Militerisasi sempadan dan pengusiran besar-besaran meningkatkan bahaya bagi pencari suaka di Mexico
Kakitangan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) berjalan di trek kereta api di stesen Higueras di Veracruz mencari pendatang yang memerlukan bantuan perubatan, psikologi dan sosial. Di kawasan itu mereka sering menjadi mangsa pemerasan oleh pengawal dan mengalami keganasan dilakukan kumpulan penjenayah pada waktu malam. © Yesika Ocampo/MSF
Komitmen diumumkan minggu lalu antara Amerika Syarikat, Mexico, Honduras dan Guatemala untuk memperkukuhkan militerisasi sempadan akan terus mengkriminalisasi golongan penghijrah, kata organisasi perubatan antarabangsa Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), menjadikan pendatang lebih terdedah kepada jenayah terancang dan COVID-19.
Doctors Without Borders menyaksikan serangan berulang kali dan penahanan sewenang-wenangnya di sempadan selatan Mexico serta menyaksikan pencari suaka dipaksa pulang ke Mexico oleh AS di bawah perintah Judul 42. Perintah ini disalahgunakan untuk membenarkan pengusiran besar-besaran atas alasan kesihatan awam berkaitan pandemik COVID-19, dan secara efektif menyekat hak untuk mendapatkan suaka di AS.
Sekali lagi kita melihat dinding fizikal, birokrasi dan keselamatan dibangunkan untuk menyekat pencari suaka serta menghentikan pergerakan bebas kelompok yang melarikan diri daripada keganasan di negara asal mereka. Ini terbukti baik di sempadan utara dan selatan Mexico. Ketika Amerika Syarikat segera menyekat dan mengusir pendatang baharu secara beramai-ramai, Mexico pula menekan dan menahan mereka secara beramai-ramai.Antonino Caradonna, penyelaras projek
Pasukan Doctors Without Borders di sempada selatan Mexico berkali-kali mengecam serbuan besar-besaran dan penangkapan sewenang-wenangnya yang menyasarkan migran serta pencari suaka, termasuk berhampiran pos penjagaan kesihatan organisasi ini. Terdapat beberapa insiden di Coatzacoalcos, di bahagian selatan Veracruz, hab keretapi yang sering digunakan golongan penghijrah.
"Minggu lalu pun, serbuan dilakukan di Coatzacoalcos di landasan kereta api, dan sekitar 50 pendatang, termasuk keluarga dengan kanak-kanak, ditahan sewenang-wenangnya," kata Caradonna. "Mereka tidur berhampiran kawasan perlindungan kerana dinafikan tempat tinggal, disebabkan pandemik." Banyak tempat perlindungan di Mexico ditutup atau mengurangkan kapasiti kerana pandemik itu.
Operasi polis berdekatan lokasi perlindungan atau tempat di mana pendatang menerima bantuan perubatan dan kemanusiaan "mendorong penghijrah terus bersembunyi, memilih jalan yang lebih berbahaya, menjadi lebih rentan terhadap jenayah terancang dan pemerasan," kata Caradonna. "Kita harus mengecam kekurangan perlindungan yang serius untuk kelompok ini."
- "Mereka menahan lebih ramai wanita kerana mereka tidak dapat lari, mereka membawa bersama kanak-kanak”
Saya berusia 21 tahun, berasal dari Honduras, dari Tegucigalpa. Di negara kami pada dasarnya tidak ada pekerjaan dan terdapat banyak geng. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk berhijrah, mencari kehidupan lebih baik.
