Tebing Barat: Penduduk Palestin di Hebron hidup dalam ketakutan berterusan ketika keganasan meningkat
Seorang wanita Palestin memeluk erat anak perempuannya. Dia tinggal selama 25 tahun di bandar lama Hebron, satu daripada kawasan dikenakan larangan paling ketat di Tebing Barat, Wilayah Palestin yang Diduduki. Tebing Barat, Wilayah Palestin, Disember 2023. © Laora Vigourt/MSF
“Keadaan teruk berlarutan bertahun-tahun di sini. Askar Israel menggeledah rumah kami siang dan malam, merosakkan dan menangkap tanpa sebarang amaran,” kata Alma*, seorang wanita Palestin dari Hebron, bandar Palestin terbesar di Tebing Barat, di Wilayah Pendudukan Palestin, sambil menggambarkan situasi sejak perang Israel-Gaza meletus pada 7 Oktober.
Pangsapuri Alma di Hebron dimusnahkan askar Israel hanya beberapa hari lalu. “Sejak 7 Oktober, keadaan menjadi lebih teruk, tiada belas kasihan. Orang dalam komuniti saya amat terkesan dan hidup dalam ketakutan yang berterusan,” katanya.
IPeningkatan keganasan serta gangguan oleh peneroka dan tentera Israel
Hebron berfungsi sebagai ilustrasi yang jelas tentang penderitaan rakyat Palestin di bawah pendudukan: iklim intimidasi dan paksaan yang meluas. Realiti harian kehidupan rakyat diterjemahkan melalui sekatan pergerakan, pengusiran paksa dan pemindahan, perobohan rumah, operasi mencari dan menangkap, gangguan persekolahan dan kehadiran berterusan tentera serta peneroka Israel.
Peningkatan perang Israel-Gaza baru-baru ini hanya memburukkan lagi keganasan dan sekatan dikenakan ke atas rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat. Sehingga 2 Januari, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) merekodkan sekurang-kurangnya 198 isi rumah Palestin terdiri 1,208 orang, termasuk 586 kanak-kanak, dipindahkan di tengah-tengah keganasan peneroka dan sekatan akses di Tebing Barat sejak 7 Oktober. Mereka mewakili 78 peratus daripada semua perpindahan yang dilaporkan disebabkan keganasan peneroka dan sekatan akses sejak awal 2023.
Sejurus selepas 7 Oktober, kita sudah dapat melihat bagaimana keadaan menajdi lebih suram. Akses orang ramai kepada perkhidmatan asas, termasuk kedai dan penjagaan kesihatan, dihadkan secara teruk. Penyediaan penjagaan kesihatan juga terganggu. Disebabkan sekatan pergerakan teruk dan risiko keganasan ke atas pesakit dan juga kakitangan perubatan, kami melihat pengurangan 78 peratus konsultasi perubatan dilakukan pasukan kami pada Oktober 2023, berbanding bulan sebelumnya.Simona Onidi, Penyelaras Projek
Bilik darjah ditutup di bandar lama Hebron, Tebing Barat. Dengan peningkatan keganasan dan sekatan pergerakan sejak 7 Oktober, sekolah ditutup dan kanak-kanak Palestin perlu belajar secara dalam talian meskipun tinggal hanya beberapa ratus meter dari bilik darjah ini. Tebing Barat, Wilayah Palestin, Disember 2023. © Laora Vigourt/MSF
Di bandar lama Hebron, terletak di kawasan Hebron dikuasai Israel dikenali sebagai (H2), sekatan masuk dan keluar sangat dikawal rapi dan tidak dapat diramal, memberi kesan kepada segenap aspek membabitkan rakyat Palestin yang tinggal di sana. H2 sudah lama menjadi salah satu kawasan dikenakan dilarang paling ketat di Tebing Barat, dengan 21 pusat pemeriksaan tetap dikendalikan tentera Israel yang mengawal pergerakan penduduk Palestin dan mengenakan halangan ketara kepada pekerja penjagaan kesihatan yang cuba memasuki kawasan itu.
Pada minggu-minggu pertama selepas perang Israel-Gaza, tentera Israel terus menyekat pergerakan, membuka pusat pemeriksaan hanya satu jam pada waktu pagi dan satu jam pada sebelah petang, hanya untuk beberapa hari seminggu. Kadang-kadang, rakyat Palestin tidak dibenarkan meninggalkan rumah mereka selama empat hari berturut-turut, bahkan untuk mengeluarkan sampah atau membuka tingkap mereka.
"Saya tidak dapat membandingkan tahap intensiti hari ini dengan sebelum [perang]. Seolah-olah peneroka dan tentera Israel tidak ada sebarang had," kata Aliyah*, seorang wanita Palestin dari Tel Rumeida di H2.
"Saya hamil dan sebagai contoh, pagi ini, tentera meminta saya melalui mesin x-ray tiga kali [di pusat pemeriksaan]. Saya meminta untuk tidak melalui, demi keselamatan bayi saya, namun mereka tidak akan mendengar - seolah-olah mereka tidak percaya bahawa saya hamil," kata Aliyah.
"Kami semua ketakutan. Orang ramai merasakan situasi di Gaza akan berlaku di Tebing Barat. Apakah kami seterusnya? Kami tidak tahu bila," kata Salma*, seorang lagi penduduk di kawasan H2 di Hebron.
Klinik bergerak Doctors Without Borders dibina di perkampungan kecil Umm Qussa. Tebing Barat, Wilayah Palestin, Disember 2023. © Laora Vigourt/MSF
Sekatan pergerakan kompromi penjagaan kesihatan
Disebabkan gangguan terhadap akses perubatan meningkat sejak dua bulan lalu akibat sekatan pergerakan dan keganasan, pasukan kami secara progresif memperluas tindak balas kami untuk menyediakan penjagaan kesihatan kepada mereka yang tidak dapat sampai ke kemudahan perubatan.
