Skip to main content

Filipina: Lima tahun rawatan perubatan buat mangsa pengepungan Marawi yang terselamat

Philippines: Five years of medical care after the Marawi siege. 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Johaniya H Daud, jururawat NCD, bersama seorang pesakit dan dua anaknya yang masih kecil. Doctors Without Borders menyediakan ubat dan konsultasi percuma di klinik di Rorogagus dan dua pusat perlindungan IDP lain di Bandar Marawi, Filipina. Oktober 2022 © MSF/Regina Layug Rosero

Pada Disember 2022, dengan berakhirnya fasa akut dan pasca-kecemasan respons perubatan kami, Doctors Without Borders memutuskan untuk menutup projek kami dan menyerahkan aktiviti kami kepada aktor kesihatan tempatan.

Ketika aktiviti sampai ke penghujung, pesakit dan kakitangan Doctors Without Borders mengimbas kembali lima tahun projek Marawi.

Hidup berdekad dalam konflik dan pengepungan Marawi

Di selatan Filipina terletaknya Mindanao, sebuah pulau besar yang sejarahnya dicemari konflik lebih 50 tahun. Pertempuran antara kumpulan bersenjata dan tentera Filipina mengakibatkan keganasan kerap berlaku. Bandar Marawi terletak di wilayah Lanao del Sur dalam Wilayah Autonomi Bangsamoro Muslim Mindanao (BARMM). Wilayah ini sudah lama bergelut dengan indikator kesihatan dan ekonomi paling lemah di negara ini.

Ground Zero, Bandar Marawi

Philippines: Five years of medical care after the Marawi siege. October 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Bandar Marawi, Filipina. Oktober 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Marawi City, the Philippines. October 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Bandar Marawi, Filipina. Oktober 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Philippines: Five years of medical care after the Marawi siege. July 2022. © MSF/Ely Sok

Bandar Marawi, Filipina. Oktober 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Pada Mei 2017 dua kumpulan yang bergabung dengan Negara Islam merampas Marawi, mencetus konflik dengan Angkatan Tentera Filipina (AFP). Pertempuran berlarutan lima bulan, memaksa lebih 350,000 penduduk tempatan dari Marawi dan majlis perbandaran berdekatan meninggalkan kediaman mereka. Pertempuran memusnahkan pusat bandar sepenuhnya. "Pusat bandar Marawi, yang dipanggil 'Ground Zero', tidak ubah seperti gambar dalam berita dari Mariupol atau Mosul," kata Aurélien Sigwalt, ketua misi untuk Doctors Without Borders di Filipina.

"Saya hanya benar-benar sakit selepas pengepungan Marawi disebabkan masalah dan ketakutan kami. Kami berpindah semasa pengepungan Marawi, tanpa harta benda, tiada wang. Apa yang kami ada hanyalah apa yang terdapat dalam poket kami dan apa yang kami pakai. Dengan semua ketakutan dan masalah, setiap kali saya mendengar motosikal, saya fikir ia adalah helikopter. Perkara seterusnya yang saya tahu, hari sudah pagi, matahari telah terbit, dan saya tidak dapat tidur."

- pesakit Rasmia Magompara
Philippines: Five years of medical care after the Marawi siege. October 2022. Copyright: MSF/Regina Layug Rosero

Pesakit Rasmia Maonara Magompara, 56 tahun, berkata: "Sebelum pengepungan Marawi, kami mempunyai sebuah restoran dan tempat cuci kereta di Plaza Banggolo, dan kami memperoleh PHP30,000 hingga 40,000 sebulan. Semuanya musnah dalam pengepungan itu. Sekarang, saya mempunyai kebun, dan saya mengusahakan kedai makan, itulah cara saya mencari rezeki. Keluarga kami bekerja keras untuk mencari rezeki."

Rasmia menerima rawatan daripada Doctors Without Borders untuk hipertensi dan diabetes, dan dia sering mengunjungi klinik Sagonsongan. Bandar Marawi, Filipina. Oktober 2022 © MSF/Regina Layug Rosero

Menyokong mereka yang hilang tempat tinggal akibat pengepungan

Menjelang Julai 2017, Doctors Without Borders melancarkan projek untuk membantu orang ramai yang terpaksa meninggalkan rumah mereka ketika pertempuran. Doctors Without Borders memberikan sokongan dengan air dan sanitasi serta pertolongan cemas psikologi untuk keseluruhan 11,000 yang tinggal di pusat pemindahan di Marawi dan wilayah sekitarnya.