Saya akan ke Amerika Syarikat atau sejauh mungkin. Jika dapat sampai ke Amerika Syarikat, maka Amerika Syarikat jadi pilihan. Jika tidak, saya akan tinggal di sini di Mexico untuk melihat jika dapat menyelesaikan dokumentasi saya, supaya suatu ketika pada masa akan datang, untuk tinggal di Mexico. Mereka memberitahu saya Mexico City indah dan mungkin saya boleh tinggal di sana sebentar. Kami akan terus bergerak sejauh mungkin dan, dengan izin Tuhan, ke destinasi saya. Di sana mereka (ejen imigresen) mengejar kami, selama lebih kurang 40 minit. Kami harus berlari kerana tidak boleh membiarkan diri tertangkap. Semasa berlari, saya sedikit terluka kerana terkena kabel pagar, namun syukur saya berjaya melarikan diri dan kami menuju ke utara lagi. Kami tinggal di bukit dan di jalan raya kerana setakat ini kami tidak menemui tempat perlindungan atau rumah untuk migran, malah kami tidak dapat berehat dengan baik.
Kira-kira 400 orang datang ke bukit, tetapi dalam serbuan itu, sekitar 200 orang ditangkap. Bilangan kami makin sedikit berbanding ketika di kereta api. Separuh adalah wanita dan separuh lagi lelaki. Sekarang wanita semakin kurang, kerana mereka paling ramai ditangkap, disebabkan dengan kanak-kanak mereka tidak dapat berlari jauh dan cepat. Dan lelaki, anda tahu, mereka lari ke mana sahaja mereka boleh.
- Levi Josué Hernández Ramos-
- "Ketika anak lelaki tidur, saya berjaga"
Saya berusia 29 tahun, pernah bekerja di ladang. Saya mempunyai tiga anak berusia 15, 11 dan 8 tahun. Saya berhijrah dengan anak lelaki saya berusia 11 tahun, rakan seagama dan bayinya. Anak-anak saya yang lain tinggal bersama ibu saya di Honduras.
Dengan taufan di Honduras, saya kehilangan rumah, saya kehilangan segalanya. Saya berakhir di jalanan. Tujuan saya ke New York, di mana abang saya berada. Sudah 20 hari sejak saya memasuki Mexico. Kami tidur di bukit, di jalan, menahan kelaparan dan malam tanpa tidur kerana kami tidak mempunyai wang. Kami hanya dapat mencari tempat perlindungan di Salto de Agua. Kami tinggal di sana dua malam dan dari sana kami hanya berjalan dan tidur di mana saja kami berada ketika malam menjelang.
Tempat perlindungan di sini, (Casa del Migrante Diócesis de Coatzacoalcos) ditutup. Mereka memberi kami makanan dan kopi, tetapi kami tidak lagi dapat tidur di dalam. Semalam saya meminta mereka membenarkan saya mandi dengan anak saya kerana sebenarnya kami tidak dapat berbuat demikian selama dua hari dan mereka hanya membenarkan saya masuk untuk mandi dengan dua kanak-kanak, bayi rakan seagama saya dan anak saya, sebelum mereka membawa saya keluar.
Kami dapat makan atas budi baik orang ramai.
Mereka mengambil wang yang sedikit yang kami bawa dari Guatemala. Di semua pusat pemeriksaan mereka meminta 150 atau 200 kuetzal dan mengancam mengusir kami kerana mereka meminta surat kebenaran dan pasport saya. Saya tidak memiliki kedua-duanya.
Saya takut untuk terus berada di jalan kerana apa saja boleh berlaku kepada kami. Saya takut anak saya diambil daripada saya. Saya tidak dapat tidur. Saya tidak tidur kerana semasa anak saya tidur, saya tetap berjaga-jaga.
Saya juga takut dihantar pulang ke negara saya. Keadaannya sangat sukar. Jika saya mempunyai pekerjaan di sana, saya tidak akan mempertaruhkan anak saya, atau meninggalkan anak-anak saya yang lain di sana.
Kami berlegar meminta air, kami mengisi botol dan beberapa orang memberi kami wang untuk membeli makanan. Kami selalu menggunakan topeng, dan gel, dan saya berusaha menjauhkan diri daripada orang.
