Laporan Doctors Without Borders mengecam "pembunuhan senyap" Gaza
Kakitangan perubatan di Gaza sering bekerja di kemudahan kesihatan sementara, di mana pesakit perlu beratur berjam-jam untuk mendapatkan bantuan. Wilayah Palestin, Mac 2023. © MSF
- Keadaan untuk meneruskan hidup tidak wujud di Rafah. Dengan sistem penjagaan kesihatan yang musnah dan keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan, penduduk di Rafah menghadapi peningkatan risiko wabak penyakit, kebuluran, malnutrisi dan kesan jangka panjang trauma psikologi
- Pasukan kami di lapangan melihat pergelutan cukup besar terpaksa dilalui rakyat Palestin di Gaza kini untuk mengakses rawatan perubatan dan juga memberi amaran mengenai sejumlah besar kematian yang boleh dicegah disebabkan oleh gangguan kepada penjagaan kesihatan kritikal.
Gaza/Baitulmaqdis/Barcelona, 29 April 2024 – Sistem penjagaan kesihatan di Gaza telah musnah, dan orang ramai baik lelaki, wanita serta kanak-kanak berada dalam keadaan berisiko tinggi kerana berdepan dengan kekurangan zat makanan akut dan keadaan kesihatan fizikal dan mental mereka merosot begitu cepat, menurut laporan yang dikeluarkan hari ini oleh organisasi perubatan antarabangsa Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) bertajuk entitled Gaza’s Silent Killings: The destruction of the healthcare system and the struggle for survival in Rafah (Pembunuhan Senyap di Gaza: Kemusnahan sistem penjagaan kesihatan dan pergelutan untuk terus hidup di Rafah).
Lebih enam bulan dibelenggu peperangan di Gaza, kesan kemusnahan melebihi mereka yang terkorban disebabkan pengeboman dan serangan udara Israel. Doctors Without Borders menggambarkan perjuangan cukup besar terpaksa dilalui rakyat Palestin di Gaza hari ini untuk mengakses rawatan perubatan dan memberi amaran mengenai sejumlah besar kematian yang boleh dicegah disebabkan oleh gangguan kepada penjagaan kesihatan kritikal.
"Berapa ramai kanak-kanak telah meninggal dunia akibat radang paru-paru di hospital yang bertahap maksima?" tanya Mari-Carmen Viñoles, ketua program kecemasan Doctors Without Borders.
“Berapa ramai bayi yang meninggal dunia kerana penyakit yang boleh dicegah? Berapa ramai pesakit yang menghidap diabetes tidak dirawat? Bagaimana pula dengan kesan membawa maut akibat penutupan unit dialisis buah pinggang di hospital yang diserang? Ini semua pembunuhan senyap di Gaza yang tidak dilaporkan dalam semua kekacauan ini, berpunca keruntuhan sistem penjagaan kesihatan di seluruh Gaza.”Mari-Carmen Viñoles
Pasukan Doctors Without Borders yang bekerja di Rafah melaporkan bahawa sistem penjagaan kesihatan yang musnah dan keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan juga meningkatkan risiko wabak penyakit, kekurangan zat makanan dan kesan jangka panjang trauma psikologi. Doctors Without Borders memberi amaran bahawa pencerobohan tentera di Rafah, di samping krisis kemanusiaan semasa di Gaza, akan menjadi malapetaka yang tidak dapat dijangka dan mendesak gencatan senjata segera dan berterusan.
Keadaan hidup di Rafah memburukkan lagi masalah kesihatan
Keadaan hidup di Rafah hari ini tidak kondusif untuk kelangsungan hidup, demikian kata laporan Doctors Without Borders, berpandukan kepada data perubatan dan keterangan daripada pesakit. Kekurangan air bersih sangat mendesak untuk tujuan minuman atau mandi, manakala sampah dan kumbahan mentah berlonggok di jalan-jalan di kawasan tanah kecil ini yang kini menampung lebih satu juta orang yang dipindahkan secara paksa dari utara Gaza.
Di hanya dua daripada pusat penjagaan kesihatan utama yang dikendalikan oleh Doctors Without Borders di kawasan Al-Shaboura dan Al-Mawasi, pasukan kami memberikan purata 5,000 konsultasi perubatan setiap minggu, kebanyakannya dikaitkan dengan keadaan hidup dibawah taraf rakyat. Lebih 40 peratus daripada konsultasi ini adalah untuk pesakit yang mengalami jangkitan saluran pernafasan atas. Doctors Without Borders menyaksikan peningkatan jumlah kes yang disyaki hepatitis A. Dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun 2023, kes penyakit cirit-birit yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun adalah 25 kali lebih tinggi berbanding dalam tempoh sama pada tahun 2022. Antara Januari dan Mac 2024, pasukan terbabit merawat 216 kanak-kanak bawah usia lima tahun disebabkan keadaan kekurangan zat makanan akut yang sederhana atau teruk yang hampir tidak ditemui sepenuhnya sebelum konflik semasa.
