HIV/AIDS di DRC: Di sebalik kemajuan, masih terselindung cabaran besar
Foto menunjukkan ubat-ubatan berbeza yang mungkin diambil seseorang yang hidup dengan HIV setiap hari. Imej pertama sebelah kiri menunjukkan rawatan baris pertama. Imej tengah menunjukkan terapi baris kedua untuk pesakit yang tidak bertindak balas terhadap terapi baris pertama, dan imej kanan menunjukkan terapi baris ketiga untuk pesakit yang tidak bertindak balas terhadap terapi baris pertama dan kedua. DR Kongo, 2022. © Michel Lunanga/MSF
Pada 2002, pasukan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) membuka pusat rawatan pesakit luar pertama yang menawarkan penjagaan percuma kepada penghidap HIV di Kinshasa, ibu negara Republik Demokratik Kongo (DRC). Dua puluh tahun kemudian, sementara kemajuan besar dicapai di negara ini, jurang utama kekal dalam ujian dan rawatan, menyebabkan ribuan kematian yang boleh dicegah setiap tahun.
Apabaila pintu pusat rawatan Doctors Without Borders dibuka pada May 2002, keadaannya kritikal: lebih daripada sejuta lelaki, wanita dan kanak-kanak hidup dengan HIV di DRC, namun rawatan antiretroviral (ARV) terhad dan tidak mampu dibeli di negara ini. Menjelang awal 2000-an, virus itu membunuh antara 50,000 dan 200,000 orang setiap tahun di DRC, menurut UNAIDS.
Bagi kebanyakan orang, dijangkiti HIV hanyalah hukuman mati. Kos rawatan antiretroviral menjadikannya tidak dapat diakses kebanyakan pesakit. Doctors Without Borders sendiri, pada bulan-bulan awal pusat itu dibuka, tidak mempunyai ARV. Pasukan kami hanya boleh merawat simptom dan jangkitan oportunistik. Ia sangat sukar.Dr. Maria Mashako, Penyelaras Medikal
Clarisse Mawika, 60, diuji positif pada 1999. Dia masih ingat keadaan tahun-tahun gelap ini dengan baik.
"Saya tidak suka memikirkan kembali masa itu," katanya. "Apabila saya menerima keputusan ujian darah, saya fikir 'bersiaplah untuk pengebumian awak'. Nasib baik keluarga saya sudi menghantar ubat kepada saya dari Eropah. Namun pada satu ketika, mereka tidak mampu lagi untuk membayarnya. Saya terpaksa berhenti rawatan selama beberapa bulan. Keadaan saya mula merosot. Ketika itulah seseorang yang saya kenali memberitahu saya tentang Doctors Without Borders.”
Memacu kemajuan menentang HIV/AIDS
Sebagai kemudahan kesihatan pertama menawarkan ARV percuma kepada pesakit di Kinshasa, pusat rawatan Doctors Without Borders tidak lama kemudian dibanjiri sebilangan besar mereka yang memerlukan rawatan.
"Ia suatu yang sukar ditampung," cerita Dr Mashako, ketika itu sebagai doktor muda di kemudahan berkenaan pada pertengahan 2000-an. "Konsultasi bermula pada waktu subuh dan berakhir pada sebelah malam. Pesakit ramai sekali..."
Untuk meningkatkan akses kepada penjagaan dan rawatan, Doctors Without Borders mula menyokong pusat kesihatan dan hospital lain dalam penyediaan ujian saringan percuma, akses kepada rawatan dan penjagaan. Di Kinshasa sahaja, sekitar 30 kemudahan kesihatan mendapat manfaat daripada sokongan Doctors Without Borders sejak dua dekad lalu.
Pasukan kami juga menyediakan model rawatan perintis yang membenarkan jururawat menetapkan rawatan dan susulan untuk pesakit HIV positif. Ia inisiatif penting kerana hanya segelintir doktor bagi setiap wilayah dibenarkan berbuat demikian pada masa itu.
Sebagai kemudahan perubatan rujukan untuk penjagaan HIV/AIDS di DRC, Hospital Pusat Kabinda Doctors Without Borders melatih profesional kesihatan selama bertahun-tahun. Setiap tahun, ia menerima 15 doktor Kongo untuk sebulan latihan pengkhususan. Sejak 2013, Doctors Without Borders menganjurkan latihan klinikal tahunan mengenai HIV lanjutan dan tuberkulosis untuk doktor dan jururawat. 145 profesional kesihatan mengambil bahagian. DR Kongo, 2017. © Kris Pannecoucke
Dalam 20 tahun, sokongan ini menyumbang kepada latihan pekerja kesihatan yang tidak terkira banyaknya, dan hampir 19,000 orang menerima rawatan ARV percuma hanya di Kinshasa.
"Sokongan perubatan ini diakui penting, namun tidak mencukupi," kata Dr Mashako. "Kami terpaksa kurangkan kesesakan di kemudahan kesihatan dan pada masa sama membawa rawatan lebih dekat kepada pesakit. Itulah sebabnya kami bekerjasama dengan rangkaian persatuan pesakit kebangsaan untuk melancarkan pos pengedaran ARV, yang diuruskan secara langsung oleh pesakit."
Clarisse antara tenaga penggerak di sebalik pelancaran pos pengedaran berasaskan komuniti itu, yang dipanggil "PODI" di DRC.
