Doctors Without Borders sekali lagi menyeru J&J menarik balik atau mengetepikan lanjutan paten untuk ubat TB yang menyelamatkan nyawa, paten utama tamat tempoh di India hari ini
Vaishnavi, pesakit DRTB (Tuberkulosis Rintang Ubat) berusia 7 tahun diberi ubat TB oleh ibunya Vishakha. India, 2022 © Prem Hessenkamp
Delhi/Cape Town/ Geneva, 18 Julai 2023 - Memandangkan bedaquiline selaku medikasi tuberkulosis rintang ubat (DR-TB) yang kritikal dan menyelamatkan nyawa yang menjadi paten utama Johnson & Johnson (J&J) selama 20 tahun tamat tempoh di majoriti negara termasuk India hari ini, Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) mengulangi gesaannya supaya perbadanan farmaseutikal AS mengumumkan secara terbuka bahawa ia tidak akan menguatkuasakan sebarang paten 'sekunder' untuk ubat terbabit di mana-mana negara yang mempunyai beban TB yang tinggi, serta menarik balik dan mengetepikan semua permohonan paten sekunder yang belum selesai untuk ubat kritikal ini di mana-mana sahaja.
Doctors Without Borders juga menyeru komitmen daripada J&J untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pengilang generik yang mengeksport versi generik bedaquiline sama ada masuk atau keluar dari negara beban tinggi TB di mana paten sekunder ubat berkenaan wujud. Perbadanan itu harus membuat pengumuman ini kepada umum menjelang Sidang Kemuncak TB PBB yang berlangsung di New York pada September ini. Pengumuman minggu lalu oleh Stop TB Partnership/Fasiliti Ubat Global (GDF) berhubung perjanjian dengan J&J untuk meningkatkan akses kepada versi generik bedaquiline mampu milik hanya menawarkan penyelesaian separa kepada masalah akses, memandangkan perjanjian itu mengecualikan banyak negara yang mempunyai beban tinggi mereka yang hidup dengan TB, terutamanya di Eropah Timur dan Asia Tengah (EECA).
Mampu menyediakan bedaquiline kepada penghidap TB rintang dadah menjadi revolusi dalam rawatan penyakit maut ini, menyumbang kepada pengurangan ketara dalam tempoh rawatan, beban pil dan kesan sampingan, dengan pematuhan dan tindak balas rawatan yang lebih baik. Ia akan mengundang kemarahan seandainya negara-negara di Eropah Timur dan Asia Tengah, yang sebahagian daripadanya mempunyai beban TB rintang dadah paling tinggi, secara tidak adil diketepikan daripada perjanjian ini, dengan berkesan menafikan akses kepada ubat generik untuk mereka yang mungkin memerlukan rawatan segera. Daripada menawarkan penyelesaian separa, kami menyeru J&J untuk segera mengumumkan ia akan mengetepikan, menarik balik dan tidak menguatkuasakan sebarang paten sekunder pada bedaquiline di semua negara yang mempunyai beban TB tinggi, supaya lebih banyak nyawa dapat diselamatkan sekarang.Dr Zulfiya Dusmatova, Tajikistan
J&J memegang paten sekunder di sekurang-kurangnya 34 daripada 49 negara dengan beban TB, TB-HIV dan/atau DR-TB yang tinggi, yang mana bedaquiline bahagian penting dalam rejimen rawatan. Beberapa negara ini berada di rantau EECA. Walaupun J&J cuba melanjutkan patennya selama 4 tahun di India dengan memfailkan paten sekunder, permintaan ini ditolak oleh Pejabat Paten India pada Mac 2023. Dengan paten utama tamat tempoh di India hari ini, beberapa pengeluar kini boleh menghasilkan dan menjual versi generik ubat berkenaan secara bebas di India dan mengeksportnya ke mana-mana negara lain di mana paten tidak menghalangnya. Menguatkuasakan paten sekunder di negara yang dikecualikan daripada perjanjian itu akan menangguhkan akses kepada bedaquiline generik yang lebih berpatutan sekurang-kurangnya 4 tahun, mengakibatkan kos rawatan lebih tinggi yang bukan sahaja akan mengehadkan akses untuk orang yang memerlukannya dengan segera, tetapi juga bermakna kurang pembiayaan untuk menampung. kos penjagaan TB lain yang penting.
