Pencari suaka terperangkap dalam keadaan mengerikan di wilayah Gambella di Ethiopia
Nyabol (nama ditukar) tiba di Pagak pada Februari 2021, bersama tiga anak dan tiga anak saudara lelaki serta perempuan. Mereka meninggalkan Jonglei di Sudan Selatan selepas kakak dan abang iparnya dibunuh dalam pergaduhan antara kaum. Mereka semua tidur di luar dan dia yang berusia 28 tahun merasa tertekan serta buntu. © Claudia Blume/MSF
Doctors Without Borders/ Médecins Sans Frontières(MSF) prihatin dengan situasi ribuan pencari suaka dari Sudan Selatan yang berbulan-bulan terperangkap dalam keadaan mengerikan di sebuah pusat penerimaan di wilayah Gambella di Ethiopia tanpa akses bermakna kepada perkhidmatan penting, terutama bantuan makanan. MSF bimbang keadaan bertambah buruk pada musim hujan akan datang.
Nyaluak Tang*, suami bersama enam anak berjalan hampir sebulan dari Jonglei di Sudan Selatan ke Pagak, kampung sempadan di Ethiopia, di mana mereka tiba pada Ogos 2020. "Kami pergi kerana banjir teruk di daerah kami, menyebabkan kami tiada makanan," katanya yang berusia 30 tahun. "Sebab lain adalah rasa tidak selamat. Seorang anak kami diculik kumpulan etnik lain, dan kami bimbang keselamatan anak-anak yang lain."
Keluarga itu datang ke Ethiopia mengharapkan dapat menetap di kem pelarian, mendapat bantuan makanan dan tempat tinggal yang selamat.
Ethiopia menempatkan sebilangan besar pencari suaka dan pelarian. Di wilayah Gambella saja, lebih 337,000 pelarian menetap di tujuh kem. Pendaftaran dan penempatan semula pendatang baharu ditangguhkan berbulan-bulan, disebabkan COVID-19 dan cabaran lain.
Nyaluak dan keluarganya sudah lapan bulan tersekat di pusat penerimaan di Pagak, walaupun ia bertujuan menampung pencari suaka untuk tempoh singkat. Tapak ini juga dianggap tidak sesuai, kerana terdedah banjir dan sangat dekat dengan sempadan.
Kira-kira 16,000 pencari suaka dari Sudan Selatan, semuanya dari komuniti Nuer, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, tinggal di ruang kecil, berpagar dan penuh sesak antara penempatan komuniti tuan rumah. Kehidupan mereka sangat teruk. Beribu-ribu tinggal di sekitar sedozen bangunan yang penuh sesak dan runtuh yang keadaannya sedikit elok daripada bangsal, kebanyakannya tanpa tilam atau selimut. Mereka kelompok sedikit bertuah. Ratusan wanita dan kanak-kanak, termasuk ibu hamil dan bayi, tidur di luar, kebanyakannya tanpa kepingan plastik sebagai alas atau selimut. Keadaan kebersihannya teruk. Dengan beberapa tandas tersedia yang selalunya tersumbat, ramai terpaksa membuang air besar di luar. Pada Februari dan Mac, Doctors Without Borders merawat 1,233 kanak-kanak dengan cirit-birit berair yang teruk.
Tanpa didaftar, pencari suaka tidak mempunyai akses bermakna kepada perkhidmatan penting. Orang ramai tidak mendapat bantuan makanan sejak mereka tiba di Pagak. Semuanya kelaparan.
Nyachuol (nama diubah) berusia 45 tahun menyediakan buah-buahan hutan untuk dimakan anaknya. Dia meninggalkan Upper Nile di Sudan Selatan bersama tiga anaknya yang paling kecil dan tiba di Pagak pada Ogos 2020. Suaminya terbunuh ketika pertempuran, manakala empat anaknya yang lain masih di Sudan. Dia tidak tahu di mana mereka berada. © Claudia Blume/MSF
"Saya mengumpulkan buah-buahan dan daun hutan yang saya masak untuk anak-anak saya," kata Nyachuol Tut * berusia 45 tahun. Di mana-mana saja di pusat penerimaan, wanita memasak daun hijau terang dalam periuk di dapur sementara. Bagi kebanyakan mereka, itulah saja yang mereka makan selama berbulan-bulan. Yang lain pula mengumpulkan kayu api, menjualnya dengan beberapa birr di pasar tempatan untuk membeli bijirin atau makanan lain. Namun, memasuki hutan untuk mengumpulkan kayu boleh membahayakan.
