Skip to main content

Meraikan pemimpin Doctors Without Borders

Ramai wanita yang bekerja dalam banyak projek perubatan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) terpaksa mengatasi pelbagai halangan untuk menjadi pemimpin, termasuk stereotaip berasaskan jantina. Namun mereka menonjol sebagai pembawa perubahan dan pembela dalam Doctors Without Borders serta komuniti mereka, mengubah persepsi tentang wanita dan memastikan suara mereka menyumbang ke arah menjadikan program kami inklusif dan boleh diakses semua.

Lebih 90 peratus kakitangan Doctors Without Borders diambil dalam kalangan tempatan. Daripada pemandu kepada penyelia jururawat hinggalah penyelaras kewangan, pemimpin wanita sangat kritikal demi mengekalkan komitmen Doctors Without Borders terhadap penjagaan berkualiti tinggi, berpusatkan pesakit. Dengan kepemimpinan ditunjukkan wanita, kami boleh memastikan perspektif yang lebih pelbagai serta seimbang tentang segala-galanya daripada aspek reka bentuk program, melalui pelaksanaan peringkat lapangan, hinggalah kepada menetapkan hala tuju masa depan organisasi.

Oleh itu, bagi meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2022, diilhamkan oleh kepelbagaian dan kekuatan individu mereka, kami bertanya kepada beberapa pemimpin wanita kami yang tidak dikenali, "Apakah yang boleh kami pelajari daripada anda?" Inilah apa yang mereka beritahu kami.

Nur Bar, MSF Community Case Worker

© Balvin Kaur/MSF 

Nur Bar Binti Islam, petugas kes kesihatan mental komuniti di Malaysia

Nur Bar Binti Islam adalah seorang wanita Rohingya yang menjadi sukarelawan bersama pasukan rawatan keganasan seksual dengan Doctors Without Borders di Malaysia. Ketika ibu tiga anak berusia 40 tahun itu mula-mula tiba di Malaysia pada usia enam tahun, dia berdepan banyak cabaran berkaitan keselamatan dan perlindungan serta kekurangan akses kepada pendidikan formal.

“Ini peluang saya untuk membantu wanita”

Saya pernah menjadi sukarelawan di klinik bergerak Doctors Without Borders selama empat tahun sebelum menyertai pasukan rawatan keganasan seksual. Skop kerja saya untuk membantu mangsa keganasan seksual yang terselamat yang memerlukan sokongan kesihatan mental dan rawatan perubatan. Kebanyakan yang saya bantu wanita dan gadis, sebahagian mereka mangsa pemerdagangan manusia.

Bagi saya kepemimpinan bermaksud menjadi suara wanita yang ditindas, menjadi suara, menjadi tenaga, menjadi kuasa.

Saya mengenali kebanyakan individu yang saya bantu melalui panggilan telefon, kerana saya sangat rapat dengan komuniti. Saya meminta mereka datang ke klinik Doctors Without Borders di Butterworth, di mana kami akan duduk untuk berbicara tentang apa yang mereka alami, keadaan mereka, keperluan serta kapasiti. Seterusnya, kami akan membincangkan apa yang akan berlaku. Jika mangsa yang terselamat itu memerlukan kaunseling, saya akan merujuk mereka kepada pasukan kesihatan mental. Jika mereka memerlukan rawatan perubatan, saya akan merujuk mereka kepada doktor di Doctors Without Borders. Jika mereka memerlukan tempat perlindungan atau sebarang sokongan lain, saya akan merujuk mereka ke jabatan yang berkaitan.

Bagi saya kepemimpinan bermakna menjadi suara wanita yang ditindas, menjadi suara, menjadi tenaga, menjadi kuasa untuk wanita lain yang sangat memerlukan bantuan kemanusiaan.

penang clinic

Banyak kejadian dalam hidup mengajar saya bagaimana untuk meneruskan kehidupan. Semua ujian ini menguatkan saya. Saya mengalami perceraian yang menyebabkan saya trauma, dan banyak lagi kejadian yang memaksa saya menjadi lebih kuat untuk anak-anak saya.

