Skip to main content

Ethiopia: "Saya pusing serta mula berlari dan ketika itulah saya ditembak"

The city of Adwa, in central Tigray, northern Ethiopia

Pemandangan panorama bandar Adwa, di pusat Tigray, utara Ethiopia. © Igor Barbero/MSF


 Dua puluh yang tercedera dibawa ke hospital Kidane Meheret di Adwa; 12 lagi mengalami kecederaan kritikal dan dipindahkan ke hospital berdekatan Axum. Kedua-dua hospital ini disokong Doktor Tanpa Sempadan.

Pesakit yang cedera memberitahu kakitangan Doktor Tanpa Sempadan tentera melepaskan tembakan ke semua arah, secara rambang. Antara tercedera pengilat kasut berusia 30 tahun yang bekerja di stesen bas Adwa: "Ketika saya membuka kedai pagi itu, saya mendengar khabar angin mengenai tentera memasuki bandar. Banyak kali saya dengar tetapi tiada ada berlaku, jadi saya duduk di sana. Tiba-tiba saya melihat sebuah trak tentera datang dengan pantas. Bajaj* yang datang dari seberang jalan menyekat laluan. Tentera segera mula menembak. Orang ramai mula menjerit dan berlari ke semua arah. Saya pusing serta mula berlari dan ketika itulah saya ditembak. Saya ditembak tiga kali di belakang, satu pada bahu kanan dan satu pada tangan kiri. Saya terjatuh ke lantai. Ia berlangsung kira-kira 10 minit dengan tembakan yang banyak. Selepas mereka pergi, orang ramai mula datang untuk menolong dan saya dapat mendengar mereka mengatakan beberapa orang telah mati. Mereka menolong saya dengan meletakkan kain pada luka dan meletakkan saya pada bajaj yang kemudian membawa saya ke hospital Kidane Meheret."

Seorang wanita berusia 22 tahun memberitahu kakitangan Doktor Tanpa Sempadan bahawa dia cedera ketika ke pasar untuk membeli daun teh untuk kedainya, bersama wanita lain: "Kami berdua berada dalam bajaj menuju ke sana ketika mula mendengar tembakan dari jauh. Saya tidak melihat apa-apa, atau dari mana ia datang, sehinggalah tiba-tiba saya ditembak dari belakang pada bahu kanan saya. Wanita yang bersama saya terkena tembakan pada perutnya. Saya kehilangan banyak darah sehingga dua lelaki datang dan menutupi luka saya menggunakan kain. Mereka membawa saya ke hospital Kidane Meheret. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada wanita yang bersama saya - dia tidak ada di sini di hospital. " 

Seorang lelaki berusia 75 tahun memberitahu kakitangan Doktor Tanpa Sempadan bahawa dia dalam perjalanan pulang ketika mendengar tembakan dari stesen bas, dilakukan askar yang memakai seragam tentera Eritrea: "Saya melihat tiga kenderaan penuh tentera, sekitar 10 daripada mereka, menuju ke arah saya. Semuanya berlaku dengan pantas. Tiba-tiba saya terkena tembakan. Sebelum ini, ia hanyalah pagi yang biasa. Saya melalui kawasan itu setiap hari; tidak ada tentera pun di kawasan itu sehinggalah ini berlaku. Tentera menembak semua arah, menyasarkan semua orang di sekitar. Saya ingat melihat seseorang jatuh ke tanah dan tidak bergerak." 

"Tembakan menyasarkan orang ramai, jauh daripada barisan hadapan, di tempat awam di sebuah bandar besar seperti Adwa dan pada waktu sibuk sangat mengejutkan," kata Maricarmen Viñoles, ketua unit kecemasan Doktor Tanpa Sempadan. "Kami mendesak semua pihak bersenjata dalam konflik ini untuk melindungi dan menghormati nyawa manusia."

* beca bermotor roda tiga

Tembakan menyasarkan orang ramai, jauh daripada barisan hadapan, di tempat awam di sebuah bandar besar seperti Adwa dan pada waktu sibuk sangat mengejutkan.Kami mendesak semua pihak bersenjata dalam konflik ini untuk melindungi dan menghormati nyawa manusia.
Maricarmen Viñoles, Unit kecemasan MSF