"Kadang-kadang kami melihat tentera Sudan Selatan menyeberangi sungai ke Ethiopia, dan mereka memukul kami," kata Nyachuol. Pencari suaka juga mengatakan kanak-kanak yang sedang bermain dekat sungai berdekatan yang memisahkan Ethiopia dari Sudan Selatan diculik.
Ramai ibu mati akal, seperti Nyabol Lam * yang berusia 28 tahun, yang tiba di Pagak pada Februari. Ibu tunggal itu melarikan diri dari Jonglei dengan tiga anaknya sendirian dan tiga anak buahnya selepas kakak dan abang iparnya terbunuh semasa pertempuran antara kaum. Anak bongsunya baru berusia setahun. Mereka semua tidur di luar. "Saya tidak mempunyai bekas untuk memasak, tidak ada peralatan. Kami tidak ada apa-apa untuk makan. Anak-anak hanya tidur kerana tidak mempunyai tenaga. Kami tidak mempunyai pakaian, selimut. Tidak yang menolong kami,” katanya.
Dengan musim hujan yang akan datang, bermula akhir April, keadaan akan bertambah buruk sekiranya tiada penyelesaian ditemui. Ketika ini, hujan lebat sesekali menukar bahagian kem kepada paya. Sebaik hujan melanda, orang tidak akan dapat tidur lagi di luar. "Ketika hujan, semua berlindung di bangsal," kata Gatluak Deng, 67 tahun, yang tidur di luar bersama anak-anak dan cucu-cucunya. "Kerana keadaan begitu sesak, kami harus duduk sepanjang malam. Tiada ruang untuk berbaring." Musim hujan juga menyukarkan pengumpulan kayu bakar, daun dan buah hutan, serta memasak di luar.
Hujan sekali-sekala pun menyebabkan sebahagian kawasan tapak itu bertukar menjadi paya. Air bertakung menjadi tempat pembiakan nyamuk. Keadaan bertambah buruk ketika musim hujan bermula hujung April. © Claudia Blume/MSF
Ketika ini pun beberapa tompok air bertakung kelihatan di tapak berkenaan, menjadi tempat sesuai untuk pembiakan nyamuk.
"Malaria sudah menjadi antara penyakit utama kanak-kanak bawah usia lima tahun," kata pengarah negara Doctors Without Borders, Audrey van der Schoot. "Pada Februari dan Mac, kami merawat 593 pesakit dengan malaria. Kami menjangkakan jumlahnya akan meningkat sebaik musim hujan bermula, serta kes penyakit bawaan air seperti cirit-birit berair yang serius. "
Pada Mac, terdapat empat kes COVID-19 disahkan di pusat penerimaan Pagak. Dengan penghuni tinggal bersama secara dekat, tanpa pelitup muka dan langkah pencegahan serta kawalan jangkitan yang tepat, COVID-19 dan penyakit berjangkit lain dapat merebak dengan cepat. Keadaan mungkin lebih buruk apabila hujan bermula, apabila semua orang berkumpul di bawah beberapa bumbung yang ada.
"Situasi ini perlu ditangani segera. Pencari suaka perlu didaftarkan tepat pada masanya, manakala proses penubuhan pusat penerimaan yang lebih elok di lokasi lebih sesuai di rantau ini, di mana mereka akan menerima makanan, perlindungan dan perkhidmatan lain, perlu dipercepat," kata van der Schoot.
"Sementara itu, kami mendesak organisasi lain untuk meningkatkan penyediaan perkhidmatan penting di Pagak."
Doctors Without Border memulakan aktiviti perubatan di pos kesihatan di Pagak pada Februari 2021 dan mengendalikan lebih 6,870 konsultasi perubatan hingga akhir Mac. Pasukan kami merawat kedua-duanya iaitu pencari suaka dan komuniti tuan rumah. Lima morbiditi teratas untuk kanak-kanak bawah usia lima tahun adalah cirit-birit berair yang serius, jangkitan saluran pernafasan atas dan bawah, malaria dan jangkitan mata.
*Nama diubah