Keluarga saya tidak pernah menyokong saya dalam membantu wanita lain, yang sangat memerlukan sokongan, untuk menjadi suara mereka kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk meminta bantuan. Banyak perkara yang wanita Rohingya tidak tahu. Saya bertekad mungkin dengan bantuan saya, ramai wanita boleh diselamatkan.

Kita sendiri perlu jadi kuat dan berdikari. Bagi Wanita di luar sana, gandakan usaha anda demi masa depan.”

Di sebalik semua cabaran yang dihadapi, saya sentiasa berfikir bahawa selagi Tuhan memberikan saya tenaga, keberanian dan pengalaman, inilah peluang saya untuk membantu wanita. Sebenarnya, saya bukan sahaja menyokong wanita, tetapi sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Dalam perjuangan menjadi seorang pemimpin, bagi sesiapa sahaja, anda perlu kuat dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi semua cabaran dan bahaya, dan kekuatan ini akan membawa anda ke hadapan dalam perjuangan anda demi bangsa, masyarakat dan generasi akan datang.

Ingatan saya buat wanita di luar sana: Kita sendiri perlu jadi kuat dan berdikari. Kita perlu ada kemahiran, sedikit pendidikan - barulah kita boleh membantu diri kita sendiri. Bagi wanita di luar sana, gandakan usaha anda demi masa depan.

 

Doctors Without Borders menyediakan penjagaan kesihatan kepada pelarian, pencari suaka dan komuniti pendatang di Malaysia sejak 2015. Klinik tetap di Butterworth, Pulau Pinang menawarkan penjagaan kesihatan primer, perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial, membantu 700 hingga 900 pesakit setiap bulan. Kami merujuk 200 pesakit sebulan kepada penjagaan kesihatan menengah atau tertiari. Pasukan Doctors Without Borders juga mengadakan khidmat klinik bergerak mingguan untuk memperluaskan perkhidmatan kepada komuniti di kawasan terpencil di negeri ini. Selain itu, Doctors Without Borders menyediakan sokongan perubatan dan kesihatan mental di tiga pusat tahanan, di mana kebanyakan tahanan adalah pelarian Rohingya.

Rebecca S, Bangladesh

© Farah Tanjee/MSF

Rebecca Smith, pengurus aktiviti perubatan di  Bangladesh

Beliau adalah pengurus aktiviti perubatan di Doctors Without Borders 'Hospital on the Hill' di Cox's Bazar, Bangladesh, yang menyediakan penjagaan kesihatan kepada pelarian Rohingya yang menetap di 23 kem pelarian. Beliau mula bekerja dengan Doctors Without Borders selepas dirinya sendiri menjadi pelarian, melarikan diri daripada konflik di Liberia asalnya dan mencari perlindungan di Côte d'Ivoire (Ivory Coast).

“Ayuh kita lakukannya bersama”

Bagi saya, kerja kemanusiaan sudah bermula pada awal usia. Ketika kanak-kanak, ibu bapa saya menjaga anak yatim, orang lain, kanak-kanak. Dalam komuniti Liberia kami setiap individu akan menjaga seseorang.

"Jadi saya membesar dengan idea ke arah kemanusiaan, dan saya juga membawa idea sama apabila saya membesar."

Kisah saya bermula sejak 1990, sewaktu Liberia terjebak perang saudara. Saya melarikan diri ke Ivory Coast sebagai pelarian dan menjadi sukarelawan klinik di sana, untuk memanfaatkan kemahiran sebagai jururawat bagi membantu orang lain yang turut melarikan diri. Selepas tiga bulan kami didatangi Doctors Without Borders yang sedang membuka pusat untuk merawat kanak-kanak kekurangan zat. Mereka memerlukan petugas kesihatan dan saya dicadangkan oleh klinik, jadi selepas bertemu Koordinator Lapangan dan melepasi ujian saya diambil bekerja sebagai pembantu nutrisi. Inilah pertemuan pertama saya bersama Doctors Without Borders.

