Skip to main content

Iraq: Perkhidmatan Kesihatan Ibu Berterusan Tidak Mencukupi di Mosul

Baby Layth was born on January 12th in the morning.

Bayi bernama Layth ini dilahirkan pada pagi 12 Januari. Dia anak pertama Rafida yang berusia 15 tahun. Ibu Layth perlu bersalin menggunakan bantuan vakum disebabkan gangguan janin dan takikardia. Iraq, Januari 2022. © Elisa Fourt/MSF 

Maram, seorang wanita muda dari Mosul, berdiri di hadapan ambulans unit bersalin, sabar menunggu giliran untuk memasuki bangunan. Wanita berusia 20 tahun itu hamil tiga bulan, sedang menanti kelahiran anak ketiga. Dia datang untuk pemeriksaan antenatal pertamanya. "Saya datang ke sini kerana saudara-mara saya memberitahu tentang unit bersalin ini," katanya. "Kakak ipar saya datang ke sini sebelum ini, dan dia mengesyorkannya." Berit aitu bergerak pantas di Mosul dan kawasan lain, hinggakan semakin ramai wanita datang ke sini untuk perkhidmatan bersalin dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

MSF’s Al Amal maternity is located within Al Rafadain Primary Health Care Centre, in Al Nahrawan, a poor neighbourhood located in West Mosul.

Pusat Bersalin Al-Amal Doctors Without Borders terletak dalam Pusat Penjagaan Kesihatan Utama Al Rafadain, di Al Nahrawan, kejiranan miskin di Mosul Barat. Kemudahan itu menyediakan penjagaan obstetrik rutin dan bayi baru lahir, perancangan keluarga dan perkhidmatan kesihatan mental sejak Julai 2019. Iraq, Januari 2022. © Elisa Fourt/MSF 

Terletak di tebing barat Sungai Tigris, pusat bersalin Al-Amal Doctors Without Borders menawarkan penjagaan obstetrik rutin, penjagaan bayi baru lahir, perkhidmatan promosi kesihatan, perancangan keluarga dan sokongan kesihatan mental.

"Kami pada mulanya membuka unit bersalin ini kerana terdapat keperluan penting di bandar ini dalam aspek akses kepada penjagaan kesihatan secara umum, lebih-lebih lagi dalam bidang penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif," kata Yousif Loay Khudur, Pembantu Penyelaras Projek Doctors Without Borders.

“Tiga tahun kemudian, ramai wanita masih perlu datang ke sini memandangkan sistem kesihatan bandar ini belum berfungsi.”

Perang berakhir tetapi pemulihan memakan masa bertahun lamanya

Pada Jun 2014, Mosul jatuh ke tangan kumpulan IS. Pada Oktober 2016, serangan tentera diketuai pakatan pasukan keselamatan Iraq dan pakatan antarabangsa dilancarkan untuk merampas kembali bandar itu. Pertempuran Mosul berlangsung selama 250 hari dan digambarkan sebagai satu pertempuran bandar yang paling membawa maut sejak Perang Dunia Kedua. Pada Julai 2017, Mosul secara rasmi diisytiharkan dirampas semula pihak berkuasa Iraq. Namun lima tahun kemudian, banyak kemudahan perubatan yang rosak dalam pertempuran belum diubah suai sepenuhnya dan tidak boleh digunakan dengan sempurna serta masih terdapat kekurangan bekalan perubatan. 

Akibatnya, ribuan keluarga di Mosul dan sekitarnya masih bergelut untuk mengakses penjagaan kesihatan mampu milik yang berkualiti. Antara yang paling terdedah ialah wanita hamil dan bayi mereka.
"Sebelum 2014, sistem kesihatan Mosul di bandar itu tidak sempurna, tetapi ia berfungsi," kata Yousif. "Wanita pernah bersalin di rumah atau di salah satu hospital di bandar ini. Tetapi semasa operasi ketenteraan pada 2016 hingga 2017, banyak kemudahan perubatan rosak atau musnah dan peralatannya dicuri. Pemulihan kemudahan perubatan di bandar mengambil masa lama untuk dimulakan dan walaupun sudah hampir lima tahun sejak pertempuran Mosul berakhir, kami masih merasakan kesannya sehingga hari ini. Kebanyakan hospital dan kemudahan kesihatan masih dalam pembinaan semula atau diubah suai. 

Namun lihatlah wanita-wanita ini yang menunggu kelahiran bayi – mereka tidak boleh menunggu sehingga pengubahsuaian ini selesai.” 
Sebagai tindak balas kepada keperluan tahap tinggi Mosul yang tidak dipenuhi selepas pertempuran, Doctors Without Borders membuka unit pakar bersalin di hospital Nablus di Mosul Barat pada 2017 untuk menyediakan penjagaan ibu dan bayi yang selamat, berkualiti tinggi dan percuma untuk wanita dan bayi mereka. Pada Julai 2019, pasukan kedua Doctors Without Borders membuka Pusat Bersalin Al-Amal di pusat penjagaan kesihatan primer Al-Rafadain, juga di Mosul Barat. Tahun lalu, pasukan Doctors Without Borders di kedua-dua kemudahan ini membantu kelahiran hampir 15,000 bayi.

v

Rahma, penyelia bidan, mendukung bayi baru lahir bernama Rivan. Iraq, Januari 2022. © Elisa Fourt/MSF 

Menyokong kesihatan fizikal dan mental wanita

Rafida yang berusia 15 tahun, baru-baru ini melahirkan anak pertamanya di unit bersalin Al-Amal, selepas mendengar mengenai kemudahan itu daripada jiran dan saudara mara. Sambil memeluk anaknya Layth, katanya dia bersyukur atas penjagaan yang diterimanya. Tidak kurang 35 bidan dan penyelia bidan bekerja di kemudahan itu siang dan malam, tujuh hari seminggu, untuk membantu wanita melahirkan bayi mereka.

