Maklumat salah dan stigma menambah beban pesakit COVID-19 di Papua New Guinea
Latihan penggunaan PPE dengan selamat diadakan di Port Moresby untuk kakitangan yang baru diambil. Fundzile Msibi, jururawat, menunjukkan cara pemakaian dan menanggalkan PPE dengan selamat. © Leanne Jorari/MSF
Ketidaksamaan vaccine
Walaupun negara itu menghindari pandemic global terburuk 2020, ia kini dilanda wabak coronavirus baharu yang teruk. Pihak berkuasa meningkatkan langkah meratakan lengkungan sebelum memburuk, namun ia terbukti sukar berikutan sistem kesihatan sudah sedia rapuh. Dengan ramai kakitangan penjagaan kesihatan di negara ini kini dikuarantin selepas diuji positif, masalah pandemik lain pula muncul: ketidaksamaan vaksin.
"Situasi di Papua New Guinea adalah contoh ketidaksamaan akses global terhadap vaksin dan alat perubatan lain. Ketika jumlah kes meningkat, pekerja kesihatan di sini tetap tidak divaksinasi, sementara negara lain mendapatkan lebih banyak vaksin berbanding yang mereka perlukan,” kata Farah Hossain, pengurus perubatan Doctors Without Borders.
Papua New Guinea menyaksikan kes COVID-19 memuncak sejak awal tahun ini. Kini, jumlah kes kumulatif di negara ini adalah 8,984, dengan 846 sudah pulih, dan 69 kematian di sembilan wilayah; dengan kebanyakan kematian berlaku di ibu negara, Port Moresby.
Pakar perubatan menyatakan tekanan mendadak dihadapi sistem kesihatan negara akibat daripada lonjakan kes ini. Beban tugas berlebihan kakitangan perubatan, ramai diuji positif dan dikuarantin, serta kekurangan bekalan perubatan melumpuhkan hospital dan klinik awam di seluruh negara.
Tindak balas Doctors Without Borders
Sejak Oktober 2020, Doctors Without Borders membantu melalui seorang juruteknik makmal dan bekalan katrij untuk menganalisis sampel ujian PCR bagi jangkitan COVID-19, namun lonjakan kes memerlukan tenaga kerja tambahan dan bekalan perubatan.
Awal bulan ini, pasukan Doctors Without Borders di Papua New Guinea mula menyokong kemudahan rawatan COVID-19 yang diubah suai di Port Moresby, dikendalikan Lembaga Kesihatan Provinsi Daerah Ibu Kota Nasional (NCDPHA), yang memiliki kapasiti 43 katil untuk pesakit biasa hinggalah yang parah.
Pasukan Doctors Without Borders mengambil dan melatih pengamal perubatan Papua New Guinea pada awal April, memberi fokus utama kepada situasi kecemasan dan bagaimana mengatasinya dengan cepat. Mereka menjalani latihan berkaitan pelbagai topik daripada cara memakai alat pelindung diri (PPE), terapi oksigen hinggalah merawat radang paru-paru akut.
Menurut Penyelaras Projek, Shah Khalid, ia bukan hanya membantu mereka menghadapi COVID-19 di sini dan pada masa sekarang, tetapi juga untuk masa akan datang: “Melatih kakitangan kami sangat penting untuk memastikan keselamatan mereka dan pesakit kami. Prosedur ini terpakai dalam semua penyediaan rawatan kesihatan, ketika kami dalam pandemik dan juga pada waktu lain”.
Satu lagi topik penting, namun sering diabaikan yang akan dipelajari pengamal perubatan adalah pendidikan dan kaunseling pesakit. Ia untuk memastikan kesejahteraan mental dan emosi pesakit tidak diabaikan.
Yang terakhir adalah topik paling diabaikan di negara ini. Pesakit diuji positif dipinggir dan berdepan stigma akibat kurangnya pengetahuan umum mengenai COVID-19. Stigma melingkari virus masih terus meningkat dengan ramai yang menolak untuk menjalani ujian bagi virus itu, walaupun selepas mengalami gejala.
Pengurus pendidikan dan kaunseling pesakit bagi projek ini, Fundzile Msibi membincangkan kepentingan sesi berkenaan; "Sangat penting untuk memahami bahawa mereka yang didiagnosis COVID-19 akan berdepan emosi yang pelbagai. Mereka bimbang tentang diagnosis mereka, mungkin cemas atau tidak yakin untuk pulih kerana mereka akan melihat bilangan yang mati akibat virus di seluruh dunia. Mereka juga harus kekal dalam pengasingan, jauh daripada keluarga dan rakan-rakan. Semua cabaran ini juga mempengaruhi mereka secara psikologi, jadi sokongan ini untuk membantu mereka mengatasi keadaan berkenaan. Hanya perlu ada di sana ketika pesakit menzahirkan emosi dan menyokong mereka ketika melalui tempoh ini."
"Kami ingin menghalang masalah emosi atau gangguan seperti kemurungan."
Kakitangan merancang untuk mengadakan sesi kaunseling secara berkala dengan pesakit pada tahap berbeza ketika mereka tinggal di hospital serta mula melihat bagaimana isu-isu ini dapat ditangani dalam komuniti.
Doctors Without Borders telah bekerja di PNG selama bertahun-tahun menjalankan program tuberkulosis dan meneruskan diagnosis serta rawatan di Port Moresby (NCD) dan Kerema (Wilayah Teluk)