Kehidupan sukar untuk orang yang melarikan diri dari keganasan di Cabo Delgado
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, ratusan orang telah tiba di ibu kota provinsi Pemba, Cabo Delgado, setelah melarikan diri dari serangan ganas yang berlaku di Palma minggu lalu. Mozambique, 2021. © Amanda Furtado Bergman/MSF
Keganasan di Palma, provinsi Cabo Delgado di timur laut Mozambique, pada akhir bulan Mac memaksa ribuan orang melarikan diri dari rumah mereka dalam ketakutan menuju ke Afungi- - yang terletak kira-kira 25 kilometer jauhnya - dan juga Pemba. Banyak keluarga berpisah ketika dipindahkan dari Afungi, kerana keutamaan diberikan kepada wanita, kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya serta mereka yang cedera parah. Akibatnya, ramai ibu, isteri dan adik-beradik perempuan kini sendirian, tanpa berita daripada individu yang mereka sayangi, berikutan komunikasi dengan Palma dan Afungi, masih belum berfungsi*.
Dianggarkan 90 peratus penduduk kehilangan tempat tinggal akibat serangan di Palma baru-baru ini dan berjaya sampai ke Pemba, tinggal bersama saudara-mara dan rakan-rakan. Namun mereka yang tidak mempunyai sesiapa masih hidup terkapai-kapai, berharap supaya dapat bersatu kembali dengan mereka yang masih tertinggal di belakang. Kakitangan Doctors Without Borders baru-baru ini membantu dua wanita yang terperangkap dalam krisis ini, dan di sini mereka menceritakan kisah mereka.
- Margrete: “Kami selalu takut di Palma, kami hidup dalam ketakutan”
© Amanda Furtado Bergman/MSF
"Saya ingin kembali hidup bersama suami supaya dapat bermula semula dan mencari jalan meneruskan kehidupan kami," kata Magrete, yang meninggalkan rumahnya semasa serangan di Palma baru-baru ini dan kini tinggal di tempat perlindungan sementara di stadium di Pemba, ibu kota wilayah Cabo Delgado di Mozambique."Saya menerima panggilan daripada suami sekitar jam 3 petang pada 24 Mac," kenang Magrete. "Dia memaklumkan keadaan ketika itu tidak baik dan saya harus meninggalkan rumah bersama anak-anak dan menemuinya di tempat kerjanya. Bahkan sebelum kami meninggalkan rumah, saya sudah dapat mendengar bunyi tembakan di bandar. Kami berlari ke pejabat suami saya, dan kami bersembunyi di halaman belakang. Beberapa orang lain pun ada di sana.
"Sejurus menyedari bahawa kami tidak selamat di sana, suami menolong saya dan anak-anak memanjat pagar, dan kami melarikan diri. Beberapa orang tidak berjaya melarikan diri. Kami tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka, sama ada mereka mati atau diculik.
“Kami berada di pinggir Palma, di tepi pantai. Kami tinggal di sana selama dua hari. Pada hari ketiga, kami terpaksa melarikan diri lagi kerana serangan, mereka menemui kami. Kami terus berlari di sepanjang pantai menuju Afungi; yang lain berlari ke dalam air dan langsung tidak keluar. Selama berhari-hari kami tidak makan apa-apa. Kami minum air daripada sungai kecil dan kolam yang kami temui di sepanjang jalan.
“Kami tiba di Afungi bersama: saya, suami dan dua anak lelaki kami. Namun, ketika bot itu datang untuk menyelamatkan kami, mereka mengatakan suami saya harus menunggu hingga keesokan harinya - mereka mengutamakan wanita dan kanak-kanak. Suami saya mempunyai telefon bimbit, tetapi saya tidak dapat menghubunginya sejak saya tiba di sini. Saya tidak tahu di mana dia berada atau bagaimana keadaannya sekarang.
“Kami selalu takut di Palma, kami hidup dalam ketakutan. Kami tahu kampung lain juga diserang, kerana saya terputus hubungan dengan ibu bapa saya yang tinggal di Quinina, di daerah Nangade [yang berkali-kali diserang sejak 2018]. Anak saudara saya diculik di Palma, dan kami tidak tahu di mana dia berada. Dan sekarang saya juga terputus hubungan dengan suami saya ...
"Saya akan menunggu di sini beberapa hari, tetapi jika tidak dapat menghubungi suami, saya memerlukan bantuan untuk ke Mueda. Saya akan mencuba dan mencari saudara-mara dan bertanya seseorang yang mungkin mempunyai berita tentang suami saya. Saya ingin meminta pertolongan bagi yang masih di Afungi, yang tertinggal di belakang. Mereka perlu dibawa ke sini. Saya ingin kembali hidup bersama suami supaya dapat bermula semula dan mencari jalan meneruskan kehidupan kami.”
