Ethiopia: Penduduk di pedalaman Tigray dilanda impak krisis dan pengabaian kemanusiaan
Jurubahasa Doctors Without Borders, Tedros, memberi arahan kepada wanita yang menunggu bersama anaknya untuk mendapatkan konsultasi perubatan di klinik bergerak di perkampungan Adiftaw di Tigray, wilayah utara Ethiopia. © Igor G. Barbero/MSF
Ramai dalam kalangan enam juta penduduk Tigray tinggal di kawasan pergunungan dan luar bandar menyebabkan mereka seperti terkecuali daripada pandangan dunia luar. Ketika pasukan pekerja bantuan dikerahkan ke kota utama wilayah utara Ethiopia ini dalam beberapa bulan terakhir, bantuan gagal menjangkau lebih banyak komuniti terpencil, di mana kesan konflik sering kali parah. Ramai tidak dapat mengakses perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan asas lain selama enam bulan terakhir dan masih hidup dalam ketakutan.
Ketika sepasukan kecil petugas bergerak Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) tiba di Adiftaw buat kali pertama pada pertengahan Mac, mereka mendapati pos kesihatan sudah dipecah masuk dan sebahagiannya musnah. Fail perubatan, peralatan rosak dan paket ubat yang koyak bertaburan pada lantai di setiap bilik, tiada satu pun katil mempunyai tilam dan tiada seorang kakitangan perubatan berada di situ.
Adiftaw adalah sebuah kampung di wilayah konflik Tigray di Ethiopia, terletak tiga jam perjalanan meredah laluan berbukit dan berdebu ke utara Axum.
Apa yang ditemui pasukan bukan baharu dan ia pengalaman dilalui mereka di hampir setiap kunjungan ke lokasi baharu di mana-mana saja seluruh Tigray, dari timur ke barat dan dari utara ke selatan.
Bilik yang rosak di pos kesihatan di Adiftaw, sebuah kampung di wilayah Tigray yang dilanda konflik di Ethiopia, tiga jam perjalanan melalui laluan bukit berdebu dari utara Axum, dengan cerun Eritrea dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya. Ketika pasukan kecil petugas bergerak Doctors Without Borders tiba di Adiftaw buat pertama kali pada pertengahan Mac, mereka mendapati pos kesihatan dipecah masuk dan sebahagiannya musnah. Fail perubatan, peralatan rosak dan paket ubat yang koyak bertaburan pada lantai di setiap bilik, tiada satu pun katil mempunyai tilam dan tiada seorang kakitangan perubatan berada di situ. © Igor G. Barbero/MSF
Dalam beberapa bulan sejak November, 10,000 yang tinggal di Adiftaw dan sekitarnya tidak dapat berjumpa doktor atau dirujuk ke hospital untuk rawatan pakar. Tidak lama selepas pasukan Doctors Without Borders membersihkan pos kesihatan dan membuka klinik bergerak sementara, puluhan orang muncul, kehadiran mereka perlahan tetapi stabil dari semua arah.
Kebanyakannya adalah ibu yang membawa anak-anak kecil yang dililit dengan kain yang digendong pada belakang mereka. Yang lain juga datang: orang muda membawa lelaki lebih tua, kelihatan dijangkiti malaria, duduk di kerusi kayu yang dilekatkan pada tandu buatan sendiri; beberapa wanita tua muncul, badan mereka sakit akibat keadaan kronik. Namun, tidak semuanya menerima bantuan diperlukan. Kakitangan perubatan memberi tumpuan kepada kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang memerlukan rawatan kecemasan.
Kira-kira sejam selepas memulakan pengasingan (triage), kakitangan Doctors Without Borders terpaksa mengumumkan mereka tidak dapat membenarkan lebih ramai masuk pada hari itu, berikutan doktor tidak mampu lagi menerima pesakit lain dalam jangka masa tiga jam untuk konsultasi.
(Waktu bekerja di klinik bergerak berbeza-beza. Dalam kes ini, waktunya singkat kerana jarak perjalanan yang panjang ke tempat berkenaan dan keterbatasan waktu perintah berkurung di Tigray.)
Pasukan Doctors Without Borders bersedia mengendalikan klinik bergerak di perkampungan Adiftaw di Tigray, wilayah utara Ethiopia, berhampiran sempadan dengan Eritrea. © Igor G. Barbero/MSF
Impak besar keganasan
Melangkaui keperluan kesihatan, ketua masyarakat di daerah itu mengatakan keganasan mendatangkan kesan teruk kepada semua orang. Beberapa ladang masih diduduki tentera, kilang desa tidak berfungsi dan sistem air rosak setelah pam pada lubang bor sengaja ditembak. Akibatnya, penduduk kampung terpaksa berjalan berjam-jam untuk mengambil air dari sungai, yang menurut mereka menjadi sumber penyakit seperti cirit-birit
Ketika lawatan pasukan Doctors Without Borders, lebih 100 rumah terbakar atau musnah akibat dibom atau keganasan lain, manakala ramai penduduk dilaporkan mati atau hilang, dengan ramai lagi dipercayai bersembunyi di pergunungan. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa penduduk kampung kembali dan mendapati rumah mereka sudah tiada dan mereka dari bahagian lain di Tigray, seperti Humera dan Sheraro di barat wilayah itu, telah berpindah selepas dipaksa melarikan diri daripada kediaman sendiri.