Selepas program berkenaan ditutup disebabkan konflik memuncak, Doctors Without Borders memindahkannya ke tenggara Liberia, berdekatan kampung kelahiran saya, dan saya bekerja dengan mereka di hospital sama di mana saya ditugaskan selepas menamatkan latihan jururawat. Doctors Without Borders membaik pulih hospital itu, yang mengalami kerosakan ketika perang, dan selepas enam bulan saya dilantik sebagai penyelia projek berkenaan.

Rebecca Smith (third from left) discusses operations with her staff.

Malangnya, pemberontakan berulang memaksa kami kembali ke Ivory Coast, meninggalkan segalanya di belakang. Namun Doctors Without Borders membuka hospital lain di Monrovia, ibu negara, dan ketika di kem pelarian saya menerima surat mengatakan Doctors Without Borders sedang mencari saya. Saya dilantik sebagai penyelia kepada jabatan surgeri dan bekerja di sana selama lima tahun.

Pada 2010 saya menerima tugasan antarabangsa pertama saya ke Yaman. Sejak itu saya bekerja bersama Doctors Without Borders di Sudan Selatan, Nigeria dan Kenya. Saya kembali ke Liberia ketika krisis Ebola, dan pada April 2020 saya membantu kempen kesedaran komuniti berkaitan COVID-19 dengan mengedar sabun pencuci tangan dari rumah ke rumah. Ketika pandemik saya berada di rumah menunggu krisis itu berakhir, dan apabila peluang tiba untuk ke Bangladesh, saya ditanya sama ada saya bersedia untuk ke sana. Saya katakan ya.

Sekarang ini peranan saya adalah mengetuai doktor perubatan, aktiviti kejururawatan, para penyelia pasukan jururawat, jabatan kecemasan, unit rawatan rapi, wad umum, wad pengasingan dan makmal. Saya menguruskan para penyelia untuk semua bidang itu dan memantau pengurusan keseluruhan hospital.

"Sebagai seorang ketua saya berdepan banyak cabaran - anda perlu menerima cabaran; jika tidak, maka ia tidak berbaloi. Dalam kepemimpinan anda perlu ada kesabaran, anda perlu mampu bertoleransi sesetengah perkara, dan anda perlu memiliki telinga yang bagus mendengar."

Di sesetengah negara suara wanita paling akhir sekali didengari, atau tidak didengar langsung. Apabila anda menjadi pemimpin ia cukup mencabar, kerana kadang kala mereka tidak akan buat apa yang anda minta mereka lakukan. Kadangkala ada juga sikap stereotaip - bahawa seorang wanita sepatutnya berada hanya di tempat tertentu, hanya memasak. Kita sepatutnya cuba keluar daripada sikap sebegitu.

"Menjadi seorang wanita, menjadi seorang pemimpin, anda perlu jadi kuat untuk melalui semua kesukaran ini. Saya tahu untuk ke depan ia akan bertambah baik, namun ia proses yang beransur-ansur. Kita perlu tabah, kita tidak seharusnya patah semangat, kita harus lakukan juga apa yang kita dipertanggungjawab untuk lakukan. Kita datang untuk membantu - jadi ayuh kita lakukannya bersama."

 

Daerah Cox’s Bazar di Bangladesh menempatkan pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan bersasar di Rakhine, Myanmar sejak 1978. Sekitar 860,000 pelarian Rohingya tinggal di kawasan seluas 26 kilometer persegi ini. Tindak balas Doctors Without Borders di Cox’s Bazar hari ini bermula sejak 2009 dan kini, ia meliputi sembilan fasiliti kesihatan di serata daerah Cox’s Bazar, termasuk tiga hospital dan tiga klinik yang mengkhususkan penjagaan kesihatan primer.

fikile driver eswatini

© Makhosazana Xaba

Fikile Ngwenya, pemandu lapangan di Eswatini

Ketika Fikile Ngwenya diambil bekerja sebagai pemandu lapangan untuk Doctors Without Borders di Shiselweni, Eswatini, dia sangat teruja. Dia berdepan banyak pertanyaan dan kritikan sebagai seorang wanita dalam pekerjaan bukan tradisional ini, namun dia gembira menjadi contoh teladan yang meyakinkan untuk komunitinya.

