Ethiopia: Doctors Without Borders memberi amaran susulan tanda-tanda membimbangkan krisis pemakanan berskala besar di Afar - Wilayah
Seorang ibu memerhatikan anak lelakinya yang terlelap seketika di khemah pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam. Ethiopia, 2022. © Njiiri Karago/MSF
Organisasi kemanusiaan perubatan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyaksikan tanda-tanda membimbangkan krisis pemakanan yang membawa maut dan semakin meningkat di rantau Afar Ethiopia, yang memerlukan peningkatan segera dalam tindak balas kemanusiaan. Di Afar, ratusan ribu yang melarikan diri dari konflik baru-baru ini mendapati diri mereka bergelut bersama komuniti asal mendepani cabaran kemarau, kelaparan dan kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan dan air bersih.
"Apa paling menakutkan ketika ini adalah kami hanya mula melihat sebahagian kecil daripada satu masalah yang besar, dan itu pun sudah merisaukan," kata Raphael Veicht, Penyelaras Kecemasan Doctors Without Borders di Addis Ababa, Ethiopia. “Di Hospital Dupti, yang merupakan satu-satunya hospital rujukan yang berfungsi di seluruh Wilayah Afar, kami melihat kanak-kanak tiba selepas melalui perjalanan yang sangat panjang dan sukar, dan terlalu ramai berisiko mati dalam tempoh 48 jam kerana mereka terlalu sakit dan kekurangan zat makanan yang melampau untuk berjuang demi peluang untuk terus hidup.”
Sejak April, Doctors Without Borders meningkatkan sokongannya kepada Hospital Dupti, memberi perkhidmatan kepada populasi lebih daripada 1.1 juta orang termasuk ratusan ribu yang kehilangan tempat tinggal. Tahun ini, bilangan kanak-kanak kekurangan zat makanan teruk yang dimasukkan ke kemudahan itu melebihi garis dasar tahun sebelumnya dengan faktor tiga hingga empat. Kadar kematian pesakit sangat tinggi, melebihi dua puluh peratus dalam beberapa minggu. Tiga puluh lima kanak-kanak meninggal dunia hanya dalam lapan minggu terakhir dan lebih dua pertiga daripada pesakit itu meninggal dunia dalam tempoh 48 jam selepas kemasukan.
Jelas sekali, ramai yang berada di Afar tidak dapat mengakses tahap minimum penjagaan kesihatan, makanan dan air yang diperlukan untuk terus kekal hidup disebabkan gabungan konflik terkini, perpindahan, kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan, kekurangan makanan dan air, digabungkan tindak balas kemanusiaan yang tidak mencukupi ,” kata Veicht. "Untuk mula mengawal perkara ini, skala besar bantuan kemanusiaan amat diperlukan untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal dan komuniti tuan rumah yang terdedah, dengan keselamatan makanan, penjagaan kesihatan primer, pemakanan dan air sebagai tumpuan utama."Raphael Veicht, Penyelaras Kecemasan
Sama ada rosak, musnah, terbengkalai atau kekurangan sumber, dilaporkan hanya 20 peratus daripada struktur kesihatan di wilayah Afar berfungsi. Di Hospital Dupti, di mana lebih 80 peratus kanak-kanak kekurangan zat makanan dimasukkan untuk penjagaan tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan sebelum ini sebelum tiba ke hospital rujukan. Pesakit memberitahu Doctors Without Borders bahawa mereka bergelut untuk mengakses penjagaan kesihatan, makanan, air bersih atau keperluan asas lain, yang membawa kepada peningkatan tahap kekurangan zat makanan dan penyakit yang mengancam nyawa.
"Tapak tempat kami menginap sangat menakutkan dan tidak boleh didiami," kata Asiya Salih Mohammed, yang mengatakan ramai dari komunitinya mati dalam konflik dan dia sendiri terpaksa berjalan kaki menempuh perjalanan lebih sebulan untuk mencari keselamatan. Kini, dia tiba di tapak pelarian yang kekurangan peruntukan paling asas, termasuk tiada pusat perubatan, itulah sebabnya dia membawa anak perempuannya yang berusia setahun ke Hospital Dupti. "Makanan tidak mencukupi, tiada ada air minuman, rumah yang kami diami tidak berbumbung, jadi kami tidak mempunyai tempat berteduh dan kami terdedah kepada matahari."
