Nigeria: Kebimbangan tentang wabak di Maiduguri meningkat selepas banjir besar
Banjir besar melanda Maiduguri. Beberapa mangsa terpaksa memindahkan barangan mereka dari rumah yang terjejas akibat banjir. © Abba Adamu Musa/MSF
Doctors Without Borders menyeru agar bantuan segera ditingkatkan untuk menghadapi banjir besar di Maiduguri, Nigeria, terutama dalam aspek bekalan air bersih, sanitasi, dan rawatan kesihatan bagi melindungi penduduk yang sudah terkesan dengan ketidakamanan yang berlarutan serta tahap kekurangan zat makanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Maiduguri, Negeri Borno, 20 September 2024 – Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) sangat bimbang terhadap risiko besar penularan malaria dan penyakit bawaan air seperti kolera selepas banjir baru-baru ini yang menenggelamkan sebahagian besar kawasan Maiduguri. Terdapat juga kebimbangan bahawa krisis ini akan memperburuk masalah kekurangan zat makanan di kawasan tersebut.
Pada 10 September, hujan lebat menyebabkan Empangan Alau di Negeri Borno melimpah, mengakibatkan banjir besar di sekitar bandar Maiduguri. Banjir ini telah merosakkan rumah, pasar, ladang, ternakan, serta beberapa kemudahan kesihatan. Menurut pihak berkuasa Negeri Borno, hampir 400,000 orang telah ditempatkan di 30 lokasi penempatan sementara. Kebanyakan lokasi ini adalah sekolah yang tidak mempunyai kemudahan tandas yang mencukupi serta kekurangan bekalan air bersih.
Dua lelaki berjalan dalam banjir di sebuah kejiranan yang terjejas oleh banjir di Maiduguri, Negeri Borno, Timur Laut Nigeria.© Abba Adamu Musa/MSF
“Kami sangat bimbang dengan keadaan hidup yang tidak selamat serta kemungkinan berlakunya wabak kolera dan malaria. Sebelum banjir, jumlah kanak-kanak yang terjejas oleh malaria dan cirit-birit akut sudah meningkat, dan kami telah melihat beberapa kes dengan tanda klinikal kolera sejak banjir berlaku. Kami risau jumlah kes ini akan bertambah sekiranya tidak ada peningkatan dalam sokongan perubatan dan kemanusiaan, terutama dalam aspek air, sanitasi, dan kebersihan.Dr. Issaley Abdel Kader - Ketua Misi
Minggu lepas, pasukan Doctors Without Borders melawat beberapa lokasi penempatan sementara (Galtimari, Yerwa, Ali Sheriff, Teachers Village) untuk menilai keperluan penduduk serta memulakan pemberian perkhidmatan asas seperti penghantaran air bersih, pemasangan dan pembaikan tandas, serta pengedaran kelambu. Pasukan juga menjalankan konsultasi pesakit luar, termasuk sokongan kesihatan mental, dan merujuk pesakit kritikal ke kemudahan yang kami sokong.
Memandangkan risiko malaria dan kolera, Doctors Without Borders merancang untuk menambah kapasiti hospital pediatrik yang disokong oleh organisasi ini sebanyak 100 katil bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat. Pasukan juga sedang mendirikan pusat rawatan kolera yang boleh ditingkatkan kepada kapasiti 100 katil jika diperlukan.
Jururawat Doctors Without Borders, Yakellu, mengambil sampel darah daripada seorang wanita yang dipindahkan untuk ujian malaria di kem Teachers Village, Maiduguri, Negeri Borno, Timur Laut Nigeria.. © Abba Adamu Musa/MSF
Kerajaan Negeri Borno telah mengumumkan penutupan dan penggabungan kebanyakan lokasi penempatan sementara dalam beberapa hari akan datang. Mereka merancang untuk mengekalkan tiga lokasi utama bagi menempatkan orang yang masih tiada tempat tinggal selama seminggu lagi, serta merancang untuk melaksanakan vaksinasi kolera secara besar-besaran.
Semua pihak yang terlibat dalam respon kemanusiaan mesti terus menyediakan bantuan kepada mereka yang terjejas oleh banjir selama mana diperlukan, dan memastikan akses kepada rawatan perubatan yang cepat dan mudah untuk mereka yang memerlukan. Penutupan kebanyakan lokasi penempatan bermaksud ramai yang akan berada dalam situasi sangat terdedah. Bagi mereka yang masih berada di lokasi tersebut, tindakan segera mesti diambil untuk memperbaiki keadaan kebersihan, termasuk akses kepada tandas, air bersih, dan kelambu.Dr. Issaley Abdel Kader - Ketua misi
Sokongan kepada komuniti tidak hanya diperlukan di lokasi penempatan baru. Jauh sebelum banjir berlaku, seluruh penduduk Maiduguri telah menghadapi cabaran besar, termasuk krisis kekurangan zat makanan terburuk yang pernah dicatatkan di timur laut Nigeria. Dalam beberapa bulan terakhir, ratusan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan teruk telah dimasukkan setiap minggu ke hospital penjagaan nutrisi yang disokong oleh Doctors Without Borders.
Penduduk yang dipindahkan berjalan masuk ke kem Teachers Village, salah satu daripada 30 kem di mana mangsa banjir mendapat perlindungan di Maiduguri, Timur Laut Nigeria. © Abba Adamu Musa/MSF
Kemasukan ke hospital nutrisi baru sahaja mulai menurun sebelum banjir melanda. Dengan pasar dan perniagaan yang rosak, hasil tanaman yang musnah, dan ternakan yang hanyut, terdapat kebimbangan besar bahawa tren menurun ini akan berubah dan kemasukan ke hospital akan kembali meningkat.Dr. Ashok Sankpal,wakil Koord. Perubatan
Ini merupakan kali kedua dalam beberapa minggu Doctors Without Borders terpaksa melancarkan respon kecemasan berkaitan banjir di utara Nigeria. Pada Ogos, di Gummi, Negeri Zamfara, rumah dan ladang telah dimusnahkan, dan ribuan orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir teruk. Seperti di Maiduguri, penduduk di kawasan ini juga sudah berhadapan dengan cabaran besar, termasuk kekurangan zat makanan, ketidakamanan yang berlarutan, dan kekurangan akses kepada rawatan kesihatan. Pasukan Doctors Without Borders telah menyokong komuniti di Gummi beberapa minggu kebelakangan ini dengan menyediakan air bersih, membaiki telaga, dan mengedarkan kit bantuan yang termasuk plastik untuk tempat perlindungan sementara dan kelambu.