Breadcrumb
- Home
- Apa Kami Lakukan: Menyediakan Sokongan Kesihatan Mental
Apa Kami Lakukan: Menyediakan Sokongan Kesihatan Mental
Doctors Without Borders bekerja di beberapa persekitaran termasuk yang paling miskin dan paling teruk, kadang-kadang dilanda konflik, dan dalam banyak keadaan ini, kami memberikan sokongan kesihatan mental yang komprehensif kepada pesakit selama bertahun-tahun. Daripada bantuan awal psikologi dalam situasi darurat, hinggalah perkhidmatan kesihatan mental bersama rawatan untuk keadaan sedia ada serta rawatan psikososial dan psikiatri secara sendiri, berikut adalah beberapa cara pasukan kami bertindak balas.
Daripada membantu mangsa konflik bersenjata hingga taufan, kami menyediakan penjagaan kesihatan mental di Filipina. Pada 2017, seramai 370,000 orang kehilangan tempat tinggal disebabkan konflik antara angkatan bersenjata Filipina dan dua puak pro-Negara Islam (IS), kumpulan Maute dan Abu Sayyaf di Kota Marawi, Mindanao. Kami menawarkan pertolongan awal psikologi kepada mereka yang terjejas, dan sejak itu terus berada di kawasan berkenaan untuk memberikan sokongan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal dan mereka yang kembali.
Pada tahun sama, kami bertindak balas susulan kemusnahan akibat Taufan Tembin di selatan Filipina, menawarkan sokongan psikologi, termasuk kaunseling untuk kesedihan.
Pada 2020, sekatan akibat pandemik COVID-19 mendorong pasukan kami meneroka cara baharu untuk memberi sokongan kesihatan mental, antaranya memberikan sokongan kesihatan mental dan psikososial secara jarak jauh kepada mereka yang dijangkiti COVID-19.
"Dengan tekanan yang kita hadapi hari ini, mekanisme untuk menangani secara biasa tidak mencukupi," kata Lyka Lucena, pekerja sosial kesihatan mental Doctors Without Borders.
Indonesia terletak pada tektonik ‘Lingkaran Api’ dan terdedah kepada bencana alam. Pasukan kami di Indonesia aktif dan segera bertindak balas terhadap bencana alam di negara ini dan memberikan sokongan kesihatan mental kepada mangsa, termasuk kaunseling kesihatan mental secara kelompok.
Dengan virus COVID-19 yang berleluasa di negara ini, pasukan kami menumpukan perhatian kepada kempen kesihatan mental untuk menyediakan penduduk dengan kaedah untuk menanganinya. Dyah Larasati, seorang ahli psikologi, mengingatkan bahawa "Kepenatan boleh berlaku apabila individu mengalami keletihan emosi, fizikal dan mental yang melampau disebabkan tekanan berpanjangan dan berlebihan."
Doctors Without Borders berada di Malaysia sejak 2015, untuk menangani jurang akses kepada penjagaan kesihatan dihadapi pelarian dan pencari suaka. Pasukan kami, termasuk ahli psikologi dan kaunselor kesihatan mental, memberikan sokongan kesihatan mental yang komprehensif, termasuk pendidikan kesihatan mental, sokongan dan kaunseling psikososial, melalui klinik bergerak berasaskan komuniti dan klinik tetap di Pulau Pinang, Malaysia
"Selain berjuang untuk hidup sebagai pelarian di Malaysia, kesan sekunder pandemik COVID-19 ini memburukkan lagi keadaan kesihatan mental masyarakat yang sudah sedia rentan ini," kata Sarah Chou, pengurus aktiviti kesihatan mental.
Pada 2020, kami bekerjasama dengan R-vision untuk mendekati Rohingya secara dalam talian. R-vision adalah rangkaian media dalam talian dalam bahasa Rohingya. Tindakan kami ambil merangkumi langkah pencegahan COVID-19, menjelaskan mengenai pencucian tangan, pengasingan dan bagaimana seseorang boleh menghasilkan pelitup muka mereka sendiri. Kami juga mendedikasikan video untuk kesihatan mental, mencerminkan bagaimana untuk saling menyokong semasa wabak.
Sebagai tindak balas kepada pandemik COVID-19, pasukan kami menyediakan sesi promosi kesihatan secara bersemuka dan maya dengan kelompok rentan yang kurang mengakses maklumat, seperti pelarian dan pekerja domestik, serta mereka yang berada di barisan depan, seperti tukang cuci di jalanan.
Kami juga menghasilkan laman web untuk membantu individu menguruskan tekanan dan kebimbangan mereka, merangkumi petua dan kaedah untuk mengatasi.
Pada 2020, Doctors Without Borders mengendalikan sejumlah 349,500 konsultasi individu dengan kesihatan mental.
Adakah anda pakar kesihatan mental? Adakah ada mahu membantu menyediakan rawatan kesihatan mental?
- Menyediakan bantuan awal kesihatan mental
Doctors Without Borders menyediakan bantuan awal psikologi kepada masyarakat yang mengalami tekanan tahap tinggi, termasuk selepas bencana alam. Melaluinya sokongan asas diberikan kepada mereka selepas mengalami trauma atau insiden kritikal. Pekerja kesihatan mental komuniti atau anggota komuniti terlatih lain dapat memberikan pertolongan awal psikologi.