“Secara purata, kami membantu antara 10 hingga 15 kelahiran pada hari biasa, tetapi boleh meningkat kepada 20 hingga 25 kelahiran pada hari yang sibuk,” kata Rahma Adla Abdallah, seorang penyelia bidan. “Namun malangnya, kami masih tidak dapat menampung semua keperluan. Kami membantu kebanyakan wanita, tetapi kami perlu mempunyai kriteria kemasukan untuk mengekalkan tahap penjagaan yang terbaik berdasarkan had sumber kami sendiri." 

Bersama rakan sekerjanya, Rahma cuba membantu seramai mungkin wanita. Bidan bukan sahaja membantu bersalin tetapi turut menyediakan penjagaan antenatal dan selepas bersalin serta perkhidmatan perancangan keluarga, yang berjaya menarik ramai wanita dari seluruh bandar.

Satu lagi perkhidmatan utama ialah bantuan kesihatan mental. Direktorat Kesihatan Iraq juga menyediakan perkhidmatan kesihatan khusus di bandar untuk menyediakan penjagaan bagi mangsa yang terselamat daripada keganasan berasaskan jantina.

Wanita dalam komuniti ini bukan hanya memerlukan akses kepada penjagaan kesihatan fizikal; mereka juga memerlukan sokongan kesihatan mental sepenuhnya. Keganasan berasaskan jantina adalah isu yang kadangkala kita saksikan, contohnya. Sesetengah pesakit kami pernah mengalaminya tetapi mereka sangat jarang bercakap mengenainya. Tetapi masih jauh lagi perjalanan sebelum akses yang betul kepada penjagaan kesihatan fizikal dan mental boleh dijamin di Mosul.
Rahma Adla Abdallah, Penyelia Bidan

Penjagaan kesihatan ibu boleh diakses semua

Stigma sekitar isu seperti keganasan berasaskan jantina hanyalah satu daripada banyak halangan kepada penjagaan kesihatan di Mosul, namun kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif di bandar itu disebabkan pelbagai punca.

"Persekitaran sangat rumit di sini," kata Bashaer Aziz, seorang lagi penyelia bidan yang bekerja di unit bersalin Al-Amal. “Sebilangan besar wanita tidak dapat mengakses penjagaan kesihatan, sama ada kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membayarnya, atau kerana menghadapi cabaran lain, seperti tidak mempunyai dokumen pentadbiran rasmi, disebabkan konflik baru-baru ini atau terpaksa berpindah keluar dari rumah mereka. Oleh itu, apabila pesakit datang ke kemudahan kami, mereka secara amnya sangat bersyukur menerima rawatan perubatan dan obstetrik yang baik. " 

"Mereka tiada tempat lain untuk dituju; mereka tidak mampu untuk membayar khidmat di hospital atau klinik swasta. Unit ibu bersalin kami membawa perubahan besar buat mereka.”
Mariam, 20 years old, lives in Mosul. She came to MSF’s Al Amal maternity to attend an antenatal care consultation.

Mariam, 20 tahun, tinggal di Mosul. Dia datang ke pusat bersalin Al-Amal Doctors Without Borders untuk menghadiri konsultasi penjagaan antenatal. Iraq, Januari 2022. © Elisa Fourt/MSF

Mencari tempat untuk bersalin dengan selamat hanyalah satu daripada banyak cabaran dihadapi bakal ibu di Mosul, termasuk kadangkala cara pemakanan yang betul untuk diri sendiri dan anak-anak mereka.

"Kadang-kadang wanita yang datang ke sini, mereka tidak makan apa-apa," kata Rahma. "Kadang-kadang mustahil untuk mengetahui sudah berapa lama mereka hamil. Kadang-kadang mereka datang dengan anak-anak mereka, yang sangat kurus atau kurang berat badan. Jadi kerja kami di sini adalah untuk menawarkan alternatif kepada mereka dan cuba membantu sebanyak mungkin dengan perkhidmatan yang kami boleh sediakan.” Kedua-dua Rahma dan Bashaer bersetuju bahawa unit bersalin Doctors Without Borders memainkan peranan positif dalam kejiranan itu. 

Mahaya, 50, yang menemani menantunya ke unit terbabit untuk bersalin, merasakan perkara yang sama. Mereka datang dari Tel Afar, lebih sejam perjalanan.

Sebelum unit bersalin ini wujud, tiada apa-apa tersedia dan kami biasa bersalin di rumah. Seorang bidan akan datang, melahirkan bayi, dan itu sahaja. Tiada hospital pun yang boleh kami pergi. Unit bersalin ini adalah peningkatan besar dalam kehidupan kita.
Mahaya, ibu mertua pesakit

Pada penghujung syifnya, Rahma suka menghabiskan masa di wad pasca bersalin. Dia memeluk salah seorang bayi yang dilahirkan pada hari itu, seorang gadis kecil bernama Rivan. Walaupun umurnya baru beberapa jam, matanya sudah terbuka luas. Bayi itu merenung ibunya, Bouchra, 19 tahun, yang semakin pulih di atas katil di sebelahnya. "Kelahiran itu sukar, tetapi semuanya berjalan lancar, dan bidan banyak membantu," katanya. “Rivan adalah anak pertama saya dan saya berasa gembira memilikinya. Saya berharap masa depan akan menjadi lebih cerah. Saya harap saya akan membawa kanak-kanak lain ke dunia juga. Dan jika saya mempunyai anak lain pada masa hadapan, saya akan kembali ke sini,” katanya sambil tersenyum.