Merawat luka keganasan seksual yang kelihatan dan tidak kelihatan di Republik Afrika Tengah
Patung digunakan kanak-kanak yang dimasukkan ke perkhidmatan Tongolo di hospital masyarakat di Bangui, CAR, untuk menunjukkan di mana mereka disentuh. Tongolo bermaksud 'bintang' dalam Sango, bahasa tempatan. Ia dipilih sebagai nama harapan untuk projek Doctors Without Borders yang menangani keganasan seksual dan perancang keluarga. Projek ini ditempatkan di tiga lokasi berbeza di ibu kota, di mana hospital komuniti menjadi satu daripadanya. Foto dari 30 November 2020. © Adrienne Surprenant / Collectif ITEM
Di negara yang bertahun-tahun melalui perang saudara dan menghadapi krisis jangka panjang, serangan bukan hanya membabitkan anggota kumpulan bersenjata; selalunya serangan dilakukan mereka yang dikenali mangsa. Walaupun akses kepada rawatan perubatan dan psikologi bertambah baik sejak beberapa tahun ini, tindak balas tetap tidak mencukupi berbanding keperluan.
Selepas serangan itu, saya berfikir seperti mahu mencabut nyawa sendiriCharlotte*, 18 tahun yang terselamat
Dengan ibunya meninggal dunia, dan bapa pula mengabaikannya, Charlotte tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya ketika suatu hari bapa saudaranya itu memperkosanya di rumah, sewaktu ahli keluarga lain keluar. Ibu saudaranya tidak mempercayainya dan Charlotte merasa sendirian dan putus asa. Dia mulanya mendapatkan bantuan polis tetapi tidak berjaya dan, setelah bercakap dengan sepupu yang dianggapnya seperti kakak, dia memutuskan untuk meminta pertolongan.
Keadaan Charlotte sangat rapuh, baik fizikal dan mental, ketika dia tiba di pusat sokongan Tongolo, dikendalikan pasukan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF). Tongolo bermaksud 'bintang' dalam Sango, bahasa tempatan, dan merujuk kepada 'harapan', ketika bintang itu bersinar di langit gelap. Charlotte antara lebih 6,000 mangsa kekerasan seksual yang mendapat rawatan perubatan, psikologi dan psikososial pasukan Doctors Without Borders sejak projek Tongolo bermula di Bangui pada 2017.
Célestin (nama diubah untuk perlindungan) beraksi untuk potret tanpa nama di pusat Tongolo pada 27 November 2020. Célestin, seorang lelaki buta, dengan murah hati menumpangkan seorang lelaki yang meminta pertolongan. Ketika sendirian di rumah pada suatu malam, lelaki itu memperkosa dan memukulnya. Dia keluar secepat mungkin, dan menuju pusat Tongolo, yang didengarinya di radio.
Célestin*, mangsa lain yang terselamat dari Bangui, juga merasakan terperangkap dan tidak menyangka kejadian trauma seperti itu akan menimpa dirinya. Dia ikhlas menumpangkan seorang lelaki yang dia fikir kenal, sehingga dirinya diganggu secara seksual pada suatu malam.
"Saya sedang tidur, dan dia tiba-tiba dating dengan niat buruk," kata Célestin. "Dia mabuk dan memaksa saya melakukan perkara yang saya tidak mahu. Saya mula panik, saya sangat takut. Dia memukul saya tetapi saya berjaya melarikan diri."
Bermula dengan dua struktur berbeza di Bangui, Bédé-Combattant dan Hôpital Communautaire, Doctors Without Borders membuka pusat Tongolo pada Ogos 2020 berhampiran Parc du Cinquantenaire di kawasan Lakouanga. Pusat baharu ini melengkapi yang lain dan sepenuhnya dikhaskan untuk mangsa keganasan seksual.
Wanita dan kanak-kanak bawah umur, paling terjejas keganasan seksual
Sebilangan besar yang terselamat berasal dari Bangui, sebuah bandar di mana 890,000 dari 4.5 juta penghuni Afrika Tengah menetap; namun satu dari empat pesakit berasal dari pinggiran ibu kota, dan sebahagian kecil, yang semakin meningkat, berasal dari daerah lebih terpencil di wilayah lain di negara ini.
"Inisiatif Tongolo berusaha menyediakan program rawatan berkualiti tinggi dan percuma yang dapat diakses semua orang," jelas Bilge Öztürk, penyelaras projek. Dia menambah bahawa perkhidmatan itu disesuaikan untuk lelaki, kanak-kanak dan remaja.
Walaupun majoriti pesakit adalah wanita dan gadis (lebih 1,900 pada 2020, atau hampir 95 peratus daripada jumlah keseluruhan), 111 lelaki juga mendapatkan rawatan di bawah program ini tahun lalu. 52 peratus daripada mangsa terselamat adalah kanak-kanak bawah umur, angka yang dilabelkan membimbangkan oleh Axelle Franchomme, penasihat perubatan Tongolo, yang percaya data dikumpul di Tongolo mewakili masalah keganasan seksual yang dapat ditemui di bahagian lain negara ini.
