Skip to main content

Ebola di Uganda: "Kita tidak akan pernah tahu segala-galanya tentang teka-teki epidemiologi"

Hygienist is hanging the boots to dry after being decontaminated by hygienists at Mubende Ebola Treatment Center.

Petugas pembersihan menggantung but untuk dikeringkan selepas dinyahjangkit di Pusat Rawatan Ebola Mubende. Uganda, 2022. © Sam Taylor/MSF

Denis Ardiet yang bekerja untuk Epicenter, bahagian epidemiologi Doctors Without Borders. Beliau kini menyelaras satu pasukan terdiri tujuh ahli epidemiologi yang terbabit dalam tindak balas Ebola yang berterusan di Uganda. Tugasnya meliputi analisis teliti tentang situasi epidemiologi dan kemungkinan senario berbeza dalam wabak ini untuk meningkatkan respons Doctors Without Borders dan Kementerian Kesihatan Uganda.

 

 

Apa pakar epidemiologi lakukan untuk membantu membendung wabak Ebola

Semasa wabak, pakar epidemiologi mendokumentasi setiap kes dan kontak mereka untuk susulan mengikut masa dan tempat bagi memastikan pemahaman keseluruhan tentang penyebaran wabak adalah selengkap mungkin.

Tugas ini membabitkan pengumpulan data, penghasilan peta dan lengkung epidemiologi, yang mana semua maklumat itu kemudian dimaklumkan kepada pasukan tindak balas Doctors Without Borders setiap hari.

Penyiasatan menyeluruh terhadap sejarah setiap pesakit ebolavirus mesti dilakukan untuk menghubungkan mereka kembali kepada kes sebelumnya dan untuk menjangka di mana penyakit itu boleh merebak, berdasarkan pergerakan dan kontak terdahulu pesakit itu.

Pakar epidemiologi juga berusaha memahami konteks dan mengumpul data kualitatif tentang persepsi komuniti terhadap langkah pencegahan dan dasar tindak balas wabak. 

Memahami dan mentafsir maklumat ini di peringkat global adalah cara Doctors without Borders membantu menyokong Kementerian Kesihatan Uganda.

Denis Ardiet, Emergency epidemiology coordinator in Uganda Ebola outbreak 2022. Uganda, 2022. © MSF/Patricia Otuka-Karner

Denis Ardiet, Penyelaras kecemasan epidemiologi ketika wabak Ebola Uganda 2022. Uganda, 2022. © MSF/Patricia Otuka-Karner

Apa trend semasa wabak di Uganda?

Dari segi trend, kami melihat dua puncak penting dalam wabak itu. Yang pertama pada September di daerah Mubende yang merupakan pusat pertama wabak ini, manakala satu lagi di daerah jiran Kassanda. Walaupun kes di kedua-dua daerah ini sahaja mewakili 80 peratus daripada semua kes dikesan setakat ini dalam wabak ini, secara keseluruhan sembilan daerah di negara ini terjejas. Dari segi sejarah, ini adalah penyebaran geografi terbesar Ebola Uganda pernah dihadapi.

Selepas peningkatan mendadak kes pada Oktober (86 kes dalam tempoh 4 minggu), wabak perlahan dari segi bilangan kes baharu disahkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini (14 kes dalam 4 minggu pada November). Namun, kami sangat bimbang dengan beberapa kes Ebola yang tidak dikaitkan dengan mana-mana rantaian penularan diketahui - bermakna mereka telah memperoleh jangkitan daripada sumber tidak diketahui pada masa ia ditemui, dan tindak balas tidak dapat meramalkan kes seperti yang sepatutnya melalui pengesanan kontak dan susulan. Ia menyebabkan dua lagi daerah baharu terjejas, Masaka dan Jinja.

Susulan kontak kes amat penting untuk mengawal wabak. Apabila kita dapat mengenal pasti semua orang yang pernah berhubung dengan kes disahkan tepat pada masanya, kita boleh memantau kesihatan mereka dan membantu mereka mendapatkan rawatan dengan pantas di kemudahan kesihatan yang betul sekiranya gejala berkaitan Ebola berkembang. Namun, menurut data Kementerian Kesihatan hanya sekitar 64% kontak kes disusuli di peringkat awal, menunjukkan jurang dalam bahagian penting respons ini. Walaupun trend epidemiologi keseluruhan kini positif, kami tetap prihatin dan berwaspada dengan keadaan semasa.

Apakah kemungkinan senario akan datang? Apa usaha diperlukan?

Tidak ada 'satu cara khusus' dalam perkara ini. Apa-apa pun boleh dianggap mungkin... Senario pertama ialah kita melihat aliran menurun yang berterusan dan tiada lagi kes baharu apabila kita menghampiri penghujung wabak. Senario kedua ialah sesekali kes baharu muncul di sana sini, mungkin di daerah berbeza. Dan senario ketiga ialah terdapat peningkatan dalam kes baharu yang menuju ke puncak penularan yang lain.

