Kenya: Tindak balas kemanusiaan segera diperlukan sekarang untuk menangani peningkatan kes kekurangan zat makanan
Seorang wanita menyuap susu kepada anak perempuannya berusia sembilan bulan, Egura, melalui picagari di Pusat Pemakanan Terapeutik Pesakit Dalam (ITFC) di Pusat Kesihatan Illeret. Egura dimasukkan ke wad dengan kekurangan zat makanan akut yang teruk dan ibunya tidak dapat menyusu selama beberapa hari kerana tidak mempunyai susu badan disebabkan kekurangan makanan. Kenya, 2022. © MSF/Lucy Makori
Di bahagian timur laut Kenya, kemarau berterusan melanda berikutan ketiadaan hujan selama tiga musim berturut-turut, menjadikan situasi ketidakamanan makanan yang sedia teruk lebih parah. Daerah Marsabit kini pada fasa krisis tahap tiga dengan kadar kekurangan zat makanan akut yang tinggi atau melebihi biasa. Jika bantuan perubatan dan kemanusiaan tidak bertambah baik, keadaan ini mungkin berterusan hingga September 2022. Walaupun krisis kemarau berpanjangan, pelaburan untuk nutrisi bagi wilayah ini kurang mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dan di peringkat pusat.
60% ternakan hilang
Di kawasan Illeret, kes kekurangan zat makanan meningkat dalam isi rumah kerana orang ramai kurang minum susu diseabkan kesihatan yang mersoot dan kematian ternakan dalam komuniti penggembala ini.
Telite, ibu kepada enam anak berusia 26 tahun dari kampung Lomadang, mempunyai anak lelaki kembar yang masih menyusu dan kini dalam program pemakanan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) dan rakan kongsi dengan kekurangan zat makanan akut yang sederhana dan teruk. Susu badannya tidak mencukupi kerana dia sendiri hampir tidak ada apa-apa untuk dimakan.
“Kami juga ada 20 lembu dan biri-biri,” kata Telite, “tetapi semuanya telah mati. Kami mengumpul bangkainya berhampiran jalan untuk dibakar.” Padang rumput dan sumber air berkurangan, memaksa kami berjalan jauh untuk mencari kawasan ragut buat ternakan dan untuk kegunaan domestik. Isi rumah hampir tidak makan setiap hari. "Saya kini mengumpul kayu api untuk dijual berhampiran Ethiopia," kata Telite. “Saya juga mengambil air dari perigi dan menjualnya. Kalau dapat duit, saya beli tepung untuk buat bubur, tapi kadang-kadang bila tak menjualnya, kami hanya tidur berlapar.”
Keadaan bertambah buruk dengan akses kepada makanan di pasaran berkurang dan jual beli juga merosot, disebabkan harga barangan runcit meningkat antara 25 hingga 50 peratus. Kekurangan makanan ini menyebabkan keluarga berkongsi makanan tambahan diberikan kepada kanak-kanak kekurangan zat makanan.
Wanita mengambil air di salah satu perigi cetek di sepanjang dasar sungai yang kering di Illeret. Kemarau melanda menyebabkan kekurangan air di wilayah itu memaksa penduduk mencari sumber air alternatif, tidak selamat untuk kegunaan manusia. Kenya, 2022. © MSF/Lucy Makori
Krisis kekurangan zat makanan yang semakin teruk
Pada Februari 2022, Doctors Without Borders menjalankan penilaian di lima sub-daerah Marsabit. Sub-daerah Horr Utara, khususnya di Illeret, membentangkan situasi keselamatan makanan paling teruk dan bilangan kanak-kanak kekurangan zat makanan tertinggi. Saringan besar-besaran dilakukan oleh UNICEF di Marsabit, juga pada Februari, menunjukkan kadar kekurangan zat makanan akut global yang kritikal sebanyak 23.3 peratus. Sebelas kanak-kanak kekurangan zat makanan yang juga pesakit dalam program itu meninggal dunia antara pertengahan Februari hingga pertengahan Mac.
Memandangkan bilangan kekurangan zat makanan meningkat di Illeret, pengurusan pesakit yang memerlukan rawatan di pusat kesihatan menjadi satu cabaran. Jarak kemudahan rujukan terdekat adalah lima jam memandu, dengan hampir tidak ada kenderaan pengangkutan awam, memburukkan lagi keadaan kakitangan perubatan dan ubat terhad di kemudahan kesihatan awam.
Kementerian Kesihatan dan rakan kongsi menjalankan aktiviti jangkauan untuk menyokong pengurusan bersepadu kekurangan zat makanan akut di beberapa sub daerah. Aktiviti ini tidak dapat dilakukan dengan kerap, mengurangkan usaha mengenal pasti kanak-kanak kekurangan zat makanan dan tindakan susulan dalam komuniti.
Lebih banyak pembiayaan dan koordinasi diperlukan supaya dapat memenuhi keperluan kritikal rakyat dan menangani kekurangan zat makanan. Jangkauan mudah alih perlu menawarkan penilaian dan sokongan pemakanan secara tetap. Pada masa lalu, cabaran logistik dan sumber manusia bermaksud klinik jangkauan hanya diadakan sekali atau dua kali sebulan, menghalang kemajuan rawatan kanak-kanak kekurangan zat makanan dan tindakan susulan.Edi Atte, Pengarah Negara
Tindak balas Doctors Without Borders
Doctors Without Borders bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan rakan kongsi untuk memperkukuh komponen perubatan aktiviti pengurusan pemakanan di Illeret. Pasukan Doctors Without Borders menyokong pemeriksaan, diagnosis dan pengurusan kanak-kanak kekurangan zat makanan akut. Pencarian kes aktif dan pengawasan meningkatkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai akses kepada penjagaan ini.
Sejak kami memulakan intervensi pada Mac, terdapat peningkatan dalam kemasukan kanak-kanak dengan kekurangan zat makanan akut dan kanak-kanak tidak bertindak balas terhadap rawatan. Kami meningkatkan rujukan ke pusat penstabilan di Illeret. Ini menyelamatkan nyawa.Edi Atte, Pengarah Negara
Doctors Without Borders juga membantu menyesuaikan jabatan pesakit dalam Pusat Kesihatan Illeret kepada pusat pemakanan terapeutik pesakit yang dilengkapi 10 katil. Ibu-ibu di pusat penyusuan juga menerima sekurang-kurangnya tiga hidangan sehari, untuk meningkatkan laktasi mereka.
Apa perlu dilakukan SEKARANG?
Sekarang hujan di wilayah ini dan pengagihan makanan sedang berlaku. Namun, masih terdapat keperluan kritikal untuk pengagihan makanan yang konsisten, berkualiti dan mencukupi untuk isi rumah. Penyelesaian jangka panjang mesti dicari untuk membantu orang ramai mengakses air, isu yang terus memberi kesan kepada kesihatan kanak-kanak.
"Doctors Without Borders menyeru kepentingan pengagihan makanan yang berterusan kepada semua isi rumah di Illeret dan peningkatan sumber manusia untuk Pusat Kesihatan Illeret," kata Edi Atte. "Penderma perlu bertindak sekarang untuk mengelak malapetaka kemanusiaan yang akan berterusan sekiranya banyak perkara tidak dilakukan dengan cepat."