Burkina Faso: Krisis kemanusiaan teruk bagi mereka yang hidup dalam pengepungan di Djibo
Golongan ibu beratur menunggu kotak biskut BP-5 mereka, digunakan sebagai pelengkap nutrisi untuk kanak-kanak kekurangan zat makanan. Burkina Faso, April 2023. © MSF/Nisma Leboul
Burkina Faso berdepan krisis kemanusiaan tidak pernah berlaku yang menyaksikan 1.99 juta orang menjadi pelarian secara dalaman melarikan diri daripada keganasan dilakukan kumpulan jihad (OCHA, 31 Mac 2023). Pekan utara Djibo kini disekat kumpulan bersenjata selama lebih setahun dan sebahagian besarnya masih terputus daripada bekalan makanan dan bantuan. Pergerakan penduduk terhad dan akses kepada perkhidmatan asas terjejas teruk, memaksa penduduk hidup dengan hanya sedikit bekalan makanan, air, elektrik serta komunikasi yang terhad.
Pertempuran berterusan antara pasukan pertahanan dan keselamatan Burkinabe dengan kumpulan bersenjata di pinggir Djibo mengakibatkan kemasukan beramai-ramai mereka yang mencari perlindungan di bandar itu. Daripada 300,000 penduduk, hampir 270,000 (269,894 menurut Majlis Bantuan Kecemasan dan Pemulihan Kebangsaan: CONASUR) adalah pelarian dalaman, separuh daripadanya kanak-kanak, tinggal di kem atau bersama keluarga tuan rumah.
Terperangkap dalam konflik, keadaan hidup semakin merosot dengan cepat dan masyarakat terpaksa bertahan dengan bergantung bantuan kemanusiaan. Tidak mampu mencari walaupun hanya garam, sumber sangat terhad sehingga untuk jangka masa panjang, penduduk terpaksa memakan daun.
Safi meninggalkan kampungnya Yalanga, 100 km dari Djibo, bersama seluruh keluarganya, suaminya dibunuh kumpulan bersenjata ketika dalam perjalanan. Kehidupan hariannya bergantung kepada agihan daripada Program Makanan Sedunia sementara dia mencari pekerjaan isi rumah kecil-kecilan untuk meneruskan hidup.
"Kebelakangan ini keadaan sedikit baik," katanya, pada 21 Mac, ketika konvoi membawa makanan dan keperluan akhirnya tiba di Djibo, diiring pengawal bersenjata, empat bulan selepas bekalan terakhir sampai ke bandar itu. Peningkatannya amat ketara, walaupun kesan hasil gabungan krisis makanan dan keselamatan kekal kritikal.
Krisis makanan dan pemakanan yang membimbangkan
Kesukaran mengakses Djibo membawa kepada krisis makanan dan nutrisi yang membimbangkan, sehingga mencapai tahap sukar untuk diukur. Dengan maklumat tidak mencukupi mengenai status pemakanan penduduk, penggiat kemanusiaan bergelut menyesuaikan tindak balas mereka.
Sejak amaran pertama pada Oktober 2022, beberapa organisasi mula bergerak, namun bantuan masih belum mencukupi. Aktiviti pemakanan dilaksanakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini sekadar bertindak balas kepada keperluan kanak-kanak yang mengalami malnutrisi, namun kekurangan makanan dan perspektif untuk beberapa bulan akan datang masih membimbangkan.
Pada 8 dan 9 April, pasukan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) mengedarkan 57 tan biskut BP-5 kepada 12,456 kanak-kanak berusia antara 6 bulan dan 5 tahun, mencukupi untuk bekalan makanan selama sebulan. Biskut BP-5 digunakan sebagai makanan tambahan untuk mencegah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak (makanan diperkaya dengan nilai tenaga tinggi berasaskan bijirin: tepung gandum dimasak, lemak, minyak sayuran, gula, protein soya, vitamin dan mineral). Pengagihan ini buat sementara waktu menyumbang kepada keperluan segera sebahagian besar penduduk.
Pasukan Doctors Without Borders menghantar kotak berisi biskut BP-5, digunakan sebagai makanan tambahan nutrisi untuk kanak-kanak kekurangan zat makanan di tapak pengagihan. Burkina Faso, April 2023. © MSF/Nisma Leboul
Bertindak balas terhadap keperluan
Akses kepada penjagaan kesihatan juga terkesan teruk disebabkan sekatan: kebanyakan kakitangan perubatan sudah pergi dan kesukaran mendapatkan ubat menyebabkan penutupan beberapa kemudahan. Mereka yang masih ada beroperasi pada kapasiti minimum, dengan kapasiti terhad untuk bertindak balas terhadap populasi yang sudah sangat terdedah. "Kami hidup dalam penderitaan yang besar", kata seorang ketua komuniti.
Sejak 2018, Doctors Without Borders dengan kerjasama Kementerian Kesihatan menyokong pusat perubatan Djibo dengan unit pembedahan, dua pos kesihatan lanjutan dan tiga tapak kesihatan masyarakat.
Di pusat perubatan dengan unit pembedahan, rawatan untuk pesakit diberikan secara percuma: pesakit dan keluarga mereka diberi makan tiga kali sehari. Unit pembedahan dan rawatan kecemasan beroperasi secara sendiri terima kasih kepada panel solar dipasang Doctors Without Borders.
Pesakit menunggu preskripsi ubat mereka di pos Kesihatan Lanjutan. Burkina Faso, April 2023. © MSF/Nisma Leboul
Doctors Without Borders juga berusaha memulihkan titik air dan membina lubang bore, memudahkan akses kepada air minuman untuk penduduk di samping mengurangkan risiko buat wanita kerana tidak perlu lagi berjalan jauh untuk mengambil air.
Hamadoum Moussa, penyelia promosi kesihatan, menjelaskan "Selain apa yang Doctors Without Borders lakukan untuk penduduk Djibo, kami juga menerima sokongan yang diperlukan, jangan lupa keadaan ini juga memberi kesan kepada kami dan keluarga kami".
Bekalan makanan diterbangkan ketika sekatan memuncak untuk memastikan ia sampai kepada pasukan kami, yang terus bekerja tanpa jemu. Meskipun konteks sangat sukar, solidariti dan perpaduan sosial kekal utuh di bandar itu serta dalam kalangan pasukan kami ketika mereka bertindak balas terhadap keperluan masyarakat yang semakin meningkat.
Golongan wanita mengambil bekalan di titik air yang dipulihkan Doctors Without Borders di Djibo. Burkina Faso, April 2023. © MSF/Nisma Leboul