Sehingga November 2023, klinik bergerak Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menambah enam lokasi untuk aktiviti kami, menjadikan 10 kawasan yang meliputi luar dan dalam bandar lama Hebron, begitu juga kampung-kampung terpencil Masafer Yatta di Tebing Barat Selatan. Pasukan klinik bergerak kami menyediakan konsultasi umum, perkhidmatan kesihatan reproduktif, dan sokongan kesihatan mental. Pada November dan Disember 2023, kami melakukan 1,900 konsultasi di seluruh lokasi berbeza ini.
"Mengakses kemudahan perubatan menjadi semakin berbahaya bagi orang ramai dengan peningkatan pusat pemeriksaan dan penguatkuasaan perintah berkurung," kata Juan Pablo Nahuel Sanchez, rujukan perubatan projek Doctors Without Borders di Hebron.
"Pada masa sama, penyediaan perkhidmatan perubatan juga menjadi lebih mencabar bagi organisasi perubatan, kerana sekatan pergerakan menjejaskan keupayaan petugas kesihatan untuk sampai ke kemudahan perubatan. Akibatnya, penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan terganggu," katanya.
Di kawasan H2 Hebron, hanya ada satu kemudahan perubatan dikendalikan Kementerian Kesihatan Palestin untuk pesakit yang mempunyai keadaan akut dan kronik, namun sejak 7 Oktober kakitangan dari Kementerian Kesihatan tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu, menjadikan penduduk dalam keadaan tanpa penjagaan kesihatan. Bagi pesakit yang mempunyai keadaan kronik khususnya, kekurangan susulan untuk memastikan kesinambungan rawatan menjadi kebimbangan utama. Sekarang, tidak ada organisasi lain selain Doctors Without Borders yang boleh beroperasi di kawasan itu.
Tiada kereta, atau ambulans, dibenarkan dalam H2. Apa jadi jika anda hamil dan akan bersalin? Anda perlu berjalan kaki ke pusat pemeriksaan atas bukit dan berdoa agar tentera membiarkan anda lepas dengan mudah. Ia bukan kerana ia [isu] perubatan sehingga menjadikan anda tiba-tiba mempunyai hak.Nadia*, penduduk H2, Hebron.
Di luar bandar Hebron, di padang pasir bergunung yang terpencil Masafer Yatta, di mana orang ramai menerima tekanan luar biasa daripada pihak berkuasa Israel dan peneroka untuk meninggalkan kawasan itu, pengusiran, perobohan rumah dan sekatan pergerakan juga dipergiatkan sejak peningkatan baru-baru ini dan secara drastik menghalang akses orang ramai kepada penjagaan kesihatan.
"Kami menerima pesakit yang tidak berjumpa doktor selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Keadaan paling biasa adalah jangkitan pernafasan dan penyakit kronik. Ubat mahal, tetapi tanpa insurans kesihatan, pesakit tidak mempunyai cara untuk membayarnya," kata Juan Pablo Nahuel Sanchez.
Pada masa sama, perkhidmatan kesihatan mental termasuk pertolongan cemas psikologi, kaunseling dan psikoterapi terus ditawarkan kepada mereka yang terkesan dengan situasi ini. Ahli psikologi kami menyaksikan kemerosotan jelas dalam kesihatan mental penduduk.
Doctors Without Borders memeriksa pesakit di satu daripada klinik bergerak yang dibuka Doctors Without Borders. Tebing Barat, Wilayah Palestin, Disember 2023. © Laora Vigourt/MSF
"Apa yang menarik di sini ialah kita bukan sahaja merawat gangguan tekanan selepas trauma, tetapi trauma yang berterusan. Individu mengalami pendedahan berterusan kepada peristiwa traumatik setiap hari, menjadikannya sukar untuk mencari bantuan," kata seorang ahli psikologi Doctors Without Borders.
Kemerosotan kesihatan mental rakyat bukan hanya memberi kesan kepada mereka yang dapat memahami skop serta kesan keganasan disebabkan pendudukan. Malah bayi dan kanak-kanak menunjukkan gejala kebimbangan, seperti kencing malam, mimpi buruk, dan pengasingan.
"Ia meruntun hati saya untuk membesarkan anak-anak dalam persekitaran ini," kata Aliyah. "Anda tahu apa yang anak perempuan saya beritahu saya pada hari itu? ' Ibu, saya sangat takut' - dan dia baru berusia dua tahun ".
Doctors Without Borders berada di Tebing Barat sejak 1988, dengan aktiviti semasa berada di Hebron, Nablus, dan Jenin. Pasukan kami menjalankan program kesihatan mental dengan aktiviti jangkauan, menyediakan perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan asas melalui klinik bergerak, serta aktiviti pembinaan kapasiti, menawarkan latihan kepada kemudahan kesihatan dan hospital untuk mendepani kes dengan bilangan mangsa yang ramai, tindak balas kecemasan serta triage pesakit.
Sebagai tambahan kepada pengembangan aktiviti perubatan sejak 7 Oktober, pasukan kami meningkatkan aktiviti promosi kesihatan dalam masyarakat, serta pengedaran barangan bantuan, kit kebersihan dan bungkusan makanan kepada penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal, serta penduduk Tebing Barat yang terjejas oleh keganasan dan perpindahan secara paksa.
*Nama orang yang ditemu bual telah diubah dan fakta lain yang mungkin membantu mengenal pasti mereka telah dikeluarkan untuk langkah-langkah keselamatan.