Kakitangan MOH di hospital mengukur lilitan lengan kanak-kanak semasa saringan kekurangan zat makanan di pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam (ITFC) di hospital Dupti, wilayah Afar. Ethiopia, 2022. © Njiiri Karago/MSF
Kesan keadaan itu jelas dalam kalangan pesakit di Hospital Dupti, di mana hampir dua pertiga daripada kanak-kanak kekurangan zat makanan yang memerlukan kemasukan ke hospital berasal daripada keluarga yang terpaksa berpindah, sekali gus meningkatkan kadar kemasukan. Selepas Doctors Without Borders memulakan sokongannya untuk pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam yang mempunyai 14 katil di Hospital Dupti April ini, wad itu cepat dipenuhi dengan dua atau lebih pesakit bagi setiap katil. Pasukan membuka 14 katil tambahan dalam struktur sementara, tetapi ia juga penuh dan kakitangan perubatan bergelut menyediakan tahap penjagaan diperlukan kanak-kanak di kemudahan yang sesak ini. Dan baru-baru ini, wad pediatrik biasa pun turut terbeban, dengan bilangan pesakit melebihi katil dengan nisbah dua atau lebih.
Doctors Without Borders baru-baru ini bersetuju dengan Kementerian Kesihatan Ethiopia untuk meningkatkan kapasiti jabatan pediatrik, pemakanan pesakit dalam dan jabatan kecemasan hospital, termasuk dengan pembinaan segera bangunan baharu serta menyokong sanitasi dan penyediaan sumber air yang boleh dipercayai. Pada masa sama, Doctors Without Borders merancang untuk membuka lima program pemakanan pesakit luar di kawasan yang sangat memerlukannya, namun banyak lagi yang diperlukan untuk mengelakkan krisis yang menjulang.
Ratusan ribu sedang berjuang untuk meneruskan hiudp bukan sahaja di Afar tetapi juga bahagian lain di Ethiopia. Di Wardher, wilayah Somalia, hujan akhirnya bermula, tetapi orang ramai masih berdepan cabaran tambahan iaitu ketidakselamatan makanan dan air yang dikaitkan dengan tempoh kemarau yang berpanjangan. Doctors Without Borders baru-baru ini menyelesaikan kempen vaksinasi campak yang menjangkau lebih 7,000 kanak-kanak di 50 lokasi berbeza dan telah melaksanakan pengawasan perubatan untuk bertindak balas dengan cepat kepada keperluan perubatan kecemasan. Komuniti di seluruh rantau ini memberi amaran tentang kemarau yang dahsyat, yang membunuh ternakan dan talian hayat penting lain untuk terus hidup, manakala air, makanan dan akses kepada penjagaan kesihatan sering tidak dapat dicapai.
Ketika ini ribuan menderita akibat kesan buruk daripada krisis pemakanan yang berterusan dan terdesak untuk mendapatkan makanan serta bantuan bukan sahaja di Afar tetapi juga bahagian lain di Ethiopia. Sudah tentu, satu-satunya tindak balas kepada krisis pemakanan adalah untuk memastikan orang ramai mempunyai akses kepada makanan. Namun sebahagian besar penduduk di Afar dan bahagian lain di Ethiopia, terutamanya mereka kehilangan tempat tinggal akibat konflik, juga tidak mempunyai akses kepada cara penting lain untuk mengekalkan kehidupan seperti rawatan perubatan dan air minuman yang selamat. Tanpa respons kemanusiaan yang mendesak di Afar, ramai yang sudah sedia hidup dalam situasi ngeri akibat konflik, perpindahan dan kemarau akan terus terdorong ke ambang kelangsungan hidup. Untuk mengelakkan lebih banyak morbiditi dan kematian akibat krisis pemakanan yang berterusan di Afar dan bahagian lain di Ethiopia, komuniti kemanusiaan mesti bertindak dengan segera