Skip to main content

Inovasi: apabila AI membantu naik taraf diagnosis kanser serviks

Patient during chemotherapy session at Queen's Elizabeth Central Hospital. Malawi, December 2022. © Diego Menjibar

"Sebelum memulakan rawatan, saya mengalami kesakitan yang teruk dan tidak boleh makan atau tidur pada waktu malam. Sejak memulakan rawatan, saya berasa lebih baik," kata seorang pesakit semasa sesi kemoterapi di Hospital Pusat Queen's Elizabeth. Malawi, Disember 2022. © Diego Menjibar

Bagaimanakah kita boleh menjelaskan kadar kematian tinggi akibat penyakit ini ketika, di negara berpendapatan tinggi, ia mudah dicegah dan secara amnya kurang membawa maut? Puncanya termasuklah akses terhad kepada pencegahan dan pemeriksaan, serta diagnosis yang tidak selalunya boleh dipercayai.

Clara Nordon, Pengarah Yayasan MSF, baru sahaja pulang dari lawatan ke Malawi bersama pasukan Doctors Without Borders  dan memberitahu kami tentang projek yang diketuai oleh Yayasan. Nama kod: AI4CC

Clara, boleh anda "huraikan" mengenai "nama kod" dalaman ini dan beritahu kami tentang projek yang baharu muncul ini

"Oh ya, kami sukakan akronim di MSF (Doctors Without Borders)! Ia singkatan dari Artificial Intelligence for Servical Cancer (Kecerdasan Buatan untuk Kanser Serviks). Projek ini bermula tiga tahun lalu. Ideanya untuk mengusahakan protokol baharu yang dipertingkatkan untuk saringan kanser serviks.

Matlamatnya untuk meningkatkan saringan kanser serviks bagi mengesan wanita sebelum mereka mencapai peringkat kanser dan merawat mereka dengan mudah. Kerana kita tahu, apabila dikesan awal, rawatan boleh dijalankan segera di pusat kesihatan dan agak tidak menyakitkan serta sangat cepat, hanya mengambil masa beberapa minit. Oleh itu, kita tidak boleh "lepaskan" peluang ini.

Terdapat tiga cara untuk melakukannya: menyaring lebih ramai wanita, lebih awal dan lebih tepat.
             .
Oleh itu, kami sedang mengusahakan gabungan tindakan ujian membabitkan usaha meningkatkan ujian PCR yang sangat tepat dengan harga berpatutan serta penilaian visual yang lebih baik melalui penggunaan Kecerdasan Buatan. Jika kami berjaya, maka ada harapan sebenar untuk membawa perubahan yang nyata di lapangan serta menyelamatkan nyawa ramai wanita yang terjejas disebabkan penyakit ini.

Kita perlu benar-benar membayangkan apa yang dimaksudkan untuk hidup dengan kanser serviks di Malawi: kekurangan pilihan rawatan apabila ia menjangkiti, kesakitan ditimbulkannya serta penyisihan dalam sesetengah kes; maksudnya seluruh unit keluarga terjejas di negara yang hampir 10% orang dewasa positif HIV!"

Bagaimana dapat diperjelas fakta bahawa ramai wanita masih maut akibat kanser ini di Malawi dan di banyak LMIC, sedangkan di negara berpendapatan tinggi, penyakit ini mudah dicegah dan secara amnya kurang membawa maut?

"

"Pertama, akses kepada vaksin HPV masih terhad di sana, walaupun ia satu-satunya vaksin yang boleh mencegah kanser, kanser yang serius. Kedua, kaedah saringan semasa, berdasarkan penilaian visual serviks, tidak boleh dipercayai. Walaupun kaedah ini murah dan mempunyai kelebihan kerana boleh dijalankan segera di pusat kesihatan, ia meninggalkan terlalu banyak ruang untuk tafsiran dan sudah tentu kesilapan. Ini bermakna wanita yang telah disaring kadang-kadang pulang ke rumah hanya untuk kembali beberapa tahun kemudian dengan kanser yang tidak boleh dirawat lagi.

Pasukan Doctors Without Borders benar-benar melakukan kerja luar biasa di lapangan dan terlalu kerap perlu merawat wanita yang pilihan rawatannya tidak lagi tersedia. Ia juga satu beban sangat berat kepada kakitangan kejururawatan.

Kami perlu mencari jalan untuk menambah baik strategi saringan ini dan mengurangkan jurang terbabit. Kanser ini disebabkan virus, dan kita mesti memikirkan perjuangan ini seperti yang kita fikirkan tentang perjuangan melawan wabak. Vaksinasi dan diagnosis adalah rakan terbaik kami."

Bagaimana projek ini dibangunkan?

"Doctors Without Borders, seperti aktor lain yang terbabit dalam pencegahan dan rawatan kanser ini, tertumpu kepada peningkatan kualiti saringan. Namun apabila terdapat percanggahan walaupun dalam kalangan pakar terhebat, ruang untuk penambahbaikan adalah terhad. Pada awal 2020, bahagian perubatan memaklumkan kepada kami mengenai kajian diterbitkan Jurnal Institut Kanser Kebangsaan yang menyerlahkan potensi kecerdasan buatan dalam analisis foto untuk pengesanan kecederaan tisu prakanser yang lebih baik. Berdasarkan pengalaman kami dengan Antibiogo, kami memutuskan untuk menyiasat potensi AI selanjutnya. Pauline Choné, seorang perunding di Yayasan MSF, menyertai kami untuk memulakan kerja ini. Kami menghubungi pengarang, termasuk Mark Schiffman, pakar dalam epidemiologi molekul yang mengkaji HPV selama lebih 35 tahun dalam NCI! Charlotte Ngo, perunding onkologi Doctors Without Borders, Pauline dan saya bertekad untuk menerokai jalan ini bersama sejak pertemuan pertama. Apabila kami membincangkan misi Malawi, mereka serta-merta turut serta. Tanpa mereka, tidak banyak yang dapat kita lakukan.