Dr Natasha Reyes adalah pengurus sokongan tindak balas kecemasan ketika itu. "Bahagian pertama tindak balas Doctors Without Borders adalah untuk memastikan orang ramai mendapat akses kepada air percuma dan bersih," katanya. "Kami mengedarkan tong jerry dan tablet penulenan air, membaiki paip dan tandas, memasang pancuran mandian, serta membina takungan supaya masyarakat dapat menyimpan air mereka."

"Keutamaan lain kami adalah sokongan kesihatan mental. Kami menganjurkan aktiviti psikososial untuk kanak-kanak. Tekanan yang dialami ibu bapa turut memberi kesan kepada mereka: pasukan kami menganjurkan terapi permainan untuk membuatkan mereka berasa seperti kanak-kanak semula. Kami juga mengadakan sesi satu lawan satu untuk orang dewasa dan kanak-kanak yang memerlukannya."

Daripada pemerhati kepada penganjur kesihatan

Amelia Pandapatan antara pelarian yang menerima sokongan daripada Doctors Without Borders pada 2017. “Saya melihat Doctors Without Borders pergi ke tempat perlindungan, mengendalikan program kesihatan mental, memberikan kit kebersihan,” ingatnya.

Philippines: Five years of medical care after the Marawi siege. October 2022 © MSF/Regina Layug Rosero

Amelia Pandapatan antara pelarian yang menerima sokongan daripada Doctors Without Borders pada 2017. Bandar Marawi, Filipina. Oktober 2022 © MSF/Regina Layug Rosero

Apabila dia mendapat tahu Doctors Without Borders sedang mengambil pekerja, dia segera memohon untuk menjadi penganjur kesihatan. Dia mengimbas kembali cabaran mereka hadapi pada 2017: "Pasukan perubatan bermula dengan sekumpulan kecil kakitangan tempatan. Kami mempunyai seorang doktor, seorang ahli farmasi, dua jururawat dan seorang penganjur kesihatan. Kami berjaya melakukan aktiviti harian di klinik, namun ia sedikit mencabar. Penganjur kesihatan akan membantu dengan pendaftaran, memeriksa tanda-tanda vital. Saya menjadi penterjemah antara doktor dan pesakit."

Memandangkan rekod indikator kesihatan yang lemah di rantau ini, maka tugas penganjur kesihatan sangat kritikal, dan ia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan Pandapatan. "Sebagai penganjur kesihatan, kami menyampaikan pendidikan kesihatan kepada pesakit dan komuniti kami. Saya rasa itu salah satu pencapaian kami, melihat pesakit kami mempunyai keupayaan untuk menguruskan kesihatan mereka sendiri."

Kehidupan dan keperluan kesihatan terganggu selepas konflik

Perlahan-lahan keadaan di Marawi kembali stabil. Penduduk yang kehilangan tempat tinggal berpindah dari khemah ke pusat pemindahan dan tempat perlindungan sementara, dengan keluarga terakhir berpindah ke pusat perlindungan pada Januari 2020. Disebabkan cabaran dalam membina semula bandar, ramai penduduk Marawi tidak dapat kembali ke pusat bandar, kekal di pusat perlindungan sehingga sekarang. Ramai belum diberikan permit untuk pulang ke rumah, atau mereka menghadapi cabaran dalam membina semula atau membaiki rumah disebabkan kekangan kewangan.

Daripada 39 kemudahan kesihatan di Marawi dan kawasan sekitarnya, 15 masih berfungsi menjelang 2020; yang lain sama ada telah musnah atau tidak dapat dibuka semula. Doctors Without Borders menyokong pemulihan kemudahan dan klinik Unit Kesihatan Luar Bandar (RHU) Marawi dan Pejabat Kesihatan Kota (CHO), serta klinik di tiga pusat perlindungan di bandar ini.

Pada 2018, Doctors Without Borders mula bekerja di klinik di tiga pusat perlindungan sementara, serta di CHO utama, menyediakan konsultasi dan ubat percuma untuk penjagaan kesihatan primer.