Kanak-kanak bawah umur paling rentan dan paling sensitif untuk dirawat, kerana mereka membina identiti mereka dari hari ke hari, berdasarkan situasi yang mereka alami. Sekiranya tidak diambil serius, peristiwa ganas seperti itu boleh memberi kesan jangka panjang kepada masa depan mereka dan meninggalkan jejak sepanjang hidup mereka.
Nanette beraksi untuk potret di Bangui, CAR, pada 11 Disember 2020. Dia ke sana untuk menyiasat keganasan di kampung halamannya pada 2014. Di sana, dia melihat khinzir memakan mayat, dan mayat orang tuanya di sungai. Dia terus mengambil nota dan gambar, mengetahui pentingnya mendokumentasikan ini. Ketika dikelilingi sekumpulan lelaki, dia tewas dan mereka memperkosanya.
Persatuan Nanette, Pertubuhan Antarabangsa untuk Menyokong Kebebasan Wanita dan Gadis (ANAP) memastikan penyertaan semula dari segi sosial dan ekonomi untuk mangsa yang terselamat, serta menawarkan sokongan psiko-sosial dan memudahkan rujukan ke pusat Tongolo Doctors Without Borders. Mengumpulkan testimoni dan fail mangsa yang terselamat, Nanette juga menyusuli kes mereka dengan organisasi Hak Asasi Manusia dan keadilan yang aktif di Republik Afrika Tengah. © Adrienne Surprenant / ITEM Kolektif
Krisis kronik mendorong keganasan seksual
Dengan CAR yang dilanda perang saudara bertahun-tahun - konflik semakin meningkat sejak Disember - dan rakyatnya berulang kali terdedah kepada perpindahan secara paksa, tahap keganasan tinggi dan pelanggaran hak asasi manusia, keganasan seksual menjadi isu kesihatan awam.
Bertahun lalu, mangsa yang terselamat mengenal pasti pihak bersenjata sebagai penyerang dalam kebanyakan kes. Hari ini, dengan program terbuka untuk lebih ramai anggota masyarakat, pengalaman kami menunjukkan bahawa pelaku sering dikenali mangsa dan merupakan sebahagian lingkaran yang dekat dengan mereka, seperti rakan, jiran atau bahkan saudara-mara. Pada 2020, 56 peratus pesakit ditemui staf Doctors Without Borders menyatakan mereka kenal pelaku mereka. Dengan keganasan kembali pada Disember 2020, trend ini berbalik kepada asal apabila pihak bersenjata sekali lagi menjadi penyerang yang paling kerap.
Kesan selepas serangan itu tidak hadir tanpa cabaran yang sedikit.
“Bagi keluarga, ketika saudara diserang secara seksual, kesalahannya adalah pada yang menjadi mangsa. Mereka tidak menyedari bahawa mereka sendiri boleh dianiaya,” kata Aimé-Césaire, seorang kaunselor kesihatan mental. "Mereka selalu menyalahkan orang yang dianiaya, yang sudah berada dalam situasi yang sukar dan tidak mampu mempertahankan diri daripada penyerang mereka."
Ini juga diterjemahkan dalam cara pesakit berkomunikasi. Sebilangan bahasa Afrika Tengah tidak menggunakan perkataan 'rogol' kerana dianggap sebagai pantang larang dan memalukan.
"Berdiam diri mendorong ke arah cita-cita yang hancur, keluarga yang runtuh, penyakit, hubungan yang tidak berfungsi dan kehidupan yang musnah," menurut Gisela Silva, penyelia kesihatan mental.
"Mereka yang selamat memerlukan penghormatan dan sokongan psikologi daripada keluarga, tetapi ini seringkali tidak berlaku," tambah Aimé-Césaire.
Aimé Césaire Likosso, penasihat kesihatan mental dengan projek Tonggolo Doctors Without Borders di Bangui, CAR, menunjukkan perincian dalam lukisan dihasilkan kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan seksual. Kanak-kanak dan wanita adalah kumpulan paling rentan terhadap keganasan seksual di negara ini. Foto dari 30 November 2020. © Adrienne Surprenant / ITEM Kolektif
Luka yang tidak kelihatan
Kesan yang tidak kelihatan daripada pengalaman keganasan seksual bermula daripada gangguan tekanan pasca-trauma dan kegelisahan hinggalah kemurungan. Ada juga yang mempunyai idea untuk membunuh diri dan bahkan mencubanya. Oleh kerana subjeknya masih tabu, mangsa yang terselamat dilarang dalam kebanyakan kes untuk membicarakan serangan seksual yang mereka lalui, kerana bimbang keluarga mendapat malu.
Masalahnya kemudian diselesaikan secara damai dalam komuniti atau antara ahli keluarga, sehingga lupa bahawa ia adalah keadaan kecemasan perubatan yang mesti diatasi.
Bagi mangsa lelaki yang terselamat, keadaan lebih rumit. Ramai terlalu takut untuk bersuara dan hanya beberapa yang berani datang ke kemudahan Tongolo. Mereka enggan meminta pertolongan, kerana terdapat tekanan dan stigmatisasi masyarakat yang ketara.
