Niger: Deportasi membahayakan nyawa migran
Safi Keita selesai makan tengah hari di khemah yang didirikan untuk wanita hamil dan keluarga mereka di Assamaka. Safi mempunyai dua orang anak dan empat bulan hamil anak ketiganya. © Mariama Diallo/MSF
Safi Keita, dari Mali, hidup di Algeria dengan menjual rempah. Dua anaknya tinggal di Mali bersama ibunya, dan dia empat bulan hamil anak ketiganya pada hari polis tiba di rumahnya. "Gendarmer memecah pintu," katanya. "Mereka mengambil semuanya: wang dan telefon. Kemudian mereka membawa saya ke balai polis."
Keesokannya, Safi dimasukkan ke dalam trak dan dihantar ke pusat tahanan. "Mereka memuatkan kami dalam trak yang penuh - sangat sesak, bilangan kami ramai dan tiada seorang pun memakai pelitup muka," katanya. Setibanya di sana, dia dipaksa melompat dari trak ke tanah. "Kerana hamil, ia menyebabkan perut saya sakit," katanya.
Dia ditahan di pusat tahanan selama empat hari, dalam keadaan menyedihkan dengan hanya roti untuk dimakan. "Walaupun saya hamil, saya tidak mendapat rawatan khas," katanya. "Pengawal tiada belas kasihan terhadap saya atau keadaan fizikal saya."
Ketika dibebaskan, Safi dibawa bersama pendatang lain ke sempadan antara Algeria dan Niger dan ditinggalkan begitu sahaja di padang pasir.
COVID-19 tidak menghalang pengusiran secara sistematik
Setakat pertengahan April 2021, seramai 4,370 pendatang diusir dari Algeria ke Niger tahun ini, termasuk seorang dengan luka tembakan dan yang lain patah kaki. Pengusiran baru-baru ini memberi ingatan baharu bahawa, walaupun penutupan sempadan darat nasional disebabkan COVID-19, pengusiran sistematik migran tidak berhenti.
Menurut data dikumpulkan pasukan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF), seramai 23,175 pendatang tiba pada 2020 di bandar gurun kecil Assamaka, berhampiran sempadan antara Niger dan Algeria.
Angka ini sedikit rendah berbanding 29,888 pengusiran yang dicatatkan pasukan Doctors Without Borders pada 2019, tetapi sangat tinggi memandangkan sempadan Niger ditutup secara rasmi sejak Mac 2020 kerana COVID-19. Pada 2020, jumlah rundingan pesakit luar diberikan Doctors Without Borders lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, dengan 41,801 perundingan berbanding 39,889 pada 2019.
Sebilangan besar pesakit Doctors Without Borders melaporkan menjadi mangsa keganasan, termasuk penyeksaan: pada 2020, pasukan Doctors Without Borders memberikan rawatan perubatan kepada 989 pendatang yang terkesan akibat keganasan, 21 daripadanya mengatakan mereka diseksa. Pasukan Doctors Without Borders juga merawat 1,914 pendatang kerana masalah kesihatan mental.
Ditinggalkan di ‘Point Zero’
Pasukan Doctors Without Borders di Agadez mengumpulkan ratusan testimoni daripada pendatang yang dibantu atau diselamatkan oleh Doctors Without Borders selepas diusir dari Algeria. Sebilangan besar berasal dari Afrika Barat dan Asia Selatan merangkumi lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua. Ada yang tinggal di Algeria selama bertahun-tahun sebelum dideportasi, selebihnya merantau merentasi negara itu untuk ke Eropah.
Menurut keterangan mereka, migran ditangkap dan disimpan di pusat tahanan berhari-hari, bermingu-minggu atau berbulan-bulan, sebelum dipaksa menaiki bas atau trak oleh pasukan keselamatan Algeria dan ditinggalkan di tempat dikenali 'Point Zero', sebuah tempat di kawasan padang pasir sempadan antara Algeria dan Niger, selalunya pada tengah malam.
Dengan poket yang kosong, dan tanpa peta atau arah tuju, mereka terpaksa berjalan kaki sejauh 15 km ke Assamaka, penempatan terdekat. Ramai dilaporkan tersesat dalam perjalanan dan tidak lagi dijumpai.
Dibogel dan dirompak
Traoré Ya Madou, dari Mali, sudah enam tahun bekerja sebagai tukang cat di Algeria sebelum ditangkap dan dihantar pulang. "Kami tinggal di tapak tempat kami bekerja," katanya. "Pagi itu, polis Algeria tiba. Biasanya, kami akan memberi mereka wang atau menentang dan akhirnya pegawai itu akan pergi. Tetapi malam itu, sekitar 20 yang datang. Mereka memecah pintu dan masuk. Mereka menggari kami dan mengangkut kami ke balai polis. Saya berada di sana 24 jam tanpa makan. Mereka memeriksa badan kami dan menanggalkan seluar dalam kami – ia perlakuan tidak berperikemanusiaan. Saya ada 2,500 euro dan pegawai mengambil segalanya. Mereka memukul saya dengan kejam sehingga saya terpaksa ke hospital. "
Sebagai hukuman kerana cuba melawan ketika ditangkap, Traoré dibawa jauh ke padang pasir berbanding migran lain dan terpaksa berjalan kaki sekitar empat jam untuk sampai ke Assamaka.
Hak asasi manusia dicabul
Kisah dua migran ini hanya memberikan gambaran sekilas tentang apa yang berlaku di sempadan antara Algeria dan Niger.
Sejak revolusi Libya pada 2011, laluan melalui Niger dan kemudian ke utara melalui Libya atau Algeria menjadi laluan penghijrahan utama ke Eropah. Dasar dirancang untuk mengekang pergerakan manusia tidak menghalang individu untuk mencari keselamatan. Sebaliknya, mereka meningkatkan risiko bagi migran dengan mengkriminalisasi tindakan mereka dan melanggar hak asasi mereka.
Pada Sidang Kemuncak Valletta 2015, negara-negara Eropah dan Afrika memperkukuhkan sistem kawalan sempadan mereka dan bersetuju memudahkan kepulangan migran tidak sah, sama ada sukarela ataupun sebaliknya. Akibatnya, pendatang terus ditangkap sewenang-wenang, dianiaya atau dikembalikan ke negara-negara di mana mereka berisiko dianiaya.
"Penangkapan, penahanan dan pengusiran oleh pemerintah Algeria ini tidak menghormati prinsip asas ‘non-refoulement’ dan bertentangan dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta undang-undang pelarian antarabangsa," kata ketua misi Doctors Without Borders, Jamal Mrrouch. "Adalah mustahak untuk menyesuaikan kembali polisis ini dan menjamin bantuan kemanusiaan dan perlindungan kepada migran yang sedang bergerak, memastikan kemudahan tempatan di negara transit seperti Niger dapat memenuhi keperluan semua orang."
Pasukan Doctors Without Borders bekerja di wilayah Agadez sejak Ogos 2018, memberikan bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada wanita, lelaki dan kanak-kanak yang memerlukan. Doctors Without Borders menyediakan penjagaan kesihatan, sokongan psikososial, evakuasi perubatan kecemasan, dan mencari serta menyelamatkan pendatang yang hilang atau ditinggalkan di padang pasir. Doktor Tanpa Sempadanjuga menyediakan barang bantuan penting bagi pendatang seperti kelambu, selimut, alat kebersihan dan seluar dalam.