Mozambique: Mengurangkan Penyakit Tropika Terabai di Mogovolas
Presiden jawatankuasa air menerangkan kepada masyarakat bagaimana pam air berfungsi. Mozambique, Oktober 2023. © MSF/Lourino Pelembe
Daerah Mogovolas di wilayah utara Nampula, Mozambique, bergelut dengan kelaziman membimbangkan Penyakit Tropika Terabai (NTD) seperti kudis, bilharzia dan filariasis limfatik (penyakit untut). Semua penyakit ini menular disebabkan akses tidak mencukupi kepada air minuman yang selamat, sanitasi asas dan kesan buruk perubahan iklim. Corak hujan yang tidak teratur, kemarau berpanjangan, serta penyusutan air bawah tanah memburukkan lagi keadaan, menyumbang kepada kekurangan air.
Kekurangan air minuman yang selamat bukan hanya mempercepatkan penyebaran penyakit endemik tetapi turut meningkatkan risiko penyakit bawaan air seperti kolera dan cirit-birit. Komuniti tempatan, terdesak akibat keperluan, terpaksa menggunakan sumber air bertakung atau menempuh perjalanan jauh bagi memenuhi keperluan asas mereka.
Melihat lebih dekat keadaan di Mogovolas mendedahkan realiti yang nyata: telaga yang dahulunya banyak serta sumber air bawah tanah sama ada sudah berkurangan dengan ketara atau kering sepenuhnya. Sungai-sungai seperti Meluli dan Mutacaze, talian hayat untuk ribuan orang di Nametil - kampung tengah daerah itu - sedihnya kini telah kering. Mencari walaupun setitis air bergantung kepada nasib
Keadaan semasa Sungai Meluli, punca air utama bagi komuniti sekitar di Nametil. Mozambique, November 2023. © MSF/Lourino Pelembe
Semasa lawatan kami ke Sungai Meluli, kami bertemu Luzília, wanita berusia 20 tahun, yang mana disebabkan kemarau berpanjangan, menggali lubang kecil untuk mengumpul air bagi kegunaan di rumah. "Mendapatkan air menjadi tersangat sukar. Tujuh orang dalam isi rumah kami bergantung hanya kepada sumber air ini," kongsinya dengan ekspresi sedih, menunjukkan cabaran yang dihadapi keluarganya disebabkan kualiti kurang memuaskan air sungai, satu-satunya pilihan semasa mereka.
"Kami beberapa kali diserang penyakit kerana meminum air ini, namun malangnya, kami kekurangan alternatif yang lebih baik." katanya kesal.
Senario ini, ditambah pula kesan buruk perubahan iklim, membawa cabaran yang menggerunkan serta rumit di Mogovolas. Menangani cabaran ini memerlukan penyelesaian yang mampan dan usaha kolaboratif untuk menjamin masa depan lebih sihat bagi individu yang rentan seperti Luzília.
Inisiatif Penyelesaian Air Mampan Doctors Without Borders
Untuk menangani isu ini, Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan komuniti, sedang melaksanakan inisiatif air dan sanitasi bersepadu di kawasan itu. Matlamat utama adalah untuk meningkatkan keadaan hidup dan menyekat penyebaran bilharzia dan kudis, bersama penyakit bawaan air, dengan menggalakkan amalan kebersihan yang betul.
Inisiatif ini merangkumi pendidikan kesihatan, pembinaan daya tahan, dan strategi penyesuaian melalui infrastruktur penuaian air hujan dan pemulihan telaga tradisional dan lubang gerudi (telaga tiub).
Lapan telaga yang terlindung, masing-masing dilengkapi sistem pam tangan, menjadi gambaran transformasi dalam komuniti ini. Inisiatif penting ini bukan sekadar melindungi masyarakat daripada pendedahan terhadap cacing penyebab bilharzia tetapi juga menjanjikan peningkatan yang ketara dalam kualiti hidup keseluruhan.
Seorang wanita menggali lubang kecil untuk mengambil air di sungai Meluli. Mozambique, November 2023. © MSF/Lourino Pelembe
Pada masa sama, Doctors Without Borders gigih menyediakan sumber air dalam jarak lebih dekat dengan komuniti ini, menghentikan keperluan perjalanan sukar untuk mencari air. Baru-baru ini, pasukan kami berjaya menyediakan sumber mata air yang boleh dipercayai yang memenuhi keperluan harian komuniti Namacaro di Nametil dan diserahkan kepada komuniti. Sumber-sumber ini bukan hanya sebagai saluran air; malah ia berdiri sebagai simbol harapan untuk penduduk, membuka jalan ke arah mitigasi masa depan daripada cengkaman penyakit tropika diabaikan.
