Skip to main content

Haiti: Doctors Without Borders menyeru tindakan segera dipergiatkan untuk memerangi wabak taun

Nurse consults the mother of a child suffering from cholera at the cholera treatment center. Haiti, October 2022. © MSF/Alexandre Marcou

Jururawat ketika konsultasi bersama ibu kepada kanak-kanak yang dijangkiti taun di pusat rawatan kolera (CTC) di Pusat Kecemasan Doctors Without Borders di Turgeau. Haiti, Oktober 2022. © MSF/Alexandre Marcou

"Pusat sedia ada kami semakin penuh, dan kami akan mencapai kapasiti maksimum tidak lama lagi," kata Mumuza Muhindo, Pengarah Negara Doctors Without Borders di Haiti, merujuk kepada 389 katil yang sering penuh di enam pusat rawatan kolera (CTC) yang ditubuhkan Doctors Without Borders sejak kes pertama dikesan pada 29 September.

Sejak akhir Oktober, kami telah merawat purata 270 pesakit sehari di pusat kami, berbanding kira-kira 50 dalam dua minggu pertama. Secara keseluruhan, kami telah menerima lebih daripada 8,500 pesakit dan merekodkan 97 kematian; evolusinya sangat membimbangkan.
Mumuza Muhindo, Pengarah Negara

Doctors Without Borders antara segelintir organisasi yang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan untuk memerangi penularan taun, yang mana kemunculannya adalah simptom kepada situasi kemanusiaan dan kesihatan yang dahsyat. Wabak ini hadir dalam konteks krisis politik, ekonomi dan keselamatan yang belum pernah berlaku sebelum ini. Kini Port-au-Prince menjadi sebuah bandar yang dikepung dan menyesakkan, dengan jalan utama yang menghubungkannya ke seluruh negara dikawal kumpulan bersenjata.

Penyediaan bahan api berikutan pembukaan sekatan terminal minyak utama pada 4 November, dikuasai kumpulan bersenjata selama beberapa minggu, tidak membawa perubahan ketara kepada negara. Akses kepada bahan api terlalu mahal untuk sebahagian besar penduduk, yang sedang melalui krisis ekonomi teruk, dan fungsi kemudahan kesihatan kekal terjejas, dengan perkhidmatan ditutup dan trafik ambulans berkurangan. Akses kepada air bersih – elemen penting dalam memerangi taun – juga bergantung kepada pengagihan oleh lori tangki, yang juga bergantung kepada akses kepada bahan api, dan konteks keselamatan.

"Kota ini dipenuh sampah yang tidak dikutip selama berbulan-bulan," kata Muhindo, "dan tidak ada pengagihan air di kawasan kejiranan seperti Brooklyn di Cité Soleil, di mana jalan raya terputus oleh sampah dan banjir disebabkan terusan dan pembetung yang tersumbat, mencetus banjir yang besar". 

Part of the neighborhood of Cité l'Eternel is flooded due to the clogging of canals caused by poor waste management. Haiti, October 2022. © MSF/Alexandre Marcou

Sebahagian kejiranan Cité l'Eternel dinaiki banjir apabila terusan tersumbat disebabkan pengurusan sampah yang lemah. Taun merebak secara pantas di kawasan dengan penyelenggaraan pembentungan tidak mencukupi dan kurangnya akses kepada air bersih. Haiti, Oktober 2022. © MSF/Alexandre Marcou

Doctors Without Borders sahaja menguruskan lebih 60 peratus kapasiti katil untuk merawat pesakit taun di ibu negara. Pasukan bergerak yang terdiri daripada pakar air dan sanitasi serta penganjur kesihatan bekerja di kawasan kejiranan yang paling terjejas untuk meningkatkan kesedaran tentang langkah menghalang penyebaran penyakit; mereka juga menganjurkan aktiviti pengklorinan di kira-kira 100 mata air dan menyediakan lapan lokasi rehidrasi oral di mana komoditi asas dan air bersih diagihkan. Di sebalik aktiviti ini, Doctors Without Borders dan beberapa organisasi yang terbabit dalam tindak balas tidak akan mampu melakukan sepenuhnya untuk menangani wabak taun ini. Penggiat bidang kemanusiaan dan penderma lain mesti menyertai usaha tindak balas, sama ada dengan menubuhkan pusat rawatan atau dengan segera meningkatkan akses kepada aktiviti air selamat dan sanitasi.

Sangat penting juga bahawa vaksinasi digunakan sebagai alat asas dalam menangani penyakit ini. Beberapa ratus ribu dos vaksin telah diperuntukkan kepada negara ini oleh Kumpulan Penyelaras Antarabangsa (ICG), mekanisme antarabangsa untuk tindak balas vaksin terhadap wabak. Pihak berkuasa telah mengemukakan permintaan rasmi kepada ICG untuk mendapatkan beberapa dos vaksin. Doctors Without Borders bersedia untuk mula melaksanakan kempen vaksinasi bagi menyokong pihak berkuasa kesihatan dan untuk melengkapkan aktiviti promosi air dan sanitasi serta promosi kesihatan lain.
 
Memandangkan bilangan kes taun meningkat dalam komuniti masyarakat berbeza di ibu kota serta di jabatan lain juga, maka ia masih sukar untuk menilai tahap sebenar wabak itu.

Keadaan pusat rawatan taun yang sesak menghalang semua pesakit daripada dirawat, kesukaran untuk pesakit bergerak disebabkan kekurangan bahan api dan rasa tidak selamat, serta peningkatan kematian masyarakat, yang sukar untuk diukur, adalah tanda yang membimbangkan. Di kawasan kejiranan yang mempunyai tahap rasa tidak selamat yang tinggi, pesakit yang mengalami simptom teruk pada waktu malam selalunya terpaksa kekal berada di rumah kerana teksi motosikal enggan membawa mereka ke pusat kesihatan.
Michael Casera, Pakar Epidemiologi

Selama lebih 30 tahun, pasukan Doctors Without Borders telah menyediakan rawatan perubatan percuma di Haiti dan kini mengendalikan tujuh projek di seluruh negara, di ibu negara Port-au-Prince, di bahagian Selatan dan Artibonite, merawat kes kecemasan yang mengancam nyawa, trauma, melecur, mangsa yang terselamat daripada keganasan seksual dan menyediakan penjagaan kesihatan reproduktif. Doctors Without Borders juga kerap campur tangan dalam situasi kecemasan, seperti bencana. Pada 2021, pasukan Doctors Without Borders telah menjalankan 25,000 konsultasi kecemasan, merawat 3,220 orang akibat kecederaan berkaitan keganasan dan menyokong 1,560 mangsa yang terselamat daripada keganasan seksual. 

Categories