Skip to main content

Ancaman tiga kali ganda babitkan perubahan iklim, konflik dan kecemasan kesihatan: Gabungan risiko maut buat mereka paling terdedah dalam persekitaran yang rapuh

A road leading to areas that have been cut off due to flooding in Johi town.

Jalan menuju ke kawasan yang terputus akibat banjir di pekan Johi. Pakistan, September 2022. © Zahra Shoukat/MSF

Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) serta Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah bekerjasama rapat dengan komuniti di negara di mana penumpuan perubahan iklim, konflik bersenjata dan kecemasan kesihatan dianggap realiti yang suram. Daripada 25 negara paling terdedah kepada perubahan iklim dan kurang bersedia untuk menyesuaikan diri, majoriti juga mengalami konflik bersenjata. Di kebanyakan lokasi ini, ramai yang kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan asas. Apabila kejutan iklim berlaku di negara yang mempunyai sumber makanan, air dan ekonomi yang terhad, nyawa, kesihatan dan mata pencarian rakyat terancam.

Somalia menderita disebabkan kitaran kemarau dan banjir yang tidak menentu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sedia teruk yang dirumitkan lagi konflik bersenjata selama tiga dekad. Orang ramai mempunyai masa yang terhad untuk menyesuaikan diri disebabkan kejutan itu sangat kerap dan teruk.

Organisasi kemanusiaan juga telah bertindak balas terhadap banjir di Sudan Selatan serta merentasi Sahel; taufan yang dahsyat di Madagascar dan Mozambique; serta kemarau teruk di Horn of Africa yang turut dikenali Semenanjung Somali.Krisis cuaca memburukkan lagi krisis kesihatan dan kemanusiaan.

Sebagai warga kemanusiaan, kami bimbang dengan realiti semasa dan unjuran untuk masa depan. Kami melihat kemarau, banjir, wabak serangga dan perubahan corak hujan yang semuanya boleh menjejaskan pengeluaran makanan dan cara hidup manusia. Kami melihat peristiwa membabitkan cuaca yang lebih ekstrem dan kuat seperti taufan yang memusnahkan infrastruktur kesihatan yang penting. Kami melihat perubahan corak penyakit membawa maut seperti malaria, denggi dan kolera. Konflik dan keganasan meningkatkan keperluan untuk bantuan kesihatan kecemasan di samping mengehadkan kapasiti kemudahan kesihatan.

Semua situasi ini berlaku dalam dunia yang sedia mengalami cuaca panas 1.2 darjah melebihi paras pra-perindustrian, sambil kita menyaksikan bagaimana kelompok paling terdedah di dunia membayar harga mahal dengan nyawa untuk masalah yang dicetuskan oleh negara terkaya di dunia. Pemanasan tambahan akan mengundang akibat buruk melainkan langkah mitigasi segera dan bercita-cita tinggi diambil serta sokongan mencukupi digerakkan untuk penduduk dan negara paling terjejas supaya mereka boleh menyesuaikan diri dengan risiko iklim yang semakin meningkat.

“Hari ini, keperluan sudah mengatasi tindak balas. Ia adalah krisis solidariti dan kini, ia memberi laluan pula kepada krisis moral. Dunia tidak boleh membiarkan mereka yang menderita disebabkan akibat paling tragis ini tanpa sokongan.” - Stephen Cornish, Pengarah Urusan MSF Switzerland.

Sokongan kewangan dan teknikal mesti sampai kepada kelompok paling memerlukannya yang mana ia tidak berlaku pada skala sepatutnya. Komitmen Perjanjian Paris untuk meningkatkan sokongan kepada negara paling kurang maju gagal untuk mengakui bahawa sebilangan besar daripada mereka juga terjejas disebabkan konflik dan harus diberikan keutamaan. Sehingga kini, janji tidak dipenuhi untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong negara yang mengalami kesan terbesar.

“Kami melihat gabungan kesan yang teruk akibat peningkatan risiko iklim dan konflik bersenjata dari Afghanistan ke Somalia, Mali ke Yaman. Tugas kami di semua tempat ini membantu orang ramai untuk menghadapi krisis iklim. Namun aktor dalam bidang kemanusiaan tidak boleh bertindak sendirian terhadap pelbagai cabaran. Tanpa sokongan kewangan dan politik yang tegas kepada negara yang paling rapuh, penderitaan hanya akan bertambah buruk,” kata Robert Mardini, Pengarah Urusan ICRC.

Kami menyeru pemimpin dunia untuk memenuhi komitmen mereka di bawah Perjanjian Paris dan Agenda 2030 serta memastikan bahawa mereka yang terdedah dan terjejas disebabkan konflik disokong secukupnya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim. Secara kolektif kita mesti mencari penyelesaian dan memastikan akses kepada kewangan iklim yang mencukupi dalam persekitaran yang mencabar. Meninggalkan sesiapa di belakang bukan satu pilihan.

Categories