Skip to main content

Pakistan: Bertindak balas terhadap kecemasan di tempat sendiri

outreach counsellor doctors without borders emergency response in pakistan. © MFS

Akeela, seorang kaunselor jangkauan dengan Doctors Without Borders sejak 2020, tinggal di kampung Mir Gul Hassan Manju Shori Barun Naseerabad. Kampung ini terletak kira-kira lima kilometer dari Dera Murad Jamali (DMJ) di Balochistan, antara kawasan paling teruk dilanda hujan monsun dan banjir melampau yang menyebabkan satu pertiga Pakistan tenggelam.  Selepas kehilangan rumah, dia kini bertindak balas terhadap kecemasan di barisan hadapan. Pakistan, September 2022. © MSF 

“Pada Jun dan Julai, kami menerima hujan seperti biasa dan kehidupan seharian berjalan lancar. Saya pernah melawat keluarga pada hujung minggu di kampung terletak antara 4 hingga 5 kilometer dari Dera Murad Jamali di mana saya bekerja dengan pasukan jangkauan Doctors Without Borders. Kami pernah melawat komuniti dan membantu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan ibu dan anak serta pelbagai penyakit. Ia adalah bulan Ogos dan anehnya kami menerima lebih banyak hujan berterusan daripada tahun-tahun biasa. Pada 17 Ogos, air mula melimpah ke kawasan kampung dan kami diminta segera beredar. 

Dalam keadaan tergesa-gesa ibu bapa dan adik-beradik saya meninggalkan kampung dan bersyukur kerana kami ada rumah bapa saudara di Dera Murad Jamali, jadi mereka berpindah ke sana, manakala seorang abang dan seorang kakak ditinggalkan untuk menjaga lembu kami kerana keluarga saya mempunyai banyak lembu dan kambing. Mereka membawa lembu terbabit ke tempat lebih tinggi namun apabila melihat air banjir mula menggelamkan kampung, mereka terpaksa melarikan diri. Adik beradik saya berteduh dan memanjat bumbung rumah berhampiran. Mereka melihat air mula meningkat dan lembu, rumah, serta ladang kami, semuanya hanyut. Air itu mencecah ketinggian 8 atau 9 kaki. Sungguh menyayat hati melihat rumah dan kampung kami di bawah air. 

A view of Akeela's hous in village Mir Gul Hassan Manjhoo Shoori which is currently underwater due to floods

Pemandangan rumah Akeela di kampung Mir Gul Hassan Manjhoo Shoori yang ketika ini tenggelam akibat banjir. Pakistan, September 2022. © MSF 

Pada mulanya saya mengambil cuti seminggu untuk membantu keluarga, namun apabila melihat begitu ramai yang memerlukan bantuan, dan saya menerima panggilan meminta sokongan untuk respons kecemasan daripada Doctors Without Borders, saya tidak dapat menahan diri daripada berkata 'ya'. Dalam tempoh dua hari, saya mula bertugas menilai kampung-kampung dilanda banjir.

Kami sampai ke kampung yang jauh, dan mendapati keluarga tinggal di kawasan lapang tanpa tempat berteduh. Saya melihat beberapa orang menggunakan dua katil kayu (charpai) dirapatkan bersama dengan penutup plastik yang dijadikan sebagai tempat berteduh di tepi jalan kerana rumah mereka masih ditenggelami air, dan mereka tidak mempunyai rumah atau makanan yang mencukupi atau air minuman yang bersih. Namun, hujan masih berterusan, dengan sekali sekala berhenti. 

Selepas penilaian, kami membentuk pasukan kecemasan, dan saya sebahagian Pasukan B. Kampung pertama kami lawati ialah kem loji jana kuasa Rabi Pull dan Uch di mana kami menubuhkan klinik bergerak dan menyediakan air minuman bersih. Air itu diperoleh daripada loji rawatan air graviti Doctors Without Borders di Dera Murad Jamali, Balochistan. Ia satu daripada beberapa loji rawatan air terdapat di rantau ini. Di klinik bergerak kami, kami menemui pesakit yang mengalami jangkitan pernafasan, kes cirit-birit, kes malaria dan jangkitan kulit. Penduduk di sini minum dan menggunakan air banjir, yang tercemar, dan ia mengundang penularan beberapa penyakit. Doktor kami meneruskan pemeriksaan, menyediakan ubat-ubatan dan merujuk wanita hamil serta mereka yang memerlukan rawatan pakar ke fasiliti Doctors Without Borders di Hospital Ibu Pejabat Daerah, Dera Murad Jamali. 

Kami juga mengedarkan 236 kit kebersihan kepada orang ramai berhampiran loji Uch Power di mana mereka yang kehilangan tempat tinggal berteduh. Setakat ini kami sudah menyediakan 70,000 liter air minuman bersih kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan konsultasi perubatan kepada sekitar 2,575 pesakit di lokasi berbeza di Naseerabad, Jaffarabad dan Dera Murad Jamali, wilayah Balochistan.  

outreach activity in pakistan. © MSF

Pasukan kecemasan Doctors Without Borders menyediakan sokongan kepada komuniti terkesan melalui aktiviti jangkauan. Pakistan, September 2022. © MSF

Semasa tindak balas, kami menubuhkan klinik bergerak di kampung saya yang dilanda banjir Mir Gul Hassan Manju Shori Barun Naseerabad, juga dipanggil 'tanki wala'. Sewaktu bergerak menuju kampung, saya berasa puas. Penduduk kampung memang tahu tugas saya bersama Doctors Without Borders kerana saya juga banyak kali melawat mereka sewaktu aktiviti jangkauan kami. Saya sebahagian daripada pasukan kecemasan Doctors Without Borders yang memberikan sokongan kepada banyak komuniti dan komuniti saya sebahagian daripadanya. Semua rumah di kampung saya, termasuk rumah saya, masih ditenggelami air dan ia akan mengambil masa sehingga sebulan untuk kering sepenuhnya. 

Di salah satu kem perubatan kami, terdapat beberapa orang di satu bahagian kawasan banjir, beberapa keluarga pula di sebelah yang lain dan terdapat sebuah keluarga dengan tiga anak, semuanya mengalami demam panas. Saya dapat melihat ibu bapa, ketika datang ke kem perubatan kami, menyeberangi air banjir untuk mendapatkan rawatan untuk anak-anak mereka. Namun ramai orang di kampung lain yang lebih terpencil masih menunggu bantuan tiba. Saya dapat merasakan penderitaan mereka kerana ramai meninggalkan rumah dan tinggal di kem tanpa bantuan. Sebahagian juga terputus sepenuhnya dari bandar dan akses juga sukar. 

Ia memberi satu peringatan mengapa kami meneruskan operasi klinik bergerak harian kami dan untuk menyediakan air minuman bersih kepada keluarga yang dipindahkan.”