Anak saya sangat tertekan dan berkata, "Ibu, mengapa kita tidak bergerak?" Tetapi saya harus menunggu sehingga kereta api pergi. Satu sudah pun berlepas, tetapi saya tidak mahu meneruskan perjalanan kerana terdapat banyak orang dan saya lebih suka menunggu sepuluh kereta api lagi, supaya anak saya dapat melakukan perjalanan dengan selamat.
Saya sedih kerana mempertaruhkan anak saya dalam perjalanan ini, dan tidak dapat memberinya keselesaan seperti kanak-kanak lain. Paling membimbangkan saya keselamatannya dan tidak mempunyai wang untuk memberinya makanan. Itu paling menyakitkan saya. Kesihatannya sedikit merosot. Kerana kadang-kadang mereka memberi saya makanan, saya katakan kepadanya "makan segalanya, sayangku" dan dia berkata, "jika anda tidak makan, saya tidak makan" dan kemudian saya katakan kepadanya "Saya tidak lapar". Walaupun saya lapar, saya katakan begitu kepadanya supaya dia boleh makan, tetapi jika saya tidak makan, dia juga mengatakan bahawa dia tidak lapar.
Saya mengatakan jika Tuhan memberi saya peluang untuk sampai ke sana, masa depan saya akan berbeza kerana impian saya adalah membina semula sebuah rumah untuk anak-anak saya dan mempersiapkan mereka untuk hidup dengan pelajaran, baik untuknya dan mereka yang saya tinggalkan di Honduras. Untuk mempunyai pekerjaan yang baik, tidak kira apa jua, dan membantu keluarga saya. Untuk ke sana supaya anak saya mempunyai tempat tidur dan dapat berehat di tempat yang selamat.
- Kimberly, from Copán Ruinas, Honduras-
- "Tiada tempat perlindungan, penduduk setempat benarkan kami tinggal di rumah mereka"
Saya berada di jalanan selama lapan hari. Semasa tiba di sini (Coatzacoalcos), kami mencuci pakaian, mandi dan membayar wifi supaya dapat memberitahu saudara-mara bahawa kami baik-baik saja ketika ini. Kami terus berhubung kerana mereka prihatin dan supaya mereka tahu keadaan kami baik. Semuanya berjalan lancar, terima kasih Tuhan. Saya sedikit letih akibat berjalan jauh.
Sekarang ramai orang datang. Kira-kira 500 daripada kami datang ke sini dari Chontalpa, tetapi mereka mengejar kami di El Limonar dan ramai ditangkap. Kami menyelinap melalui bukit dan melarikan diri, terima kasih Tuhan, namun ramai kehilangan impian untuk sampai ke Amerika Syarikat. Ia penamat bagi mereka kerana dihantar pulang ke negara mereka. Mereka menangkap lebih ramai wanita dengan anak-anak kerana menaiki kereta api dan lebih sukar untuk melompat keluar serta melarikan diri ke bukit. Banyak keluarga datang dengan kanak-kanak, ibu dan bapa bersama anak-anak mereka.
Situasinya sangat sukar, sebab itulah kami berada di negara asing. Saya berpendapat bahawa Biden menolong banyak orang, dia telah memberi banyak keluarga, rakan senegara, peluang untuk tinggal, jadi sebab itulah kami datang.
Kami tidak berdepan rompakan. Sekarang pencuri adalah polis Mexico kerana mereka mengambil sedikit wang yang kita ada untuk bertahan. Sekiranya mereka menangkap anda, mereka akan memaksa anda membayar untuk meneruskan perjalanan. Tidak ada tempat perlindungan, hanya mereka yang memiliki belas kasihan melindungi kami, tanpa masalah, di rumah mereka dan anda menghargainya kerana anda tidak perlu lagi mengambil risiko tidur di bukit. Kami akan berehat di sini di Coatzacoalcos untuk mengumpulkan kekuatan. Tujuannya untuk terus maju.