Sebagai permulaan, setiap kami bersetuju untuk mengolah semula algoritma dan kemudian membandingkan hasilnya. Untuk melakukan ini, kami memutuskan untuk menggunakan bank imej serviks yang dikumpulkan oleh Doctors Without Borders dan membina alat anotasi "ideal" dari sudut pandangan doktor. Kami menjalin perkongsian dengan KTH (Institut Teknologi Diraja di Sweden) dan bekerja selama lebih setahun pada alat awal ini untuk AI,  fasa utama ini dipanggil anotasi set data.

Apabila kami selesai dengan alat anotasi, NCI memberitahu kami bahawa algoritma mereka sudah lengkap dengan hasil yang cukup muktamad untuk memulakan kajian pengesahan. Ia juga sebahagian daripada inovasi! Bekerja berbulan-bulan lamanya dan tidak semestinya dapat menggunakan hasilnya. Berita baiknya ialah kami akan dapat bergerak ke hadapan lebih pantas dan berpotensi lebih berguna di lapangan dengan lebih cepat.

Oleh itu, kami menumpukan semua usaha untuk membina perkongsian secara rasmi dan menghubungkan kepada Doctors Without Borders di Malawi dan Epicenter kepada kajian berskala besar yang NCI sedang sediakan: kajian PAVE.

Konsortium ini menyasarkan untuk menubuhkan satu kajian besar melibatkan 100,000 wanita seluruh dunia untuk menilai pendekatan baharu kepada pemeriksaan kanser serviks.
Dengan bantuan pasukan Doctors Without Borders di Malawi yang berada di barisan hadapan dalam projek ini, dan setelah pengesahan jawatankuasa etika Doctors Without Borders & pihak berkuasa Malawi, kami menyasarkan untuk memasukkan 10,000 wanita. Kohort ini akan menjadi sangat menarik dalam kajian ini kerana malangnya kita akan mempunyai kelaziman positif HIV yang tinggi, dan oleh itu berkemungkinan hasil yang turut membantu kita meningkatkan penjagaan bagi penduduk yang dua kali ganda terjejas ini."

Apakah sebenarnya pendekatan baharu ini? Bagaimana ia akan mengubah keadaan bencana semasa mengenai kanser ini?

"Kajian ini berdasarkan pengenalan dua inovasi utama:

  • •    Saringan sistematik melalui ujian PCR, yang akan menguji wanita dan mengenal pasti mereka yang merupakan pembawa HPV berisiko tinggi (dengan risiko tinggi untuk berkembang menjadi kanser), yang dimungkinkan oleh teknologi ujian baharu, lebih pantas dan lebih murah, yang mampu dipertingkatkan oleh Kementerian Kesihatan
  • •    Meningkatkan penilaian visual dengan bantuan AI
     

Untuk melakukan ini, semasa tempoh kajian, kami akan melakukan VIA dan menyimpan gambar serviks untuk wanita HPV+ dan memautkan statusnya melalui biopsi, yang menjadi antara sebab mengapa misi ini melengkapkan dirinya dengan makmal patologi anatomi skala penuh.
Berita baiknya ialah, walaupun sebelum keputusan kajian tersedia, kami akan  menyediakan saringan lebih baik terutamanya hasil ujian PCR yang sistematik."

Mengapa Yayasan MSF menyahut isu ini?

"Seseorang mungkin berfikir bahawa 4,000 wanita "tidak ramai", atau bahawa ini tidak mewakili tindakan berskala yang cukup besar. Namun apabila kami tahu bahawa pada 2020 hampir 3,000 wanita mati ketika ia dapat dielakkan, angka itu tidak dipeduli. Dan itulah juga maklum balas yang kami peroleh dari lapangan: ketidaksamaan yang terserlah dihadapi oleh wanita ini berpunca penyakit yang sememangnya mudah dicegah di tempat lain.

Peranan kami untuk bertindak sebagai penyelidik, untuk menilai apa yang boleh disumbangkan teknologi, melalui cara yang agak "mudah" dan langsung, kepada praktis perubatan dalam persekitaran yang rentan, dan untuk mengembalikan serta menyesuaikan setaip amalan dan alatan. Kerja utama kami kemudiannya adalah untuk "menetapkan" projek dengan menggunakan sumber terbaik yang tersedia secara dalaman dan luaran. Ini bermakna mengatur cara bekerja bersama beberapa kumpulan, dari latar belakang dan budaya yang berbeza... ke arah matlamat yang sama. Ia juga sangat mengujakan dan memberi nilai tambah."

Apa langkah besar seterusnya?

"Kajian kami bermula di Blantyre pada Mei 2023. Kajian prospektif ini akan berlangsung selama 12 bulan dan akan membekalkan data untuk kajian PAVE. Pada penghujung 2024, hasil kajian PAVE keseluruhan konsortium (membabitkan 100,000 wanita) akan diketahui. Jika keputusannya muktamad, NCI akan mengesyorkan supaya protokol baharu ini dipromosikan secara meluas dan digunakan dalam semua LMIC.  Kami berharap untuk akhirnya menukar protokol penyaringan dalam semua LMIC, yang akan memberi impak besar pada peringkat global."