“Kepada wanita: Pergi ke sana, lakukannya!”

Selepas suami saya dipindahkan ke wilayah Shiselweni, saya mencari pekerjaan. Saya sering melihat van ini lalu lalang di bandar. Kemudian seorang rakan memberitahu saya bahawa organisasi ini [Doctors Without Borders] mengambil orang bekerja sebagai pembantu rumah, kerani data dan pemandu. Jadi, saya menulis tiga permohonan!

Saya mendapat panggilan daripada pejabat bahawa saya mesti datang untuk temuduga menjadi pemandu. Saya sangat, sangat gembira kerana saya tahu saya mendapat pekerjaan! Saya begitu yakin bahawa saya boleh melakukannya.

Saya orang terakhir ditemuduga. Saya mendengar seseorang bertanya: 'Kenapa kali ini seorang wanita?'

Kami memandu ke bandar dan melakukan temu bual teori. Selepas sehari mereka memanggil saya untuk datang dan bekerja. Saya tahu memandu. Anda memberi saya 'hardtop' saya memandunya; anda berikan saya Avanza, saya pandunya. Saya tidak stress. Apabila sampai, saya periksa kereta saya, saya pastikan minyak, air, semuanya okey. Saya memeriksa kebersihan kereta saya. Apabila seseorang menaiki kereta saya, mereka mesti tahu bahawa kereta yang saya pandu adalah kereta wanita. Ia mesti sentiasa bersih.

MSF field driver Fikile Ngwenya checks her vehicle fastidiously before heading out each morning. © Makhosazana Xaba

Apabila kami masuk ke dalam komuniti itu, mereka menghargai saya. Mereka berkata kepada saya, 'Kamu, kamu perempuan! Kamu memandu kereta yang begitu besar’ setiap hari. Mereka berkata, ‘Organisasi ini membantu kami; ia membantu kami bersama saudara-mara kami'; mereka menghargai Doctors Without Borders. Saya belajar banyak tentang organisasi ini [melalui kerja mereka] berkenaan HIV dan TB. Sekurang-kurangnya sekarang saya tahu apa itu HIV dan cara anda merawatnya serta cara anda mencegah HIV dan TB.

Namun sebagai seorang wanita saya menghadapi banyak cabaran. Malah orang yang saya bawa, mereka kadang-kadang memperlekehkan saya. Dan dengan cara itu, saya rasa seperti mereka mencari salah saya, mereka menjadikan saya kuat dengan memperlekehkan saya. Ia tidak memberi tekanan kepada saya.

Kita berbeza, mana mungkin kita semua menjadi doktor dalam dunia ini, kita jenis manusia yang berbeza. Setiap seorang memiliki kelebihan unik mereka sendiri.

Saya teringat satu ketika sewaktu saya mula bekerja dengan Doctors Without Borders, ada seorang lelaki lain bekerja di pejabat. Dia bercakap dengan seseorang, dia tidak melihat saya, dan dia berkata: 'Saya tidak akan pernah menaiki kereta dipandu seorang wanita'.

Beberapa ketika kemudian saya perlu memandunya ke pekan. Kemudian saya bertanyakan kepadanya, 'Masih ingat apa kamu kata. Sekarang macam mana?'

Di rumah saya seorang isteri dan ibu. Saya mempunyai cucu. Saya seorang wanita, saya seorang pemandu. Saya tidak mempunyai masalah dengannya. Kami berbeza, mana mungkin kita semua menjadi doktor dalam dunia ini, kita jenis manusia yang berbeza. Setiap seorang memiliki kelebihan unik mereka sendiri.

