Palestin: Kecederaan melecur, masalah kesihatan kronik di Gaza
Seorang ahli terapi fizikal Doctors Without Borders Reem Abu Lebdeh melakukan urutan parut kepada Adballah. Sepuluh bulan lalu, Abdallah mengalami luka melecur yang merosakkan 50 peratus daripada keseluruhan permukaan badannya. © Tetiana Gaviuk/MSF
Di klinik Doctors Without Borders di Khan Younis, di selatan Gaza, empat ahli fisioterapi bersiap sedia untuk hari yang sibuk. Mereka memakai kelengkapan perlindungan diri dan menyemak senarai pesakit untuk hari itu - 46 pesakit secara keseluruhan, hampir separuh daripadanya kanak-kanak yang menjalani pemulihan daripada melecur.
Reem Abu Lebdeh, salah seorang ahli fisioterapi, menanggalkan sarung tekanan khas pada Abdallah yang berusia 21 bulan dan memeriksa dengan teliti parut pada kaki, perut dan lengan kanannya. Sepuluh bulan sebelum itu, Abdallah melecur teruk sehingga merosakkan 50 peratus permukaan badannya. Dia menghabiskan lebih dua bulan di hospital dan menerima pemindahan kulit daripada bapanya.
"Beberapa sesi lagi dan dia boleh dibenarkan pulang," kata Abu Lebdeh.
Walaupun ia berita baik, ia bukanlah penamat rawatan Abdullah. “Parut tidak menyekat pergerakannya pada masa ini,” kata Abu Lebdeh, “tetapi ini boleh berubah apabila dia dewasa. Dia perlu terus memakai sarung tekanan khas sehingga parutnya berhenti tumbuh dan dia harus dinilai semula secara kerap."
Hampir 70 peratus penduduk Gaza adalah pelarian, kebanyakannya tinggal di kem pelarian, manakala lebih separuh daripada penduduk hidup dalam kemiskinan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Akibatnya, sebilangan besar tinggal di perumahan yang sesak, tidak selamat, tanpa akses yang mencukupi kepada elektrik, pemanasan, air bersih atau sanitasi.
"Banyak kecederaan melecur boleh dicegah melalui perumahan yang lebih selamat dan dengan mendidik orang ramai mengenai risiko," kata pengurus aktiviti terbakar Doctors Without Borders, Séverine Brunet.
Selang beberapa katil dari Abdallah, di seberang bilik, adalah Sham, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang luka melecur juga akibat kemalangan di rumah. Pakar fisioterapi Noura Alzaeem sedang mengurutnya. Keluarga Sham yang terdiri empat orang tinggal di bilik sewa di kem pelarian Khan Younis - bilik kecil yang hanya mempunyai ruang untuk katil, tilam dan dua almari. Tanpa dapur, ibu Sham memasak di lantai di luar bilik. Pada suatu hari, Sham terperangkap dengan wayar dapur elektrik ketika ibunya sedang memasak. Dia jatuh dan dapur panas jatuh ke atasnya, membakar 10 peratus badannya.
Tiga tahun lalu, abang Sham bernama Jamal, ketika itu berusia dua tahun, juga mengalami kecederaan melecur selepas dia bergolek dari katilnya ke atas dapur, membakar mukanya. Dia dirawat di klinik Doctors Without Borders selama lapan bulan, kata ibunya.
Pasukan pembedahan yang disokong Doctors Without Borders di unit luka terbakar Al-Shifa, di bandar Gaza menukar pakaian pesakit dalam keadaan bius. Unit luka bakar Al-Shifa adalah unit rujukan utama untuk semua hospital di Gaza di mana secara purata 270 pesakit dirawat setiap tahun. Palestin, 2021. © Tetiana Gaviuk/MSF
Masalah kesihatan yang kronik
Pada 2021, Doctors Without Borders merawat 5540 pesakit baharu akibat melecur, meningkat daripada 4,591 pada 2020 dan 3,675 pada 2019. Secara purata, lebih 60 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak di bawah usia 15 tahun, dan 35 peratus adalah kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Seperti Abdallah dan Sham, ramai yang cedera dalam kemalangan domestik yang disebabkan oleh keadaan perumahan yang teruk.
