Burkina Faso: Menyediakan penjagaan kesihatan di wilayah dilanda keganasan
Mariam dan anaknya mengunjungi klinik bergerak MSF di Sirfou, sebuah kampung di wilayah Utara Burkina Faso. "Saya di sini bersama anak saya yang sakit. Kami berdua sakit, dan perkhidmatan percuma sangat melegakan," kata Mariam. Sejak meninggalkan kampung halaman, Mariam sukar mendapatkan rawatan kesihatan, baik kerana ketiadaan perkhidmatan atau masalah kewangan. Ini lawatan pertama Mariam ke klinik bergerak Doctors Without Borders. Februari 2021 © Noelie Sawadogo/MSF
Wilayah Utara Burkina Faso menempatkan lebih 100,000 penduduk yang terpaksa berpindah secara dalaman selepas melarikan diri daripada keganasan berulang di bahagian negara ini. Sejak Januari 2021, pasukan bergerak Doctors Without Borders menawarkan sokongan penjagaan kesihatan kepada penduduk desa Sirfou, Todiame, Rounga dan Ouindigui, di mana ribuan yang kehilangan tempat tinggal ini menetap, namun akses kepada penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas lain sangat terhad.
"Kami tidak ada apa-apa lagi, memandangkan kami melarikan diri daripada konflik. Kami tidak mempunyai wang untuk membayar rawatan," kata Zallé Ramata, wanita yang kehilangan tempat tinggal dan kini menetap di kampung Sirfou. Hari ini, Zallè membawa dua anaknya untuk bantuan perubatan percuma Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), yang mana pasukannya kerap berkunjung ke kampung ini sejak Januari 2021. “Mereka tidak sihat. Sepanjang malam, mereka muntah hinggalah pagi, ” katanya.
Mariam dana anknya mengunjungi klinik bergerak MSF in Sirfou, sebuah kampung di wilayah Utara Burkina Faso. Februari 2021 © Noelie Sawadogo/MSF
‘Klinik bergerak’ disediakan sebagai pelengkap kepada perkhidmatan perubatan Doctors Without Borders di kota Titao, untuk menyediakan rawatan kesihatan percuma di daerah di mana ribuan individu kehilangan tempat tinggal menetap, melarikan diri daripada kitaran keganasan yang bertahun-tahun membabitkan kumpulan bersenjata dan tentera, selain pertembungan antara kaum.
Daripada 23 pusat kesihatan di daerah Titao, 15 tidak beroperasi dengan kapasiti penuh dan tiga lagi ditutup kerana konflik. Kesukaran bergerak disebabkan jarak yang jauh, keadaan tidak aman dan kekurangan medium pengangkutan menambah kesukaran, menjadikan akses kepada perkhidmatan kesihatan asas di daerah Titao hampir mustahil. Pasukan bergerak Doctors Without Borders kerap mengunjungi Sirfou dan kampung-kampung berjiran Todiame, Rounga dan Ouindigui.
Kampung-kampung ini terletak beberapa kilometer dari pusat kesihatan terdekat. Sebagai contoh di Sirfou, di mana kami berada sekarang, pusat kesihatan terdekat jaraknya tujuh kilometer. Majoriti golongan kehilangan tempat tinggal tidak mempunyai pengangkutan atau wang untuk sampai ke sana. Objektif utama kami untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal ini dan komuniti tuan rumah yang tidak memiliki akses kepada kemudahan berkenaan dan sudah banyak menderita akibat keganasan yang meluas.Monique Diarra, jururawat
February 2021 © Noelie Sawadogo/MSF
Setiap minggu, sepasukan lima anggota Doctors Without Borders menempuh perjalanan beberapa dozen kilometer untuk sampai ke kampung-kampung ini, selalunya melalui jalan yang sangat teruk. Perjalanannya lebih mudah pada musim kemarau, namun menjadi lebih lama dan sukar apabila bermulanya hujan. Keadaan tidak aman yang kronik di rantau ini menambah kesukaran pergerakan; Ia mengambil masa berbulan-bulan untuk membolehkan pasukan Doctors Without Borders meninggalkan bandar Titao dan sampai ke kampong-kampung di pinggiran bandar ini.
“Kami membekalkan perkhidmatan kesihatan primer meliputi rawatan untuk penyakit umum seperti malaria, cirit-birit dan jangkitan pernafasan. Baru-baru ini, kami mula memberikan rawatan untuk penyakit kronik dan sokongan kesihatan mental,” kata Diarra.
Antara Januari hingga Mac 2021, Doctors Without Borders menyediakan lebih 1,600 konsultasi perubatan kepada komuniti tuan rumah dan mereka yang kehilangan tempat tinggal di kawasan dihuni sekitar 15,000 itu.
Pasukan MSF melawat lubang bor yang dipulihkan semula di Bandar Titao di wilayah Utara Burkina Faso. February 2021 © Noelie Sawadogo/MSF
Pada akhir 2020, ramai yang meninggalkan kediaman dan menetap di Titao memutuskan untuk kembali ke kawasan asal mereka tetapi pusat kesihatan tempatan masih ditutup.
Dengan hujan dan puncak musim malaria semakin hampir, pasukan Doctors Without Borders bimbang dengan kemungkinan peningkatan keperluan mereka di kawasan terpencil sedangkan sedikit perkhidmatan yang tersedia. Risiko malaria lebih tinggi kerana nyamuk membiak dalam air bertakung.
Wanita dan kanak-kanak mengisi tong kecil mereka dengan air bersih di lubang bor yang baru dipulihkan di bandar Titao di wilayah Utara Burkina Faso. Kekurangan air bersih boleh menyebabkan pelbagai jangkitan parasit dan penyakit bawaan air lain seperti kolera dan cirit-birit. Februari 2021 © Noelie Sawadogo/MSF
"Misi perubatan kami di Titao adalah penyelesaian jangka pendek yang kami lancarkan tahun ini untuk memenuhi keperluan mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman baru-baru ini," kata Dr Diallo Alpha Amadou, koordinator perubatan Doctors Without Borders di Burkina Faso. Pasukan Doctors Without Borders juga menyokong lima kemudahan kesihatan di daerah Titao untuk membantu mereka mendapatkan kembali sepenuhnya kemampuan untuk bekerja, sebagai penyelesaian jangka panjang. "Apabila pusat-pusat kesihatan ini sedia untuk kembali menerima pesakit, kami akan memindahkan klinik bergerak kami ke kampung-kampung lain," kata Dr Alpha. Pasukan perubatan Doctors Without Borders juga menyokong pihak berkuasa kesihatan tempatan dengan kempen vaksinasi besar-besaran terhadap penyakit biasa dalam kalangan penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman ini.
Pasukan logistik Doctors Without Borders memulihkan lubang bor lama atau membina yang baharu untuk meningkatkan akses kepada air bersih. Dengan beberapa gelombang perpindahan, keadaan hidup yang buruk bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal dan kekurangan air bersih, penyakit dapat merebak dengan mudah.
"Kami menerima ramai pesakit yang menderita penyakit dihidapi akibat meminum air tercemar atau kotor. Di banyak kawasan di wilayah Utara, sepertimana daerah lain di negara ini yang dihuni mereka yang kehilangan tempat tinggal, akses kepada air bersih tetap menjadi cabaran bagi ribuan orang. Kekurangan titik akses bekalan air dan kualitinya yang buruk menjadi punca di sebalik pelbagai jangkitan parasit dan penyakit lain yang tersebar melalui air seperti kolera dan cirit-birit,” kata Dr Alpha.