Kepada wanita di luar sana, jangan takut menjadi seorang wanita dan bekerja. Jangan takut apa-apa dan lakukannya dengan hati yang gembira. Kepada wanita, yang muda, mereka mesti melakukan apa sahaja yang mereka hadapi. Walaupun ia dianggap kerja lelaki. Pergi ke sana dan lakukannya,dengan yakin.

Jangan takut menjadi seorang wanita dan bekerja.

 

Sekitar satu pertiga daripada individu dewasa di Eswatini (dulu dikenali Swaziland) kini hidup dengan HIV, dan kebanyakan mereka dijangkiti bersama dengan tuberkulosis. Doctors Without Borders menyokong Kementerian Kesihatan dengan berusaha mengurangkan penularan penyakit ini dan menambah baik rawatan. Pandemik COVID-19 telah menjejaskan kehidupan pesakit HIV, tuberkulosis dan penyakit tidak berjangkit dengan teruk.

Midwife Activity Manager Fatmata Sumaila

© Melissa Perry/MSF

Fatmata Jebbeh Sumaila, pengurus aktiviti perbidanan di Selatan  South Sudan

Fatmata Jebbeh Sumaila adalah pengurus aktiviti perbidanan Doctors Without Borders di Jonglei, Selatan Sudan. Selepas bekerja selama 17 tahun bersama Doctors Without Borders di negara kelahirannya, Sierra Leone, dia mula melebarkan karier antarabangsanya beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bersama kita lebih kuat”

Mesej saya ialah wanita perlu menggalakkan satu sama lain, berkongsi peluang dan membentuk komuniti wanita yang kuat dengan memperkasakan satu sama lain. Jika anda seorang wanita dalam posisi kepemimpinan, ambil wanita lain dan sediakan peluang latihan untuk wanita. Kerana bersama kita lebih kuat.

Saya mula bekerja bersama Doctors Without Borders sebagai bidan di negara saya, Sierra Leone, pada 2003, kemudian menjadi penyelia bidan. Setiap kali kakitangan antarabangsa datang ke negara saya, mereka akan berkata: 'Fatmata anda tidak sepatutnya bekerja sebagai bidan lagi di negara anda, anda sepatutnya bekerja di peringkat antarabangsa bersama Doctors Without Borders.’

Fatmata Sumaila in the maternity department in Lankien, South Sudan, where she works as Midwife Activity Manager

Namun saya tidak pernah tahu bagaimana untuk melakukannya, dan tiada siapa yang pernah menerangkan kepada saya cara melakukannya sehingga saya bertemu dengan salah seorang penasihat kesihatan wanita Doctors Without Borders, Claire. Claire bertanyakan kepada saya apa sebenarnya impian saya, jadi saya memberitahunya bahawa saya mahu menjadi pekerja lapangan antarabangsa sepertinya. Dengan bimbingan beliau, saya mula berusaha ke arah itu, pertama dengan mempelajari cara menulis [dokumen rasmi seperti] laporan morbiditi dan kematian serta laporan insiden. Kemudian saya akhirnya memohon dan terpilih untuk jawatan.

Tugas saya sebagai pengurus aktiviti perbidanan antarabangsa melibatkan bantuan dalam kes rumit, sama ada dalam rawatan bersalin atau rawatan seksual serta keganasan berasaskan jantina [SGBV]. Saya juga menyediakan latihan kepada kakitangan mengenai kelahiran rumit, dan saya bertanggungjawab untuk keseluruhan perancangan, pemantauan serta penilaian aktiviti kesihatan seksual dan reproduktif.

Sebagai pemimpin, saya perlu menunjukkan contoh kepada pasukan saya dengan melakukan kerja secara 'hands-on', selain menyediakan latihan sambil bekerja untuk ramai kakitangan junior dalam semua aspek kesihatan seksual dan reproduktif serta aktiviti SGBV.