Ketika kami tiba di Tigray pada lewat 2020, kami mendapati sistem kesihatan keseluruhannya hampir runtuh. Sementara kami mula memberi sokongan kepada hospital di pekan besar seperti Adigrat, Axum and Shire, kelihatannya penting untuk kami sampai ke kawasan lebih terpencil di mana keperluan orang ramai lebih mendesak.Tommaso Santo, koordinator kecemasan
Sejak beberapa bulan lalu, pasukan kecemasan Doctors Without Borders beransur-ansur mengembangkan aktiviti ke kawasan terpencil seluruh Tigray dan ketika ini mengendalikan klinik bergerak di kira-kira 50 lokasi berbeza.
"Setiap kali kami sampai ke kawasan baharu, kami menghantar pasukan kecil yang dapat menyediakan pakej minimum perkhidmatan perubatan," kata Santo. "Kami mencari mereka yang memiliki akses kepada air minum dan makanan yang minimum, serta mereka yang tidak dapat melakukan aktiviti komersial berikutan beberapa pasar ditutup. Banyak masih hidup ketakutan dalam keadaan tidak aman."
Wanita beratur bersama anak mereka menunggu untuk konsultasi perubatan ketika klinik bergerak dikendalikan Doctors Without Borders di Adiftaw, sebuah kampung di Tigray, di wilayah utara Ethiopia. © Igor G. Barbero/MSF
Pasukan Doctors Without Borders menerima sejumlah besar wanita hamil dengan komplikasi perubatan, ada yang kekurangan zat makanan, yang boleh meningkatkan risiko penyakit dan kematian semasa kehamilan dan melahirkan anak. Walaupun kekurangan zat makanan kanak-kanak berbeza dari satu tempat ke tempat lain, kekurangan zat makanan akut meningkat secara umum di seluruh Tigray dalam beberapa bulan terakhir, kata Santo, disebabkan kualiti dan kuantiti makanan yang ada menurun secara drastik, dengan banyak keluarga makan hanya sekali sehari dan selalunya sekadar berbekalkan roti.
Sesetengah kawasan sebenarnya menunjukkan tahap kekurangan zat makanan akut yang teruk melebihi ambang kecemasan seperti kawasan di pinggir bandar Shire dan di Sheraro, manakala kehadiran musim hujan, ramalan untuk bulan-bulan mendatang adalah suram, kerana ladang sering tidak dapat diakses petani berikutan konflik atau mereka tidak mempunyai cara untuk bercucuk tanam.
Staf Doctors Without Borders memegang kanak-kanak ketika ibunya ditimbang ketika klinik bergerak di perkampungan Adiftaw di Tigray, wilayah utara Ethiopia. © Igor G. Barbero/MSF
Klinik desa yang berfungsi dengan baik kini hancur
Sebelum konflik, Tigray mempunyai sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik dan lengkap yang merupakan antara terbaik di Ethiopia. Pusat kesihatan dan pos kesihatan luar bandar meliputi keperluan asas masyarakat dan dihubungkan ke hospital utama melalui ambulans yang mengangkut pesakit yang memerlukan rawatan pakar.
Salah satu pusat kesihatan desa itu terletak di bandar Sebeya, juga dekat sempadan Eritrea tetapi lebih jauh ke timur. Dari luar, kompleks bangunan, yang dulunya memenuhi keperluan kawasan tadahan dengan sekitar 17,600 orang, kelihatan sangat mengagumkan, dengan bangunan konkritnya yang kukuh dan cukup luas serta dan pelbagai kawasan khusus.
Perkhidmatan di sini bagus. Saya melahirkan semua empat anak saya di sini. Jika kapasiti kakitangan kesihatan tidak mampu berbuat sesuatu, mereka akan menghantar anda ke Adigrat. Saya tak pernah ke sana, tetapi pesakit lain akan dihantar ke sana menggunakan ambulans pusat kesihatan berkenaan.Fatimah*, wanita 27-tahun dari Sebeya
Namun kemudian dia tidak dapat menyorok kekecewaan daripada terpancar pada wajahnya. Kini, ambulans hilang dan Fatimah, yang hamil tujuh bulan, tidak akan dapat melahirkan bayi kelimanya di pusat kesihatan ini. Semasa menunggu konsultasi antenatal dengan doktor Doctors Without Borders, hanya beberapa meter saja dari bilik bersalin di pusat kesihatan, di mana 40 hingga 50 wanita selalunya melahirkan anak setiap bulan, kini terbengkalai.
Pada pertengahan November, semasa pertempuran, sejumlah roket mengenai bilik penghantaran dan bangunan pentadbiran. Katil bersalin dan penghangat radian untuk bayi baru lahir kini diselaputi habuk, dinding plaster dan serpihan kayu serta lantainya dipenuhi kertas, alat pengukur tekanan rosak, peralatan banyak yang pecah dan pakaian kotor. Cahaya terang musim kering memasuki bilik melalui lubang besar pada dinding serta beberapa lubang kecil pada siling.