Tablet Bedaquiline kini tulang belakang kepada rejimen rawatan TB, disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk rawatan jauh bertambah baik, lebih singkat, bertoleransi dengan lebih baik dan lebih berkesan untuk mereka yang terjejas dengan DR-TB. Rawatan semasa yang disyorkan, mengandungi bedaquiline, membabitkan oral sepenuhnya, selama 6 bulan dan boleh mencapai kadar penyembuhan setinggi 89%. Ini peningkatan besar berbanding rawatan lama yang perlu diberikan selama 18 bulan dan termasuk suntikan yang menyakitkan setiap hari.
J&J ketika ini menetapkan harga ubat pada US$1.50 (RM7)/hari untuk rawatan dewasa (US$272 (RM1,240)/enam bulan). Namun dengan peningkatan skala dan persaingan generik tanpa had, harga bedaquiline dijangka turun, menghampiri anggaran harga sasarannya sebanyak $0.50 (RM2.30) sehari.
Saya tidak mahu rawatan lama TB rintang ubat yang menyebabkan saya menderita dialami musuh saya yang paling teruk. Kami menggesa perbadanan farmasi Johnson & Johnson kerana kami mahu semua orang yang memerlukan bedaquiline mendapat akses segera kepada rawatan. Tiada lagi alasan apabila sudah adanya rawatan yang lebih baik, jadi ia mestilah berpatutan dan tersedia untuk semua orang. J&J, lakukan perkara yang betul sekarang dan pastikan untuk tidak menguatkuasakan paten lanjutan pada bedaquiline.Phumeza Tisile, aktivis rawatan TB
Phumeza Tisile, adalah seorang aktivis rawatan TB dari Khayelitsha, Afrika Selatan, bersama-sama rakannya yang juga bekas pesakit TB Nandita Venkatesan dari India menang dalam cabaran perundangan di India pada Mac menentang percubaan J&J untuk melanjutkan monopolinya ke atas bedaquiline di negara itu. Tisile juga pekak secara kekal akibat rawatan daripada rejimen lama.
Doctors Without Borders juga menggesa mana-mana negara di mana J&J mempunyai paten pada bedaquiline, dan dikecualikan daripada perjanjian GDF, untuk melaksanakan haknya di bawah peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang digariskan dalam Perjanjian 'TRIPS' dan deklarasi Doha, untuk mengatasi benteng yang menghalang mereka bagi menyediakan rawatan lebih berpatutan yang mereka perlukan untuk terus hidup dan sihat. Mereka boleh berbuat demikian, sebagai contoh, dengan mengeluarkan 'lesen wajib' yang membenarkan pengeluar selain daripada pemegang paten untuk membuat dan menjual ubat itu, atau untuk versi generik ubat yang lebih berpatutan untuk diimport walaupun jika paten telah disediakan.
Di Filipina, Doctors Without Borders menjalankan projek TB di Tondo, Manila, satu daripada kawasan setinggan paling padat dengan penduduk di Asia Tenggara. Pasukan kami membawa trak x-ray mudah alih ke komuniti berbeza, dan menyelaras bersama pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk memberikan rawatan percuma kepada pesakit yang disahkan menghidap TB. 2023 © Ezra Acayan
"Jika J&J tidak mahu melakukan apa yang sepatutnya, kami menggesa kerajaan semua negara yang mempunyai beban TB yang tinggi untuk mengambil tindakan sendiri supaya lebih banyak nyawa dapat diselamatkan," kata Christophe Perrin, ahli farmasi yang terbabit dengan advokasi TB Kempen Akses Doctors Without Borders. "Menunggu bertahun-tahun selepas paten utama tamat tempoh untuk akhirnya dapat mengakses bedaquiline mampu milik tidak seharusnya dilihat oleh mana-mana negara sebagai pilihan."
Nota editor: Rejimen disyorkan sebelum ini tidak mencapai kesembuhan dalam sebahagian besar mereka yang menghidap DR-TB yang perlu dirawat selama 2 tahun, dengan rejimen turut membabitkan suntikan harian dan ubat-ubatan yang lebih lama, menyebabkan kesan sampingan yang tidak dapat ditanggung, dari psikosis kepada pekak yang tidak dapat dipulihkan dan loya berterusan. Pematuhan kepada rejimen yang lebih lama juga mengundang cabaran yang ketara.