Ebola: Promosi kesihatan penting
Penganjur kesihatan Doctors Without Borders bercakap dengan penjaga kedai di Madudu, berhampiran pusat wabak Ebola di Uganda. Uganda, 2022. © MSF/Sam Taylor
Doctors without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) memulakan misi kecemasan Ebola di Uganda, selepas wabak itu diisytiharkan pada 20 September. Pasukan berkenaan bertanggungjawab menyokong Kementerian Kesihatan (MOH) dalam pengurusan kes serta melaksanakan promosi kesihatan, tonggak utama dalam memerangi penyakit itu. Aktiviti jangkauan digerakkan di Mubende dan Kasanda, di mana kes pertama dikenal pasti pada September, dan kini dimulakan pula di Kampala dan Masaka.
Promosi kesihatan adalah bahagian penting dalam memerangi wabak. Dalam tindak balas Ebola, ia antara tonggak utama untuk menangani wabak itu. Sejak awal, Doctors Without Borders bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Uganda. Doctors Without Borders membina Pusat Rawatan Ebola (ETC) serta Unit Rawatan Ebola (ETU) yang lebih kecil dan menggerakkan aktiviti jangkauan di kawasan di mana virus itu muncul. Pasukan promosi kesihatan memasuki komuniti dan berkongsi maklumat tentang pencegahan serta kawalan jangkitan dengan pekerja kesihatan, ahli komuniti dan pemimpin tempatan serta pengamal perubatan tradisional.
Alunga Tom bertanggungjawab dalam aktiviti jangkauan untuk Doctors Without Borders dalam tindak balas Ebola di Uganda dan komunikasi risiko di Mubende, di mana kes pertama diisytiharkan. Bersama-sama pasukannya terdiri lebih 50 penganjur kesihatan, dia mendekati komuniti untuk menyampaikan mesej yang betul dan tepat pada masanya mengenai virus:
Seperti berlaku dalam kebanyakan wabak, khabar angin tersebar cepat. Regina Kasule Nakabuye antara penganjur kesihatan dalam pasukan Tom. Dia melalui setiap hari, bagaimana sukarnya untuk melawan berita palsu dan menyampaikan mesej kesihatan yang betul kepada masyarakat: “Sesetengah orang takut tetapi yang lain juga tidak percaya bahawa Ebola ada di sana. Terutamanya belia di sekitar Mubende, sebagai contoh, tidak mempercayai maklumat yang mereka dengar.”
Masyarakat di kawasan itu kebanyakannya petani dan mereka bergantung kepada kerja biasa yang dilakukan. Mereka menderita semasa berkurung akibat COVID-19, disebabkan tidak mempunyai pendapatan. "Ada kaitan besar antara COVID-19 dan Ebola kerana orang ramai masih ingat bagaimana keadaannya dahulu dan kini mereka takut ia akan berlaku lagi", jelas Regina. “Namun kami sangat bersabar dengan mereka, dan kami cuba untuk duduk serendah mungkin. Kami menyampaikan mesej dengan cara yang difahami orang ramai. Dan kami terus mengulanginya lagi jika perlu.”
Doctors Without Borders menumpukan langkah intervensi kepada pencegahan penularan wabak dan cuba mengurangkan tempoh masa antara permulaan simptom dikesan dan kemasukan ke kemudahan kesihatan. Projek jangkauan di Mubende memerlukan promosi kesihatan, pencegahan dan kawalan jangkitan, penyiasatan, pengesanan kontak dan memberi sokongan sosial kepada kontak yang perlu mengasingkan diri jika perlu.
Setiap hari, pasukan saya dihantar dalam kumpulan berbeza. Ada yang bekerja rapat dengan kumpulan yang mengesan kontak dan cuba mengtasi penolakan oleh masyarakat. Jika mereka mempunyai maklumat yang betul, kami dapat mengurangkan ketakutan, dan orang ramai lebih telus tentang potensi kontak. Pasukan kedua ditempatkan bersama penyiasat lapangan oleh MOH. Jika terdapat amaran tentang kes yang berpotensi dalam komuniti, mereka melawat tempat itu untuk mengumpulkan butiran.Alunga Tom, Penganjur Kesihatan
- Testimoni seorang yang terselamat daripada Ebola - "Kita perlu dekati orang ramai dan didik mereka ... Anda boleh selamat daripada Ebola."
