Onnie, Labrador yang membantu menjaga mangsa terselamat keganasan dan penyeksaan melampau
Alicia de la Rosa seorang ahli psikologi dengan pengkhususan dalam psikoterapi bantuan haiwan. De la Rosa bekerja bersama Onnie, Labrador Retriever berusia 4 tahun, untuk memberikan sokongan kesihatan mental kepada mangsa penyeksaan dan keganasan melampau di Pusat Penjagaan Komprehensif di Mexico City. Pusat ini diuruskan organisasi kemanusiaan perubatan antarabangsa Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières, sejak 2017. Di sini, pasukan doktor, ahli psikologi, pekerja sosial, ahli psikiatri dan fisioterapi Doctors Without Borders, menyediakan penjagaan komprehensif - dan selalunya jangka panjang - untuk pendatang dan warga Mexico yang melalui perjalanan ngeri di sepanjang laluan penghijrahan atau keganasan melampau di negara asal mereka.
Onnie dilatih untuk memberikan sokongan terapeutik kepada kanak-kanak, remaja, orang tua dan orang kurang upaya. Sokongan diberikan Onnie dan de la Rosa di pusat itu antara komponen penjagaan psikososial diterima sesetengah pesakit.
Segelintir yang pernah melalui situasi trauma akibat keganasan atau penyeksaan melampau berdepan kesukaran untuk meluahkan emosi mereka dan mencari semula rasa percaya terhadap orang lain dan dalam persekitaran mereka. Bekerjasama dengan Onnie memberi mereka peluang untuk memecahkan tembok supaya mereka boleh bersikap terbuka kepada ahli terapi dan berasa yakin untuk bercakap tentang situasi sukar yang mereka alami. Pesakit di pusat ini menjadi mangsa penculikan, penyeksaan, pelacuran secar paksa, ancaman, pencacatan, keganasan seksual, pengambilan paksa oleh kumpulan jenayah terancang, atau pernah menyaksikan pembunuhan ahli keluarga.Alicia de la Rosa, Ahli Psikologi
Anjing terapi dilatih dari usia yang sangat muda. Onnie memulakan latihannya ketika masih kecil, di mana ia terdedah kepada rangsangan bunyi, tekstur, persekitaran, orang dan objek yang berbeza. Apabila berusia setahun, ia memulakan latihannya untuk menjadi anjing terapi. Latihan disertai kelas asas ketaatan untuk mempelajari, contohnya, duduk, berbaring, berpusing, memberikan tapak kakinya, melompat, dan bergerak supaya pesakit yang mengalami masalah motor boleh memberus atau membelai mereka.
Psikoterapi bantuan haiwan juga membantu orang untuk meluahkan emosi mereka. "Ada yang mengalami trauma kompleks yang mana mereka tidak boleh berkata, 'Hari ini saya sangat sedih,' tetapi boleh menyebut, 'Hari ini Onnie kelihatan sedih,'" kata de la Rosa. “Itu membolehkan ahli psikoterapi mengetahui mood mereka. Pesakit juga memindahkan rasa percaya mereka terhadap anjing itu kepada ahli terapi. Mereka berfikir, ‘Jika Onnie mahu bersama Alicia, itu bermakna saya juga boleh mempercayainya.’”
Onnie kini memberikan sokongan kepada ramai pesakit di pusat itu, termasuk kanak-kanak, dewasa muda dan keluarga yang meninggalkan negara asal mereka. Pesakit menunjukkan simptom atau gangguan kesihatan mental akut seperti gangguan tekanan selepas trauma, imbasan semula, atau kemurungan peristiwa trauma dan keganasan melampau yang mereka alami disebabkan perlakuan geng tertentu, kumpulan penjenayah dan lain-lain.
"Onnie sedang membantu dua pesakit bercerita tentang pengalaman traumatik yang mereka alami," kata de la Rosa. "Ini membantu mereka mentakrif semula pengalaman mereka dan belajar menamakan emosi dan perasaan mereka." Salah seorang pesakit ini adalah seorang lelaki muda yang biasanya menyembunyikan kenangan menyakitkan dan mendatangkan kesan kepada dirinya. Apabila mengingati pengalaman traumatik, dia tidak dapat bercakap atau berfikir. Ketika itulah Onnie mula beraksi. "Bersama-sama mereka melakukan aktiviti dan senaman berbeza yang membuatkan dia berasa lebih santai, tidak terancam, dan dapat bercakap tentang apa yang mencetuskan kenangan traumatik itu," katanya.
Pesakit lain menghadapi masalah untuk membezakan antara pemikiran dan realitinya. Dia dimasukkan ke hospital beberapa kali selepas mencederakan diri sendiri. "Kami sedang bekerjasama dengannya untuk cuba membuat dia menjangka bila gejala kebimbangan dan pemikiran berulangnya bermula," kata de la Rosa. “Onnie bersamanya semasa krisis. Dia mula mengenakan tekanan pada pangkuannya menggunakan tapak kaki dan menjilatnya supaya pesakit itu sedar mengenai tubuhnya pada saat itu. Hari ini simptom pesakit telah bertambah baik, dan dia sudah tiga minggu tidak mengalami sebarang krisis."
Pada permulaan rawatan pesakit, pasukan perubatan dan psikologi bekerjasama dengan mereka untuk mencipta objektif terapeutik. Setelah objektif ini tercapai, tugas Onnie selesai. "Pesakit memberitahu lebih awal bahawa lawatan dengan Onnie akan diadakan antara tarikh tertentu, jadi mereka bersedia lebih awal bahawa terapi bantuan haiwan akan berakhir," kata de la Rosa. "Ini kerana seorang pesakit terikat dengan anjing dan penting untuk menutup ikatan kasih sayang ini dengan cara yang positif."
Onnie dan de la Rosa telah menjadi sebahagian daripada pasukan rawatan komprehensif Doctors Without Borders selama dua tahun. “Kami sangat gembira,” kata de la Rosa. “Kami harungi bersama dengan semua yang terlibat dalam rawatan mangsa yang terselamat untuk membantu pesakit kami pulih. Melihat peningkatan dalam kualiti hidup mereka yang sudah banyak menderita dan yang tiba di pusat itu dengan perasaan trauma, ia benar-benar sesuatu yang memberikan kami kepuasan yang besar”.