Dalam persekitaran yang kompleks ini, akses kepada sokongan psikososial sangat penting untuk mencegah atau mengurangkan jumlah penyakit psikologi dan penderitaan disebabkan keganasan seksual. Mereka yang terselamat menunjukkan gejala harus dberikan rawatan dan dihubungkan dengan psikologi atau psikiatri tanpa berlengah.
Oleh kerana keperluan kesihatan dan mental mangsa yang terselamat tidak dapat ditangani dengan baik tanpa mempertimbangkan dunia sosial mereka, mangsa dihubungkan kepada pekerja sosial.
Tujuannya untuk menemani mangsa yang terselamat melalui penyembuhan, untuk membantu mereka menyelesaikan masalah dan menjadi cukup kuat untuk meneruskan kehidupan mereka.Axelle Franchomme, penasihat perubatan
Mendapatkan pertolongan lebih awal sangat penting
Susulan diperkosa, rawatan pencegahan HIV dan jangkitan kelamin lain, serta vaksinasi terhadap hepatitis B dan tetanus, harus dilakukan secepat mungkin, dalam tempoh tiga hari kejadian itu. Namun, pada 2020, hanya 26 peratus pesakit yang ditemui Doctors Without Borders tiba dalam tempoh 72 jam selepas serangan seksual tersebut. Pekerja kesihatan masyarakat dan radio berusaha meningkatkan kesedaran mengenai keperluan ini dalam kalangan komuniti.
"Kami mendengar di radio bahawa kami harus ke pusat Tongolo secepat mungkin supaya mereka dapat menyelesaikan masalah kami," kata Célestin.
"Mangsa sudah trauma ketika datang kepada kami, jadi mengurangkan masalah lain berkaitan kesihatan sangat penting," tambah Franchomme.
Selepas pakej perubatan ini diberikan kepada pesakit, lawatan susulan untuk memeriksa pematuhan rawatan diatur untuk mencegah kemungkinan kesan sampingan atau komplikasi. Pesakit wanita juga dapat menerima kontraseptif kecemasan untuk mencegah kehamilan yang tidak diingini dan pilihan perancang keluarga ditawarkan kepada semua orang di semua kemudahan Tongolo untuk mengurangkan stigmatisasi berkaitan anak yang dilahirkan daripada pemerkosaan.
Pekerja sosial Didier Mango bekerja di wad Tongolo di hospital masyarakat Bangui. Sebagai pekerja sosial, dia selalu memberitahu masyarakat tentang pentingnya datang ke pusat dalam tiga hari daripada serangan seksual untuk mencegah penyakit tertentu dan kehamilan tidak diingini. Penting juga baginya untuk "melihat bagaimana kita dapat mengubah, dan menyumbang kepada penyertaan sosial mangsa." Foto diambil pada 30 November 2020. © Adrienne Surprenant / ITEM Kolektif
Keperluan tidak tercapai
Mendapatkan pertolongan seawal mungkin serta berkongsi pengalaman traumatik dengan pakar kesihatan mental, sangat penting untuk menyembuhkan luka keganasan seksual yang kelihatan dan tidak kelihatan, namun membina semula masa depan setelah pencerobohan itu juga tugas yang mendesak berikutan timbulnya keperluan undang-undang dan sosioekonomi.
Terlalu sedikit perkhidmatan tersedia dalam bidang ini di negara ini, menyebabkan ramai mangsa yang terselamat dalam keadaan buntu, malah terdapat juga masalah kekebalan berkaitan keganasan seksual, dengan prosedur jenayah hanya berlaku di ibu kota.
Di pusat Tongolo, ruang kepada organisasi tempatan dan antarabangsa yang mengkhususkan bidang perundangan, perlindungan, pendidikan dan sokongan sosioekonomi disediakan beberapa bulan lalu supaya mangsa yang terselamat dapat mengakses semua perkhidmatan di satu tempat sebagai sebahagian rangkaian rujukan sistematik. Koordinasi dan kolaborasi antara kumpulan berbeza harus diperkukuhkan sepanjang tahun.
Cabaran lain adalah perintah berkurung sementara dan sekatan pergerakan dikenakan kerajaan ketika tempoh kemelut politik ini. Sebagai contoh, beberapa mangsa yang terselamat datang ke Hôpital Communautaire pada waktu malam untuk mengelak stigmatisasi, namun sejak Januari 2021, dan untuk bulan-bulan mendatang, ini bukan pilihan.
Perjalanan masih panjang untuk mengenal pasti, merawat dan membantu secukupnya semua mangsa keganasan seksual yang terselamat di CAR.
***
Doctors Without Borders berada di CAR sejak 1997 melalui 13 projek di Bangui, Bria, Bangassou, Bambari, Kabo, Batangafo, Paoua, Bossangoa dan Carnot. Komponen keganasan seksual disatukan dalam semua projek dan pasukan Tongolo, bersama pasukan kecemasan Eureca, turut terbabit secara aktif di lokasi lain seluruh negara yang merekodkan peningkatan keganasan, termasuk keganasan seksual, dengan terbaru Liton pada akhir Januari 2020.
*Nama pesakit ditukar untuk melindungi identity mereka