Rawatan yang betul dalam 48 jam pertama adalah kritikal untuk pemulihan pesakit melecur, namun kebanyakan mangsa melecur dan keluarga mereka tidak biasa dengan pertolongan cemas untuk kecederaan melecur. Ubat gigi, serbuk kopi dan sos tomato antara beberapa ubat di rumah yang paling biasa, manakala sesetengah orang menggunakan peluntur atau garam pada luka terbakar.
"Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menahan kawasan yang terbakar di bawah air mengalir yang sejuk," kata Brunet, "dan jika kecederaan itu serius, anda harus mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin."
Ruang memasak di mana Nabeel yang berusia empat tahun terbabit kemalangan sehingga melecur pada punggungnya semasa neneknya Sana sedang membakar roti. Mereka mengambil masa sejam untuk sampai ke hospital dengan menaiki kereta kuda kerana keluarga Nabeel tidak mampu untuk menyewa teksi. Khan Younis, Gaza. © Tetiana Gaviuk/MSF
Untuk sampai ke hospital juga boleh menjadi satu cabaran. Apabila Nabeel yang berusia empat tahun secara tidak sengaja bersandar pada ketuhar panas di mana neneknya Sana sedang membakar roti, bahagian bawah punggungnya melecur teruk. Kerana tidak mampu membayar tambang teksi, mereka mengambil masa sejam untuk sampai ke hospital dengan menaiki kereta kuda.
Bagi mendapatkan peluang terbaik untuk pulih, pesakit yang mengalami luka terbakar yang teruk perlu kerap menukar balutan, fisioterapi dan rawatan susulan, tetapi ramai yang akhirnya melepasi janji temu mereka disebabkan kos pengangkutan meningkat. Doctors Without Borders menyediakan pengangkutan sama untuk pergi ke kliniknya di Gaza atau atau balik bagi mengelak masalah ini.
Mematuhi pelan rawatan sangat penting, namun ia sangat mencabar untuk pesakit kami di Gaza. Di samping itu, kebersihan yang lemah disebabkan akses tidak mencukupi kepada air bersih dan sanitasi meningkatkan risiko jangkitan dan rintangan antibiotik, yang lazim berlaku di Gaza. Ramai pesakit juga kekurangan akses kepada pemakanan yang baik atau mempunyai komorbiditi yang melambatkan proses penyembuhan mereka.Séverine Brunet, Pengurus Aktiviti Luka
Kecederaan melecur boleh memberi kesan berpanjangan kepada kesihatan fizikal dan psikologi seseorang, manakala rawatan mungkin memerlukan kemasukan ke hospital yang berpanjangan dan berbulan-bulan penjagaan susulan untuk mengelak kecacatan dan ketidakupayaan – penjagaan yang tidak dapat disediakan sistem penjagaan kesihatan Gaza, yang lumpuh akibat sekatan Israel dan Mesir.
Untuk meningkatkan akses kepada penjagaan berkualiti untuk mangsa melecur, Doctors Without Borders menyediakan pengurusan luka dan kesakitan, fisioterapi dan sokongan psikososial untuk mangsa melecur dan penjaga mereka melalui empat klinik di Semenanjung Gaza dan menyokong unit melecur di hospital Al-Shifa - selaku unit rujukan utama untuk semua hospital di Gaza - di mana purata 270 pesakit dirawat setiap tahun kerana melecur. Bagaimanapun, selagi orang ramai terus tinggal di perumahan yang tidak mencukupi dan sesak, beban kecederaan melecur akan terus membebani Gaza.
Doctors Without Borders telah merawat pesakit melecur di Gaza sejak 2011. Pada 2020, apabila pandemik COVID-19 menyukarkan penghantaran pesakit melecur untuk rawatan di luar Gaza, Doctors Without Borders mula menyediakan topeng tekanan untuk mangsa terbakar pada muka dengan teknologi pengimbasan dan pencetakan 3D dibuat di dalam Gaza buat kali pertama. Pada 2021, Doctors Without Borders membuka bilik ubat pelali pertama di Gaza di mana kanak-kanak yang mengalami lecur teruk boleh menukar balutan mereka dan menerima terapi fizikal di bawah pengaruh bius tanpa pergi ke dewan bedah.