Skip to main content

Malawi: Doctors Without Borders menyokong penyediaan akses penjagaan kesihatan kepada populasi yang terpisah selepas taufan Freddy

Cyclone Freddy in Nkhulambe, Phalombe District, Malawi

Orang ramai menyeberangi jambatan sementara di atas air yang mengalir akibat hujan lebat selepas taufan Freddy. Nkhulambe terletak di daerah Phalombe di bahagian bawah gunung Mulanje dan mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh serta lumpur yang menuruni cerun © Pascale Antonie/MSF

Seluruh kampung diselaputi tanah runtuh dan lumpur, banjir kilat akibat hujan lebat menghanyutkan rumah, jalan raya dan jambatan. Puluhan ribu orang di beberapa daerah selatan negara kini mendapati diri mereka terputus daripada akses kepada kemudahan kesihatan, yang sama ada musnah atau tidak dapat dihubungi lagi kerana kesan taufan ke atas rangkaian jalan raya
Rasmane Kabore, Penyelaras Kecemasan

Berikutan bencana itu, Doctors Without Borders bertindak balas terhadap keperluan perubatan dan kemanusiaan di dalam dan sekitar bandar Blantyre, di mana kami menyediakan pemeriksaan dan rawatan untuk kanser serviks sejak 2018.

Pasukan Doctors Without Borders menyokong Hospital Pusat Queen Elizabeth (QECH) di Blantyre melalui sumbangan bekalan perubatan dan kakitangan untuk merawat mereka yang cedera serta menjalankan pembedahan ortopedik. Selepas melawat beberapa kem di daerah Blantyre, yang kebanyakannya terletak di bangunan perbandaran seperti sekolah, kami menyediakan air bersih dan klorin, memulihkan rangkaian air, mengosongkan tandas dan mengedarkan barangan bukan makanan seperti selimut, kayu api dan peralatan memasak.
Guilherme Botelho, Penyelaras Projek

Kira-kira 50 kem kelihatan didirikan di sekitar bandar dengan bilangan mereka yang dipindahkan antara sedozen hingga lebih 2,500 orang. Kami akan terus memberikan sokongan dan menilai keperluan perubatan serta bukan perubatan bagi kem yang paling ramai penduduk.

Selepas beberapa siri misi penilaian, pasukan Doctors Without Borders mula bertindak balas di Phalombe, Mulanje, Chikwawa dan Nsanje, beberapa daerah yang paling teruk terjejas.

Cyclone Freddy in Nkhulambe, Phalombe District, Malawi

Penduduk menolak dan membawa motosikal merentasi parit di mana sebuah jambatan runtuh selepas taufan Fredddy. Nkhulambe terletak di daerah Phalombe di bahagian bawah gunung Mulanje dan mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh dan lumpur yang menuruni cerun. © Pascale Antonie/MSF

Cyclone Freddy in Phalombe, Malawi

Sebuah pengusung berada di luar pusat Kesihatan Phalombe, yang dinaiki air dan lumpur semasa taufan Freddy. Daerah Phalombe terletak di bahagian bawah gunung Mulanje dan mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh dan lumpur yang menuruni cerun.© Pascale Antonie/MSF

 Cyclone Freddy in Nkhulambe, Phalombe District, Malawi

Runtuhan bersebelah rumah yang rosak akibat taufan Freddy. Nkhulambe terletak di daerah Phalombe di bahagian bawah gunung Mulanje dan mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh dan lumpur yang menuruni cerun. © Pascale Antonie/MSF

 Cyclone Freddy in Nkhulambe, Phalombe District, Malawi

Kakitangan Doctors Without Borders menilai kerosakan jambatan yang runtuh semasa misi eksplorasi selepas taufan Freddy. Nkhulambe terletak di daerah Phalombe di bahagian bawah gunung Muljane dan mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh dan lumpur yang menuruni cerun. © Pascale Antonie/MSF

Daerah tenggara Phalombe dan Mulanje terletak di bahagian bawah gunung Mulanje, yang mana selepas musim hujan lebat sedia ada, dilanda pula hujan lebat Freddy yang menyebabkan banjir lumpur dan runtuhan batuan yang kuat. Di Phalombe, pasukan kami melawat tiga kemudahan kesihatan termasuk pusat kesihatan awam Nkhulambe, yang kini dipenuhi serpihan, lumpur dan batu besar, menyebabkan kira-kira 54,000 orang di kawasan berhampiran hampir tiada akses kepada penjagaan kesihatan.

Kawasan ini benar-benar terputus daripada populasi umum. Kami akan merancang langkah seterusnya supaya kami dapat bertindak balas terhadap keperluan penduduk dan membantu mereka mendapatkan semula akses kepada penjagaan kesihatan seperti perkhidmatan pesakit luar am dan rujukan kecemasan perubatan atau pembedahan secepat mungkin.
Robert Wellemu, Penyelaras Perubatan

Kementerian Kesihatan Malawi, Doctors Without Borders dan rakan kongsi kemanusiaan lain berhasrat memulihkan akses kepada perkhidmatan kesihatan penting di Nkhulambe dengan cepat dengan menubuhkan pos kesihatan lanjutan. Pasukan Doctors Without Borders sudah pun dalam perjalanan dengan kakitangan perubatan dan logistik bersama bekalan perubatan.

Lebih jauh ke selatan, dalam tindak balas diselaraskan Kementerian Kesihatan, Doctors Without Borders dan rakan kemanusiaan cuba untuk sampai ke zon keutamaan Ngabu, di daerah Chikwawa, pertengahan antara Blantyre dan Nsanje serta bandar Makhanga, Osiyana dan Sankhulani di daerah Nsanje, yang semuanya bersempadan dengan Mozambique. Akses ke zon ini amat sukar kerana rangkaian jalan raya yang rosak atau ditenggelami air menyebabkan pusat kesihatan kekurangan bekalan dan penduduk terputus daripada akses kepada perkhidmatan perubatan. Matlamatnya adalah untuk sampai ke semua kawasan ini sebelum akhir minggu bagi menjalankan penilaian terperinci dan bertindak balas terhadap keperluan perubatan segera. Kami sangat berjaga-jaga dengan kemungkinan peningkatan bilangan mereka yang terjejas akibat taun di zon ini.

Daerah yang terjejas disebabkan taufan Freddy adalah Balaka, Bandar Blantyre, Daerah Blantyre, Chikwawa, Chiradzulu, Machinga, Mangochi, Mulanje, Neno, Nsanje, Phalombe, Thyolo, Bandar Zomba dan Daerah Zomba.

Laporan daripada Jabatan Hal Ehwal Pengurusan Bencana (DoDMA) Malawi pada 21 Mac menyatakan mangsa meningkat kepada 507 kematian, 1,332 cedera dan 537 hilang. Laporan itu menambah bahawa angka yang dipindahkan berjumlah 553,614 dengan 543 kem, yang kebanyakannya dibuka di sekolah, untuk menempatkan mereka.

Categories