Selepas tiga bencana melanda Sulawesi Tengah, Indonesia pada 2018, Doctors Without Borders tidak hanya menyokong pusat kesihatan dalam menyediakan penjagaan kesihatan dan rawatan asas kepada mereka yang cedera. Kami juga membawa dua ahli psikologi sebagai sebahagian pasukan perubatan kami untuk memberikan pertolongan awal psikologi kepada mereka yang trauma akibat bencana tersebut.
- Kaunseling trauma dan rawatan pakar
Mereka yang terselamat dalam situasi yang sangat tertekan - pelarian, mereka yang kehilangan tempat tinggal, mangsa bencana, mangsa penderaan dan jenayah, serta mereka yang selamat daripada perang atau pembunuhan beramai-ramai - sangat berisiko mendapat kesan kesihatan mental yang teruk.
Untuk membantu mengubati luka psikologi pesakit, pakar kesihatan mental kami mendengar, menyokong, dan melatih mereka yang terselamat dengan amalan rawatan kendiri supaya pengalaman trauma tidak hadir dan mengganggu kehidupan mereka. Matlamat segera untuk mengurangkan gejala dan memberi kekuatan kepada mereka bagi menjalani kehidupan yang bahagia dan sihat.
Pengurus Aktiviti Kesihatan Mental Doctors Without Borders, Kathy Lostos yang bekerja bersama pelarian Rohingya di Bangladesh berkata: “Cara terbaik meningkatkan hasil kesihatan mental dengan mengembalikan rasa selamat. Memiliki tahap kawalan tertentu atau autonomi ke atas masa depan seseorang adalah penentu untuk mewujudkan rasa selamat. Ini membabitkan seperti memasukkan masyarakat dalam proses membuat keputusan atau mewujudkan rasa autonomi dan kawalan terhadap masa depan seseorang. [Ini] berfungsi mengurangkan kesan trauma jangka panjang. ”
- Sokongan kesihatan mental untuk aktiviti perubatan
Kesihatan mental adalah komponen penting untuk rawatan HIV/AIDS, tuberkulosis, kekurangan zat makanan, penyakit tidak berjangkit, pembedahan serta pesakit dengan luka terbakar. Semasa tindak balas baru-baru ini terhadap pandemik COVID-19, pasukan kami juga menyaksikan pentingnya penjagaan kesihatan mental untuk pemulihan pesakit COVID-19.
Pesakit HIV dan tuberkulosis perlu menjalani rancangan rawatan yang panjang dan memenatkan; bagi mereka yang menghidap penyakit ini dan keadaan kesihatan kronik lain, atau penyakit berjangkit seperti demam Ebola dan Lassa, terdapat juga tekanan ekonomi, kesunyian dan stigma, serta kadang-kadang kesan sampingan daripada pengambilan ubat. Kaunseling kepatuhan dapat membantu pesakit mengikuti rawatan mereka dan menghadapi cabaran yang mereka lalui dalam menjalani dan mengatasi penyakit mereka.
Kanak-kanak yang kekurangan zat makanan menghadapi risiko pertumbuhan yang lambat, dan rawatan kesihatan mental dapat menolong mereka dan juga penjaga mereka, yang mungkin turut mengalami gangguan kesihatan mental.
- Tindak balas khusus tempatan dan budaya
Apabila pasukan kesihatan mental kami mula bekerja di komuniti baharu, antara langkah pertama mereka adalah mencari pemimpin tempatan yang dapat membimbing pasukan mengenai strategi paling sesuai dengan keperluan masyarakat. Semua komuniti selalunya perlu membina semula diri mereka secara keseluruhan untuk membantu memperkukuhkan identiti mereka yang berada di dalamnya.
Dalam banyak kes, kakitangan kesihatan mental kami datang daripada komuniti yang dibantu. Pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai pengalaman masyarakat, serta nilai dan amalan sekitar kesihatan mental, sangat bermanfaat untuk memberikan rawatan yang berkesan.
Pendekatan menyeluruh kami ke arah penjagaan kesihatan
Doctors Without Borders menyediakan penjagaan kesihatan mental untuk kedua-duanya sama ada sebagai satu bahagian aktiviti perubatan integrasi serta sebagai projek kesihatan mental secara sendiri.
Pasukan kami menyasarkan untuk mengurangkan penderitaan mental orang lain, meningkatkan fungsi mereka dan menghormati martabat mereka, menggunakan kombinasi pendekatan holistik untuk perawatan klinikal dan aktiviti berdasarkan masyarakat. Selalunya tugas ini dikendalikan kaunselor tempatan yang dilatih pasukan kami di Doctors Without Borders, dengan pakar psikologi atau psikiatri memberikan sokongan teknikal serta pengawasan klinikal.
Apabila sesuai, perkhidmatan kaunseling kami mungkin memperkukuh atau melengkapi pendekatan penjagaan kesihatan mental sedia ada dalam komuniti setempat di mana kami bekerja. Adalah penting bahawa pendekatan kami untuk penjagaan kesihatan mental merangkumi definisi dan persepsi tempatan serta budaya mengenai kesihatan psikososial.