Atumane Amisse, ketua Jawatankuasa Air dalam komuniti Namacaro yang bekerjasama dengan pasukan Doctors Without Borders, menekankan kepentingan serta faedah besar sumber air baharu untuk komuniti: "Air ini akan menjadi bantuan yang besar kepada kami semua di sini dalam komuniti kami. Kami sedang menyusun senarai penerima sumber air ini, membolehkan kami menguruskan sumber ini dengan lebih berkesan. Pemasangan pam ini mengubah sepenuhnya kehidupan kami, kerana kekurangan air adalah realiti yang menyakitkan. Kini, orang ramai mempunyai akses air berkualiti yang percuma dan mudah, yang penting untuk minum, memasak dan kebersihan diri."
Rutin dahulu bangun pada jam 4 pagi untuk meredah laluan kira-kira 5 kilometer mencari air keruh dari perigi tradisional yang sering mengakibatkan penyakit, kini akan menjadi memori yang jauh. Sumber air baharu itu bukan hanya membawa kemudahan tetapi juga keselamatan dan kesihatan kepada komuniti Namacaro. Usaha mendokumentasikan pengguna mencerminkan tanggungjawab kolektif dalam memastikan kelestarian sumber penting ini, manakala air yang bersih dan mudah diakses membuka jalan ke arah masa depan yang lebih sihat dan lebih sejahtera untuk semua orang dalam komuniti.
Jawatankuasa Tempatan: Merintis Pengurusan Air Diterajui Komuniti
Melangkaui campur tangan perubatan untuk NTD, Doctors Without Borders menghulurkan bantuan dengan memupuk daya tahan komuniti melalui penglibatan aktif dengan jawatankuasa air tempatan. Jawatankuasa ini menerima latihan dan bimbingan mengenai pemuliharaan air, penyelenggaraan sumber, dan amalan kebersihan yang betul untuk memastikan akses yang mampan dan selamat kepada air minuman.
Penting untuk memperkasa jawatankuasa ini dalam menyelia, mengurus dan menjaga sumber air. Kolaborasi antara Doctors Without Borders bersama pihak berkuasa tempatan serta komuniti bukan setakat bertujuan untuk menjamin ketersediaan air tetapi juga untuk memperkasakan komuniti itu supaya cekap mengurus sumber penting ini secara mampan.
Pemandangan salah satu telaga terlindung yang dilengkapi sistem pam tangan yang dibina oleh Doctors Without Borders untuk memudahkan akses kepada air untuk masyarakat. Mozambique, Oktober 2023. © MSF/Lourino Pelembe
Kepercayaannya adalah bahawa komuniti sendiri boleh memacu perubahan yang mereka cari. Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kelaziman NTD di Mogovolas dan memastikan daya tahan yang berkekalan terhadap cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.
Yahya Latama, Ketua Pasukan Logistik Doctors Without Borders, berkata rancangan untuk membendung kontaminasi NTD di Mogovolas termasuklah membina dobi komuniti bagi mengelak wanita dan kanak-kanak - yang kebanyakannya menggunakan air sungai untuk mencuci atau beriadah - daripada mengakses sumber air yang tercemar dengan larva bilharzia.
Sementara itu, Yahya meramalkan masa depan yang mencabar bagi daerah itu, menjangkakan krisis air yang semakin meningkat akibat kemarau berterusan disebabkan perubahan iklim. "Telaga dan lubang gerudi yang pernah memenuhi keperluan komuniti sepanjang tahun kini bertahan 5 atau 6 bulan," ulasnya.
Mozambique disenarai antara negara paling terdedah kepada perubahan iklim. Sejak 2022, pasukan Doctors Without Borders telah bertindak balas secara aktif terhadap penyakit sensitif iklim di wilayah Nampula di Mozambique. Objektif utama aktiviti kami adalah untuk menangani jurang dalam sistem penjagaan kesihatan, berhubung dengan penyakit tropika terabai seperti filariasis limfatik dan skistosomiasis, serta penyakit bawaan vektor seperti malaria teruk dan denggi.