Sistem panel solar di Hospital Umum Kigulube yang disokong Doctors Without Borders di Sud Kivu. DRC, 2019.
Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) memerhati secara rapat impak perubahan cuaca ke atas pesakit dan aktiviti kecemasan perubatan kemanusiaan kami. Kami sudah bertindak balas terhadap banyak krisis paling drastik di dunia - konflik, bencana, penyakit, perpindahan - dan kini menyaksikan akibat serta impak lebih besar akibat perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar terhadap mereka yang tersangat rentan.
Dalam satu taklimat kemanusiaan terkini untuk laporan Lancet Countdown on Health and Climate Change 2021, pakar perubatan kemanusiaan Doctors Without Borders dari seluruh dunia dan merentas disiplin berkongsi pengalaman mereka tentang bagaimana perubahan iklim berkemungkinan memburukkan lagi krisis kesihatan dan kemanusiaan. Semua pengalaman ini menggariskan pemerhatian yang kami rekodkan tentang bagaimana perubahan alam sekitar dan bencana disebabkan iklim menyumbang kepada peningkatan penularan penyakit berjangkit seperti malaria, denggi dan taun; kesan kekurangan air dan keselamatan makanan yang membawa kepada kekurangan zat makanan; kesan pendedahan haba yang membawa kepada dehidrasi akut; kesan kesihatan mental akibat keadaan cuaca yang melampau, dan lebih lagi.
"Pasukan Doctors Without Borders terdiri pakar perubatan kemanusiaan, bukan saintis iklim – namun selepas bertahun menyaksikan bagaimana perubahan iklim berkemungkinan memburukkan lagi krisis kesihatan dan kemanusiaan dalam pelbagai konteks di tempat kami bekerja, kami terpaksa bersuara mengenai apa yang kami lihat," kata Carol Devine, Ketua Tindakan Kemanusiaan Mengenai Iklim & Alam Sekitar untuk Doctors Without Borders.
Berikut beberapa foto berkaitan negara daripada taklimat kemanusiaan Doctors Without Borders dalam laporan Lancet Countdown 2021. Untuk membaca penerangan penuh, klik di sini.
Perubahan iklim, ketidakstabilan dan kekurangan zat makanan di Somalia
Lebih dua dekad konflik, ketidakstabilan politik dan keadaan iklim yang melampau membawa kepada satu krisis kemanusiaan paling berlarutan di dunia di Somalia. Gabungan banjir teruk dan kerap, kemarau serta serangan kawanan belalang padang pasir menjejaskan keselamatan makanan dan menggangu mata pencarian. Keadaan ini meningkatkan lagi persaingan ke atas sumber yang terhad, memburukkan lagi ketegangan sedia ada dan menjejaskan kelompok yang paling terpinggir.
Kesan perubahan iklim paling ketara dizahirkan melalui kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.
Jika perubahan iklim berterusan seperti diunjurkan, Doctors Without Borders mengingatkan bahawa pengeluaran makanan yang berkurangan dan pengurangan kualiti nutrisi bagi sesetengah tanaman bijirin boleh mengancam ke arah peningkatan risiko kekurangan zat, dengan bayi selalunya paling teruk terkesan.
Sebagai tindak balas, Doctors Without Borders menjalankan program jurang kelaparan di selatan Somalia, bertujuan mencegah dan menangani kekurangan zat makanan teruk semasa musim hasil kurang memerangsangkan melalui pengawasan aktif, pemeriksaan dan rawatan ambulatori. Di wilayah Gedo dan Lower Juba, kami memulakan tiga tindak balas kecemasan untuk merawat kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk dan menangani kekurangan air yang kritikal.
Lebih ramai bergerak untuk mencari makanan dan air, walaupun risiko COVID-19 kekal ada dan wabak campak berterusan tanpa henti di Dhobley dan Kismayu. Masyarakat penggembala turut terjejas kerana kehilangan ternakan yang dilaporkan mati kehausan akibat kekurangan air.Mohamed Ahmed, Koordinator Projek
Pada 2020, Doctors Without Borders memutuskan untuk mengembangkan operasi ke dalam Projek Utara, menawarkan kawalan vektor, promosi kesihatan dan khidmat kesihatan mental dalam komuniti yang terkesan akibat taufan. Honduras, 2021. © Yael Martínez V./Magnum Photos
Sistem kesihatan musnah akibat bencana iklim di Honduras
Pada lewat 2020, apabila taufan Eta and Iota membadai Amerika Tengah secara berturut-turut, lebih 120 pusat kesihatan di Honduras rosak atau musnah - sebahagiannya hilang begitu saja dalam lumpur. Dua juta orang sama ada terhad atau tiada langsung akses kepada rawatan.
Walaupun sebelum ribut, sistem kesihatan di Honduras sudah mengalami tekanan besar. Hospital bergelut menampung pesakit COVID-19, manakala wabak denggi disebabkan nyamuk tahan racun serangga muncul akibat kawalan vektor yang tidak dilaksanakan dengan baik.
Untuk menanganinya, Doctors Without Borders melaksanakan langkah meningkatkan daya tahan sistem kesihatan terhadap ancaman berkaitan iklim di Honduras. Ini termasuk aktiviti kawalan vektor dan sistem pengawasan demam denggi untuk mencegah wabak, yang memberi tekanan tambahan kepada sistem kesihatan.
Kami tidur di padang. Kami melalui malam dengan kelaparan dan tidak dapat tidur. Di kawasan perlindungan Coatzacoalcos, mereka memberitahu kami bahawa ia ditutup. Saya takut tinggal di jalanan kerana apa-apa boleh berlaku kepada kami. Saya takut anak saya akan diambil daripada saya. Saya tidak tidur kerana terpaksa berjaga semasa anak saya tidur.Kimberly, seorang wanita Honduras
Memperkasa rawatan kesihatan dengan tenaga solar di Balochistan, Pakistan
Di empat daerah Balochistan, Pakistan, Doctors Without Borders menyokong kemudahan kesihatan yang menyediakan penjagaan kepada lebih 12,000 ibu mengandung dan kira-kira 10,000 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan setiap tahun. Namun, gangguan bekalan elektrik yang kerap dan peningkatan suhu pada musim panas menyukarkan untuk mengekalkan suhu sejuk buat pesakit, pekerja kesihatan dan penjagaan ubat-ubatan. Ini satu cabaran memandangkan gangguan bekalan elektrik kerap dan suhu juga boleh mencapai 50 darjah Celsius pada musim panas.
Untuk menanganinya, Doctors Without Borders memasang sistem panel solar di kemudahan disokongnya di Dera Murad Jamali, Chaman dan Kuchlak. Dilengkapi grid atau jana kuasa elektrik, sistem ini menyediakan kuasa tanpa gangguan untuk pencahayaan, penyaman udara dan kipas, serta pengepaman dan penyejukan air, sambil menghindar pelepasan lebih 50,000 kg karbon setahun.
Sebagai pengamal perubatan, tugas kita bukan hanya merawat pesakit, tetapi mencegah penyakit akan datang daripada berlaku. Kita tidak seharusnya mencipta masalah untuk hari esok, pada masa sama cuba menyelesaikan masalah kesihatan hari ini.Dr. Monica Rull, Pengarah Perubatan