Semua senario berbeza ini memerlukan respons operasi yang sepadan daripada pasukan Doctors without Borders serta Kementerian Kesihatan yang bekerjasama rapat dengan kami. Kami sangat bergantung pada data mereka, terutamanya kerana kami tidak menjalankan ujian makmal sendiri atau penyiasatan kes kami sendiri. Bersama-sama kami mengusahakan tindakan pengawasan kesihatan yang penting untuk tindak balas.

Bagaimana cara terbaik Doctors without Borders dapat menyokong pihak berkuasa kesihatan Uganda bergantung kepada keperluan dalam situasi semasa. Kita mesti menilai perkara yang paling berkesan dan kita mungkin beralih kepada pendekatan pasukan tindak balas pantas pada skala lebih kecil. Pendekatan mungkin lebih berasaskan komuniti yang lebih dekat dengan lokasi tempat tinggal pesakit dan bukannya memiliki pusat rawatan besar yang ditubuhkan dalam daerah.

Penting juga untuk memastikan penjagaan bukan Ebola diteruskan di kawasan terjejas dan pengurusan kuratif dan pencegahan kes malaria tersedia, memandangkan gejala awal untuk Ebola dan malaria adalah serupa. Kami menyokong Kementerian Kesihatan dalam mengukuhkan pengesanan kes dan kapasiti pengasingan di kemudahan kesihatan sedia ada supaya mereka boleh bertindak balas dengan segera terhadap sebarang amaran atau kes baharu dan mengurangkan peluang penyebaran lebih luas dengan cepat. Di sisi komuniti, Kementerian Kesihatan mengekalkan pengawasan kesihatan untuk memastikan tiada penularan berterusan. Semua usaha ini mesti dikekalkan dengan berhati-hati sehingga wabak itu diisytiharkan secara rasmi berakhir - selepas 42 hari tanpa kes baharu, atau dua kali tempoh inkubasi ebolavirus selama 21 hari.

Bukan mudah untuk meramalkan berakhirnya wabak kerana anda menangani perkara yang tidak diketahui. Kami tidak pernah mengetahui segala-galanya tentang teka-teki epidemiologi dan kami hanya boleh memastikan kami mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat yang relevan. Kami menyedari keadaan epidemiologi dan kami melihat bahawa lengkungan wabak menurun, yang mana ia suatu yang baik. Namun di sebalik lengkungan ini, mungkin terdapat peristiwa dan maklumat yang kita tidak tahu - dan itulah bahagian sukar untuk didedahkan. Walau apa pun, kita perlu bersedia dan reaktif untuk bertindak balas terhadap sebarang makluman atau kes baharu.

e.

A nurse is safely removing its Personal Protective Equipment (PPE) at Mubende Ebola Treatment Center, after taking care of patients infected with Ebola. Uganda, 2022. © Sam Taylor/MSF

Seorang jururawat menanggalkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) secara selamat di Pusat Rawatan Ebola Mubende, selepas merawat pesakit yang dijangkiti Ebola.  Uganda, 2022. © Sam Taylor/MSF

Apakah penurunan mendadak kes luar biasa dalam wabak Ebola?

Ia bukan suatu yang luar biasa kerana ia telah diperhatikan semasa wabak lain, walaupun ia mengejutkan memandangkan semua elemen tidak diketahui yang bermain dalam wabak Uganda. Penurunan sedemikian mungkin mencerminkan penularan sudah berhenti melalui gabungan beberapa faktor, termasuk tindak balas wabak dan tindakan masyarakat. Wabak ini mengingatkan saya kepada mereka yang berada di Conakry di Guinea pada 2015 atau Beni di Republik Demokratik Congo pada 2020. Pihak berkuasa kesihatan dan rakan kongsi mereka, termasuk Doctors without Borders, juga berdepan kesukaran membuat susulan semua kontak kes ketika itu dan walaupun trend menurun, beberapa kes terakhir muncul secara sporadik selama beberapa bulan.

Penting diketahui bahawa kadar susulan kontak kes awal yang rendah di Uganda sebenarnya bertambah baik sejak beberapa minggu lalu di beberapa daerah. Walaupun ia petanda baik, nampaknya tindak balas sering tertumpu kepada menuntut kepatuhan masyarakat untuk membuat susulan sama ada melalui kuarantin wajib atau pengasingan rumah dan panggilan harian yang boleh menakutkan orang ramai apabila mesej kesihatan yang empati dan komprehensif yang menjelaskan rasional langkah-langkah ini tidak dikongsi. Promosi kesihatan dan aktiviti jangkauan komuniti memainkan peranan penting untuk merapatkan jurang kepercayaan ini dan memastikan orang ramai mempunyai maklumat mencukupi tentang ebolavirus untuk melindungi diri mereka dan komuniti mereka, serta untuk lebih memahami langkah-langkah tersebut.

Biasanya - seperti yang boleh berlaku dalam mana-mana wabak dan seperti yang juga kita lihat dengan COVID-19 - banyak ketakutan melingkari jangkaan terasing daripada keluarga dan rakan anda, diasingkan dan dihantar ke unit rawatan Ebola. Promosi kesihatan dan penglibatan komuniti membantu mengatasi khabar angin dan ketakutan sambil menyokong pencegahan penularan komuniti.

Categories