Skip to main content

Lubnan: Rakyat Syria di negara itu bergelut dapatkan rawatan kesihatan di tengah kebimbangan pengusiran

Lebanon: Syrians in the country struggle to access healthcare amid fear of deportations

Persekitaran intimidasi menyebabkan ramai pelarian takut untuk keluar daripada situasi selamat di rumah mereka, meskipun untuk mendapatkan rawatan perubatan yang penting. Keadaan ini amat teruk di kawasan Arsal yang diabaikan, sebuah bandar terpencil di utara Lubnan berhampiran sempadan Syria, di mana pasukan Doctors Without Borders sudah lebih 10 tahun bekerja. 

"Semua orang tertekan dan hanya tinggal di rumah, tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan ketakutan," kata Farhat, 75, seorang pelarian Syria yang sudah sembilan tahun menerima rawatan diabetes di klinik Doctors Without Borders di Arsal. "Tiada sesiapa berani keluar, walaupun untuk mendapatkan keperluan asas." Dia bimbang ditangkap pihak berkuasa dan dihantar pulang dari Lubnan. "Saya khuatir mereka akan mengambil saya, mengaibkan saya dan kemudian mengusir saya secara paksa dari negara ini," katanya, sambil menambah ramai lagi yang berkongsi kebimbangan sepertinya. 

Sejak dua minggu lalu, pasukan Doctors Without Borders mengesan peningkatan dalam bilangan temu janji yang tidak dihadiri di klinik mereka, dikatakan berpunca kebimbangan pesakit untuk berdepan pengusiran semasa mereka melalui pusat pemeriksaan ketika menuju kemudahan kesihatan. 

Pasukan Doctors Without Borders turut melaporkan bahawa situasi ketakutan memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk membuat rujukan perubatan segera ke hospital. "Kami mempunyai seorang pesakit yang, meskipun memerlukan rawatan perubatan segera, enggan dirujuk ke hospital kerana bimbang dengan pengusiran, kerana sedar dirinya tidak berdaftar," kata Dr Marcelo Fernandez, ketua misi Doctors Without Borders di Lubnan. 

Penguatkuasaan polisi ketat serta sekatan berkaitan pelarian di Lubnan baru-baru ini menyebabkan ramai rakyat Syria dirampas kereta dan motosikal mereka. Selalunya, kenderaan ini satu-satunya pengangkutan mampu dimiliki selepas krisis ekonomi menyebabkan kos teksi dan pengangkutan awam meningkat. 

“Tidak sepatutnya berlaku tindakan sehingga mengorbankan kesihatan orang ramai. Semua kelompok yang terpinggir harus mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang tepat pada masanya, sama rata, tanpa mengira latar belakang atau status mereka.”

Mahmoud, 56, menerima rawatan diabetes di klinik Doctors Without Borders di Arsal, yang terletak 5 km dari rumahnya. Dia antara pesakit yang kini bergelut untuk datang ke klinik bagi tujuan pemeriksaan serta mengambil ubat. "Selalunya saya bergantung pada motosikal saya untuk sampai ke klinik," katanya, "namun peraturan baru-baru ini melarang kami menggunakan motosikal, jadi sekarang saya perlu bergerak dengan berjalan kaki." 

Ramai penduduk Arsal hidup dalam kemiskinan, sementara perkhidmatan dan infrastruktur di kawasan itu terhad. Kedua-dua penduduk Lubnan dan pelarian menghadapi cabaran besar dalam mengakses perkhidmatan penting, di dalam atau luar bandar. 

"Tindakan merampas kenderaan menyebabkan ramai kelompok terdedah terpaksa hidup tanpa alat pengangkutan yang boleh dipercayai," kata Dr Marcelo Fernandez. "Ia memburukkan lagi cabaran dihadapi individu yang sudah sedia hidup dalam keadaan sumber serta kebebasan bergerak yang terhad, memburukkan lagi halangan akses mereka kepada rawatan perubatan penting." 

“Keadaan ini tidak boleh dibiar terus berlaku,” kata Dr Marcelo. “Tidak sepatutnya berlaku tindakan sehingga mengorbankan kesihatan orang ramai. Semua kumpulan masyarakat yang terpinggir seharusnya mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang tepat pada masanya, sama rata, tanpa mengira latar belakang atau status mereka.” 

Pasukan Doctors Without Borders kini bekerja di tujuh lokasi di seluruh Lubnan, menyediakan rawatan perubatan percuma untuk komuniti yang terdedah, termasuk warganegara Lubnan, pelarian dan pekerja asing. Perkhidmatan disediakan Doctors Without Borders termasuk penjagaan kesihatan mental, penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif, penjagaan kanak-kanak, vaksinasi dan rawatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes. Dengan lebih 700 kakitangan di Lubnan, pasukan Doctors Without Borders menyediakan kira-kira 150,000 konsultasi perubatan setiap tahun. 

Categories