- Roger Ramos, lelaki berusia 39 tahun dari jabatan Francisco Morazán di Honduras-
Pencari suaka dan migran dalam risiko
Testimoni dikumpulkan Doctors Without Borders di daerah ini membuktikan peningkatan serbuan dan penangkapan di perbatasan selatan Mexico, meletakkan kesihatan fizikal dan mental pencari suaka dan migran dalam risiko.
Mencari suaka – dan kehidupan lebih baik
Kereta api barang yang melintasi Mexico, dikenali La Bestia, menjadi pengangkutan biasa bagi migran untuk sampai ke sempadan utara. © Yesika Ocampo/MSF
Migran yang tiba di Kota Coatzacoalcos tidur di luar Casa del Migrante Diocesis di Coatzacoalcos kerana tidak dibenarkan berlindung di situ pada malam itu. © Yesika Ocampo / MSF
Roger Ramos, seorang lelaki berusia 39 tahun dari Honduras dari jabatan Francisco Morazán. "Kami datang ke Coatzacoalcos. Tidak ada tempat perlindungan, hanya petugas kemanusiaan melindungi kami. Ia sangat dihargai kerana kami tidak lagi tidur di tempat terbuka dalam bahaya. Dalam perjalanan dari Chontalpa kami seramai 500 orang tetapi ramai ditangkap pihak berkuasa, terutama wanita dengan anak-anak mereka kerana keadaan itu menyukarkan mereka untuk melompat dari kereta api dan melarikan diri. " © Yesika Ocampo / MSF
Kimberly bekerja di ladang. Dia berhijrah bersama anaknya berusia 11 tahun. Dia terpaksa meninggalkan anak-anaknya yang lain di Honduras. Dia ingin ke NY dan mencari kerja, kerana ribut taufan menyebabkannya kehilangan rumah dan sumber pekerjaan. Dia telah melalui perjalanan selama 20 hari, menahan lapar dan kurang tidur. Dia terpaksa tidur di jalan dengan anaknya kerana tidak mudah mencari tempat perlindungan. © Yesika Ocampo / MSF
Levi Josué Hernández Ramos, 21, dari Honduras, dari Tegucigalpa. "Di negara kami tidak ada pekerjaan dan terdapat banyak geng. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk berhijrah, mencari kehidupan lebih baik. Di sana mereka mengejar kami (ejen imigresen). Tangan saya sedikit terluka terkena pagar, tetapi saya berjaya melarikan diri. Kami tinggal di pergunungan dan di landasan keretapi kerana kami tidak menemui tempat perlindungan dan kami tidak dapat berehat dengan baik." © Yesika Ocampo / MSF
Di sepanjang sempadan utara Mexico, pasukan Doctors Without Borders menyaksikan peningkatan pengusiran besar-besaran pencari suaka dan migran oleh AS di bawah perintah Judul 42. Semua individu ini dihantar pulang ke Mexico tanpa proses sewajarnya ke bandar yang tidak dikenali dan selalunya berbahaya di sepanjang sempadan utara. Di Reynosa, Nuevo Laredo dan Ciudad Juárez, pasukan Doctors Without Borders memberikan bantuan perubatan kepada ratusan keluarga yang dihantar pulang, yang kini terdampar, menunggu perlindungan.
"Pasukan kami memberikan laporan mengenai perlakuan tidak berperikemanusiaan diterima migran di pusat tahanan di AS, kesannya terhadap kesihatan mereka, dan tekanan akut yang mereka bawa bersama," kata Geaninna Ramos, penasihat perubatan Doctors Without Borders.