"Saya memberi inspirasi kepada kakitangan dengan bercerita kepada mereka bagaimana saya menjadi seorang bidan, dan dengan melakukannya mereka merasakan terdorong, dan sekarang sesetengahnya berada di sekolah belajar perbidanan serta kolej kejururawatan berdaftar dengan negeri. Saya jelaskan bahawa untuk mencapai cita-cita dalam hidup atau kerja anda perlukan tumpuan dan kerja keras."

Saya menyasarkan untuk menjadi pembawa perubahan di tempat kerja saya dengan menyediakan sistem serta proses yang lebih baik. Saya juga menyedarkan kakitangan saya tentang kepentingan pengurusan masa, serta memperkenalkan pemberian tugas lebih cekap untuk memastikan penjagaan berkualiti bagi pesakit kami.

Saya pernah menghadapi cabaran sebagai seorang wanita, seperti kelompok lelaki mengabaikan pendapat saya, serta perselisihan faham dengan wanita lain. Saya mengatasi cabaran ini dengan menjadi komunikator yang baik, dan bercakap tentang kepentingan hak yang sama untuk kedua-dua jantina, serta menghormati semua orang dan idea mereka.

Selepas bekerja di Sierra Leone, Bangladesh dan kini Selatan Sudan, saya melihat bahawa ramai wanita rapuh dan tidak mempunyai suara untuk bersuara. Ini mendorong saya bekerja untuk mereka dan membantu mereka bercakap dengan lantang tentang masalah mereka, dengan memberi mereka latihan tentang hak wanita.

"Hari Wanita Antarabangsa adalah hari khusus untuk mengiktiraf dan menghargai wanita seluruh dunia atas sumbangan mereka lakukan setiap hari kepada masyarakat. Ia adalah hari untuk menyeru ke arah tindakan mempercepatkan persamaan jantina, meraikan pencapaian wanita dan meningkatkan kesedaran tentang kesaksamaan wanita."

Seperti mana Claire lakukan untuk saya, saya kini berusaha menggalakkan wanita lain dengan membina harapan mereka, dan berdiri untuk wanita lain.

 

Projek Penjagaan Kesihatan Jonglei ditubuhkan pada 1993 untuk bertindak balas terhadap wabak kala azar. Projek ini berkembang untuk ditempatkan di dua daerah, dan termasuk satu-satunya pusat rujukan kedua untuk daerah Nyirol dan Uror. Ia juga termasuk jabatan pesakit luar di Lankien, Nyirol, klinik penjagaan kesihatan utama di Pieri, Uror, dan lima pusat penjagaan kesihatan berasaskan komuniti untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk yang tinggal jauh daripada struktur penjagaan kesihatan utama.

shorouq social worker palestine

Shorouq Madmouj, petugas sosial di Palestin

Petugas sosial Shorouq Madmouj bekerja bersama Doctors Without Borders di Nablus, Palestin. Sebagai seorang wanita, dia sudah terbiasa dipandang rendah. Lama kelamaan, walaupun mengalami kecacatan penglihatan, dia melayani komunitinya yang dilanda konflik dengan penuh belas kasihan; dan kini dia diberi ganjaran dengan kepercayaan mereka.

“Jangan biarkan mereka menghentikan anda”

Sebagai seorang wanita saya rasakan orang ramai memandang rendah saya. Mereka lihat kepada saya dan berkata: 'Dia tidak boleh lakukannya. Siapa dia?'

Bekerja dengan manusia adalah minat saya dalam hidup. Sebagai pekerja sosial, saya boleh membantu orang ramai dalam satu cara. Cabarannya ialah untuk mencari cara mengetuk pintu apabila anda tahu kunci untuk orang ini - bagi meyakinkan mereka untuk mendapatkan bantuan.

