang ramai perlu merancangnya lebih awal: anda mesti berfikir, merancang serta mengatur, dan kemudian anda akan tahu sama ada anda bertuah atau tidak. Awak ingin ke tandas? Bila dan ke mana anda pergi apabila ratusan orang beratur untuk satu tandas? Saya fikir tidak perlu lagi saya terangkan lebih lanjut bagaimana orang ramai melaluinya.”
Adakah penduduk di Gaza mempunyai bahan api atau bekalan elektrik?
“Di sesetengah tempat, tiada bahan api atau elektrik. Ia memberi kesan kepada segala-galanya. Tanpa bahan api, kilang pengisar tidak berfungsi, jadi tiada siapa yang mempunyai gandum - tiada gandum, tiada makanan. Trak yang datang dari Mesir memunggah bantuan ke dalam trak di Gaza, namun tanpa minyak trak ini tidak dapat bergerak dan mengagihkan bantuan.
Kami telah melihat kehilangan nyawa yang dahsyat disebabkan kekurangan bahan api di hospital, dengan janakuasa tidak berfungsi dan doktor tidak dapat menyelamatkan nyawa orang ramai. Hospital sudah bertukar menjadi kampung, dengan orang ramai menghuni di koridor.”
Laluan di hospital Al Aqsa di Middle Area, Gaza. Wilayah Palestin, November 2023. © Mohammed ABED
Tentera Israel berulang kali mengarahkan orang ramai mengosongkan lokasi di dalam Gaza. Pada 3 Disember, Doctors Without Borders terpaksa menutup kliniknya di bandar selatan Khan Younis selepas arahan untuk mengosongkan kawasan itu. Boleh anda terangkan apa berlaku?
“Tentera Israel mengumumkan arahan pemindahan melalui laman web tentera yang mereka lancarkan pada 1 Disember. Suatu hari satu kawasan pada peta akan diisytiharkan sebagai 'zon merah' - bermakna ia akan disasarkan. Perlu diingat bahawa hampir tiada bekalan elektrik di Gaza, bermakna tiada internet. Bagaimana anda boleh tahu jika anda perlu berpindah keluar?
Kami tahu ia hanya menunggu masa sebelum kawasan di mana kami bekerja akan menerima perintah pemindahan. Kami telah membincangkannya hanya dua atau tiga hari lebih awal. Kemudian, pada 3 Disember, kami terpaksa menutup klinik kami dan meninggalkan Khan Younis. Pagi itu, saya bertanggungjawab ke atas logistik untuk membawa kami beberapa kilometer ke arah barat. Bagi saya, ini hari paling perit yang saya alami sepanjang berada di Gaza.
Saya mula mempersiapkan mengemas kereta, menjaga logistik dan memastikan semuanya sudah siap. Sungguh menyayat hati: melarikan diri dan perlu melihat rakan sekerja dan jiran Palestin yang telah bersama kami sepanjang masa, membantu kami dalam segala-galanya, dan mengetahui bahawa kemungkinan besar saya tidak akan pernah berjumpa dengan mereka lagi. Tidak ada masa untuk berterima kasih kepada mereka semua atas perkara baik yang telah mereka lakukan untuk kami. Sejujurnya, saya malu.
Namun hakikatnya, tiada tempat selamat di Gaza. Saya masih ingat melawat semula tempat bersama rakan sekerja saya Omar, seorang penyelia logistik Palestin, yang telah musnah sejak lawatan kami pada hari sebelumnya. Dia berkata kepada saya: "Lihat ini, Ricardo, kami baru sahaja berada di sini semalam dan lihat runtuhan sekarang." Siapa boleh memberitahu kami untuk tidak pergi ke sana kerana ia akan dibom? Tiada sesiapa. Kekal hidup hanyalah bergantung pada nasib. Ini satu daripada enam tempat berbeza yang dimusnahkan hanya beberapa ketika selepas kami melawatnya - enam tempat dirobohkan sehingga tinggal runtuhan. Sekolah: hilang. Pejabat: hilang. Rumah persendirian: hilang. Loji air: hilang.”
Foto daripada unit Pembedahan Rekonstruktif Anggota Hospital Al-Awda, di utara Gaza, susulan serangan pada 21 November 2023 yang mengorbankan tiga doktor, dua daripadanya kakitangan Doctors Without Borders serta ramai lagi yang cedera. Wilayah Palestin, November 2023. © Mohammed ABED
Apa reaksi penduduk di Gaza terhadap gencatan senjata sementara yang berlaku antara 24 hingga 30 November?