"Mereka dideportasi ke bandar-bandar sempadan di Mexico, tanpa informasi tentang di mana mereka berada dan apa yang akan mereka lakukan selanjutnya. Terdapat ramai wanita dengan kanak-kanak bersama mereka, yang belum makan atau menerima rawatan bermaruah semasa dalam tahanan, dan tanpa langkah pencegahan COVID-19. Kami merawat seorang gadis berusia 4 tahun yang tiba di Ciudad Juárez dalam keadaan dehidrasi, kerana dia tidak diberi walaupun air di sel [tahanan] di Amerika Syarikat."
Saya masuk melalui sempadan Reynosa, dan mereka menghantar saya pulang ke Nuevo Laredo. Saya tidak mempunyai cara untuk berkomunikasi dengan sesiapa. Pegawai imigresen melayan anda dengan teruk. Anda bertanya soalan dan mereka menjerit kepada anda, mereka menolak anda. Untuk mencari kanak-kanak bawah umur, mereka diletakkan menghadap bas dengan tangan ke atas dan mereka ditolak. Saya berfikir tentang anak saya. Saya tidak mahu berfikir bahawa anak saya akan dipukul, kerana saya melihat bagaimana mereka menolak untuk mencari mereka. Mereka melayan kami dengan teruk. Kami melarikan diri dan kami tidak berniat menyakiti sesiapa, tetapi saya rasa semua orang tidak mengerti.María, berhijrah bersama anaknya
Doctors Without Borders menyaksikan serbuan yang kerap dan penangkapan sewenang-wenangnya di sempadan selatan Mexico. © Yesika Ocampo/MSF
Kurangnya perlindungan bagi pencari suaka dan migran, kurangnya bantuan kemanusiaan yang mencukupi, kurangnya penyertaan dalam usaha pencegahan COVID-19, kriminalisasi terhadap mereka yang dipaksa mencari perlindungan, kerentanan mereka terhadap kumpulan penjenayah yang terbabit dalam penculikan, pemerasan dan pemerdagangan - ini bukan masalah baharu.
"Kami telah melihat dasar penghijrahan berbahaya ini pada masa lalu," kata Caradonna. "Kami tahu bahawa mereka bukannya tidak menggalakkan migran, tetapi hanya mendorong mereka untuk bersembunyi dan menyusuri jalan yang lebih berbahaya, di mana mereka mungkin lebih terdedah kepada jenayah terancang, beralih kepada perdagangan manusia dan mempertaruhkan nyawa mereka."
Seperti dinyatakan awal bulan ini oleh jurucakap pentadbiran AS, peningkatan kehadiran keselamatan di wilayah ini bertujuan mencegah penghijrahan: "Tujuannya supaya lebih sukar untuk melakukan perjalanan, dan menjadikan rentas sempadan lebih sukar."
"Kita harus lebih jelas dan memerhatikan lebih mendalam dasar-dasar ini," kata Caradonna. "Menjadikan perjalanan lebih sukar bagi pendatang bermaksud menjadikannya lebih berbahaya."
Doctors Without Borders sekali lagi menyeru AS, Mexico, dan kerajaan lain di rantau ini untuk menamatkan dasar penghijrahan yang menindas ini. Pencari suaka dan migran mesti diberi jaminan perlindungan dan bantuan kemanusiaan yang mencukupi sesuai dengan undang-undang dan norma domestik dan antarabangsa. Dalam konteks pandemik COVID-19, usaha harus dilakukan untuk melindungi pendatang daripada virus melalui penyediaan lokasi perlindungan mencukupi dan tempat yang selamat.
Mereka yang dihantar pulang di bawah Judul 42 yang memasuki Reynosa dikembalikan ke Ciudad Juárez dan Nuevo Laredo. Di Ciudad Juárez, mereka diintai sindiket pemerdagangan manusia yang akan menculik dan mengugut mereka, dan di Nuevo Laredo, mereka yang tidak berada di tempat perlindungan terdedah kepada insiden tembakan yang kerap. Migran yang kami bantu di tempat perlindungan memilih untuk tidak ke luar kerana terdapat penembakan hampir setiap hari.Ivanna Servín, ahli psikologi