Pada permulaan, saya dapat rasa suhu badan saya tinggi dan selepas sehari mula mengalami cirit-birit - itu tanda-tanda yang saya lalui. Kemudian saya hubungi ambulans, dan mereka membawa saya ke hospital di mana saya diperiksa. Saya menghidap Ebola.
Saya tidak menjangka ia adalah Ebola. Saya kehilangan ibu dan kami baru mengebumikannya. Selepas itu, saya pergi ke kampung jiran. Saya rasa di situlah saya mendapat penyakit ini.
Apabila sampai di hospital, keadaan saya tidak baik. Orang ramai muntah-muntah, mereka mengalami cirit-birit, yang lain pula kelihatan darah keluar dari hidung, telinga, mata. Ketika itu saya takut saya akan mati.Apa boleh saya katakan ialah penyakit itu adalah benar, dan ia sangat berbahaya. Apabila ia menyerang, anda kehilangan selera untuk minum, malah makan. Ia ada cara untuk memusnahkan badan anda. Anda tidak merasakan apa-apa - anda tidak boleh berjalan, anda tidak boleh duduk. Ia mengambil masa lima hari untuk saya sihat semula.
Ketika di hospital, beberapa orang menghubungi saya dan memaklumkan bahawa doktor akan mengeluarkan organ saya, tetapi saya berkata tidak, itu tidak benar. Orang lain pula menelefon saya dan berkata mereka tidak memberi makanan di sana, bagaimana anda bertahan? Tetapi ia tidak benar. Mereka memberi kami makanan, sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Semuanya percuma.
Suami dan anak saya turut dijangkiti. Ketika mana saya sudah bersedia untuk meninggalkan hospital, mereka membawanya ke sana juga. Jadi saya tinggal di sana lagi selama lima hari bersama anak saya. Sekarang anak dan suami saya juga sihat. Doktor juga merawat mereka. Anak saya kini sihat, dia kembali bermain lagi.
Saya berasa gembira kerana sampai ke rumah selepas lama di hospital. Apabila orang lain mati, anda perlu berasa gembira, apabila anda dapat bertahan. Namun sekarang orang melarikan diri daripada saya apabila kami bertemu di jalanan. Mereka lari kerana fikir saya boleh menjangkiti mereka.Kita perlu dekati orang ramai dan didik mereka. Mereka tidak tahu bagaimana Ebola tersebar. Mereka tidak tahu bahawa jika seseorang menghidap Ebola, itu tidak bermakna mereka perlu mati. Orang boleh sembuh semula. Dan mereka yang menghidap Ebola, sebaik sahaja meninggalkan hospital, mereka ok. Jangan lari, jangan diskriminasi mereka, jangan mengumpat tentang mereka - mereka juga baik seperti anda.
Apa saya boleh kongsi dengan orang ramai: Apabila anda tidak sihat, pergi ke hospital. Keadaan anda akan lebih baik. Anda boleh bertahan dengan Ebola.
Keperluan terhadap maklumat sangat besar, terutamanya jika seseorang menunjukkan simptom Ebola dan perlu dipindahkan: untuk meyakinkan keluarga pesakit, untuk mengelakkan khabar angin serta untuk bersiap sedia dengan pengesanan kontak dengan segera. Selain itu, pasukan ketiga dipanggil 'promotor kesihatan khusus' digunakan jika keperluan khas dikenal pasti semasa aktiviti jangkauan. Keperluan ini boleh jadi dalam bentuk sokongan psikososial atau sokongan sosial sekiranya barangan makanan asas diperlukan dalam isi rumah, contohnya jika seseorang mengasingkan diri selepas dikenal pasti sebagai kontak.
Maklumat diperlukan untuk mencegah Ebola bahkan lebih daripada itu. Mereka yang terselamat berdepan stigmatisasi kuat sebaik mereka meninggalkan ETC atau ETU. Orang ramai takut dengan mereka dan menjaga jarak yang boleh mencetuskan ketegangan dan sering juga membawa kepada peminggiran terhadap mereka yang terselamat. Regina yakin, perjalanan masih jauh