Ketika ini wanita melahirkan bayi di rumah. Walaupun kelahiran lancar, bayi baharu lahir berdepan risiko kematian. Mereka yang menghidap keadaan kronik seperti HIV, TB atau diabetes menderita disebabkan gangguan dalam perubatan mereka. Kanak-kanak ramai yang mati akibat pneumonia dan kekurangan zat.Solomon,* petugas kesihatan
Seorang kakitangan Doctors Without Borders memeriksa bilik bersalin di pusat kesihatan di pekan Sebeya di Tigray, wilayah utara Ethiopia. Bilik itu rosak teruk ketika permulaan konflik akibat terkena serangan roket. © Igor G. Barbero/MSF
Ketakutan dan kehilangan mata pencarian
Bagi penduduk Sebeya, penyambungan semula sebahagian perkhidmatan perubatan melalui klinik bergerak mungkin langkah positif, tetapi ia masih jauh berkurangan. Kebanyakan mereka di sini hilang mata pencarian dan berbulan melalui keadaan sukar, jika walaupun tanpa kekerasan secara langsung.
Saya seorang peniaga sebelum krisis ini. Saya mempunyai kedai menjual kopi, gula dan bahan pencuci, namun kini ia ditutup. Ia dipecah masuk ketika kami meninggalkan pekan untuk mencari perlindungan di kampung ipar saya. Saya bersembunyi empat bulan, malah sekarang, saya belum kembali ke sini secara tetap. Saya pernah memiliki kehidupan baik dan kebimbangan saya hanyalah mengembangkan perniagaan. Tak pernah terfikir konflik akan melanda kami. Saya tidak pernah terbayang diri saya tanpa makanan dan terpaksa bersembunyi dalam belukar.Mariam*, pesakit
Hampir 300 konsultasi perubatan dikendalikan di Sebeya dan Adiftaw ketika itu oleh pasukan klinik bergerak Doctors Without Borders. Selain isu kesihatan seksual dan reproduktif, keadaan paling biasa dilihat, terutama dalam kalangan kanak-kanak, adalah kekurangan zat makanan, radang paru-paru, cirit-birit dan penyakit kulit, yang berkaitan keadaan hidup yang buruk dan akses kepada air minum bersih yang sedikit.
Seorang kakitangan Doctors Without Borders memvaksinasi kanak-kanak ketika klinik bergerak di pusat kesihatan di Sebeya, sebuah pekan berhampiran sempadan Eritrea di Tigray, wilayah utara Ethiopian. © Igor G. Barbero/MSF
Bantuan tidak mencukupi melangkaui pekan dan bandar
"Kami cuba memberi keutamaan kepada bidang yang perlu kami teruskan tindak balas," kata Santo, "dan kami berusaha meningkatkan pakej ditawarkan: mungkin perancangan keluarga, konsultasi antenatal, vaksinasi atau perkhidmatan lain, yang sudah berbulan-bulan tidak tersedia. "
Terdapat juga keperluan jelas di luar bandar untuk rawatan dan penjagaan mangsa keganasan seksual, yang menjadi ciri berulang konflik. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, hospital disokong Doctors Without Borders mengakui semakin ramai wanita tampil mendapatkan bantuan mengatasi pengalaman traumatik dan menghentikan kehamilan tidak diingini.
Masih banyak perlu dilakukan untuk memperluas akses orang ramai kepada perkhidmatan sokongan kritikal ini. Walaupun lebih banyak organisasi kemanusiaan menghantar pasukan ke Tigray, terutama sejak Februari, respons di lapangan masih sangat terbatas kerana hampir tidak pernah meliputi kawasan luar bandar-bandar besar.
"Kawasan luar bandar sering dibiarkan tanpa bantuan apa pun dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini akses organisasi kemanusiaan ke pelbagai bahagian di Tigray dihalang," kata Santo.
"Terdapatnya keperluan mendesak untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan dan memperluaskan jangkauannya."
Doctors Without Borders kini mengendalikan projek perubatan di bandar Tigrayan dan pekan Adigrat, Axum, Adwa, Abi Adi, Shire, Sheraro, Humera dan Dansha. Sejak awal 2021, pasukan bergerak Doctors Without Borders berpusat di semua lokasi ini memperluaskan aktiviti mereka ke pekan-pekan luar bandar, kawasan pergunungan dan desa-desa di beberapa wilayah di mana sistem kesihatan tidak berfungsi.
Sejak beberapa bulan lalu, pasukan bergerak Doctors Without Borders mengunjungi lebih seratus lokasi berbeza, sama ada untuk menyediakan klinik bergerak sementara atau memberi bekalan kepada pusat kesihatan yang dipecah masuk, selain melatih staf kesihatan.
Masih terdapat kawasan luar bandar di Tigray tidak dijangkaui Doctors Without Borders atau mana-mana pertubuhan; Doctors Without Borders hanya mampu menjangka mereka di kawasan ini juga tinggal tanpa adanya akses kepada penjagaan kesihatan.
*Nama telah ditukar untuk menjaga kerahsiaan identiti