- Zainabo: “I lost everything, including my eldest son”
© Amanda Furtado Bergman/MSF
Zainabo seorang ibu kepada tiga anak, antara yang kini berlindung di sebuah stadium di Bandar Pemba, ibu kota wilayah Cabo Delgado di Mozambique, selepas kehilangan tempat tinggal. Serangan terkini oleh pemberontak di bandar Palma pada Mac, memaksanya lari menyelamatkan diri, meninggalkan segala-galanya, termasuk anak lelaki sulungnya.
Ketika saya berjalan melalui stadium, di mana pasukan Doctors Without Borders memberikan rawatan perubatan, Zainabo memanggil saya, mengatakan: "Mama, saya tidak sihat. Hati saya sedih. " Ketika saya bertanya apa yang berlaku, dia menceritakan kisahnya.
"Pada 2006, saya meninggalkan Nampula menuju Mocimboa da Praia," kata Zainabo. “Saya membuka perniagaan kecil di mana saya menjual makanan dan minuman. Ketika serangan berlaku di Mocimboa da Praia [pada 2020], saya memutuskan untuk berpindah ke Palma. Saya meneruskan perniagaan di sana dan dapat menyara hidup, namun ketika serangan ini berlaku, saya hilang segalanya, termasuk anak lelaki sulung saya. Kami berpisah, dan saya tidak tahu di mana dia sekarang.
“Kami semua ada bersama ketika ia terjadi. Tetapi sebaik mendengar tembakan, kami panik dan berlari ke arah yang berbeza. Saya terjatuh ke tanah dan orang membawa saya ke halaman belakang, di mana dua anak bongsu saya berada.
“Kami meninggalkan Palma dan menuju Afungi [sekitar 25 kilometer jauhnya]. Kami takut dan berharap dibantu di Afungi, tetapi perjalanan ke sana sukar – satu keajaiban kerana kami berjaya. Kami sering mendengar tembakan dan terpaksa berlari. Kami bernasib baik sampai ke sana.“Saya dan anak bongsu sampai ke sini [Pemba] dengan helikopter. Anak perempuan saya datang kemudian menaiki kapal. Namun saya tidak mahu pergi. Saya memberitahu mereka yang menolong kami di Afungi bahawa saya tidak dapat menemui anak saya. Tetapi mereka mengatakan saya harus pergi dan mereka akan mencarinya. Mereka mengambil gambar saya dan mengatakan selepas menemuinya, mereka akan menunjukkan kepadanya gambar itu, supaya dia tahu saya datang ke sini. Mereka memberi saya nombor telefon untuk dihubungi untuk mendapatkan berita sekiranya mereka menjumpainya. Tetapi saya tidak mempunyai telefon.
"Saya tidak tahu apa akan saya lakukan. Saya tidak mempunyai apa-apa. Saya tidak mempunyai keluarga di Nampula, di mana saya berasal – yang sudah lama saya tinggalkan. Saya ada anak untuk dijaga, dan saya risau kerana belum menemui tempat untuk kami tuju. Buat masa ini, saya tinggal di sini. Tetapi saya memerlukan pertolongan.
"Saya tidak boleh kembali ke Palma. Saya melihat keganasan dengan mata saya sendiri. Saya kehilangan anak saudara, mereka memenggal kepalanya. Saya tidak boleh kembali. "
Banyak keluarga berpisah ketika dipindahkan dari Afungi, kerana keutamaan diberikan kepada wanita, kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya serta mereka yang cedera parah. Akibatnya, ramai ibu, isteri dan adik-beradik perempuan kini sendirian, tanpa berita daripada individu yang mereka sayangi, berikutan komunikasi dengan Palma dan Afungi, masih belum berfungsi.
Dianggarkan 90 peratus penduduk kehilangan tempat tinggal akibat serangan di Palma baru-baru ini dan berjaya sampai ke Pemba, tinggal bersama saudara-mara dan rakan-rakan. Namun mereka yang tidak mempunyai sesiapa masih hidup terkapai-kapai, berharap supaya dapat bersatu kembali dengan mereka yang masih tertinggal di belakang.
Kisah Pesakit
Margrete and Zainabo adalah dua wanita antara ramai lain yang melarikan diri dari Palma. Mereka mendapat rawatan dari Doctors Without Borders di tempat perlindungan sementara di stadium di Pemba.