Seorang ibu memangku bayi kembarnya, yang baru sehari dilahirkan di hospital bersalin Emirati, Rafah. Wilayah Palestin, Mac 2023. © Annie Thibault/MSF
Dengan hospital dipenuhi pesakit trauma, mereka yang memerlukan rawatan perubatan lain, seperti wanita hamil dengan komplikasi dan penghidap penyakit kronik, selalunya tidak dapat menerima rawatan yang mereka perlukan. Di hospital Emirati, di mana Doctors Without Borders menyokong jabatan selepas bersalin, pasukan perubatan bergelut untuk menangani hampir 100 kelahiran sehari, lima kali lebih tinggi berbanding sebelum perang. Di klinik Doctors Without Borders, konsultasi untuk hipertensi, kencing manis, asma, epilepsi dan penyakit barah meningkat apabila pesakit mendapat pemantauan dan ubat. Namun, jika keadaan mereka bertambah teruk dan memerlukan ubat atau peralatan khusus, yang semakin sukar diperoleh di Gaza, tidak banyak boleh dilakukan untuk mereka. Banyak rujukan perubatan di Gaza hari ini ditangguhkan atau tidak dapat dilakukan.
Kesihatan mental penduduk Gaza - termasuk kakitangan perubatan - juga musnah. Kebanyakan pesakit yang tiba di klinik Doctors Without Borders mengalami gejala berkaitan kebimbangan dan tekanan, termasuk keadaan psikosomatik dan kemurungan. Ada juga yang menjaga ahli keluarga yang mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk menggunakan ubat pelali berlebihan untuk memastikan mereka selamat dan mengelakkan pesakit daripada mencederakan diri sendiri atau orang lain, disebabkan kekurangan perkhidmatan khusus yang masih berfungsi di Gaza.
Bagi Doctors Without Borders, cubaan menyokong sistem penjagaan kesihatan Gaza yang musnah amat mencabar disebabkan keadaan yang tidak selamat. Doctors Without Borders juga menghadapi cabaran besar untuk membawa bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza disebabkan penangguhan dan sekatan oleh pihak berkuasa Israel, yang diterangkan secara terperinci dalam lampiran laporan itu.
Sebagai sebuah organisasi perubatan kecemasan antarabangsa, kami mempunyai kepakaran serta cara untuk melakukan lebih banyak lagi dan meningkatkan tindak balas kami. Kakitangan perubatan Palestin berkemahiran tinggi dan hanya perlu diberi kemudahan untuk bekerja dalam keadaan yang boleh diterima dan bermaruah untuk merawat dan menyelamatkan nyawa. Namun hari ini semua ini kekal mustahil. Tanpa gencatan senjata serta-merta dan berterusan serta kemasukan bantuan kemanusiaan yang bermakna, kita akan terus menyaksikan lebih ramai yang mati.Sylvain Groulx, Penyelaras Kecemasan
Doctors Without Borders ketika ini beroperasi di tiga hospital di Gaza: hospital Al-Aqsa (Kawasan Tengah), hospital lapangan Rafah Indonesia dan hospital bersalin Emirati (Gaza Selatan), serta tiga kemudahan penjagaan kesihatan, di Al-Shaboura dan Al-Mawasi, di Rafah. Pasukan perubatan Doctors Without Borders menyediakan sokongan pembedahan, penjagaan luka, fisioterapi, penjagaan selepas bersalin, penjagaan kesihatan primer, vaksinasi dan perkhidmatan kesihatan mental. Bagaimanapun, pengepungan sistematik dan arahan pemindahan di pelbagai hospital mendorong aktiviti kami ke kawasan yang semakin kecil dan mengehadkan keupayaan kami untuk bertindak balas terhadap keperluan orang ramai. Doctors Without Borders juga menyediakan 300 meter padu air bersih sehari di pelbagai lokasi di Rafah dan terus berusaha untuk meningkatkan kuantiti ini. Pada 28 Mac, Doctors Without Borders menyediakan loji penyahgaraman baharu di Al-Mawasi.
Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.