Skip to main content

Penutupan kem pelarian bukanlah titik akhir solidariti Kenya

Kenya refugee complex camp

Kakitangan Doctors Without Borders berjalan melalui salah satu jalan di kem Dagahaley, Dadaab. Kenya, 2019. © Paul Odongo/MSF


Agensi pelarian PBB (UNHCR) diberi tempoh dua minggu untuk menentukan nasib mereka - iaitu, untuk mengemukakan rancangan merobohkan kem. Rancangan yang mana, jika secara tidak teliti memfokuskan penghantaran pulang pelarian tanpa kehendak mereka, akan membahayakan nyawa dan kesejahteraan mereka. Buat masa ini, Mahkamah Tinggi Kenya menghentikan sementara tindakan untuk menutup kem secara tiba-tiba. Tetapi bagi pelarian, bayangan penutupan kem semakin jelas.


Bayangkan diri anda di Dadaab: hanyut di tengah lautan debu merah di timur laut Kenya yang terpencil, dihiasi pohon berduri yang lebat, tidak mengetahui apa yang akan datang seterusnya, tanpa kepastian mengenai masa depan anda, sepenuhnya bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang semakin menyusut dan takut dihantar kembali ke Somalia, sebuah negara yang ditinggalkan ibu bapa anda hampir tiga dekad lalu dan tidak diketahui kebanyakan anak muda di Daadab. Sejak mereka melarikan diri, keganasan hanya memuncak di Somalia. Iklim yang tidak dapat diramal diselimuti kemarau dan banjir hanya menjadikan hidup lebih sukar.

Kenya refugee complex camp_1

Janai Issack Aden yang berusia 8 tahun telah tinggal di Dagahaley sejak tahun 1991. Dia melarikan diri dari keganasan di Somalia bersama enam anggota keluarganya termasuk kedua ibu bapanya. Kedua ibu bapanya telah meninggal dunia. Dia mempunyai 10 anak, semuanya dilahirkan di dalam kem. Kenya, 2019. © Paul Odongo/MSF

Tuntutan sebelumnya untuk penutupan kem, terutama Dadaab, hadir selepas serangan pengganas di Kenya. Dakwaan yang tidak disahkan dibuat bahawasanya kem terbabit yang memungkinkan serangan ini berlaku, menyebabkan stigma terhadap pelarian bertambah parah. 


Namun niat baharu Kenya untuk menutup kem secara tergesa-gesa kelihatan tidak jelas, tampak tidak bijaksana, tidak bertimbang rasa dan tidak menghormati. Bahkan untuk mempertimbangkan penutupan di saat pandemik bermutasi, terutama dalam tempoh peningkatan saat kerapuhan di Somalia, sedikit pun tidak menggambarkan amalan kesihatan awam dan hak asasi manusia yang baik. Sekiranya tidak difikirkan dengan baik, keputusan itu akan mengundang kesan buruk kepada pelarian. Menjadi pelarian di Dadaab hari ini bermaksud menjadi penonton di barisan hadapan ketika yang lain mempermainkan masa depan anda.

Krisis baru

Walaupun begitu, Kenya menunjukkan kemurahan hati dalam menampung ratusan ribu pelarian, sangat bertentangan dengan banyak negara kaya yang mempelopori cara-cara licik untuk mencabul hak pelarian. Namun, mencetus krisis baharu dengan penutupan kem secara tiba-tiba tidak boleh menjadi titik akhir terhadap solidariti ditunjukkan Kenya ketika menyambut kedatangan pelarian sebelum ini.

Kenya tidak mempunyai alasan untuk menarik sokongan dan membiarkan pelarian terkandas tanpa menawarkan mereka pilihan untuk menjalani kehidupan bermaruah dalam keadaan selamat dan bebas. Kem pelarian bukanlah penyelesaian - kami setuju dengan Kenya dalam hal ini - terutama ketika perpindahan berlarutan selama beberapa dekad. Justeru untuk alasan ini, kami meminta penyelesaian lebih lestari buat pelarian untuk beberapa ketika ini.

Kenya boleh menyokong pelarian untuk berintegrasi dalam masyarakat tempatan. Laluan segera dan penguatkuasaan Rang Undang-Undang Pelarian - yang sedang diperdebatkan di parlimen Kenya - akan memastikan pelarian dapat bergerak bebas, mencari nafkah dan mengakses perkhidmatan awam. Akhirnya, mereka dapat membuat pilihan, menetukan hidup sendiri, dan jika dilengkapi jaring keselamatan, mungkin boleh berdikari, memperkayakan masyarakat Kenya.