“Saya masih ingat dengan baik saat pemberhentian pengeboman bermula. Pagi itu, ketika waktu menunjukkan jam tujuh, saya mula mendengar nyanyian serta sorakan kegembiraan. Pada hari itu saya menangis akhirnya; Saya menangis kerana melihat mereka sangat gembira. Namun itu hanya bertahan beberapa hari yang singkat. Gencatan senjata berakhir jam 7 malam, dan pada jam 7.03 segala penyeksaan berulang semula.
Untuk tempoh yang singkat, orang ramai dapat melawat keluarga mereka. Ia perkara paling penting untuk semua orang. Ada yang pergi ke utara Gaza dan meluangkan masa untuk menghabiskan beberapa hari bersama orang tersayang.
Pada masa sama, ia belum berakhir sepenuhnya: ada yang lain mengambil peluang untuk mengebumikan mereka orang mati. Ramai yang pergi mengutip mayat yang kelihatan sudah reput di jalanan - ada yang hampir dua bulan. Bolehkah anda bayangkan bau dan kesakitannya?”
Pasukan Doctors Without Borders menyediakan rawatan perubatan kecemasan dan menderma bekalan perubatan kepada hospital dan klinik di Gaza. Bolehkah anda terangkan bagaimana Doctors Without Borders menguruskan pemberian bantuan dalam keadaan ini?
“Apabila saya tiba di Gaza, jelas sekali apa sekalipun impak yang kami alami segala-galanya berpunca hasil usaha kakitangan Palestin kami yang berdedikasi. Sejak hari pertama mereka melakukan segala-galanya untuk terus menyelamatkan nyawa. Mereka benar-benar membawa harapan di tengah-tengah mimpi ngeri.
Kebanyakan kakitangan kami telah berpindah dari rumah mereka dan kehilangan orang tersayang. Malangnya, kekejaman yang berlaku sekarang bukanlah perkara baru bagi mereka - mereka pernah mengalaminya sebelum ini. Mereka tahu mereka boleh mati pada bila-bila masa tetapi mereka masih menyambut anda setiap pagi dengan senyuman. Dan apabila anda bertanya khabar mereka, mereka menjawab: 'Saya tidak apa-apa, saya masih hidup.'
Saya tidak akan lupa saat kami masih bekerja di klinik kami di Khan Younis. Saya akan bangun jam 6 pagi dan pergi ke klinik. Setiap pagi, kakitangan kami Ishaq akan membuka pintu dan menyambut saya dengan senyuman lebar di wajahnya. Saya akan meminta maaf kerana membangunkannya tetapi dia akan meyakinkan saya: ‘Tidak, tidak, Ricardo, saya bangun setengah jam yang lalu. Selamat datang! Saya sedang menunggu awak.'
Seperti Ishaq, ramai kakitangan kami memastikan bahawa kami yang datang dari luar Gaza mempunyai segala yang diperlukan, daripada membantu kami mengecas lampu suluh kami hinggalah mendapatkan makanan dan berasa dialu-alukan. Mereka mengambil berat bukan sahaja terhadap pesakit mereka, tetapi semua orang di sekeliling mereka. Mereka akan memberitahu anda: 'Saya mahu membantu anda - saya mesti membantu anda - kerana saya mahu membantu rakyat saya.'
"Pada masa sama, mereka terus bertanya: 'Mengapa? Apa yang kami lakukan sehingga menerima hukuman ini? Mengapa dunia melupakan kami?'"
Doctors Without Borders telah berulang kali menggesa gencatan senjata segera dan berterusan untuk mengelak lebih banyak kematian di Gaza dan menyeru pihak berkuasa Israel untuk menarik balik pengepungan bagi membolehkan aliran pekerja bantuan dan bekalan kemanusiaan tanpa syarat serta berterusan ke Gaza, termasuk barangan keperluan seperti air dan bahan api. Serangan membabi buta dan tanpa henti mesti dihentikan sekarang. Pemindahan secara paksa mesti dihentikan sekarang. Serangan ke atas hospital dan kakitangan perubatan mesti dihentikan sekarang. Sekatan ke atas bantuan mesti dihentikan sekarang.
Will you support our emergency response work?
Help us provide lifesaving medical care during emergencies by making a donation today.