Skip to main content

Nigeria: Malapetaka krisis kekurangan zat makanan di barat laut mesti diiktiraf

MSF medical staff measuring brachial circumference of a severely malnourished child at the MSF Kofar Marusa ambulatory therapeutic feeding centre, Nigeria. © George Osodi

Kakitangan perubatan mengukur lilitan brachial kanak-kanak yang kekurangan zat makanan teruk di pusat pemakanan terapeutik ambulatori Doctors Without Borders Kofar Marusa, Katsina. Nigeria, Jun 2022. © George Osodi

Sejak awal 2022, pasukan Doctors Without Borders menyaksikan bilangan yang luar biasa tinggi membabitkan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan dalam program Doctors Without Borders di lima negeri seluruh barat laut Nigeria. Pelbagai faktor menyebabkan peningkatan mendadak dalam kekurangan zat makanan di rantau ini berbanding tahun lalu.

Dengan keadaan ketidakselamatan yang meningkat, perubahan iklim serta inflasi global harga makanan dalam dunia pasca pandemik, kita hanya boleh membayangkan krisis ini menjadi lebih teruk. Pihak berkuasa Nigeria memerlukan sokongan untuk menangani krisis sebesar ini. Penting memastikan pembiayaan kemanusiaan kecemasan dimasukkan sekarang untuk organisasi yang boleh bertindak balas dan komitmen untuk menyenaraikan barat laut Nigeria dalam pelan tindak balas kemanusiaan PBB untuk 2023.
Dr. Simba Tirima, Wakil Negara

Sejak Januari, pasukan Doctors Without Borders yang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan Nigeria telah merawat hampir 100,000 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut di 34 kemudahan pesakit luar dan memasukkan kira-kira 17,000 kanak-kanak yang memerlukan rawatan hospital di 10 pusat pesakit dalam di Kano, Zamfara, Katsina, Sokoto dan Kebbi.

Di Zamfara, salah satu kawasan paling terjejas oleh keganasan dan rompakan yang berterusan, kami mencatatkan peningkatan 64 peratus dalam bilangan kanak-kanak kekurangan zat makanan teruk yang dirawat di jabatan pemakanan pesakit luar yang disokong oleh Doctors Without Borders antara Januari hingga Ogos 2022 berbanding Januari hingga Ogos 2021.

Tinjauan pemakanan Doctors Without Borders juga menggariskan keterukan krisis, termasuk di kawasan yang kurang terjejas oleh keganasan dan ketidakamanan. Di kawasan kerajaan tempatan Mashi, di negeri Katsina, Doctors Without Borders mengesan 27.4% kadar kekurangan zat makanan akut global dan 7.1% kadar kekurangan zat makanan akut teruk pada bulan Jun, walaupun masyarakat secara relatifnya telah terhindar daripada keganasan dan pemindahan secara paksa. Kadar ini menunjukkan kecemasan kritikal.

Stabilization ward at an MSF-run intensive therapeutic feeding centre (ITFC) in Maiyama General Hospital in Kebbi. Nigeria. © KC NWAKALOR

Wad penstabilan di pusat pemakanan terapeutik intensif (ITFC) dikendalikan Doctors Without Borders di Hospital Besar Maiyama, Kebbi. Nigeria, 19 Julai 2022. © KC NWAKALOR

Pelan tindak balas kemanusiaan semasa PBB untuk Nigeria memberi tumpuan kepada situasi kritikal di wilayah timur laut negara itu, tidak termasuk barat laut. Tidak seperti Doctors Without Borders, yang tidak dibiayai pelan tindak balas kemanusiaan, banyak organisasi ketika ini tidak dapat bertindak balas terhadap keperluan akut di barat laut kerana mereka bergantung kepadanya untuk pembiayaan.

"Kami faham Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, penderma dan pihak berkepentingan lain semakin menyedari tahap krisis di barat laut, tetapi terdapat keperluan untuk bergerak lebih jauh daripada sekadar berbincang," kata Froukje Pelsma, ketua misi Doctors Without Borders di Nigeria. "Adalah penting bahawa barat laut dimasukkan dalam pelan tindak balas kemanusiaan Nigeria seterusnya untuk 2023, kerana ini memainkan peranan penting dalam menggerakkan sumber untuk menyelamatkan nyawa."

Categories