"Apabila kami melancarkan dua pos pertama di Kinshasa pada 2010, kurang daripada 20 pesakit mendapat rawatan daripadanya," katanya. "Hari ini, terdapat 17 PODI di lapan wilayah, dan lebih 10,000 pesakit mengunjunginya untuk mendapatkan ubat mereka."
Pendekatan ini terbukti sangat berjaya dan akhirnya disepadukan ke dalam rancangan HIV/AIDS kebangsaan.
HIV lanjutan cerminan kepada jurang yang besar
Kemajuan besar dicapai sepanjang beberapa tahun memerangi HIV/AIDS di DRC, dan keadaan semasa tidak terbanding dengan situasi 2002: akses kepada rawatan diperluaskan dengan pesat dan sejak 10 tahun lalu bilangan jangkitan baharu menurun sehingga separuh.
Namun, tugas Doctors Without Borders di negara ini sentiasa diteruskan di sebalik sumber tidak mencukupi di peringkat negara dan antarabangsa demi mencapai kemenangan dalam perjuangan menentang HIV/AIDS serta memastikan akses kepada rawatan dan penjagaan untuk semua.
Ketika kami menubuhkan unit pesakit dalam yang mengkhususkan penyediaan penjagaan untuk HIV lanjutan pada 2008, kami tidak menyangka bahawa ia masih dipenuhi meskipun selepas lebih sedekad. Selama bertahun-tahun, kami menggandakan kapasiti katil namun masih perlu kerap memasang khemah untuk menempatkan pesakit. Ini mencerminkan cabaran besar yang terus kekal dalam usaha memerangi HIV/AIDS di DRC.Dr. Maria Mashako, Penyelaras Medikal
Sejak dibuka, lebih 21,000 orang dimasukkan ke unit penjagaan HIV lanjutan Doctors Without Borders di Kinshasa.
“Pada 2021, UNAIDS masih menganggarkan satu perlima daripada 540,000 orang yang hidup dengan HIV di DRC tidak mempunyai akses kepada rawatan dan 14,000 meninggal dunia akibat HIV di negara ini,” kata Dr Mashako. "Sebagai seorang doktor, saya terkejut kerana begitu banyak nyawa masih terkorban."
Meningkatkan usaha mendesak dan penting
DRC bergantung hampir secara eksklusif kepada penderma antarabangsa dalam memerangi HIV/AIDS. Namun, sokongan mereka tidak mencukupi memandangkan skala cabaran dihadapi.
"Ini realiti yang kami laungkan selama bertahun-tahun," kata Dr Mashako. "Kekurangan pembiayaan sebahagian besarnya menjadi penyebab kepada kekurangan ujian sukarela secara percuma, kekurangan latihan untuk penyedia penjagaan kesihatan, kekurangan ubat-ubatan yang kronik atau jurang perbezaan yang besar dalam perkhidmatan HIV antara wilayah.”
Jean dan Angelique kedua-duanya dimasukkan ke Hospital Pusat Kabinda (CHK). Seperti lebih 80% pesakit yang dimasukkan ke kemudahan Doctors Without Borders yang mengkhususkan dalam penjagaan HIV lanjutan ini, pasangan ini dapat keluar melalui pintu depan, membuktikan sekali lagi bahawa HIV lanjutan bukanlah sinonim dengan kematian. Malangnya, rawatan pesakit di peringkat lanjut penyakit ini masih kurang di DRC, terutamanya disebabkan kekurangan dana. DR Kongo, 2017. © Kris Pannecoucke
Menurut program kawalan AIDS kebangsaan Kongo, hanya tiga wilayah mempunyai peralatan mencukupi untuk mengukur beban virus pesakit, yang mana ia kunci untuk menilai evolusi jangkitan dan keberkesanan rawatan. Kemunduran dalam usaha memerangi HIV/AIDS disahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebagai contoh, aktiviti untuk mengurangkan penularan HIV dari ibu kepada anak - dengan menguji wanita hamil dan memberi mereka rawatan - semakin berkurangan. Satu perempat daripada kanak-kanak dilahirkan oleh ibu yang positif HIV tidak mempunyai akses kepada profilaksis kanak-kanak semasa lahir, sebahagiannya disebabkan kekurangan ARV kanak-kanak. Dan dua pertiga daripada kanak-kanak yang hidup dengan HIV tidak mendapat rawatan ARV.
"HIV tidak dapat dikalahkan di DRC jika pihak berkepentingan tidak meningkatkan usaha," kata Dr Mashako. "Jika saya hanya mempunyai satu impian, pastinya saya mahu Doctors Without Borders tidak lagi berada di sini dalam 20 tahun untuk merawat begitu ramai pesakit HIV."
Pada 2022, Doctors Without Borders menyokong Kementerian Kesihatan dalam penyediaan penjagaan dan perkhidmatan HIV/AIDS di Kinshasa dan enam wilayah DRC (Kivu Utara, Kivu Selatan, Maniema, Ituri, Kasai Oriental dan Kongo Central). Sokongan diberi dalam bentuk penjagaan pesakit secara langsung, latihan untuk penyedia penjagaan kesihatan dan penyediaan ubat-ubatan penting serta bekalan perubatan.