Philippines: Five years of medical care after the Marawi siege. October 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Penyelia penganjur kesihatan Sarah Ambor memberitahu pesakit bahawa mereka tidak boleh masuk ke klinik tanpa memakai pelitup muka. Semasa pesakit menunggu untuk masuk ke klinik, dia mengajar mereka mengenai kaedah mencuci tangan yang betul. Oktober 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Philippines: Five years of medical care after the Marawi siege. October 2022. © MSF/Regina Layug Rosero

Michelle Lovely Carl, Penyelia Pasukan Jururawat, menemu bual pesakit sebagai sebahagian proses triage di stesen kesihatan di Rorogagus. Bandar Marawi, Filipina. Oktober 2022 © MSF/Regina Layug Rosero

Memandangkan keperluan kecemasan semakin berkurangan, isu kesihatan yang berterusan lama sebelum pengepungan muncul semula. Hipertensi dan diabetes sejak itu disenaraikan antara 10 punca utama kematian di wilayah Lanao del Sur, itulah sebabnya Doctors Without Borders memulakan program yang memfokuskan kepada penyakit tidak berjangkit pada 2019.

Selain menyediakan konsultasi dan ubat-ubatan, kakitangan promosi kesihatan Doctors Without Borders turut menjalankan sesi pendidikan pesakit, di mana pesakit belajar mengenai penyakit tidak berjangkit dan apa yang boleh mereka lakukan untuk kekal sihat. "Apabila Doctors Without Borders mula bekerja di klinik di pusat perlindungan Rorogagus, saya dan isteri sangat bersyukur kerana ia dekat dengan kami, dan kami menerima ubat percuma," kata pesakit Said Abdullah, berusia 76 tahun. "Kami mengikut nasihat diberikan kepada kami. Saya telah bersenam dan mengelakkan makanan tidak dinasihatkan untuk mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi, dan kini keadaan saya lebih baik. Pening dialami setiap hari kini hilang.”

Antara 2018 dan 2022, pasukan Doctors Without Borders menjalankan 30,000 konsultasi penjagaan kesihatan primer dan lebih 10,000 konsultasi penyakit tidak berjangkit di Marawi.

Philippines: Five years of medical care after the Marawi siege. October 2022. Copyright: MSF/Regina Layug Rosero

Pesakit Said Abdullah, berusia 76 tahun, menjadi sebahagian peserta program penyakit tidak berjangkit (NCD) Doctors Without Borders di klinik Rorogagus di Bandar Marawi sejak Januari 2021. Dia mempunyai hipertensi. Bandar Marawi, Filipina. Oktober 2022 © MSF/Regina Layug Rosero

Menyerahkan aktiviti perubatan kepada aktor kesihatan tempatan

"Lima tahun selepas pengepungan, fasa akut dan pasca kecemasan berakhir. Pihak berkuasa kesihatan Marawi mempunyai kapasiti lebih baik untuk menguruskan pesakit penyakit tidak berjangkit, dan menyediakan penjagaan kesihatan utama kepada penduduk Marawi," kata Sigwalt. Ketika berkira-kira untuk penamatan projek, Doctors Without Borders bekerjasama rapat dengan CHO Marawi untuk meningkatkan kapasiti tempatan demi menyokong keperluan kesihatan dan menderma ubat-ubatan untuk menyokong penjagaan berterusan pesakit.

Pesakit yang sudah berada dalam jagaan program penyakit tidak berjangkit Doctors Without Borders dipindahkan secara beransur-ansur ke CHO sejak beberapa bulan lalu. Sarah Ambor, penyelia promosi kesihatan Doctors Without Borders, menjelaskan: "Kami mengadakan mesyuarat bulanan dengan CHO untuk memberikan maklumat terkini mengenai pesakit, ubat mereka dan keperluan mereka supaya pesakit dapat terus menerima penjagaan yang mereka perlukan."

Pada 2021 dan 2022, Doctors Without Borders juga melaksanakan program bimbingan untuk 67 kakitangan RHU di wilayah Lanao del Sur untuk pemindahan kemahiran teknikal serta pengetahuan mengenai pengurusan penyakit tidak berjangkit.

Lima tahun sejak pengepungan, bandar Marawi masih menanggung parut yang ditinggalkannya. Banyak struktur kekal dalam runtuhan di 'Ground Zero'. Hasrat pesakit Said Abdullah cukup mudah: "Apa yang boleh saya katakan ialah kami berharap pengepungan Marawi tidak akan berlaku lagi, dan supaya Marawi kekal aman."

Doctors Without Borders kekal di Filipina, menjalankan program tuberkulosis di Manila, dan akan terus menilai keperluan sokongan organisasi kesihatan lain di negara itu pada 2023.