Kenya tidak boleh - dan tidak harus - melakukan semuanya dengan sendiri. Ekonomi Kenya, seperti yang lain, teruk terkesan dengan wabak. Hutang awam bertambah, dan berisiko tinggi mengalami tekanan hutang. Walaupun dengan pemulihan tinggi tetap akan menyebabkan ramai penduduk Kenya berjuang sepanjang beberapa bulan atau tahun berikutnya.

Hanya segelintir kerajaan memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian yang tinggal di kem. Namun dana kemanusiaan juga menurun, dengan pemotongan besar diumumkan untuk tahun ini, memaksa Program Makanan Dunia mengurangkan catuan makanan hampir 60 peratus.

Penting bagi pemerintah yang kaya dengan sumber untuk memikul tanggungjawab mereka dengan adil. Mereka harus segera meningkatkan dana pembangunan untuk membantu Kenya memperluaskan perkhidmatan awamnya untuk mengintegrasikan pelarian dalam masyarakat setempat, sambil memastikan tahap bantuan kemanusiaan mencukupi sehingga penyelesaian tempatan dapat direalisasikan sepenuhnya.

Kenya refugee complex camp closure

Abdo dan keluarganya di rumah mereka di kem Dagahaley. Abdo meninggalkan negaranya Ethiopia pada tahun 1997 kerana ketegangan politik, dan menetap di Somalia hingga 2011, di mana dia juga bertemu dengan isterinya. Dia adalah seorang petani di sana tetapi dia mengatakan kehidupan menjadi semakin sukar di sana kerana sering berlaku pergaduhan, yang kadang-kadang datang bahkan berhampiran rumahnya. Dia kemudian melarikan diri dari Somalia pada tahun 2011 bersama keluarganya, dan menetap di kem Dagahaley Kenya, 2019. © Paul Odongo/MSF

Masanya juga tiba untuk institusi multilateral seperti Bank Dunia menjadi pemangkin usaha mencari jalan penyelesaian tuntas bagi pelarian. Bersama UNHCR, pihaknya harus terus berusaha membawa penggubal undang-undang dan pihak berkuasa Kenya merancang jalan integrasi tempatan untuk pelarian.

Tetapi mempromosikan integrasi tempatan tidak boleh mirip kepada kontrak penyumberan luar oleh kerajaan yang kaya, di mana mereka dapat menggantikan tanggungjawab mengambil pelarian melalui pembayaran yang sesuai. Tahun lalu, penempatan semula berada pada tahap terendah. Kerajaan yang kaya harus segera menyokong dan memfasilitasi peningkatan penempatan semula dan laluan pelengkap bagi pelarian. Protokol pemeriksaan keselamatan dan kesihatan yang mencukupi kini dapat dilaksanakan, jadi COVID-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan.

Apa yang penting, PBB dan masyarakat antarabangsa mesti menghidupkan semula usaha mereka untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di Somalia. Hakikat bahawa Dadaab telah wujud selama tiga dekad adalah kegagalan inisiatif perdamaian di negara itu.

Kesihatan Mental


Di Dadaab, berita untuk menutup kem boleh menjadi ancaman terakhir untuk mematahkan usaha pelarian bertahan. Ia datang pada saat ramai pelarian, terutama di Dagahaley, sudah pun menunjukkan masalah kesehatan mental yang meningkat kerana kurangnya kemajuan dalam mencari penyelesaian yang lestari. 

Pada 2020, di Dagahaley saja - di mana Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontieres(MSF) menyediakan penjagaan kesihatan selama lebih satu dekad - tiga orang mengambil nyawa sendiri dan 25 yang lain dilaporkan cuba membunuh diri.

Di Dadaab, saya bertanya kepada salah seorang pelarian bagaimana mereka mahu episod akhir kem itu ditulis. Jawapannya mudah: 'Saya mahukan kehidupan yang damai'.

Saya berkongsi impian dengan pelarian untuk meninggalkan Dadaab suatu hari nanti, namun tanpa apa-apa kos. Apabila tiba masanya mereka meninggalkan Dadaab, mereka mesti memilih untuk melakukannya, dan hanya apabila maruah, kesihatan dan kebebasan mereka terjamin.

Adrian Guadarrama
Timbalan Pengurus Program

Adrian Guadarrama adalah timbalan pengurus program Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) untuk Kenya, yang berpusat di Geneva. 

Categories