Tindakan Kemanusiaan Mencapai Had Batasan di Ituri, Republik Demokratik Kongo (DRC)
© Louise Annaud/MSF
“Menjijikkan.” Amande Bazerolle, Penyelaras Kecemasan Doctors Without Borders beberapa minggu berada di daerah Ituri, di DRC timur, dan dia menggambarkan keadaan hidup 26,000 penduduk yang meninggalkan rumah mereka selepas satu lagi episod keganasan kejam.
"Mereka langsung tidak mempunyai apa-apa: tidak ada akses kepada penjagaan kesihatan, tidak cukup makanan atau air, tidak cukup tempat untuk tidur, dan tidak ada bahan asas, bahkan untuk kebersihan diri. Banyak perlu dilakukan di sini."
Keganasan berterusan yang menyebabkan orang ramai tidak selamat untuk kembali masih kekal, menyebabkan mereka tidak dapat pulang dalam masa terdekat.
Keganasan seksual melanda Boga. Pada Januari dan Februari 2021 sahaja, Doctors Without Borders merawat 67 wanita yang terselamat daripada keganasan seksual. "Wanita-wanita ini diserang lelaki bersenjata, di jalan atau di ladang pertanian tempat mereka bekerja." Bazerolle berkata.
"Mereka takut untuk kembali ke ladang, tetapi ada yang masih melakukannya, walaupun ia berisiko. Ini menunjukkan betapa sedikitnya pilihan mereka ketika berusaha untuk bertahan dan mencari nafkah untuk keluarga."
Sesungguhnya, meninggalkan ladang, yang menjadi sumber makanan utama keluarga ini, meningkatkan risiko kekurangan zat makanan dan kebergantungan terhadap bantuan makanan.
Semua kisah ini antara menarik perhatian dalam banyak kisah keganasan lain yang terus dihadapi masyarakat di Ituri.
Pembunuhan, keganasan seksual, perkampungan dan pusat kesihatan dijarah adalah sebahagian daripada realiti harian masyarakat. “Sistem penjagaan kesihatan sudah hancur. Lebih 70 pusat penjagaan kesihatan dijarah atau dimusnahkan, menghalang ribuan mendapatkan rawatan kesihatan. Ini situasi bencana” kata Frédéric Lai Manantsoa, ketua misi Doctors Without Borders di DRC.
Sama seperti masyarakat Boga, semua komuniti di daerah Ituri menyaksikan kehidupan mereka tunggang terbalik disebabkan tiga tahun keganasan sistematik, dan mereka memerlukan pertolongan serta bantuan. Walaupun banyak organisasi kemanusiaan kini berada di rantau ini, mereka tidak lagi dapat memenuhi keperluan penjagaan kesihatan dan kebersihan yang semakin meningkat, terutama kerana mereka masih lagi kurang pembiayaan.
Di Ituri, Doctors Without Borders menyokong tiga hospital umum, 12 pusat kesihatan, tiga pos kesihatan dan 32 kemudahan kesihatan masyarakat di zon kesihatan Drodro, Nizi dan Angumu. Liputan operasi merangkumi penyakit pediatrik, kekurangan zat makanan, malaria, keganasan seksual dan sokongan kesihatan mental. Doctors Without Borders juga menawarkan sokongan kebersihan, dalam bentuk penyediaan tandas dan aktiviti sanitasi, di 49 tapak kongsi mereka yang kehilangan tempat tinggal, mengedarkan barang bukan makanan serta membekalkan mengikut jadual ubat-ubatan dalam jumlah terhad kepada pusat kesihatan.