Satu daripada empat kanak-kanak di kawasan barat laut Nigeria mengalami malnutrisi
Seorang ibu menjaga anaknya di ITFC, Hospital Besar Zurmi, Negeri Zamfara, Barat laut Nigeria. Mei 2024. © Abba Adamu Musa/MSF
-
Saringan besar-besaran untuk kekurangan zat makanan yang dijalankan oleh Doctors Without Borders bersama Kementerian Kesihatan mendapati satu daripada empat kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami kekurangan zat makanan.
-
Keadaan ini yang amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa kesihatan, organisasi antarabangsa, dan penderma.
-
Fasiliti kesihatan perlu diperluaskan untuk menampung jumlah kanak-kanak yang memerlukan rawatan, dan bekalan makanan terapeutik sedia guna (RUTF) mesti dihantar secukupnya.
Satu daripada empat kanak-kanak di bawah umur lima tahun didapati mengalami kekurangan zat makanan di kawasan Shinkafi dan Zurmi, Negeri Zamfara, Nigeria, menurut satu saringan besar-besaran yang dijalankan pada Jun lalu oleh Doctors Without Borders bersama Kementerian Kesihatan. Daripada 97,149 kanak-kanak yang disaring di 21 lokasi bandar dan luar bandar, 27 peratus didapati mengalami kekurangan zat makanan akut, dengan lima peratus daripada mereka mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk.
Angka ini jauh melebihi tahap 'kritikal' yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kelaziman kekurangan zat makanan. Doctors Without Borders menggesa pihak berkuasa kesihatan, organisasi antarabangsa, dan para penderma untuk segera meningkatkan usaha mereka dalam menangani krisis kekurangan zat makanan yang semakin meningkat di negeri Zamfara dan seluruh kawasan barat laut Nigeria – sebuah kawasan yang masih belum termasuk dalam Pelan Tindakan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Saringan yang diadakan pada bulan Jun lalu di kawasan Shinkafi dan Zurmi juga menunjukkan bahawa kira-kira 22 peratus kanak-kanak yang disaring mengalami kekurangan zat makanan sederhana. Pada masa ini, bekalan pemakanan yang penting untuk merawat kanak-kanak ini, yang dikenali sebagai makanan terapeutik sedia guna (RUTF), tidak tersedia kerana UNICEF telah menghentikan bekalan tersebut pada awal tahun ini. Kekurangan tindak balas kemanusiaan dalam merawat mereka yang mengalami kekurangan zat makanan sederhana di barat laut Nigeria ini menjejaskan nyawa kanak-kanak yang, tanpa rawatan segera, akan mengalami kekurangan zat makanan akut yang mengancam nyawa serta menjejaskan kesihatan jangka panjang mereka.
"Keputusan saringan dari Shinkafi dan Zurmi amat membimbangkan, mendedahkan krisis kekurangan zat makanan yang dahsyat di seluruh Barat Laut Nigeria," kata Abdullahi Mohammad, wakil Doctors Without Borders di Nigeria.
Tindak balas terhadap bencana ini amat tidak mencukupi. Dengan kadar kekurangan zat makanan yang melonjak melepasi tahap kritikal dan tiada rawatan segera untuk kekurangan zat makanan sederhana selain daripada di fasiliti Doctors Without Borders, kita seolah-olah membiarkan lebih ramai kanak-kanak jatuh ke dalam keadaan yang mengancam nyawa. Adalah penting kita memastikan setiap kanak-kanak mendapat rawatan perubatan yang mereka perlukan dengan segera.Abdullahi Mohammad, wakil di Nigeria
Doctors Without Borders kini mengendalikan empat fasiliti pesakit dalam dan 17 fasiliti pesakit luar di Shinkafi, Zurmi, Gummi, dan Talata Mafara di negeri Zamfara, yang terjejas teruk akibat kekurangan zat makanan. Di semua empat fasiliti pesakit dalam, pasukan Doctors Without Borders telah merawat lebih daripada 7,000 kanak-kanak dari Januari hingga Julai 2024. Angka kemasukan ini adalah 34 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama pada 2023. Di Shinkafi dan Zurmi, di mana saringan kekurangan zat makanan baru-baru ini dijalankan, peningkatan kemasukan adalah 50 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Di fasiliti perubatan di Gummi, kemasukan pada Julai 2024 hampir dua kali ganda berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Di samping peningkatan ketara dalam kemasukan pesakit kekurangan zat makanan, pasukan Doctors Without Borders juga menyaksikan bilangan kanak-kanak yang ramai dengan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti campak. Di Zamfara, mereka telah merawat sekurang-kurangnya 5,700 kes campak setakat tahun ini. Penyakit berjangkit seperti campak, malaria, dan cirit-birit berair akut menjejaskan status pemakanan kanak-kanak dengan ketara. Sebaliknya, kekurangan zat makanan membuat mereka lebih terdedah kepada penyakit-penyakit ini, dengan risiko kematian yang lebih tinggi.
Doktor daripada Doctors Without Borders sedang memeriksa seorang pesakit kanak-kanak di Hospital Besar Shinkafi, negeri Zamfara, barat laut Nigeria. Nigeria, Jun 2024. © Abba Adamu Musa/MSF
"Apabila saya pertama kali membawa anak saya ke hospital, saya tidak tahu sama ada dia akan hidup," kata Hafsat Lawal, seorang ibu yang anaknya sedang dirawat akibat kekurangan zat makanan di fasiliti Doctors Without Borders di Zamfara. "Di rumah, kerana keadaan tidak selamat, kami tidak mempunyai makanan. Harga makanan telah meningkat lebih daripada dua kali ganda. Jika kami ada wang, kami akan membeli sedikit bijirin, tetapi kami tidak mampu."
Komuniti di Zamfara menghadapi tahap keganasan yang tinggi dan memberitahu pasukan Doctors Without Borders bahawa mereka takut bergerak di sekitar negeri itu, mengambil risiko besar untuk sampai ke fasiliti kesihatan yang berfungsi. Pihak berkuasa kesihatan menganggarkan bahawa setakat 2023, hanya kira-kira 200 daripada 700 pusat kesihatan di Zamfara yang boleh diakses, manakala yang selebihnya tidak berfungsi. Salah satu sebabnya ialah pekerja kesihatan menghadapi kesukaran untuk sampai ke sana.
Jururawat daripada Doctors Without Borders bercakap dengan penjaga di kawasan triage di pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam di Hospital Besar Zurmi, negeri Zamfara. Nigeria, Mei 2024. © Abba Adamu Musa/MSF
Walaupun menghadapi krisis kemanusiaan yang berterusan dan tahap ketidakselamatan yang tinggi, komuniti di kawasan barat laut telah lama dikecualikan daripada tindak balas kemanusiaan yang terkoordinasi. Adalah penting pihak berkuasa kesihatan di kawasan ini, bersama-sama dengan organisasi antarabangsa dan penderma, segera meningkatkan usaha mereka. Perluasan segera fasiliti kesihatan diperlukan untuk merawat kanak-kanak yang kekurangan zat makanan bagi memastikan lebih banyak hospital dapat menawarkan rawatan pesakit dalam yang sangat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa. Selain itu, UNICEF sebagai pembekal utama RUTF mesti memastikan penghantaran makanan terapeutik ini secara berterusan dan mencukupi untuk mencegah lebih ramai kanak-kanak daripada menjadi mangsa krisis ini.