Skip to main content

Sudan Selatan: Bencana banjir menyebabkan perpindahan besar-besaran dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing

Aerial view of a flooded village near Old Fangak, South Sudan. The fourth year of consecutive flooding has devastated the area. South Sudan, 2022. © Florence Miettaux

Pemandangan dari udara perkampungan banjir berhampiran Old Fangak, Sudan Selatan. Tahun keempat banjir berturut-turut memusnahkan kawasan itu. Sudan Selatan, 2022. © Florence Miettaux

Di atas rakit kecil ini semua yang mereka miliki ada bersama: beberapa pakaian, dan periuk untuk memasak, yang kebanyakannya dipenuhi teratai yang mereka petik dari air. Di belakang mereka, kampung yang hampir ditenggelami air banjir. Mereka terpaksa segera meninggalkannya sebelum air menjadi terlalu tinggi untuk diharungi kanak-kanak dan orang tua, dan menaiki rakit atau sampan diperbuat dari batang pokok untuk sampai ke kawasan darat yang lebih selamat.

Memandangkan banyak negara di Afrika Timur mengalami kemarau terburuk dalam empat dekad, Sudan Selatan berada dalam keadaan gelisah di hujung spektrum bertentangan – dipenuhi banjir besar bertahun-tahun yang menjejaskan lebih satu juta orang di negara itu. Empat tahun berturut-turut banjir menyebabkan kira-kira dua pertiga negara ditenggelami air, dengan Jonglei, Utara Bahr El Ghazal, Upper Nile, Unity, Warrap, Barat Equatoria dan Lakes States di Sudan Selatan dan Kawasan Pentadbiran Khas Abyei, semuanya mengalami banjir teruk sejak beberapa bulan lalu.

Banjir bermusim di Sungai Nil dan anak sungai adalah tipikal. Bagaimanapun, banjir dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Penduduk mengatakan musim hujan bermula lebih awal dan lebih lama. Malah keamatan hujan jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini. Paras air begitu tinggi dan tanah berair sehingga banjir tidak surut sepenuhnya pada musim kemarau yang berlarutan; mengakibatkan air cepat meningkat semasa hujan dan menambah krisis setiap tahun secara berturut-turut sejak 2019.

Masyarakat bersiap untuk musim hujan dengan membina benteng penghadang - dinding diperbuat daripada tanah untuk menahan air dari kampung mereka. Namun tahun ini, persiapan kontinjensi tidak mencukupi untuk menahan air banjir. Di Daerah Ulang, misalnya, seluruh kampung ditenggelami air pada Oktober apabila benteng pecah akibat hujan lebat. Kemudahan kesihatan, sekolah dan banyak rumah semuanya dinaiki air.

A young bull looks for pasture in the water near Old Fangak. South Sudan, 2022. © Florence Miettaux

Seekor lembu jantan muda mencari padang rumput dalam air berhampiran Old Fangak. Sudan Selatan, 2022. © Florence Miettaux

“Paras air meningkat pada waktu pagi. Semua orang membantu menambah lumpur untuk menguatkan benteng. Kami memperkukuhkannya sepanjang malam tetapi keesokan hari ia sudah di luar kawalan kami. Kami hanya lari untuk menyelamatkan nyawa,” kata Nyanyieth Bang, yang tinggal di Doma di Ulang. “Banjir menyebabkan semua orang kehilangan tempat tinggal. Ia membanjiri semua kampung dan ternakan juga lemas. Rumah kami runtuh dalam banjir. Ia bencana besar bagi kami.”

Dari hari ke hari, kampung terpisah satu sama lain, dengan banyak komuniti mendapati diri mereka terkurung di "pulau" dan terputus daripada perkhidmatan, yang kini hanya boleh diakses dengan bot atau sampan. Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menjalankan perkhidmatan jangkauan dan klinik mudah alih untuk memastikan penjagaan kesihatan tersedia untuk mereka yang paling terdedah di kawasan terpencil. Namun untuk sampai kepada beberapa komuniti kekal cabaran yang besar.

Banjir menjejaskan keupayaan kami untuk menyalurkan bantuan dan sampai kepada komuniti yang memerlukan. Banyak jalan di seluruh negara tidak dapat dilalui akibat banjir. Di beberapa lokasi di mana Doctors Without Borders beroperasi, pesawat kami tidak dapat mendarat akibat banjir di landasan udara. Kekurangan akses ini menghalang keupayaan kami untuk membawa masuk bekalan perubatan dan barangan penting lain, yang membahayakan nyawa. Ia juga memberi kesan kepada keupayaan kami untuk memindahkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan.
Aline Serin, Ketua Misi

Tompokan besar air bertakung juga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang sempurna, membawa kepada letusan kes malaria. Antara Julai hingga September tahun ini, Doctors Without Borders merawat 81,104 pesakit malaria.

Banjir menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal, membunuh jutaan haiwan dan memusnahkan ribuan ekar tanaman, memburukkan krisis keselamatan makanan yang semakin meningkat di negara ini. Program Makanan Sedunia PBB menganggarkan lebih 75 peratus penduduk Sudan Selatan memerlukan bantuan makanan. Pasukan Doctors Without Borders menyaksikan peningkatan membimbangkan dalam kadar kekurangan zat makanan akut yang sederhana hingga teruk. Antara Januari hingga September tahun ini, lebih 4,200 kanak-kanak dirawat kerana kekurangan zat makanan di seluruh kemudahan perubatannya di Sudan Selatan.

Sebelum banjir, kami pernah bercucuk tanam dan mempunyai lembu, namun kini semua lembu mati kerana banjir dan tanah yang pernah kami usahakan sudah tidak ada lagi,” kata Tut Chuol, seorang ketua kecil di Pahkor di Daerah Fangak yang keseluruhan kampung kosong akibat banjir. “Sekarang makanan tiada - kami hanya makan teratai. Jika tiada penyelesaian ditemui, kami akan mati,” tambahnya.

Dengan tiada lagi tempat untuk pergi, puluhan ribu orang terpaksa tinggal di kem perpindahan. Kekurangan tempat perlindungan, air minuman yang selamat dan kemudahan sanitasi di kem menyebabkan wabak penyakit berjangkit dan bawaan air serta risiko kesihatan lain. Akibatnya adalah bencana kemanusiaan, bagi populasi yang terpaksa menanggung kemusnahan yang terlalu banyak.

Walaupun negara kini memasuki musim kemarau, impak yang dialami nampaknya seperti belum berakhir. Kesan buruk kehilangan tanaman dan ternakan dijangka mengakibatkan peningkatan kadar kekurangan zat makanan. Dan dengan majoriti penduduk negara menjadi penggembala, terdapat juga peningkatan risiko kecurian lembu untuk mendapatkan semula haiwan yang hilang semasa banjir, yang membawa kepada keganasan antara kaum.

Walaupun keperluan kemanusiaan mendesak dan meningkat di Sudan Selatan, bantuan antarabangsa yang dipotong mengakibatkan tindak balas berkurangan kepada mereka yang mempunyai sumber sangat sedikit dan daya tahan rendah selepas mengalami kejutan yang berturut-turut dan pelbagai. Tindak balas terhadap kemusnahan banjir jauh daripada memuaskan. Organisasi kemanusiaan, agensi PBB dan kerajaan mesti bertindak untuk menangani skala krisis dan keperluan sangat besar untuk makanan, tempat tinggal, penjagaan perubatan dan keperluan asas lain untuk mereka yang terjejas akibat banjir.

Categories