Sebagai rakyat Palestin, saya bekerja dengan mereka yang mengalami kesan pendudukan [di Tebing Barat]. Saya juga menderita akibat pendudukan itu. Saya hidup dalam komuniti ini, saya mempunyai perasaan saya, saya takut, saya seperti mereka. Kadang-kadang apabila bekerja dengan pesakit yang menderita akibat sesuatu [ia membantu apabila] anda sendiri telah mengalaminya.

Apabila saya menerima panggilan telefon daripada seorang bapa, saya berasa bangga kerana ini adalah sebahagian daripada perubahan itu hari ini. Mereka memanggil kami kerana mereka mempercayai kami.

Ketika kami memulakan kerja di lapangan pada 2004, kami melakukan lawatan rumah dalam masyarakat. Kebanyakan tugas kami adalah menerangkan tentang Doctors Without Borders, siapa kami, tentang kesihatan mental dan perkara yang dilakukan oleh pekerja sosial dan ahli terapi. Kebanyakan pesakit kami pada masa itu adalah kanak-kanak dan wanita; kebanyakan kes kami datang dari ibu yang meminta bantuan untuk anak mereka.

Hari ini, pada 2022, kami menerima banyak panggilan daripada pesakit, dan banyak organisasi menghubungi kami untuk merujuk pesakit kepada kami. Sebelum ini, kami keluar untuk jumpa dengan orang; hari ini mereka pula datang kepada kami. Kini kami mempunyai senarai menunggu pesakit wanita dan kanak-kanak, serta pesakit lelaki yang meminta bantuan. Sekarang kami ada bapa yang memanggil kami untuk meminta bantuan untuk anak mereka.

Social worker Shorouq Madmouj works with Médecins Sans Frontières in Nablus, Palestine

Apabila saya menerima panggilan telefon daripada seorang bapa, saya berasa bangga kerana ini adalah sebahagian daripada perubahan itu hari ini. Mereka memanggil kami kerana mereka mempercayai kami. Mereka memberitahu orang lain bahawa Doctors Without Borders boleh membantu mereka. Kadang-kadang mereka menghubungi saya untuk memberitahu saya: ‘Shorouq... mereka memberitahu kami anda sahaja yang boleh membantu kami.’ Ini menyebabkan saya merasakan bahawa orang ramai tahu apa itu Doctors Without Borders; mereka tahu kami boleh membantu. Inilah perubahan yang dapat kita lalui.

Apabila anda ingin mengubah sesuatu, anda harus bermula dengan diri anda sendiri. Untuk mampu berubah bermaksud apabila anda membantu orang lain, mereka juga boleh diubah.

Bagi saya, kepemimpinan bermaksud memahami dan mendengar orang lain. Untuk mengetahui dengan tepat cara anda boleh membantu atau cara menguruskan mereka. [Tetapi] apabila anda ingin mengubah sesuatu, anda harus bermula dengan diri anda sendiri. Untuk mampu berubah bermaksud apabila anda membantu orang lain, mereka juga boleh diubah.

Sebagai seorang wanita yang mengalami kecacatan penglihatan selama lebih 20 tahun, saya masih berfikir dan berkata kepada diri sendiri, ‘anda sedang berfikir, itu bermakna anda berada di sini’.

Kecacatan fizikal bukanlah mudah. Dan bagi saya, kecacatan adalah bagaimana anda memikirkannya lebih daripada dalam badan. Tetapi, jika anda mempunyai sejenis kecacatan, anda mempunyai kuasa lain yang lebih tinggi untuk meneruskan dan mengurus lebih banyak daripada orang lain yang tidak mempunyai sebarang kecacatan.

Mesej saya kepada wanita adalah: jangan biarkan kecacatan fizikal menghalang anda!

 

Doctors Without Borders menyediakan bantuan perubatan dan psikologikal kepada mereka yang terkesan dengan konflik di Palestin disebabkan pendudukan berterusan di Tebing Barat dan pengepungan Semenanjung Gaza. Pandemik COVID-19 memburukkan lagi krisis kesihatan di Palestin.